Bukannya dapat pilih siapa doktor. Mia Sara Nasuha hairan mengapa ramai yang panas dengan doktor lelaki.

artis Hiburan

KUALA LUMPUR : Selebriti yang pernah popular dengan julukan pelakon cilik, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 16, melahirkan rasa hairan apabila ramai mempersoalkan mengapa dia berurusan dengan doktor lelaki ketika mendapatkan suntikan vaksin semalam.

Menurut pelakon ini, perkara tersebut tentunya berada di luar bidang kuasa dan kawalannya memandangkan tiada siapa dapat menentukan siapa doktor yang menjalankan tugas mereka sepanjang program vaksinasi itu dilaksanakan.

“Kenapa anda semua marah sangat apabila melihat doktor yang menjalankan tugas itu adalah lelaki? Anda tahu bukan yang saya tidak boleh memilih dan untuk tujuan perubatan perkara itu bukan menjadi satu kesalahan.

“Sebab itulah apabila anda hendak meninggalkan komen mengenai sesuatu, pastikan anda tahu apa yang anda sedang perkatakan,”katanya di akaun Twitter semalam.

Mia berkata demikian setelah menerima banyak komen berunsur kecaman di aplikasi media sosial Tik Tok yang hadir dengan pertikaian dangkal mengenai perkara tersebut.

Ada antara pengikut Mia di akaun tersebut menganggap Mia tidak sepatutnya membenarkan doktor lelaki melakukan suntikan vaksinasi terhadapnya memandangkan dia seorang gadis bertudung.

Selain itu, ada antara mereka tergamak menuduh dan menyindir Mia dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.

“Kasihan, tak dapat free hair (tidak bertudung),” tulis DyanneTrsya_

“Kenapa tukang cucuknya lelaki? Jururawat tak tahu ke bahu seorang perempuan itu aurat. Mesti Kak Mia redha je ya,” tulis pengguna akaun St_jnniah.

“Pelik zaman sekarang. Doktor lelaki boleh cucuk tangan perempuan. Faham-fahamlah aurat tu kan,” tulis pengguna akaun fareed.

Terdahulu Mia berkongsikan satu rakaman video ringkas dirinya menerima selamat menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPVM), Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, Cyberjaya, Selangor semalam.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen akaun Mia Sara di Instagram agak berbeza dengan rata-ratanya dilihat lebih terkawal dan rasional.

Pelakon yang mula mencuri perhatian ramai menerusi penglibatannya dalam drama berjudul Adamaya dan Epilog Syurga Cinta pada tahun 2010 sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi berhubung pemakaian tudung.

Dalam satu temubual bersama sebuah stesen televisyen tempatan, Mia mendedahkan dirinya berulang kali diasak oleh pemain industri terutama syarikat produksi untuk membuka tudung bagi menyesuaikan watak yang ditawarkan sejak dia mula mengenakan imej muslimah lima tahun lalu.

Sumber: Utusan Malaysia.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Kena Kritik Sebab Kerap Bertutur Bahasa Inggeris Di Video Youtube Dan Tiktok. Ini Jawapan Mia Sara Bila Warganet Minta Dia Jelaskan

Sejak Mia Sara menggunakan bahasa inggeris pada setiap video yang dimuat naik di Tiktok, pelakon cilik ini mula dikritik warganet dan sianggap bangga diri dengan kebolehan berbahasa itu. Mia Sara Nasuha atau Mia akui dia lebih selesa bertutur dalam bahasa tersebut dan berharap pendiriannya dihormati.

“Saya lebih memilih untuk bercakap dalam bahasa Inggeris setiap kali saya buat video di YouTube. Jadi, jangan datang dekat saya dan beritahu ‘tak boleh bahasa Inggeris’ atau ‘bodoh orang Melayu tapi cakap bahasa pelik-pelik’.

“Bahasa Melayu… orang Melayu saja faham. Memang penonton saya seratus peratus Melayu? Eh ada ramai orang yang tak faham bahasa Melayu!” tulis Mia di Twitter miliknya. Majoriti warganet turut bersetuju dengan kenyataan tersebut dan menganggap penggunaan bahasa Inggeris pelakon drama Adamaya itu juga dapat membantu anak muda memperlajari struktur ayat yang betul.

“Sama! Saya lebih selesa dengan bahasa Inggeris tapi sedih apabila mengetahui ramai orang kritik kalau kita berbahasa Inggeris daripada Melayu dalam kehidupan harian. Semua orang bebas untuk bercakap dalam apa saja bahasa.”Saya setuju dengan apa yang awak katakan. Bukannya awak tak cakap Melayu pun bila berkomunikasi dengan orang dekat luar. Dengan cara ini kita dapat improve Inggeris kita. Bila lagi kita nak fasihkan bahasa Inggeris kalau kita tak berlatih

“Saya sangat bersetuju dengan Mia. Mungkin ianya bagus buat anak muda yang mahu memahami isi video selain boleh menambah vocab, dan mempelajari struktur ayat dalam bahasa Inggeris,” komen beberapa warganet .Bagaimanapun terdapat segelintir warganet mencadangkan supaya pelakon itu meletakkan sari kata bahasa Melayu dalam video tersebut agar lebih mudah difahami.

Susulan komen tersebut, Mia menjelaskan jadual yang terlalu padat membuatkan dia tidak mempunyai banyak masa melakukan suntingan untuk video tersebut.”Boleh tapi suntingan lama dan saya sibuk… jadi, saya tak boleh habiskan masa dengan melakukan suntingan untuk video saya sendiri. Saya tidak mempunyai penyunting,” ujarnya.

Isu penggunaan bahasa Inggeris masih menjadi perbualan hangat warganet sejak pelakon dan pengacara Adibah Noor menegur sebutan selebriti, personaliti media sosial dan tokoh politik.Terbaharu, tindakan keterlaluan seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak, Yusuf Shukri mentertawakan kemampuan berbahasa Inggeris seorang guru yang juga tenaga pengajar di saluran DidikTV dikritik warganet.

Mia Sara Disuruh Buka Tudung Sekiranya Ingin Berlakon. Mia Akui Dia Tersinggung.

Pelakon Mia Sara Nasuha mengakui tersinggung apabila ada segelintir pihak yang menawarkan watak kepadanya dengan syarat dia membuka tudung.Kata bintang remaja itu, disebabkan tawaran bersyarat sedemikian dia terpaksa menolak dengan cara baik.Namun, pada masa sama Mia, 16, tidak menyangka masih ramai yang tidak tahu dia sudah pun bertudung sejak berumur 11 tahun lagi.

“Ya memang tawaran berlakon saya dah berkurang.”Memandangkan saya sudah lama dalam industri mungkin ramai yang tahu yang saya sudah bertudung jadi hormatilah pendirian saya. Baru-baru ini ada yang tawarkan saya watak tetapi minta saya buka tudung. Dia bukan muslim tetapi rakyat Malaysia, saya rasa tersinggung pihak terbabit bertanyakan soalan demikian pada saya. Ia seolah-olah minta orang tak pakai baju kalau nak diambil berlakon. Banyak situasi macam itu berlaku sejak saya mula bertudung lagi. Sebab itulah saya banyak tolak tawaran dan sebab itu tak revealing macam sebelum,” katanya kepada Gempak.

Tambah Mia, dia hilang keyakinan diri apabila sering diasak tawaran sedemikian sekiranya mahu kembali aktif di persada seni.

“Bila kurang berlakon, ramai yang ingat saya sudah berhenti berlakon dan fokus belajar. Tetapi bermula tahun lepas saya sudah berlakon semula. Sebab itulah saya cuba mendapatkan semula kehidupan lama saya. Kadang-kadang boleh hilang keyakinan saya apabila ada yang bertanyakan soalan sedemikian,” tambahnya.

Mia ditemui pada majlis pelancaran De’Xandra Youth Live Launch di Kuala Lumpur pada Jumaat.Dalam majlis berkenaan, Mia dilantik sebagai duta body mist keluaran terbaharu De’Xandra. Selain Mia, empat bintang remaja popular iaitu Erissa Puteri, Nana Quemar, Kashika Selvam dan Kon Wen Wei turut dilantik sebagai duta.

“Saya gemar meneroka bidang baharu malah De’Xandra pun sudah merancang banyak projek bersama selepas ini termasuk muzik video dan sebagainya. Semoga kerjasama bersama De’Xandra ini dapat membuka mata ramai dan memberitahu kepada semua bahawa saya masih ada dalam industri,” katanya.

Siri wangian body mist dikeluarkan dengan lima bauan berbeza iaitu Dare Me, Ily Bae, Glamsquad, Playdate dan Chaotic Energy.Sudah berada di pasaran sejak 8 Januari lalu, siri wangian body mist ini boleh didapati di butik, kiosk dan ejen De’Xandra berdaftar seluruh negara.Setiap 100ml produk ini dijual dengan harga RM25.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *