Malu untuk bersanding, Zizi Kirana pilih untuk adakan majlis ringkas

Viral

Memang tak asing lagi peminat dengan penyanyi rapper popular Zizi Kirana. Baru baru ini Zizi ditemuramah oleh harian metro menyatakan dirinya “Malu kami nak bersanding.” Demikian jawapan penyanyi terkenal, Zizi Kirana ketika ditanya kenapa dia dan suami juga pelakon Yusuf Bahrin tidak bersanding di pentas pelamin pada majlis Raikan Cinta Yusuf & Nur yang diadakan di Grand Kaca Wedding Hall, Durian Tunggal, Melaka, semalam. Zizi, 37, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Md Tahil berkata, acara diadakan itu lebih kepada majlis kesyukuran bagi meraikan keluarga dan rakan terdekat. “Sebenarnya, kami lebih pada nak buat majlis kesyukuran dan santai saja. Jadi, kami mahu raikan dengan kaum keluarga dan rakan terdekat. Lagi pun, kami malu bersanding. 

Katanya lagi, “Dari awal lagi kami memang nak majlis ini santai, tetamu datang makan, berjumpa, bergambar dan dengar persembahan qasidah. “Semalam itu ada keluarga saya datang dari Sabah, keluarga Yusuf, kawan-kawan, anak tahfiz dan beberapa tetamu kenamaan (VIP). Memang itu saja jemputan kami. Persembahan pun daripada kumpulan qasidah Ar-Rayyan saja. Pentas yang ada memang untuk qasidah. Selesai majlis, baru kami bergambar dengan keluarga di pentas,” katanya kepada Harian Metro. Zizi yang baharu melancarkan single Pijak berkata, tetamu yang hadir semalam turut bertanya kenapa mereka tidak bersanding. “Semalam, masuk dewan kami terus duduk di meja makan beradab. Orang ingat terus ke pentas, tapi tak ada. Memang kami nak macam itu saja. Selalu dah naik pentas. Kali ini, nak lebih bermesra dengan tetamu kami. “Sampai kumpulan qasidah pun terkejut dan tanya kami tak sanding ke?. Sebab pentas memang untuk mereka saja dan saya menyanyi pun di tepi saja,” katanya.

Sementara itu, Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin berkata, dia dan Zizi sudah memasang niat lebih kepada majlis kesyukuran. “Kami buat majlis tu bukan acara resepsi untuk persandingan kami. Saya dan Zizi niat nak berkumpul dengan keluarga dan sahabat handai saja. “Lebih kepada nak meraikan tetamu yang sudi hadir. Selepas semua sudah selesai baru kami naik pentas untuk bergambar dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya. Pada majlis itu, pasangan sejoli berkenaan mengenakan persalinan rekaan pereka Shanell Harun dan ditatarias oleh Sharhim Khan. Terdahulu, pasangan itu berkahwin pada 19 September tahun lalu. Sumber, metro

Sindiran mahal Pijak Zizi Kirana. RAMAI dalam kalangan penyanyi tanah air kini sudah cukup yakin dan selesa dengan genre muzik ‘anutan’ mereka. Antara nama bertuah dan berjalan atas landasan tepat tersebut termasuklah penyanyi dengan nama pentas, Zizi Kirana. Selepas Eh, pemilik nama sebenar, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil itu kini muncul dengan single baharu berjudul Pijak dan karya berkenaan tidak langsung mengecewakan dan signifikan terhadap karier nyanyiannya dan realiti masyarakat tempatan. Pertama sekali, mesej yang ingin disampaikan Zizi melalui Pijak sangat jelas iaitu memberi gambaran realiti apa yang sedang berlaku dalam masyarakat. ‘Banyak beruk makin teruk dan bila kepuk naik gemuk’. Nukilan lirik berkenaan yang dipetik daripada lirik Pijak sangat berani dan Zizi agresif berkarya tanpa waspada demi seni.

Zizi berani

Itulah yang sepatutnya berlaku. Seni terutama muzik sepatutnya menjadi satu platform memberi pendidikan dan kesedaran kepada umum. Buat penulis yang sangat berpaut pada dahan apresiasi muzik, Pijak mempunyai kualiti yang jarang-jarang ada dalam produk tempatan. Muzik yang merdeka adalah muzik yang bebas melaungkan apa sahaja kebenaran yang perlu disedarkan daripada mimpi. Kebenaran yang sakit untuk ditelan, namun itulah yang berlaku dan dibawa dalam Pijak. Zizi membuktikan bahawa muzik tidak terhad tentang kasmaran, cinta dan perihal sebegitu yang menjadi amalan kebanyakan orang seni kita.Syabas dan terima kasih Zizi Kirana. Keduanya, menyentuh tentang komposisi muzik, Pijak boleh disifatkan sebagai sebuah antem pop rap yang cukup baik.

Identiti

Antara perkara paling mahal adalah ‘instrumen’ vokal Zizi yang dipadankan cemerlang dalam melodi tepat. Kalau kalian tanya siapa penyanyi rap wanita tempatan yang mempunyai kualiti tersendiri dan layak namanya didendangkan, jawapannya adalah Zizi Kirana. Zizi tahu benar apa yang ingin dikerjakan dalam bidang seni muzik. Sedari zaman Akademi Fantasia, zaman Fabulous Cats dan sekarang sudah menjawat peranan sebagai isteri, Zizi melalui proses panjang yang akhirnya mematangkan dirinya sebagai seorang penghibur. Dia menjadi cakna tentang identiti muzik. Secara peribadi, Pijak seperti sudah beroleh jalan mudah untuk ke anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu. Kalau lagu ini tidak layak atau lolos, adalah satu kerugian buat industri.

Karya seperti Pijak perlu diberikan ruang untuk bergerak ke hadapan dan berlari-lari di taman ‘arus perdana’ tanpa sebarang kekangan demi menutup realiti masyarakat. Liriknya bercakap tentang ramai orang memiliki sifir atau formula hidup yang ‘holier-than-thou’. Ramai orang punya kuasa yang makan seguni emas tapi tak kenyang-kenyang. Ada yang hidup selesa dengan memijak kepala orang lain sampai lenyek. Tidak terkecuali, ada yang rela dipijak kerana merasakan itu sahaja pilihan yang ada. Selain nukilan lirik yang padu, muzik video Pijak yang sudah boleh ditonton menerusi YouTube juga terkandung kreativiti serta mesej tersendiri. Sumber, kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published.