Sedih juga gambar ini pun ada yang pertikai. Ustazah Asma Harun kesal ada warganet mengkritik ibadah solat atas batu.

Amalan Info OH AGAMA

Sejak semalam, beberapa gambar menunjukkan sekumpulan anggota dari Jabatan Amal Malaysia solat diatas batu telah tular di media sosial.

Ada yang memuji tindakan mereka yang tetap menunaikan solat walaupun dalam keadaan kurang selesa iaitu di dalam hutan dan di kawasan air mengalir.Namun begitu, tak kurang juga yang memerli, mempertikaikan dan menuduh dengan pelbagai tohmahan bersifat dengki dengan apa yang pihak anggota tersebut lakukan.

Sedih juga gambar ini pun ada yang pertikai, kata nak menunjuk amalan, solat di tempat tak sesuai.Ada yang sudah respons dan maklumkan bahawa mereka memang sedang memasang paip di kawasan tersebut, jadi mereka ambil peluang selesaikan solat di mana mereka berada. Islam itu mudah kan.

Oleh hal yang demikian, seorang pendakwah terkenal iaitu Ustazah Asma’ Harun telah bersuara di media sosialnya dengan menzahirkan rasa sedih diatas cercaan yang diterima oleh NGO Sahabat Amal Care tersebut.

Ustazah Asma Harun telah pun memuatnaik status dan ini caption beliau- Satu keping gambar tafsiran pelbagai. Cara mata melihat dan hati berbisik, lalu kata-kata atau tulisan terbit dengan pelbagai nada. Pertama kali saya lihat gambar tersebut, saya rasa sebak dan apa yang terlintas dihati .

Mereka usaha solat berjemaah (mungkin awal waktu) dalam suasana kiri kanan hutan tebal memang tiada kawasan lapang, tiada tanah kosong melainkan pokok besar dan lalang hutan yang tinggi, mereka sedang menaiki bukit, bukan kawasan peranginan main air sungai dan air terjun.Apa yang mereka lakukan agak berbahaya, merisikokan nyawa, sudah tentu kewajipan solat akan disegerakan agar lebih tenang dan bersedia.

Saya percaya mereka bukan niat nak menunjuk, riyak atau mencari publisiti. Mereka hanya ingin menunaikan kewajipan solat dalam apa jua keadaan.*Kalau saya la, lagi takut solat dalam lalang tu, terbayang binatang berbisa dan lain-lain. Saya juga ada pengalaman solat atas batu, waktu camping dan program dalam hutan. InsyaAllah mereka dah memilih batu yang tak licin dan stabil. Mereka juga mungkin tiada masa nak tebas hutan bagi lapang untuk solat dll. Alhamdulillah mereka semua selamat sahaja.

Tuan Puan, solatnya jelas sah, cukup syarat wajib solat, syarat sah solat dan rukun solat. Allahu Akbar, sabda Nabi SAW:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.HR al-Bukhari: (438)Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلّا المَقْبَرَةَ وَالحَمَّامَ

Maksudnya: Setiap jengkal di bumi ini merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali di atas kuburan dan tandas.HR al-Tirmidzi (236), Ibn Majah (737) dan Abu Daud (415).

Saya rasa terkilan apabila ada pihak atau individu yang sinis dengan situasi solat atas batu ni hingga dituduh menunggang agama dan pelbagai sindiran tajam. Kenapa terus menerus menunggang politik, hingga dalam kerja kebajikan pun masih tidak boleh jadi asbab penyatuan ummah.

Saya sendiri dan kami NGO Sahabat Amal Care memang terlibat secara langsung dengan misi ini. SAC menyalurkan infaq orang ramai kepada projek waqaf paip ini. Kami menyaksikan perjalanan sukar mereka memakan masa yang berjam-jam berjalan kaki untuk sampai ke kawasan tepat di atas bukit.

MENGAPA MEREKA PERLU MEMBAHAYAKAN DIRI UNTUK MELAKUKAN KERJA-KERJA PEMASANGAN PAIP TERSEBUT?

Berikutan tragedi kepala air yang berlaku dalam musibah banjir, beberapa perkampungan di sekitar kaki Gunung Jerai, telah terputus bekalan air berikutan paip utama pecah, jangka waktu baik pulih memang memakan masa, sedangkan mereka perlu mendapatkan bekalan air bukan hanya untuk keperluan harian, tapi untuk membersihkan lumpur tebal, jika tidak segera maka akan mengeras dan proses membersih berkali ganda sukar.

Keseluruhan sistem perpaipan bermula daripada takungan sehinggalah ke saluran paip telah rosak dan hanyut dibawa arus banjir. Dengan pantas dan cekap, para petugas disusun untuk membawa naik dan menarik paip PVC yang bersaiz 2 hingga 3 inci dan panjangnya 100 meter setiap satu gulungan ke sumber air bersih di puncak bukit.

Peringkat awal masih boleh melalui darat, satu masa mereka perlu melalui dan berada di dalam sungai. Bukan hanya pasang satu saluran paip atau untuk satu kampung, tapi untuk banyak kawasan.Lebih mencabar lagi apabila cuaca di sini hujan lebat, jalan untuk menaiki bukit menjadi licin dan lecak. Ditambah dengan pokok-pokok dan batu-batu yang besar, perjalanan menjadi lebih sukar.Mereka buat semua ini percuma, lillahita’ala, tanpa bayaran tanpa upah apa-apa.

Siapa kenal mereka dengan nama apapun akan tahu siapakah tentera kebajikan ini. Unit Amal, Jabatan Amal atau Khidmat Malaysia. Saya sendiri membesar dengan melihat bagaimana mereka memberi khidmat dengan hati dan iman. Sayap wanita mereka antaranya Ameerah, Briged Muslimat, Aalimat dan lain-lain.

Kerja kebajikan dalam misi ini bukan hanya dilakukan oleh umat Islam, kami juga jumpa NGO dan sukarelawan non-muslim yang turun padang, kita boleh tolak tepi perbezaan agama dan bangsa, kenapa sesama umat Islam perlu begini.

Bila berlaku misi, kami sendiri suka bekerjasama dan mengutamakan pemimpin tempatan, kerana mereka terlebih dahulu yang sampai ke lokasi kejadian dan memulakan bantuan. Begitu juga dengan NGO lain, saling bekerjasama dan melengkapi. Ini bukan medan siapa lebih bagus, lebih cepat atau lebih banyak memberi. Nauzubillah, bimbang pahala yang dicari bertukar dosa dan saling membenci, ia sangatlah rugi.

Iya, saya terasa dengan isu ini. Mungkin kerana selama 4 hari kami disini kami melihat bagaimana mereka bekerja dan beramal. Solat jemaah jika dapat awal waktu memang menjadi keutamaan mereka. Kami turun ke Kedah hari ke 3 selepas musibah banjir, dan sungguh kami kagum dengan para pemimpin tempatan, YB yang kami jumpa iaitu YB Ustaz Azam, YB Ustaz Sabri dan YB Ustaz Hanif, turun padang macam rakyat biasa tiada beza, tiada layanan istimewa. Mereka adalah YB kawasan banjir.Sesampainya kami ke tempat kejadian, banyak bahagian dalam rumah yang sudah pulih, kami hanya perlu membantu mana-mana bahagian yang mereka tak mampu.

Atas faktor keletihan dan kekurangan tenaga, terlalu banyak rumah, dan operasi banjir selut sangat jauh beza dengan banjir air sahaja. Kami kagum dengan gerak kerja jentera mereka, daripada kalangan muslimin dan muslimat, daripada yang memasak, menyediakan dan menghantar makanan serta minuman untuk mangsa banjir setiap hari. Bahkan petugas yang membersih dan menyampaikan bantuan terdiri daripada kalangan anak muda hingga warga emas, malahan yang sudah mencecah usia 80 tahun ke atas pun ada.

Ada hikmah atas semua yang berlaku, mungkin dengan ini masyarakat lebih kenal siapa mereka.TUAN PUAN,SIAPA JABATAN AMAL MALAYSIA ?Jabatan Amal Malaysia sebelum ini pernah dikenali sebagai ‘Unit Amal’ dan telah ditubuhkan sejak 1991. Di awal penubuhan jabatan ini, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi, antaranya kekangan kewangan, tiada bantuan dan sokongan, tenaga kerja yang kurang dan bersilih ganti. Namun, jabatan ini tetap terus melangkah dan semakin kukuh tahun demi tahun.

Anggotanya tetap berintegriti dalam memberi dan membantu walau apa jua situasi. Bahkan mereka sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan apabila rakyat Malaysia dan negara jiran memerlukan.Saya kongsikan beberapa fungsi bahagian di bawah Jabatan Amal Malaysia:

1) BAHAGIAN OPERASI

Terdiri daripada Kor Medik dan Penyelamat yang berfungsi sebagai penyelamat dan perubatan.

2) BAHAGIAN LATIHAN

Merancang latihan, pelaksanaan latihan, kejurulatihan dan penyelarasan pangkat.

3) BAHAGIAN KEBAJIKAN

Merancang dan melaksanakan kerja-kerja dakwah, tarbiah dan kebajikan dengan bertujuan menyampaikan risalah dakwah menerusi kerja kebajikan. Di bawahnya terdapat Kor Tarbiah dan Dakwah serta Kor Kebajikan.

4) BAHAGIAN PELAPIS

Bertanggungjawab bagi membentuk generasi muda yang beriman, beramal Islami dan bertakwa, dengan menguruskan Kadet Amal dan Briged Amal.

5) BAHAGIAN STAF

Sebagai sekretariat urus tadbir oleh Ketua Pegawai Tadbir dan Ketua Pegawai Kewangan.

MEREKA BUKAN SAHAJA TERLIBAT DALAM MISI BANJIR INI, BAHKAN PELBAGAI MISI KEBAJIKAN LAIN YANG TURUT DIJAYAKAN, ANTARANYA:

1. Operasi pembersihan premis awam dan rumah penduduk akibat banjir di seluruh Malaysia.2. Mengurus jenazah COVID-19.3. Menyampaikan bantuan kemanusiaan di seluruh Malaysia dan luar negara.4. Menyampaikan bantuan semasa bencana Tsunami di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Aceh, Indonesia.5. Menganjurkan program derma darah seperti program Amal Mega Blood Donation 2021 yang berjaya mengumpul sebanyak 5,135 penderma darah.Dan pelbagai lagi yang tidak tertulis.

SubhanAllah, AllahuAkbar, jiwa mereka hidup dengan mewaqafkan diri dan tenaga untuk kebaikan ummah. Melakukan tugas tidak mengira waktu walau tanpa bayaran dan kadang kala tiada liputan media. Namun masing-masing tetap istiqomah memberikan yang terbaik. Benar, mereka juga antara hero yang jarang didendang.Dalam menghulurkan bantuan dan misi kemanusiaan, tugas kita ialah untuk saling bekerjasama, bahu-membahu dan saling berganding kekuatan antara satu sama lain. 🤝

Alhamdulillah, dengan adanya waqaf paip ini, bekalan air bersih dapat dinikmati oleh penduduk setempat khususnya di kawasan kampung sekitar kaki Gunung Jerai. Tanpa sumbangan Tuan Puan sekalian, waqaf ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga setiap air yang mengalir itu memberi manfaat dan pahala yang tidak putus juga buat semua penyumbang. 🤲🏻SEMOGA ALLAH MENYATUKAN KITA SEMUA DALAM JALAN KEBAIKAN.

Menerusi perkongsian panjang lebar Ustazah Asma’, beliau memaklumkan yang sudah lama terlibat dengan NGO berkenaan.

Menurutnya, SAC menyalurkan infaq orang ramai kepada projek waqaf paip ini. Sememangnya perjalanan tersebut sangat sukar dan memakan masa yang berjam-jam berjalan kaki untuk sampai ke kawasan tepat di atas bukit.

Terdahulu, gambar-gambar sekumpulan anggota Jabatan Amal Malaysia solat diatas air tular dan mendapat pelbagai kritikkan daripada warganet. Ada yang mendakwa mereka mengejar populariti, riyak dan ada juga yang tergamak melabel mereka sebagai penunggang agama.

Sumber: Facebook Ustazah Asma’ Harun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *