Sah hamil tujuh bulan, Elisya Sandha tampil kongsi kenangan suami menangis kegembiraan

Viral

Elisya berkongsi video dia membuat kejutan tentang berita kehamilan. Lapan bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Elisya Sandha berkongsi berita gembira dirinya kini hamil tujuh bulan. Elisya turut berkongsi saat manis ketika membuat kejutan tentang kehamilannya kepada suami, ibu dan ibu mentuanya, penerbit Sheila Rusly. Menerusi video itu, kelihatan kesemua ahli keluarga dan suami menangis kegembiraan selepas mengetahui bakal menerima ahli keluarga baharu.

“Alhamdulillah… bersyukur atas rezeki yang dikurniakan. Video ini sangat bermakna, momen terindah dalam hidup. Kepada sesiapa yang membaca mohon luangkan masa berdoa untuk saya dan anak sulung saya. Saya juga mendoakan semua wanita mendapat pengalaman sama seperti ini,” ujarnya.

Kepada sesiapa yang membaca mohon luangkan masa berdoa untuk saya dan anak sulung saya

Meninjau pada ruangan komen, peminat dan rakan artis tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah dan berdoa agar urusan kehamilan pelakon drama My Hantaran itu dipermudahkan. “Kenapa saya juga nak menangis… Tahniah cantik. Semoga dipermudahkan urusan melahirkan nanti. Tahniah Elisya sayang. Semoga yang baik-baik untuk awak dan bayi,” komen beberapa rakan artis. Video, klik link

Fasha turut mengucapkan tahniah buat adaiknya.

Kakak kepada Elisya iaitu pelakon Fasha Sandha turut berkongsi video sama dengan ucapan tahniah buat adiknya. Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha, 22, mendirikan rumah tangga dengan Uzair Haqimy yang juga merupakan anak kepada pelakon Sheila Rusly pada 21 Ogos tahun lalu. Sumber, Mstar

Elisya sah bergelar isteri Uzair

Pelakon Elisya Sandha, 21, sah bergelar isteri kepada pengurus produksi, Uzair Haqimy, 25, dalam upacara akad nikah yang berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, di sini, jam 3.11 petang ini. Pasangan mempelai yang menjalinkan hubungan cinta sejak lima tahun lalu itu bernikah dengan berwali bapa pengantin perempuan, Mohd Faisal Abdullah. Dalam majlis serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu, Elisya atau nama sebenarnya, Nur Elisya Hassan menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih dan wang hantaran berjumlah RM22,222.22. Elisya berkata, mengikut perancangan, majlis sepatutnya berlangsung pada 22 Februari, tahun depan.

“Sejujurnya, perancangan berkahwin hari ini diputuskan pada saat akhir. Saya dan suami terus melakukan persiapan perkahwinan serba sederhana apabila mendapat tarikh pernikahan, kira-kira dua minggu lalu. Kami mahu mempercepatkan majlis pernikahan berikutan situasi pandemik CVDI9 yang tidak menentu. Jadi, kami laksanakan apa yang wajib dahulu. Insya-Allah, kami merancang mengadakan majlis keraian di kampung halaman di Perlis. Cuma, tarikhnya belum ditetapkan lagi,” katanya.

Mengulas mengenai suaminya, Elisya menyifatkan anak kepada pelakon dan penerbit, Sheila Rusly sangat bertanggungjawab. “Paling utama, saya tertarik sikap suami yang mengambil berat dan menyayangi keluarganya. Inilah ciri-ciri yang dilihat menjadi jaminan suami boleh menjaga saya dengan baik. Kami sudah lama berkawan dan mengharungi pelbagai ujian bersama sejak saling kenal di bangku sekolah lagi,” katanya.

Mengulas perancangan selepas mendirikan rumah tangga, pelakon drama Pujaan Hati Kanda dan Nasi Kerabu Untuk Cik Abe itu berkata, suami sudah membeli kediaman sebagai persediaan berumah tangga. “Cuma, buat masa ini, kami mahu meluangkan masa dengan keluarga. Lepas ini, barulah fikir berpindah ke rumah berkenaan,” katanya. Sementara itu, Uzair berkata, dia menyenangi keperibadian isterinya. “Elisya cukup menenangkan hati. Kami saling melengkapi diri antara satu sama lain. Ini fasa baharu dalam kehidupan kami. Kini, kami perlu lebih serius memikirkan soal tanggungjawab. Semoga perjalanan hidup kami dipermudahkan,” kata Uzair.

Elisya yang anggun mengenakan persalinan rekaan Teh Firdaus dan solekan oleh Datuk Alha Alfa menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima oleh pihak pengantin lelaki. Majlis akad nikah itu dipancarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom membabitkan adik-beradik, sanak saudara dan rakan rapat, petang ini. Terdahulu, Elisya dan Uzair bertunang pada majlis sederhana dihadiri 15 tetamu di kediaman kakaknya yang juga aktres popular, Fasha Sandha di Ampang pada 31 Januari lalu. Sumber, BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.