Ziyad tetap juara di hati semua orang ini kata Duta Ukraine.

berita Dunia OH TRENDING sukan Viral

KUALA LUMPUR – Duta besar Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo percaya jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tetap juara di hati setiap orang.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau mengucapkan tahniah kepada atlet berusia 31 tahun itu.

Beliau juga kagum atas prestasi luar biasa yang ditunjukkan Muhammad Ziyad sehingga berjaya memecahkan rekod dunia bagi kategor F20 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Ziyad akan kekal sebagai juara sejati di hati setiap orang, bahkan bukan hanya pada rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan Ziyad meraih emas dan memecahkan rekod dunia, kelmarin dibatalkan susulan protes yang dilakukan kem Ukraine.

Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.Ketiga tiga atlet terbabit mendapat status ‘DNS’ (tidak bermula) sekali gus menyebabkan mereka dianggap tidak layak beraksi sekalipun Ziyad sebelum itu memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.Keputusan rasmi menyaksikan emas menjadi milik atlet Ukraine, Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi yang mencatat balingan 17.30.

Gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis yang melakukan catatan 15.93m.

Mengulas mengenai insiden yang timbul itu, Nechytaylo berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera dan telus.Dalam pada itu, serangan warganet susulan insiden yang berlaku itu menyebabkan pejabat kedutaan Ukraine di sini menutup sementara laman Facebook rasminya.

Sumber: MalaysiaGazette

Atlet Ukraine mohon simpati rakyat Malaysia.

PETALING JAYA – Atlet paralimpik Ukraine, Maksym Koval yang menerima pingat emas selepas bantahan kemenangan atlet negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru terpaksa membuka akaun Instagram baharu selepas akaun pertamanya digodam.

“Akaun pertama saya telah digodam rakyat Malaysia selepas mereka menyerang saya dengan menghantar banyak komen spam pada hantaran-hantaran saya,” ujarnya melalui Instagram Story.

Namun, laman Instagram baharu tersebut turut tidak terlepas menerima serangan bertubi-tubi daripada netizen Malaysia yang bertindak menulis pelbagai komen berbentuk kritikan selain ada yang tergamak menyamakan atlet itu dengan haiwan.

Tidak tahan dengan keadaan itu, Koval kemudiannya memuat naik permohonan maaf beserta emoji dua telapak tangan dirapatkan dipercayai sebagai tanda merayu agar pertikaian itu tidak dipanjangkan.

Bagaimanapun, rata-rata rakyat Malaysia menyifatkan tindakan ‘tentera bawang’ berkenaan sebagai melampui batas dan dianggap tidak matang selain mencemarkan nama baik negara.

“Tidak sokong kecam media sosial atlet paralimpik Ukraine. Apatah lagi bahasa yang ‘cantik’ digunakan. Bukan semua perkara hendak dikritik sampai koyak. Berpada-padalah. Bahasa jiwa bangsa,” ujar Nur Hasliza Hamar.

“Kepada yang melampau sehingga menghina Orang Kurang Upaya (OKU) memang tidak boleh dimaafkan dan memalukan negara,” komen Rows Uwie.

“Netizen kecam berlebihan. Boleh sampai melampaui batas. Dia juga manusia. Sepatutnya bantahan kita sudah matang, bukan macam kebudakan. Pepatah Melayu sebut masa ibarat emas. Pepatah Arab pula kata masa itu ibarat pedang,” ulas Abuya Ashaari.

“Fikir akhirat sama. Jangan bangga sangat mengecam orang. Takut esok, kalau tidak kita, anak-anak kita yang jadi mangsa kritikkan orang pula. Jom sama-sama muhasabah diri,” kata Aziz Baru. –

Sumber: K! ONLINE

Bersabarlah Ziyad – Azizulhasni

PETALING JAYA – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berharap agar atlet paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli bersabar dengan dugaan dihadapinya.

Menurut Azizulhasni, beliau sendiri pernah dengan keadaan tersebut apabila pingat emasnya ditarik semula di Sukan Komanwel New Delhi pada 2010.

“Ini realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ianya adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.

“Jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ia memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan,” katanya di Facebook hari ini.

Azizulhasni turut menasihati Muhammad Ziyad dengan berkata bahawa atlet tersebut perlu menerima qada’ dan qadar, jangan berputus asa dan terus mahu ke hadapan.

“Sudah tentu saya pun berharap agar bantahan dari pihak Malaysia akan diterima dan Ziyad dapat pingat emas yang memang kepunyaan Ziyad itu.

“Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar disebaliknya. Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah dirampas secara terang-terangan,” katanya. –

Sumber: K! ONLINE

Gara-Gara Kemenangan Dibatalkan Nama Ziyad Kini Trending, Sudah Muncul Hashtag #UkraineKoyak.

Gara-gara kemenangannya dibatalkan dalam acara lontar peluru Sukan Paralimpik Tokyo 2020, nama Ziyad kini jadi trending di laman Twitter setelah ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pada mulanya, Ziyad dinobatkan sebagai pemenang pingat emas, malah turut berjaya memecahkan rekod dunia dalam acara berkenaan.

Namun begitu, kemenangan tersebut dibatalkan setelah atlet Ukraine membuat protes dengan mendakwa Ziyad antara atlet yang lambat masuk dalam call room sebelum acara bermula.

Sehubungan itu, kemenangan atlet Malaysia tersebut telah ditarik balik dan pingat emas telah diberikan kepada atlet Ukraine yang sebelum itu memenangi pingat perak.Bagaimanapun, sekretariat Malaysia difahamkan sedang membuat bantahan berhubung perkara berkenaan.

Selain nama Ziyad yang menjadi trending, kini sudah muncul juga hashtag #UkraineKoyak untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. –

Sumber: KopiPlanet.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *