Meraih populariti sekelip mata. Disebabkan pandemik Covid 19 Buntat jual roti canai.

Uncategorized

Lima tahun lalu, watak Buntat yang dilakonkan Muhammad Ariff Abdullah, 17, dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku pernah mencetuskan fenomena sehingga meraih populariti dalam sekelip mata.

Kini, Muhammad Ariff lebih memberi fokus kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijangka tahun depan.

Selain itu, Muhammad Ariff yang kini meningkat remaja turut mengambil kesempatan membantu bapanya yang menjual roti canai di medan selera di Jitra, Kedah.

Melihatkan tingkah lakunya kini, Muhammad Ariff lebih petah berbicara selain tidak kekok ketika mengambil pesanan dan melakukan kerja di kedai bapanya.

Malah, berbanding ketika awal mencipta nama, dia juga semakin ramah dan selesa ketika diaju pelbagai soalan mengenai perkembangan dirinya.

Tidak lekang dengan senyuman, Muhammad Ariff berkata, dia teringin untuk berlakon, namun disebabkan pandemik Covid-19 dia terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan selain tidak menerima sebarang tawaran.

“Mungkin ada hikmahnya juga kerana disebabkan Covid-19 ini saya dapat fokus kepada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan SPM.

“Kali terakhir saya menjalani penggambaran tahun lalu dalam satu babak drama 7 Hari Mencintaiku 2 dengan memegang watak sebagai Ariff,” katanya di kedai roti canai bapanya.

Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya ditawarkan watak apa sekalipun selepas ini, namun ia mungkin perlu seiring dengan usianya yang meningkat remaja.

“Saya seronok berlakon dan yakin akan dapat menjiwai apa saja watak yang diberikan kerana minat dan enggan sia-siakan bakat yang ada,” katanya.

Selain mencipta nama dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Muhammad Ariff juga pernah berlakon dalam filem Jibam yang ditayangkan pada 2017 dengan memegang watak sebagai kanak-kanak istimewa.

Walaupun menghidap disleksia serta menghadapi masalah untuk membaca dan menulis, namun Muhammad Ariff mempunyai daya ingatan yang kuat dan cenderung kepada perkara diminatinya.

Sumber: hmetro.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Sewaktu Pandemik Guru Ini Ambil Inisiatif Baru Untuk Menyampaikan Ilmu. Kini Guru Ini Sudah Digelar Youtubers.

Cikgu Rodzi mahu membantu pelajar memahami matematik dengan lebih mudah menggunakan teknik pengajaran secara virtual. Sebelum ini seorang guru Matematik, Mohd Rodzi Mat Ghani pernah tular di Facebook selepas berkongsi formula dan kaedah penyelesaian subjek itu menggunakan formula mudah difahami pelajar. Perkongsian yang dibuat Mohd Rodzi, 43, menarik perhatian memandangkan ketika itu ramai pelajar belajar dari rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Sejak itu, guru SK Pauh Jaya, Permatang Pauh Pulau Pinang itu giat berkongsi pelbagai soalan dan penyelesaian Matematik di Facebook miliknya dalam usaha membantu pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran ekoran pandemik yang sedang melanda ketika ini. Melihat kepada sambutan menggalakkan diterimanya, Mohd Rodzi beralih ke YouTube dengan menubuhkan saluran Cikgu Rodzi dengan harapan dapat mencapai dan membantu lebih banyak pelajar.

Cikgu Rodzi sentiasa mahu membantu pelajar-pelajar memahami Matematik dengan lebih mudah.

“Pada awalnya saya tubuhkan saluran itu untuk menyediakan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk pelajar saya yang mungkin tidak berkesempatan mengikuti kelas secara Zoom. Tapi apabila saya lihat jumlah tontonan beberapa video yang dihasilkan ia amat memberangsangkan malah ramai mula meninggalkan komen untuk saya hasil video dengan tajuk-tajuk lain pula,” katanya.

Hanya berbekalkan telefon!

Berkongsi mengenai ideanya untuk menggunakan YouTube, Mohd Rodzi memberitahu dia pada awalnya sekadar ingin mencuba malah mengakui tidak mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan media sosial.

Bagaimanapun ceritanya, dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan sebaliknya menggunakan gajet sedia ada untuk menghasilkan bahan pengajaran untuk murid-muridnya.

“Hanya berbekalkan telefon, saya rakam topik yang ingin diajar menggunakan aplikasi yang menyediakan papan putih virtual sebelum saya rakam suara dan muat naik di YouTube.

Paling saya seronok dan bersemangat apabila mendapat komen daripada pelajar dan ibu bapa yang mengatakan video yang dihasilkan seperti berada dalam kelas.

“Apabila saya tengok ada sambutan, saya rasa seronok dan bersemangat nak hasilkan lebih baik. Alhamdulillah ramai beri komen tentang kualiti video dan apa yang perlu saya perbaiki. Saya juga banyak bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif tentang penggunaan aplikasi dan fungsi YouTube bagi memantapkan lagi video dihasilkan,” ujarnya.

Tidak hanya di YouTube, Mohd Rodzi berkata, percubaan itu turut menarik minat pelajar-pelajarnya setiap kali mengadakan kelas secara Zoom dengan kehadiran meningkat lebih 60 peratus.

“Pandemik ketika ini memang sukar buat semua orang dan sebagai seorang guru saya tidak mahu berpeluk tubuh dan ingin membantu murid-murid mendapat ilmu seperti mana di dalam kelas. Alhamdulillah, percubaan saya mendatangkan hasil dan kehadiran lebih 60 peratus menunjukkan pelajar berminat cuma sebagai guru saya perlu cari alternatif dan kaedah lain untuk menarik perhatian mereka,” katanya.

Komen positif daripada pelajar dan ibu bapa membuatkan Cikgu Rodzi terus bersemangat.

Dijemput JPN Pulau Pinang kongsi dengan guru-guru lain

Dalam pada itu, Mohd Rodzi berkata, melihat kepada sambutan itu, dia menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak video tentang pembelajaran matematik di salurannya itu. Mohd Rodzi berkata, video yang dihasilkan sedikit sebanyak dapat meringankan dan membantu ibu bapa yang tidak tahu mengajar anak di rumah dan menjadikan videonya sebagai rujukan.

“Paling saya seronok dan bersemangat apabila mendapat komen daripada pelajar dan ibu bapa yang mengatakan video yang dihasilkan seperti berada dalam kelas. Alhamdulillah, penerangan diberikan juga ramai beritahu mudah difahami dan ibu bapa juga sudah boleh mengajar anak-anak di rumah dengan berpandukan video saya hasilkan,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ kata Mohd Rodzi, ada guru-guru lain yang turut menonton video yang saya hasilkan dan menjadikannya sebagai panduan kepada murid-murid mereka. Berkat usahanya itu juga, Mohd Rodzi berkata, dia turut dijemput oleh Jabatan Pendidikan (JPN) Pulau Pinang untuk memberi taklimat dan berkongsi mengenai saluran YouTube dan kaedah pengajarannya kepada guru-guru lain.

Mohd Rodzi bersama pelajarnya sebelum pandemik.

Saluran YouTube mula jana pendapatan

Ketika ini kata Mohd Rodzi, saluran YouTube miliknya sudah pun mencecah 3,000 pengikut selain mendapat purata tontonan sebanyak 400,000. Malah pada akhir Januari lalu, Mohd Rodzi memberitahu salurannya itu telah berdaftar sebagai ahli YouTube Partnership Program yang membolehkan ia menjana pendapatan.

“Terkejut juga… kiranya sekarang saya seorang YouTubers! Tetapi, Alhamdulillah usaha saya sedikit sebanyak mendapat pengiktirafan dan dapat menjana pendapatan sampingan. Pada saya bukan mudah untuk sebuah saluran yang mengangkat tema pendidikan untuk mendapat perhatian berbanding saluran berbentuk hiburan. Insya-Allah dengan pendapatan diterima daripada YouTube dapat saya gunakan untuk menambah baik penerbitan video pada masa akan datang seperti membeli telefon lebih canggih serta peralatan sokongan,” katanya yang tidak melihat bayaran sebagai tujuan utama sebaliknya ia bersifat motivasi kepada diri sendiri.

Pengalaman berjinak-jinak sebagai YouTubers juga kata Mohd Rodzi banyak mengajarnya agar tidak membataskan diri dalam mencapai sesuatu perkara. Malah katanya, peralatan yang canggih bukanlah perkara utama sebaliknya cara menggunakan dan kreativiti adalah paling penting dalam melakukan sesuatu.

“Buat sahaja selagi kita rasa ia betul dan boleh memberikan manfaat kepada orang lain serta tidak melanggar hukum hakam agama. Komen negatif saya selalu ambil untuk memperbaiki diri dan paling penting jangan malu untuk tonjolkan diri dalam menyebarkan ilmu kepada orang lain,” ujarnya yang turut berkongsi videonya di Facebook dan Telegram.

Polis Sanggup Bina Sesuatu Untuk Memudahkan Pelajar Untuk Menghadiri PDPR Sekolah Mereka. Ketua IPD Ranau Akui Isyarat Internet Agak Kurang Baik.

RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau mengambil inisiatif membersihkan kawasan dan membina khemah di atas bukit setinggi 100 meter di Kampung Paus, di sini, bagi membantu pelajar mendapatkan capaian Internet untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Sammy Newton, berkata ketiadaan isyarat internet yang baik di kampung itu menyukarkan pelajar mengikuti sesi PdPR.

“Justeru pihak kami menyediakan khemah di atas bukit yang juga di dalam ladang kelapa sawit bagi memberi manfaat kepada lebih 30 pelajar di kampung itu. Semua peralatan khemah lengkap dengan meja dan kerusi adalah sumbangan daripada pegawai dan anggota IPD Ranau, selain menyumbangkan pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan bakul makanan untuk pelajar di situ,” katanya kepada Bernama.

Sammy berkata, Kampung Paus terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Ranau dan lebih 20 kilometer dari jalan utama. Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan keselamatan pelajar di khemah berkenaan rondaan pemantauan polis dari IPD Ranau juga dijalankan.

Bersesuaian dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Sammy berkata khemah berkenaan dibina pada Jumaat lalu hasil gotong-royong petugas IPD Ranau bagi menyediakan keselesaan kepada pelajar dan secara tidak langsung memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar di kampung berkenaan. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin memuji usaha IPD Ranau yang turut membantu melancarkan proses PdPR meskipun kekangan capaian kemudahan Internet. Beliau berkata, bantuan itu sangat diperlukan oleh pelajar yang sanggup ke lokasi bagi memudahkan mereka mendapat talian internet dan pesanan pembelajaran daripada guru sekolah.

“Dengan cara itu, pelajar dapat menerima dan menghantar semula latihan yang disemak oleh guru masing-masing melalui aplikasi WhatsApp yang paling popular digunakan pada masa kini,” katanya. – BERNAMA Sumber BHOnline

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *