Sudah tiba masanya bilangan subjek dan sukatan pelajaran untuk murid dikurangkan.

Amalan ISU SEMASA

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya bilangan subjek dan sukatan pelajaran untuk murid sekolah rendah dikurangkan atau dijajarkan semula demi melahirkan generasi yang lebih kreatif, inovasi dan berdaya maju.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, sistem pendidikan sekolah rendah ketika ini terlalu terikat dengan kandungan buku teks, semata-mata untuk memenuhi keperluan peperiksaan.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan proses pembelajaran murid terlalu berat dan tidak menyeronokkan disebabkan wujud tekanan.

“Subjek bagi sekolah rendah di Malaysia terlalu banyak jika dibandingkan dengan Singapura, Indonesia dan Jepun. Bahkan kandungan setiap subjek juga banyak.

“Kesimpulannya, kandungan kurikulum sekolah rendah di negara kita adalah berat dan menjadi beban kepada murid. Sampai bila kita mahu lahirkan pelajar yang hafal buku teks?

“Sedangkan fasa sekolah rendah adalah masa untuk murid-murid ini meneroka persekitaran dan memerlukan banyak interaksi melalui aktiviti yang lebih santai.

“Ini kerana, asas pendidikan masa depan adalah pendidikan yang meningkatkan minat pelajar supaya mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, fasa sekolah rendah seharusnya fokus kepada subjek teras sahaja.

“Bagi murid tahap satu (Tahun 1-3) cukup sekadar subjek yang meliputi 3M (membaca, menulis dan mengira) dan penambahan subjek keagamaan atau moral.

“Bagi murid tahap dua (Tahun 4-6), subjek Sains yang mudah diperlukan bagi mendedahkan pelajar kepada asas ilmu sains.

“Pendekatan ‘mengajar kurang, belajar banyak’ amat penting sebagaimana amalan di Singapura. Sebab itu tidak perlu banyak subjek, guru juga banyak masa untuk beraktiviti dengan pelajar,” hujahnya.

Beliau menambah, guru-guru yang terlibat dengan pemansuhan subjek, boleh mengajar subjek sedia ada dan ini menjadikan bilangan guru lebih ramai seterusnya kapasiti pelajar di dalam bilik darjah juga dapat dikurangkan.

Katanya, ia sejajar dengan anjuran Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu 21 murid bagi setiap kelas.

“Malaysia patut capai sasaran 21 murid bagi setiap kelas. Banyak negara lain sudah lama capai. Anak-anak mereka belajar dengan selesa dan gembira.

“Sampai bila kita sanggup lihat anak-anak kita yang masih kecil bersesak-sesak belajar di dalam kelas selama lima jam sehari?” soal beliau.

Dalam pada itu, Tokoh Akademik, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyifatkan jumlah subjek sedia ada bagi sekolah rendah sudah memadai.

Namun, beliau tidak menolak bahawa silibus dan kaedah pengajarannya perlu dipertingkat agar lebih menyeronokkan, dalam masa sama menambah ilmu kepada murid.

Ujarnya, semua subjek yang ditetapkan sudah dikaji oleh pegawai kurikulum kerajaan dan semuanya ada falsafah tersendiri.

“Jika subjek mahu dikurangkan, akan timbul isu mana satu subjek yang perlu digugurkan. Sebenarnya jumlah bukan isu besar tetapi kaedah pengajaran yang mesti diberi perhatian.

“Subjek untuk tahap satu juga tidak banyak manakala subjek untuk tahap dua ditambah sesuai perkembangan umur.

“Dalam hal ini, guru wajar diberi kebebasan berkarya untuk memastikan proses pengajaran lebih menyeronokkan dengan pelbagai aktiviti,” kata Alimuddin.

Pelajar Dibenarkan Hadir Ke Sekolah Tanpa Pakaian Seragam.

PUTRAJAYA: Pelajar dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam jika pakaian sedia ada sudah tidak lagi muat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, namun, murid perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai untuk ke sekolah.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan semua murid hadir ke sekolah sesuai semangat membawa kembali pelajar ke sekolah.Beliau berkata selain itu, setakat ini, aktiviti sukan dan kokurikulum belum dibenarkan, namun untuk aktiviti Pendidikan Kesihatan dan Jasmani (PJK), murid disaran untuk memakai pakaian sukan di rumah.

“Sementara itu, bagi waktu rehat, murid akan dibenarkan makan di dalam kelas, namun bagi kelas yang ada penghawa dingin, mereka perlu makan di luar dengan pengawasan guru,” katanya.

Menyentuh mengenai isu ketidakhadiran ke sekolah, ibu bapa dan penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dan ketidakhadiran mereka tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga perlu menulis surat penjelasan mengenai ketidakhadiran itu sebagai rekod dan perkara itu akan digunapakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini.

“Sementara itu, bagi murid yang didapati mempunyai gejala ketika di sekolah, mereka akan menjalani ujian air liur dan diasingkan terlebih dahulu bagi mengelak penularan.

“Bagi yang didapati bergejala, seeloknya jangan hadir ke sekolah,” katanya.

Bagi sekolah berasrama penuh, katanya, pelajar akan menjalani tiga kali ujian saringan COVID-19 dalam usaha mewujudkan sekolah berasrama sebagai gelembung selamat.

Katanya, sebelum pelajar kembali ke asrama, mereka perlu menjalani ujian saliva pertama COVID-19, kemudian pada hari keenam, ujian kedua dan seterusnya hari ke 14 untuk ujian saringan ketiga.

“Menerusi pendekatan ini, sekolah berasrama akan menjadi gelembung selamat kepada anak-anak untuk terus berada di sekolah.

“Dalam masa yang sama, pengudaraan juga perlu dipastikan berada pada tahap optimum,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama guru, kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan turut ditekankan supaya mendapat vaksinasi sepenuhnya sebelum memulakan perkhidmatan.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan arahan khususnya dalam konteks kebersihan dan keselamatan untuk memastikan semua kakitangan terbabit sudah divaksin.
“Seperti dinyatakan sebelum ini, mana-mana guru yang belum divaksin juga tidak dibenarkan mengajar di sekolah kerana kita ingin memastikan keseluruhan ekosistem yang selamat.


“Selain itu, KPM juga sudah mendapatkan senarai pengusaha pemandu bas sekolah yang sudah divaksin, namun mungkin ada keciciran dan berharap ibu bapa dapat membuat pilihan yang sewajarnya,” katanya.

Guru Yang Tidak Lengkap Suntikan Vaksin Dilarang Daripada Mengajar Di Sekolah.

Vaksin adalah merupakan antigen iaitu virus yang telah mati. Pemberian virus mati ini bukanlah dengan tujuan untuk menyebabkan seseorang itu terkena jangkitan virus, akan tetapi dalam bahasa mudahnya, ia adalah bertujuan menciptakan memori dasar sebagai tentera pertahanan dalam tubuh untuk bersiap sedia menghadapi serangan virus yang sebenar yang lebih kuat.

Namun seperti negara lain, Malaysia juga tidak lari daripada golongan antivaksi yang cuba mempengaruhi orang ramai daripada menerima vaksin. Gerakan antivaksin digerakkan oleh golongan yang menolak penggunaan vaksin, antaranya menggunakan media sosial, dengan fahaman bahawa vaksin mengandungi bahan yang tidak selamat.

Guru-guru perlu mendapatkan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka Oktober depan. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional mencadangkan agar guru yang tidak lengkap suntikan vaksin dilarang daripada mengajar di sekolah.

Presidennya, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, langkah itu perlu diambil bagi memastikan tidak wujud kluster sekolah sebaik sesi pembelajaran bermula pada 3 Oktober depan.“Kami terkilan dengan tindakan 779 guru di Johor yang menolak vaksin. Ini memberi persepsi dan kesan kurang menyenangkan bagi seluruh warga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang iaitu kira-kira 779 guru di Johor menolak untuk me­nerima vaksin Covid-19.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Aminuddin Awang mengakui mereka tidak pernah menerima laporan mengenai guru menolak vaksin sehinggalah dedahkan baru-baru ini.

