Hasrat menjadi guru harus dilupakan. Lelaki ini tidak jangka kena cuci najis. Sanggup dan yakin dengan kerjaya pilihan mak ayah .

Amalan Kehidupan

IBARAT bercinta selepas kahwin.

Begitulah kisah perjalanan jejaka ini yang jatuh cinta dengan bidang Kejururawatan selepas mengikuti pengajian di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan sejak tahun 2019.

Menurut Muhammad Elyas Mohd Nor, 20, dia tak pernah terfikir untuk terjun ke bidang yang banyak dipelopori kaum Hawa itu, malah dia sendiri ada cita-cita lain yang sudah diidam-idamkan sejak zaman sekolah lagi.

“Saya minat bidang perguruan dan minat nak jadi cikgu Sejarah atau Bahasa Melayu. Tapi saya masuk bidang ini atas permintaan ibu bapa.

“Saya yakin dengan pilihan mereka walaupun menangis pada dua minggu pertama belajar di HUSM. Rakan sebilik saya pun alami benda sama, masuk bidang ini atas permintaan keluarga.

“Tapi lama kelamaan saya jadi minat dengan bidang ini. Bila dah mula masuk wad, jumpa pesakit dan sebagainya, saya rasa makin seronok,”

Menurut Elyas, ada segelintir individu turut mempertikaikan bidang yang diceburinya yang mana ia dianggap tidak sesuai dengan kaum Adam.

Namun Elyas yang kurang setuju dengan persepsi itu, berkata dia banyak menerima mesej mengenai bidang kerjaya itu selepas kerap berkongsi video di aplikasi TikTok.

“Kerja jururawat bukan untuk perempuan saja. Kita ada pesakit lelaki dan perempuan. Ada juga kawan yang pertikai, mereka macam perli, tapi saya tahu ini pilihan terbaik mak ayah.

Mindset sesetengah orang, kalau jururawat mesti kena cuci najis.

“Kalau minat, sertai saja bidang ini. Abaikan cakap-cakap orang. Di TikTok dan Instagram pun saya terima banyak mesej orang lelaki dan perempuan.

“Mereka tanya macam mana nak masuk jadi nurse. Jadi saya cuba kongsi pengalaman sikit sebagai pelajar Kejururawatan. Ada juga yang minat, tapi keluarga pertikai,” ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian tahun kedua.


Elyas mahu lebih ramai lelaki menyertai bidang itu.

Jelas Elyas, ada juga yang geli dengan bidang itu kerana menganggap jururawat perlu bergelumang dengan najis dan darah, namun dia akui sudah lali dengan hal-hal itu.

Malah katanya, apa yang lebih penting dia mahu berbakti kepada masyarakat dan menganggap pesakit di hospital sebagai keluarga sendiri.

Elyas mahu berbakti kepada masyarakat menerusi bidang pekerjaan itu.

“Mindset sesetengah orang, kalau jururawat mesti kena cuci najis. Saya pun tak jangka kena buat semua tu, tapi lama kelamaan saya OK.

“Bidang ini tidak mudah seperti yang disangka. Tapi InsyaAllah saya memang nak kerja bidang ini, nak berbakti kepada masyarakat.

“Jika ada peluang, saya nak sambung lagi dan bergelar pensyarah,” ujar anak kelima daripada enam beradik itu.

Sumber: MSTAR

Menghampakan Hati Ibu Bapa Satu Dosa Besar. 11 Cara Berkesan Untuk Menjaga Hati Ibu Bapa.

Kita mesti mengetahui cara untuk menjaga hati ibu bapa kita dan mempraktikkannya daripada awal.

1. Sentiasa Hormat Dalam Apa Jua Emosi

Bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekali pun. Mungkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita.Tetap tenang dan tidak bijak menjaga emosi dengan baik.

2. Jangan membantah apabila ada pendapat yang berbeza.

Pendapat perlu disampaikan dengan cara yang halus dan sopan, bukan dengan keras. Beza generasi, beza usia, beza pengalaman membuatkan ruang perbezaan semakin luas.Jangan bersikap kasar dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan. Tetaplah menjaga etika dengan mereka.

3. Jangan Meninggikan Suara

Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, jangan berteriak, membentak, bersuara dan bernada keras dalam berbicara dengan ibu bapa.

Ya, memang sangat susah mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cubalah lakukan dengan baik. Insyaallah, semuanya dapat diatasi dengan baik.

4. Menjaga Hati Ibu Bapa Dengan Selalu Meminta Izin

Meminta izin dan mencium tangan ibu bapa sebelum pergi atau selepas pulang. Kita menerapkan hal ini berdasarkan apa yang ibu bapa kita ajarkan sewaktu kita masih kecil dahulu.Kita pasti dapat merasakan kesan positif hasil tabiat ini.

5. Jangan Pernah Memarahi

Jangan sesekali memarahi ibu bapa walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Teguran mesti disampaikan secara sopan. Mengapa perkara ini disampaikan berulang kali?Kerana ia sangat penting untuk kita jaga. Jangan sesekali membentak mereka meskipun mereka di pihak yang salah.

6. Jangan Berleter Kepada Ibu Bapa

Jangan mengajari, menasihati atau memberi ceramah kepada ibu bapa. Apabila mahu memberi pandangan atau ibu bapa meminta pendapat kita, perlulah memberikan dengan sopan dan berhikmah.

Mungkin banyak perbezaan pandangan, pendapat, pengetahuan dalam banyak perkara yang tidak mungkin pernah sama. Tetapi mereka berhak bagi mendapatkana cinta dan sayang dari kita.

7. Jangan Menyampuk Perbicaraan

Jangan sekali-kali menyampuk perbicaraan ibu bapa. Ini etika asas yang mesti difahami secara betul. Jika etika ini kita terus lakukan hingga dewasa, ini akan menjadi nilai yang baik.

Kita tahu bila sepatutnya bercakap dan bila kita perlu memerhatikan dengan baik. Kebolehan mendengar dan memerhati dengan baik jarang dimiliki oleh kebanyakkan orang. Sebahagian besar hanya pandai dalam hal percakapan, tetapi cukup runsing apabila perlu mendengar dengan baik percakapan orang lain.

8. Menjaga Hati Ibu Bapa dengan mendahulukan mereka

Tatacara lain adalah sikap sehari-hari iaitu mengutamakan atau mendahulukan ibu bapa dalam segala aktiviti seperti memberikan tempat duduk, memulakan makan minum dan sebagainya.

Akhlak ini jarang kita dapati pada jiwa anak muda hari ini.

9. Jangan Sesekali menyentuh kepala Ibu Bapa

Jangan sesekali menyentuh kepala ibu bapa apabila sedang berhadapan atau berkomunikasi kecuali untuk tindakan tertentu seperti memotong rambut.

10. Menjaga Hati Ibu Bapa Bila Berhadapan dengan mereka

Apabila berhadapan dan berbicara dengan ibu bapa mesti bersikap sopan, tidak bercekak pinggang, tidak melutut, tidak bersuara keras dan membentak.

11. Membantu Tanpa Diminta

Apabila melihat ibu bapa dalam kesusahan seperti mengangkat beban berat dan mengerjakan pekerjaan berat lain, tanpa diminta kita sepatutnya segera membantu.

sumber: Aku Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *