Roller coaster terlaju dunia ditutup selepas pengunjung retak tulang.

berita Dunia Hiburan Kehidupan tips

SEBUT tentang roller coaster, ada yang kecut perut dan ada yang teruja serta tidak sabar mencubanya. Ada yang sanggup terbang beribu kilometer untuk mencubanya.

Tokyo roller coaster paling laju di dunia di Taman Tema Fuji-Q, Jepun, terpaksa ditutup selepas enam pengunjung yang menaiki permainan mencabar itu mengalami luka retak tulang.

Lapor The Sun, empat daripada individu yang luka itu mendakwa mengalami patah tulang belakang.

Roller coaster Do-Dodonpa yang dibina pada 2001, merupakan tunggangan paling laju di Jepun kerana bergerak pada kelajuan 180.24 kilometer per jam (km/j) dalam masa 1.56 saat.

Permainan roller coaster itu digantung sementara sehingga dimaklumkan kelak berikutan kes luka yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, 17 Ogos lalu.

Menurut pengurusan taman tema, pihaknya baharu sahaja menerima laporan luka retak tulang meskipun roller coaster itu sudah beroperasi hampir dua dekad lalu.

Pada 2017, permainan itu diubah suai bagi menjadikannya lebih laju iaitu dari 170 km/j hingga 180.24 km/j namun tiada laporan luka serius diterima, setakat Disember lalu.

Pihak pengurusan taman tema itu memaklumkan tiada masalah teknikal dikesan selepas siasatan dijalankan.

Syarikat pembinaan permainan roller coaster itu, Sansei Technologies memohon maaf kepada pengunjung yang itu kerana tidak mengetahui punca sebenar kemalangan itu berlaku. – AGENSI

10 Rollercoaster Paling Menakutkan di Dunia. Berani cuba ke?

Setiap kali berkunjung ke taman tema, pasti anda akan mencuba roller coaster kerana ia merupakan ‘highlight’ permainan yang berada di sesuatu taman tema itu. Bercakap tentang roller coaster, pasti anda sudah terbayang kelajuan dan kesuraman serta jeritan.

Adakah anda tahu roller coaster paling menakutkan di dunia ada di mana? Ini adalah top 10 roller coaster yang menakutkan dan anda perlu mencuba sekali jika berkesempatan:

1. “Kingda Ka” di Six Flags Great Adventure, New Jersey, Amerika Syarikat

Roller coaster ini merupakan yang tertinggi di dunia iaitu pada 456 kaki (139 meter). Tengok sajalah titik paling atas di mana kita bakal dijatuhkan tu. Tengok dari jauh pun dah seram, inikan pula kalau naik betul-betul. Lihat sahaja pemandangan apabila ia menjunam ke bawah, sungguh laju dan menggerunkan.

2. “Ultra Twister” di Nagashima Spaland, Jepun

Ultra Twister merupakan roller coaster yang akan membuat anda seram sejuk berikutan ia bergerak secara berputar dengan kadar yang laju. Bukan sahaja seram sejuk, tetapi pasti anda boleh berasa pening dan loya.Pusingan dia macam duduk dalam mesin basuh. Harap tak ada penumpang yang muntah.

3 “Sky Scream” di Holiday Park, Jerman

Bagi roller coaster ‘Sky Scream’ ini, anda pasti akan berasa pening dan berdebar kerana lekukan dan pusingan yang tidak seperti roller coaster lain. Anda akan berpusing 360 darjah dan pastinya anda tidak akan berhenti menjerit.Sky Scream mungkin bukan yang tertinggi, terpantas atau terpanjang di dunia, tapi ia mempunyai pusing-pusingan dan lengkok 360 darjah yang mengujakan!

4.”Takabisha” di Taman Tema Fuji-Q Highland, Jepun.

Merupakan ride yang paling curam di dunia dan korang bakal ‘jatuh’ pada ketinggian 121 kaki. Rasa macam nak tercabut jantung. Ada berani?

5 .”Zumanjaro Drop of Doom” di Six Flags Great Adventure, New Jersey, Amerika Syarikat.

Mungkin yang ini terkeluar sikit daripada kategori roller coaster tapi disebabkan ia berkongsi satu struktur landasan yang sama dengan Kingda Ka, maka ia harus masuk dalam senarai ni. Zumanjaro Drop of Doom adalah ala-ala kita punya Solero Shot lah kat Genting Highlands tu tapi yang ini dilepaskan pada ketinggian 400 kaki++. Tengok pun dah gayat.

Bayangkanlah macam mana rambut atau tudung korang berterbangan. Hehe! Kalau di Malaysia, permainan ini sama seperti Solero Shot yang pernah ada di Genting Highland satu masa dulu.

6 .”Diving Coaster” di Happy Valley, Shanghai, China.

Dengan dua jatuhan yang curam, ride dari negara China ini wajib masuk senarai roller coaster yang mengecutkan perut. Tambahan pula ia berkonsepkan ‘floorless’ di mana kaki penumpang dibiarkan tergantung terkapai-kapai tidak bertali. Psikologi sangat, rasa macam nak jatuh!

7 .”X-Scream” di Menara Stratosphere Las Vegas, Amerika Syarikat

Orang gila je sanggup naik ride atas menara macam ni. Landasan ride ni pendek saja, tapi ia tergantung di atas sebuah menara sambil menikmati langit biru menghadap bandar Las Vegas. Lihat saja dalam gambar di atas, rasa macam nak terjatuh ke bawah je kan?

8.”Stealth” di Thorpe Park, United Kingdom.

Yang ini bila naik akan rasa macam tengkuk nak patah sebab tiba-tiba je jatuh 90 darjah dan badan kita melawan graviti. Ngeri sangat tapi seronok!

9 .”Colossus” di Thorpe Park, United Kingdom.

Yang ini juga datang dari taman tema yang sama seperti Stealth. Tengok la dia punya lingkaran berpintal-pintal tu. Tengok je dah rasa pening dan loya.

10 .”Montu” di Busch Gardens, Florida, USA.

Ini merupakan inverted coaster yang paling menggerunkan. Bayangkan badan anda tergantung-gantung dan boleh nampak landasan di atas kepala. Nak angkat tangan tinggi-tinggi pun tak berani sebab rasa macam dekat je nak cecah kita.

Jika di Malaysia, sebelum ini kita ada roller coaster di Genting Highland tetapi disebabkan penutupan outdoor theme park untuk renovation, anda boleh juga mencuba roller coaster di Berjaya Times Square. Mungkin tidaklah menakutkan seperti yang diatas disebabkan roller coaster di Berjaya Times Square adalah indoor theme park.

Sebenarnya banyak lagi roller coaster yang menakutkan tetapi ini adalah yang bagi kami paling menakutkan. Jika anda berpeluang untuk menaiki salah satu roller coaster yang dinyatakan di atas ini, mana satu yang anda paling ingin cuba?

Sumber: iluminasi.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *