Ada yang gosipkan dengan Rita Nadira, sekali ini pengakuan dari tuan badan sendiri

artis

DUA kali digandingkan dalam drama, pelakon Fikry Ibrahim mengakui cukup selesa dengan pendatang baharu, Rita Nadira.Justeru, tidak sukar untuknya mencipta keserasian untuk hidupkan lakonan mesra. Bagi Fikry, dia melihat Rita memiliki potensi besar berbekalkan corak pembawaan dirinya. Selain itu, dia seronok apabila mereka juga ‘sekepala’ dan boleh rapat sebagai rakan artis. Namun, dia menegaskan hubungannya dengan Rita cuma sekadar kawan bagi menjelaskan dakwaan yang mengatakan mereka intim. Dia turut bersyukur gandingan mereka sangat dipercayai penerbit drama.

“Hubungan saya dengan Rita tidak lebih rakan seperjuangan dalam industri kreatif. Mungkin sebab kami ‘satu kapal’, sebab itulah penerbit mahu satukan kami. Maklumlah, muka dan kulit pun sama. “Semua ini berdasarkan keserasian pantas antara kami setiap kali di lokasi penggambaran. Tidak lebih dari itu dan dia adalah seorang kawan yang memudahkan,” katanya. Fikry mengakui dalam hatinya belum serius ke arah memikirkan soal jodoh. Dia percaya dirinya ada perjalanan sendiri dan demikian juga Rita. “Biasalah, setiap kali orang tengok kami ‘ngam’ berlakon, pasti ada saja yang mahu satukan. Memang saya akui, kami memang rapat pun di lokasi penggambaran.

“Secara tak langsung, keserasian sebegitu bagus dan mungkin mempercepatkan jodoh juga. Namun, jujurnya, saya belum ke arah memikirkan soal perkahwinan,” katanya. Terbaru tampil membintangi drama Kerana Dia Suka arahan Kyroll Hamzah, Fikry juga gembira mencipta keserasian bukan isu besar buat mereka. Bahkan, mereka sama-sama boleh bergurau senda tapi tetap serius apabila bekerja. “Sebelum ini, kami pernah bergandingan dalam drama Ayahanda. Jadi, ini adalah drama kedua kami bersama. Rita banyak memudahkan kerja saya kerana memahami karakter dilakonkan.

“Sememangnya, kami banyak gelak, tetapi Rita tahu apa yang nak buat. Bagi saya, dia adalah seorang pelakon baharu yang bijak. Saya percaya kerjaya lakonannya boleh maju ke hadapan, Insya-Allah,” katanya. Drama bersiri inspirasi novel karya Marissa itu ditayangkan di slot Lestary di TV3, setiap Rabu hingga Sabtu, jam 9 malam bermula 9 Mac lalu. Ditayangkan sebanyak 20 episod, ia diterbitkan Zeel Production Sdn Bhd, manakala skripnya pula ditulis Mufid Suhaimi dan Next Team Scene.Selain Fikry dan Rita, ia turut dibintangi Rozita Che Wan, Nasha Aziz, Aidit Noh dan Risyka Akira. Sumber, hmetro

Fikry rasa bertuah. WALAUPUN bermula sebagai pelawak yang bakatnya mula digilap menerusi pertandingan Lawak Solo pada 2016, Fikry Ibrahim akur namanya lebih menyerlah dalam bidang lakonan. Bermula dengan drama Hero Seorang Cinderella, Fikry tidak menoleh ke belakang. Selepas itu, namanya menjadi rebutan penerbit dan pengarah sebagai hero dalam drama tempatan ketika ini. Antaranya Drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek, Rahsia Hati Perempuan, Encik Imam Ekspres, Cekelat Semanis Honey dan banyak lagi. Secara peribadi, pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, ini berkata, dia bertuah kerana sering digandingkan dengan heroin yang mempunyai keserasiannya dengannya dalam drama seperti Farah Nabilah, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose dan Siti Nordiana.

“Sepanjang terbabit dalam lakonan, memang pengarah sering menawarkan saya gandingan heroin yang ada keserasian dengan dalam drama. Contohnya, saya selesa bergandingan dengan Farah dalam drama Cik Reen Encik Ngok Ngek kerana sudah tahu cara bekerja masing-masing,” katanya. Walaupun sudah mengecapi populariti, anak kelahiran Jitra, Kedah ini tetap mempertahankan prinsip tidak melakukan babak bersentuhan dalam setiap drama dilakonkan. “Saya masih pegang prinsip tidak melakukan babak bersentuhan tanpa berlapik dan tak memuat naik gambar wanita tidak bertudung di laman sosial hingga sekarang. “Ada segelintir pihak menganggap prinsip saya itu menyebabkan drama tidak boleh dipromosikan. Saya tidak setuju kerana banyak cara lain boleh dilakukan untuk mempromosikan drama lakonan dan kita sepatutnya percaya rezeki daripada Allah,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, Fikry terbabit dengan penggambaran drama bersiri 28 episod Kau Yang Pertama untuk Slot Akasia TV3. Dalam drama bersiri arahan Hadith Omar itu, Fikry bergandingan sekali lagi dengan Farah Nabilah selaku teraju utamanya. “Antara cabaran dihadapi adalah penggambaran dalam cuaca panas pada bulan puasa. Bukan saja menahan badan yang kekurangan air kerana tidak boleh minum, kita juga sukar untuk menjayakan babak makan dan minum ketika berpuasa,” katanya. Berkongsi pengalamannya, Fikry berkata, dia juga seronok berbuka bersama kru di lokasi penggambaran.

“Kami bagaikan keluarga yang besar ketika berbuka sama di lokasi dan hubungan juga rapat. Jika penggambaran habis lebih awal, saya tetap tidak lepaskan peluang untuk merasai nikmat dan keberkatan Ramadan dengan menunaikan solat Tarawih di masjid,” katanya. Selain berlakon, Fikry juga menceburi perniagaan baju raya sepanjang Ramadan ini di Jitra. Dalam pada itu, Fikry juga akan menyambut Aidilfitri bersama keluarga secara sederhana di kampung halamannya di Jitra selama dua minggu. “Saya akan pulang ke kampung seminggu sebelum Aidilfitri untuk membantu keluarga membuat persiapan. Sempena Aidilfitri tahun ini, saya juga akan menggayakan enam pasang baju Melayu dari Primavalet. “Selain itu, saya juga akan mengadakan rumah terbuka pada raya ketiga dan keempat khusus buat rakan dan peminat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.