Cuba elakkan nyanyi lagu duet dengan Siti Sarah, lama berdiam sekali Hazama tampil dedah sebabnya

artis

Penyanyi Hazama memilih untuk tidak menyampaikan single duetnya bersama Siti Sarah Raissuddin, Terakhir Buat Teman dalam mana-mana acara persembahan. Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 37, tidak menyangka seorang demi seorang karyawan yang terbabit dalam proses pembikinan lagu itu pergi menghadap illahi. Single Terakhir Buat Teman dicipta oleh pengarah muzik, Lok U bersama dengan gitaris Aji dan liriknya pula hasil nukilan Iman Imran. Lagu tersebut sebenarnya diciptakan untuk ditujukan kepada pemain bass terkenal, Allahyarham Kelly atau nama sebenarnya, Wan Kelly Abdul Rahman yang terlebih dahulu pergi menghadap illahi pada 4 Mei 2019. Belum sempat lagu tersebut disiapkan, Aji atau nama sebenarnya Fauzi Samin pula pergi menghadap illahi kira-kira empat bulan selepas itu iaitu pada 5 September 2019. Lok U atau nama sebenarnya, Faizal Uzir pula pergi menghadap illahi kira-kira lima bulan selepas itu iaitu pada 22 Januari 2020.

Ingin meneruskan niat baik Lok U dan Aji, lagu yang menampilkan gandingan duet antara Hazama dan Sarah itu berjaya disiapkan dan menemui peminat pada Disember 2020. Lapan bulan berselang, Sarah kembali ke rahmatullah pada 9 Ogos 2021 dan penulis lirik merangkap wartawan terkenal, Iman Imran atau nama sebenarnya Rudy Imran Shamsuddin pergi menghadap illahi pada 31 Mac lepas. “Sebenarnya, dah lama sangat saya tak menyanyi lagu itu. Kali terakhir adalah ketika mempromosikan single terbabit bersama Sarah dalam program Malaysia Hari Ini selepas lagu itu dilancarkan. “Sebagai seorang karyawan yang menyampaikan lagu itu, saya bertanggungjawab ke atas naskhah terbabit. Jika ada permintaan untuk saya menyampaikan lagu tersebut secara solo atau berduet, saya sedia menyampaikannya.

“Kalau hendak menyanyi secara saja-saja, kalua boleh saya akan menolak dengan baik. Malah, jika ada konsert atau persembahan, single itu saya ketepikan daripada senarai lagu. “Nak dijadikan cerita, sebenarnya, saya dan Sarah pernah meminta arwah Rudy Imran untuk mengubah judul asal dan beberapa perkataan. “Semasa mendapat naskhah ini, saya menelitinya bersama Sarah dan kami akui, lagu ini terlalu berat. Ada bahagian lirik di mana saya dan Sarah mohon diubah agar lebih lembut dan berlapik. “Saya masih ingat, arwah Rudy enggan mengubahnya kerana ini adalah karya yang sudah dia tulis untuk didedikasikan kepada rakan-rakan yang telah pergi. “Sebagai penyanyi, saya hormati Rudy. Beliau beritahu apa yang tertulis, tidak boleh diubah,” katanya. Dedah Hazama, tajuk lagu terbabit dapat diubah selepas melalui proses perbincangan.

“Akhirnya kami dapat mengubah tajuk lagu ini. Sebenarnya, judul asalnya adalah Nota Terakhir dan kami ubah kepada Terakhir Buat Teman. “Sehingga kini, hampir setahun pemergian Sarah, saya masih lagi sedih setiap kali mengenang kembali momen saya bekerjasama dengan dia. “Banyak situasi yang kami lalui membuatkan saya rasa bersalah. Kami ada kalanya bergurau pelbagai perkara, di mana ketika itu, ia dilihat biasa. Apatah lagi, ketika itu, Sarah sedang hamil anak keempat. Tak sangka pula dia pergi dahulu tinggalkan kita semua,” katanya. Kredit, xtra

Leave a Reply

Your email address will not be published.