Tular pasal individu ni beli mee goreng ada ulat, sekali Dr Noor Hisham dedahkan ini tindakan yang di ambil pada gerai tu

berita

Hidangan mi goreng, kuetiau atau bihun goreng pastinya sudah biasa dimakan sesiapa sahaja. Tetapi bagaimana pula dengan masakan Mee Tonggek. Memperkenal kelainan pada hidangan mi, Mee Tonggek menjadi daya tarikan utama pengunjung di Bazar Ramadan Putrajaya kerana citarasanya berlainan menggunakan ramuan istimewa turun temurun. Pengusahanya, Mahadzir Zakaria berkata, hidangan Mee Tonggek hanya dijual pada bulan Ramadan setiap tahun sejak 2008. Bagaimanapun, katanya, pada tahun ini, dia memperkenal tambahan menu istimewa iaitu disertakan dengan udang galah serta sotong besar saiz XXL.

“Mee Tonggek ini adalah resipi keluarga di Kedah sejak tahun 1980an. Walaupun ada beberapa tempat lain menggunakan nama sama, tetapi Mee Tonggek asli hanya boleh didapati di Bazar Ramadan Putrajaya,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Menurut Mahadzir, sebanyak 600 ke 700 pek Mee Tonggek terjual sama ada kuetiau goreng atau bihun goreng dengan harga RM 4 sebungkus. Jika pelanggan mahu menambah udang galah atau sotong, setiap satu dijual pada harga RM 25 yang pastinya tidak menghampakan pembeli dengan rasa istimewa. “Saya memilih nama ini bagi mencipta keunikan dan mahu orang ramai ingat dan tercari-cari gerai kami pada setiap kali Ramadan.

“Memang ternyata pengunjung datang mencari Mee Tonggek kami kerana menurut mereka rasanya amat berlainan berbanding yang lain,” katanya yang hanya memilih lauk sotong dan udang galah segar. Sebelum ini, tular satu video berdurasi 90 saat yang memaparkan mee berlauk sotong yang dikenali sebagai Mee Tonggek berharga RM 30 yang dibeli di bazar berkenaan dicemari dengan ulat. Video dikongsi menerusi aplikasi TikTok itu tular di media sosial sejak kelmarin sehingga mendapat kritikan dan warganet. Setakat ini, video itu telah ditonton lebih 182,000 dan dikongsi lebih 22,000 kali.

Menurut pemilik akaun itu yang dikenali sebagai meximustakasima33, dia berkunjung ke bazar tersebut pada petang Rabu lalu dan singgah di satu gerai menjual mee yang dikunjungi ramai pelanggan. “Saya pergi ke gerai yang paling viral, gerai itu ramai pekerja dan pembeli, size makanan yang diberi pun besar-besar. Saya beli satu juadah saja sebab tidak mahu membazir. Saya siap minta cili lebih lagi. “Tengoklah sotong yang diberi sebesar alam, panas-panas lagi. Tak tipu, pukul 5.20 petang saya beli dengan harga RM 30, ada ulat.

Perbadanan Putrajaya PPj mengeluarkan notis amaran kepada sebuah gerai makanan di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 di sini susulan isu kebersihan makanan seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin. Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Mohd Helmi Abdul Hamid berkata, notis itu dikeluarkan dibawah UUK 30 1c, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja WP Putrajaya 2016. “Notis itu dikeluarkan bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih. “Bahagian Kesihatan Persekitaran Perbadanan Putrajaya telah membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi di keseluruhan kawasan dan gerai Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 termasuk gerai yang terlibat dengan isu kebersihan seperti mana viral di laman sosial media,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan BKKM Kementerian Kesihatan KKM sudah mengeluarkan notis penutupan terhadap peniaga mee tonggek yang tular kerana terdapat ulat dalam makanan dijual. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih. Katanya, pemilik gerai perlu mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula. “BKKM sudah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai yang menjual mee tonggek berkenaan.

“Selain tindakan penutupan, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan antitifiod. Tiga sampel turut diambil di gerai terbabit bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing. “Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga berkenaan mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar itu. “KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Kredit, Kosmo/Astro

Leave a Reply

Your email address will not be published.