Sungai Furat diancam kemarau teruk semakin kering. Ini gambar dan keadaan yang dilaporkan sekarang.

berita Dunia Info OH AGAMA

HARI kiamat merupakan hari yang pasti akan berlaku ke atas kita semua, cuma persoalan yang timbul bilakah hari itu akan berlaku?

Apakah tanda-tanda bila akan terjadinya hari kiamat? Semua persoalan ini telah diterangkan dalam al-Quran dan hadis Baginda Rasulullah.

Bagi menjelaskan bila terjadi hari kiamat Allah menjelaskan di dalam Al-Quran Thaha ayat 15: Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan.

Sangat jelas di dalam firman Allah bahawa Hari kiamat pasti akan berlaku cuma bila itu dirahsiakan oleh Allah agar seseorang itu membuat persediaan awal untuk menuju hari itu.

Tanda-tanda kiamat sama ada kecil ataupun besar akan diperlihatkan kepada kita sebelum terjadinya hari kiamat yang amat dahsyat.

Jika diikutkan tanda-tanda kecil hari kiamat sudah cukup banyak seperti kewafatan Baginda Rasulullah, ilmu agama diangkat, akan banyaknya terjadi bencana dan kekacauan serta banyaknya pembunuhan.

Apa yang menarik perhatian kita semua mengenai salah satu tanda kiamat juga ialah surutnya air Sungai Furat atau Euphrates.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidak terjadi hari kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata ‘mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu’. – [HR Muslim 5152].

Sungai Furat merupakan sungai terpanjang di Asia Barat. Mengairi tiga buah negara iaitu Turki, Syria dan Iraq. Ia berpunca dari hiliran timur Turki, kemudian merentasi Syria, memasuki Iraq dan bertemu ulu sungai Tigris sebelum berakhir di muara Shatt Arab, pesisir Teluk Parsi.

Sungai Furat bersama Sungai Tigris menjadi sumber air dan juga laluan penting. Sehingga hari ini Furat masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.

Kumpulan bantuan dan jurutera dilaporkan telah memberi amaran mengenai ancaman bencana kemanusiaan di timur laut Syria setelah Sungai Furat (Euphrates) dilihat semakin kering.

Menurut Florida News Times, keadaan yang berlaku di sungai terpanjang Syria itu memberi kesan yang buruk terhadap sumber pendapatan penduduk di mana air dari sungai itu tidak lagi mengalir ke kebun-kebun mereka.

Seorang petani yang berusia 50 tahun, Khaled al-Khamees mengatakan bahawa dia merasakan seolah-olah berada di padang pasar.

“Kami berfikir untuk meninggalkan kawasan ini kerana tiada lagi air yang tersisa untuk diminum atau mengairi tanaman,” katanya.

Penurunan paras air di empangan hidroelektrik sejak Januari juga ‘mengancam’ pemotongan bekalan air dan elektrik yang membabitkan sehingga lima juta orang. Ditambah dengan pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi, ia amat membimbangkan.

Khaled yang juga merupakan bapa kepada 12 orang anak mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat sungai begitu jauh dari kampungnya sejak beberapa dekad yang lalu.

“Golongan wanita perlu berjalan sejauh tujuh kilometer hanya untuk mendapatkan sebaldi air untuk diminum oleh anak-anak mereka,” katanya.

Sungai Furat ‘terhampar’ sejauh hampir 2,800 kilometer melintasi Turki, Syria dan Iraq.

Ketika musim hujan, air yang mengalir memasuki Syria utara melalui sempadan Turki dan negara yang dilanda perang menuju ke Iraq.

Ia mengalir melalui tiga empangan hidroelektrik yang memberi tenaga dan air minuman kepada berjuta-juta orang.

Tetapi sejak lapan bulan lalu, sungai tersebut menyusut dan meningkatkan risiko turbin empangan terhenti.

Di Empangan Tishrin pula, berlaku juga penurunan paras air yang membimbangkan yang tidak dapat dilihat sejak empangan itu disiapkan pada tahun 1999.

Gambar yang dikongsikan oleh Agensi Angkasa Eropah telah memaparkan dua gambar satelit yang dirakam pada 5 Mei 2020 dan 7 Mei 2021 yang memperlihatkan penurunan paras air di empangan Tishrin, Syria.

Firman Allah di dalam Surah Al-Hasyr ayat 18: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amal) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

Maka bentuk amalan yang perlu disediakan dalam menghadapi hari yang sangat dasyat ialah:

1. Pertingkatkan amal ibadah

Sentiasa mempertingkatkan amal ibadah dan sentiasa memperbaikinya. Ini kerana persediaan yang perlu kita hadapi pada waktu itu bukan wang ringgit tetapi keimanan kepada Allah.

Sabda Baginda Rasulullah: Orang yang cerdik (yang berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah (imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya). – [HR Tirmizi, 2459].

2. Bertaubat kepada Allah sebelum terlambat

Bersegera bertaubat kepada Allah sebelum terlambat. Taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa, atau memberi maksud kembali daripada dosa.

Sabda Baginda Rasulullah: Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya. – [HR Bukhari 4269].

Tanda-tanda kecil hari kiamat sudah terlalu banyak di hadapan kita tetapi disebabkan keselesaan yang kita ada pada hari ini menyebabkan kita buta bahawa kehidupan yang hakiki ialah kehidupan selepas kematian.

Oleh yang demikian, sebelum tibanya hari yang dijanjikan Allah kepada kita maka kembalilah kepada Allah agar kita tidak akan menyesal di sana nanti kerana walaupun air mata darah mengalir kita tidak akan lagi dikembalikan ke atas muka bumi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *