Titip pesanan buat bekas suami sempena ulang tahun kelahiran, sekali ini yang Shakilla cakap buat ramai tumpang sebak

Viral

Biarpun sudah mengikut haluan masing-masing, pelakon Shakilla Khoriri tidak lupa untuk menitipkan ucapan bersempena dengan ulang tahun kelahiran penyampai radio, Fizi Ali, semalam.

Tahun sukar

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Shakilla, 32, mendoakan yang terbaik buat Fizi walaupun tahun ini sangat sukar untuk dihadapi. Kata pemilik nama Nurul Shakilla Mohd Khoriri, dia berharap agar bekas suaminya sentiasa bahagia, kuat untuk memulakan kehidupan baru dan dikurniakan pengganti yang boleh membahagiakan hingga akhir hayat. Doa Ameena akan sentiasa yang baik-baik untuk daddy dia. I tahu. Semoga segala perancangan Daddy dipermudahkan dan dilancarkan. Diberi kesihatan yang baik untuk terus kuat bekerja cari rezeki. Tahun ini mungkin sukar buat Daddy tapi insya-Allah mungkin tahun ni juga tahun yang terbaik buat Daddy berbanding dengan tahun-tahun yang sebelum ini. Mungkin juga tahun yang special untuk Daddy dengan orang-orang yang special. Semoga Allah kurniakan kebahagian yang terbaik untuk Daddy tahun ini dan selamanya. Semoga Allah pinjamkan sedikit kekuatan untuk terus bangun dan bina cerita baru untuk hidup Daddy. Semoga Allah kurniakan seseorang yang mampu jaga dan membahagiakan daddy sampai hujung nyawa Daddy.

Ayah yang terbaik

Dalam pada itu, pelakon drama Saat Kau Takluk Cinta Ini menyifatkan Fizi sebagai seorang lelaki dan ayah yang terbaik buat Ameena Sofia. Walau bukan lagi jadi orang yang pertama tapi akan sentiasa ada nota kaki dalam IG ini yang akan jadi memori untuk masa tua dan untuk tatapan Ameena kita bila dia dah besar nanti. Daddy lelaki dan ayah yang terbaik. Pasti Allah akan jaga dan temukan Daddy yang baik-baik juga.

Perkongsian itu membuatkan rata-rata warganet sebak ketika membaca. Ada juga peminat yang berharap agar pasangan ini kembali bersatu menjadi suami isteri. Terdahulu, Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 namun hubungan terlerai selepas berpisah pada 15 Disember tahun lalu. Hasil perkongsian itu, mereka dikurniakan Ameena Sofia. Sumber: Instagram @shakillakhoriri

‘Kering air mata tangisi perpisahan’ – Shakilla

Terlalu peribadi mendedahkan punca perpisahan, pelakon Shakilla Khoriri, 32, akur jodohnya dengan pengacara dan penyampai radio Suria FM, Fizi Ali, 32, berakhir dengan perpisahan. Shakilla berkata, dia kini berada dalam keadaan baik, namun, percaya apa yang berlaku sudah ketentuan Tuhan.

“Ya, betul saya dan Fizi sudah berpisah. Mengenai hantaran dimuat naik Fizi menerusi Instagram (IG), itulah kenyataannya, kami memang sudah tiada apa-apa ikatan lagi. Saya tahu berita ini amat mengejutkan, bukan hanya orang luar yang tidak rapat dengan kami, malah, sanak saudara dan rakan-rakan juga terkejut. Jujurnya, saya dan Fizi sudah cuba untuk memperbetulkan hubungan, tetapi, akhirnya mungkin perpisahan boleh membuka fikiran dan hati masing-masing untuk memandang lebih jauh. Jika ditanya apa perasaan, saya memang sangat sedih hingga tahap sudah tiada air mata untuk ditangisi. Sayang memang terlalu sayang pada ikatan kami tiga beranak, tetapi saya lebih percaya pada ketentuan Allah,” katanya.

Diasak punca perpisahan, Shakilla menyifatkan ia terlalu peribadi untuk dikongsi, malah, cukup sekadar orang ramai tahu mereka sudah berpisah. “Saya akui, kami mungkin mempunyai kesalahan dan kekurangan diri. Jadi, apa yang berlaku adalah pembelajaran yang sangat besar, baik untuk saya mahupun Fizi. Saya percaya ia boleh membuatkan kami lebih matang dalam membuat keputusan pada masa akan datang. Faktor dan puncanya, saya minta maaf. Biarlah ia menjadi rahsia yang terpendam, saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan. Saya anggap perkara sudah berlaku dan tidak perlulah memanjangkan cerita mengenai kenapa kami mengambil keputusan untuk berpisah,” katanya.

Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd Khoriri berkata, dia dan Fizi berada dalam industri hiburan, jadi tidak mahu salah memberi kenyataan akan menjadi cerita lain. “Walaupun ia berkaitan dengan orang lain, tetapi perkara ini sudah berlaku. Jadi, saya cukuplah dengan penjelasan ini,” katanya. Tambah pelakon drama Geng Tadarus itu, ia berikutan ramai sudah mula menuding jari.

“Ada yang mendoakan baik-baik untuk kami, ada juga sudah mula menuding jari, salah saya atau Fizi. Jadi, untuk tidak mengeruhkan keadaan dan tidak membuka aib sesiapa, saya, Fizi atau sesiapa sahaja ambil keputusan tidak bercerita mengenai punca perpisahan. Saya anggap ada sebab atau faktor yang membuatkan kami berpisah daripada kesalahan saya atau Fizi. Ia juga menjadi proses pembelajaran sebagai manusia agar belajar daripada pengalaman pada masa hadapan. Sebab saya tak tahu apa yang bakal dilalui pada masa depan. Jika antara saya dan Fizi bertemu dengan pasangan baharu, kami tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Berkongsi mengenai anaknya, Ameena Sofia yang kini berusia dua tahun, Shakilla tidak menafikan, anaknya seolah-olah pelik mengapa ibu bapa tidak tinggal sebumbung. Disebabkan itu, katanya, dia menunggu masa yang sesuai untuk menceritakan perkara sebenar kepada anaknya.

“Ameena sedang belajar bercakap dan sudah tentu pelik, kami tidak bersama lagi. Apabila Ameena dengan saya, bapanya tiada, begitu juga sebaliknya. Saya tahu perasan anak, tetapi Ameena tidak tahu bagaimana mahu bertanya. Jadi, saya mahupun Fizi akan memberi alasan salah seorang bekerja. Mungkin ada yang rasa tidak adil untuk Ameena, tetapi kami sudah berbincang dan sebulat suara untuk membesarkan anak bersama. Saya sibuk dengan penggambaran drama sehingga April tahun hadapan. Jadi, setiap kali saya bekerja Ameena akan diserahkan kepada jagaan bapanya. Jika saya ada, saya akan menjaganya. Jika kami sibuk, mak saya akan menjaga Ameena. Prosesnya sama sahaja seperti kami masih bersama, cuma kini, sudah tidak tinggal sebumbung,” katanya.

Tambah Shakilla, dia akan berkongsi perkara sebenar dengan Ameena apabila anaknya sudah boleh memahami. “Saya tidak mahu Ameena mendengarnya daripada mulut orang lain, jadi saya memang ada merancang untuk memberitahunya. Sekarang pun saya perlahan-lahan menjelaskan kepadanya walaupun Ameena tidak faham apa yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Shakilla berterima kasih kepada peminat mendoakan yang baik-baik buatnya sekeluarga. “Doa baik-baik bukan doa kami kembali bersama, tetapi doakan masa depan yang baik untuk saya, Fizi dan Ameena. Jangan risau, Ameena tidak akan kurang kasih sayang apabila ibu bapanya sudah berpisah. Saya dan Fizi akan bersama menjaga Ameena, insya-Allah,” katanya. Terdahulu, Fizi mendedahkannya dan Shakilla sudah berpisah dan memilih untuk membawa haluan berbeza menerusi IG, hari ini.

Memaklumkan menerusi IG, Fizi atau nama sebenarnya, Muhd Hafizudin Alimudin menjelaskan biarpun sudah hidup berasingan, dia dan Shakilla sepakat membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang. “Assalamualaikum semua. Maaf kepada mereka yang tertanya-tanya apa yang terjadi pada saya dalam beberapa minggu ini.¬† Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya dan Shakilla tidak lagi bersama dan akan membawa haluan masing-masing. Walaupun hidup berasingan, kami bersepakat membesarkan Ameena dengan penuh kasih sayang.¬† Kami janji Ameena tetap akan merasa kasih sayang sepenuhnya dari daddy dan umi. Kami harap semua pihak dapat menghormati keputusan ini. Anggaplah jodoh kami sampai di sini,” tulisnya. Penyampai radio Suria FM itu turut berterima kasih atas doa yang diberikan terhadap keluarga kecilnya itu. Terdahulu, Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Ameena Sofia berusia dua tahun. Sumber, Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published.