Katanya, sekiranya wujud aduan sekali pun ia hanyalah mengenai kelewatan segelintir guru menerima tarikh temu janji suntikan vaksin tersebut.“Kita tak pernah terima aduan seperti itu, biasanya ia (aduan) tentang guru yang belum terima tarikh suntikan. Itulah yang biasa kami tekankan sebelum ini.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, beliau yakin semua guru yang dijadualkan kembali mengajar di sekolah pada 3 Oktober depan telah menerima suntikan vaksin sepenuhnya.“Jika masih ada yang belum lengkap divaksin sekali pun, masih ada masa lagi untuk mereka disuntik sebelum sesi persekolahan tersebut dibuka jadi tidak timbul masalah di situ,” katanya.

Sumber: Kosmo.

Tarikh Buka Sekolah Terkini Dilewatkan Kepada 3 Oktober 2021 – KPM.

Tarikh Buka Sekolah Susulan PPN / Pengoperasian Institusi Pendidikan Di Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)Beliau berkata, bagi negeri-negeri Fasa Dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi Fasa Tiga, pembukaan penuh dibenarkan.

“Ini adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN)… jadi, kita tidak boleh menyatakan 1 September akan buka semua (sekolah). Keselamatan murid adalah keutamaan kerajaan.

Hari ini, KPM telah mengumumkan bahawa sesi PdPR akan diteruskan sehingga 3 Oktober 2021.Namun, jika terdapat keperluan untuk membuat perubahan KPM akan memaklumkan lebih awal.

Berdasarkan SOP MKN, Pelan Pemulihan Negara menggariskan perkara berikut:

  • Fasa 1 : Sekolah tidak akan dibuka
  • Fasa 2 : Untuk Murid Kelas Peperiksaan Sahaja (Ting. 5 & 6)
  • Fasa 3 : Boleh untuk murid kelas biasa Tertakluk kepada penilaian risiko negeri tersebut

Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan ketetapan pembukaan sekolah secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September selepas mengambil kira kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan sekolah.

Berita Baik Untuk Pelajar Tingkatan 5 Dan 6. Terkini Khairy Jamaluddin Dedahkan Pelajar Tingkatan 5 Dan 6 Akan Mula Terima Suntikan Vaksin Pfizer Bermula Bulan Julai ini.

Berita baik untuk pelajar tingkatan 5 dan 6 yang bakal mengambil peperiksaan bagi tahun ini! Menurut The Star, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa pelajar yang bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima dos pertama vaksin bermula Julai ini.

Khairy berkata, pelajar tingkatan 5 dan 6 ini akan menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang mana suntikan tersebut akan dilaksanakan di sekolah. Kita kena bagi vaksin kepada mereka pada awal persekolahan. Bila menteri pendidikan buat keputusan untuk benarkan pelajar ke sekolah, kita akan beri suntikan kepada mereka bermula pertengahan Julai atau awal Ogos bergantung kepada kes harian. “Mereka pergi sekolah dan akan disuntik di sana,” katanya.

Badan Bertindak Imunisasi COVID 19 (CITF) juga memutuskan semalam untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama. Perkara itu juga dimaklumkan Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin yang berkata, ia susulan daripada menerima kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap individu berusia 12 tahun ke atas.

Menurut Khairy lagi, data peperiksaan tahunan yang diterima daripada Menteri Pendidikan juga menunjukkan terdapat 357,000 pelajar dan 47,000 guru di Tingkatan 5 dengan kerajaan yang berusaha untuk memvaksin golongan itu terlebih dahulu supaya boleh kembali ke sekolah semula. Semoga adik-adik kita yang menduduki peperiksaan ini dapat kembali belajar seperti biasa di sekolah semula. 

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *