Elak berlakunya pembaziran siswazah UITM hasilkan kerepek peria yang unik.

Amalan Kehidupan Oh Masak Pengetahuan tips

Setiap tahun, negara kerugian lebih RM1 bilion akibat kehilangan dan pembaziran makanan.Kira-kira satu pertiga hasil padi hilang sebelum ia sampai kepada pengguna, manakala hampir separuh sayur-sayuran dan buah-buahan dibuang begitu sahaja.

Menurut perangkaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), negara kehilangan 28.5 peratus padi bernilai RM918 juta sebelum ia sampai kepada pengguna.Ini termasuk kehilangan padi daripada peringkat penuaian, pengangkutan sehinggalah ke kilang.

Kreatif dan kritis. Itulah yang boleh digambarkan mengenai kelebihan seorang siswazah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang mengambil inisiatif menghasilkan kerepek peria pelbagai perisa untuk mengelakkan berlaku lambakan sayuran itu.

Aina Fatini Md Rizan, 24, berkata idea untuk menghasilkan kerepek peria berkenaan timbul apabila tanaman peria yang diusahakan oleh suaminya, Mohamad Zulfazli Mohamad Arifin, 28, sejak 4 tahun lepas terjejas akibat sekatan pergerakan dan sukar untuk dipasarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pada kebiasaannya tanaman peria yang diusahakan suaminya di tanah seluas 0.3 hektar di Kampung Kubang Palas, Banggu, dekat sini itu mampu memberi hasil sekitar 150 kilogram (kg) setelah selesai dituai dalam tempoh dua hari sebelum dipasarkan sekitar Kelantan termasuk ke Pasar Selayang, Selangor.“Bagaimanapun, pasaran peria ini mula terjejas disebabkan pelaksanaan ‘lockdown’ yang membataskan penghantaran tanaman ini ke luar Kelantan. Namun, ia tidak menjadi penghalang bagi saya dan suami untuk terus membiarkan sahaja hasil tanaman peria kami membusuk.

“Bermula awal bulan ini, saya mengambil inisiatif untuk menghasilkan kerepek peria bagi mengelak berlaku lambakan sekali gus mengundang pembaziran,”.

Katanya, sayur peria agak mudah rosak kerana hanya mampu bertahan sekitar tiga atau empat hari menyebabkan beliau perlu mengutip sekitar lebih 30 kg peria setiap hari khusus untuk tujuan menghasilkan kerepek.”Kebiasaanya saya akan memulakan kerja proses kerepek peria ini seawal 7 pagi dan berakhir sekitar 7 petang memandangkan ia mempunyai beberapa peringkat pemeprosesan termasuk perlu dibasuh dengan air garam untuk menghilangkan rasa pahit.

“Setiap hari saya mampu menghasilkan lebih 50 botol kerepek peria seberat 170 gram setiap satu yang ditawarkan dalam empat pilihan perisa iaitu asli, pedas, telur masin dan keju.

“Kerepek peria ini dijual secara dalam talian termasuk melalui platform Instagram, Facebook dan Shopee pada harga serendah RM15 hingga RM18 sebotol dan saya mampu meraih lebih RM800 sehari,” katanya yang kini mempunyai seramai 15 agen di Kelantan dan Pulau Pinang.

Bercerita lanjut mengenai pemprosesan kerepek peria, Aina Fatini yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Maklumat itu mengakui pada awalnya ia tidak mudah dilakukan tanpa sebarang ilmu.

Katanya, beliau banyak berpandukan konsep ‘try and error’ selain mencari video-video rujukan di Youtube serta resipi untuk menghasilkan kerepek peria di Google.

“Pada awalnya saya hanya membuat mengikut gerak hati dan cara sendiri, namun hasilnya tidak begitu memuaskan selain kerepek cepat lemau dan berbau tengik.

“Untuk menambah baik kerepek peria yang dihasilkan, saya menyertai kursus secara dalam talian pada bulan lalu selama dua hari, dan syukurlah dengan ilmu yang diperoleh kerepek yang dihasilkan memuaskan hati,” katanya.

Aina Fatini berkata, bagi mencuba nasib pada awalnya beliau hanya memberi secara percuma kerepek peria yang dihasilkan kepada rakan-rakan serta keluarga yang terdekat untuk mendengar pandangan dan komen mereka.

“Rata-rata komen dan pandangan daripada rakan-rakan terdekat serta keluarga sangat positif selain ada yang terus berminat untuk membelinya dalam kuantiti yang banyak sekali gus membuatkan saya berani untuk menceburi perniagaan kerepek peria ini secara serius,” katanya yang dibantu oleh empat pekerja.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, bagi memastikan kerepek yang dihasilkan berkualiti, beliau hanya akan memilih peria yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu masak untuk memudahkan penghasilan kerepek.

Melihat kepada sambutan yang mengalakkan terhadap kerepek bayam itu, beliau turut merancang menghasilkan pelbagai kerepek sayuran lain termasuk petola ular, terung dan bayam Brazil, dalam tempoh terdekat.

SUMBER: BERNAMA

Elak Pembaziran Dengan 5 Tip Ini.

Tahukah anda, masalah pembaziran makanan adalah lebih besar daripada yang disangka oleh orang ramai.Hampir satu pertiga daripada semua makanan yang dihasilkan di dunia dibuang atau dibazirkan dengan pelbagai alasan.Membuang makanan yang masih boleh dimakan bukan hanya membazir wang.

Malahan juga, makanan yang dibuang akan dihantar ke tempat pembuangan sampah, di mana ia akan membusuk dan menghasilkan gas metana, paling kuat daripada kelompok gas rumah hijau.Dengan kata lain, pembaziran makanan anda akan menyumbang kepada perubahan iklim.

Justeru, apa yang boleh anda lakukan sebagai pengguna untuk mengurangkan kesan pembaziran makanan ini?

Usaha-usaha untuk mengurangkan pembaziran makanan:

1.Beli dengan bijak

Kebanyakan orang cenderung membeli lebih banyak makanan daripada yang mereka perlukan.

Walaupun membeli barangan runcit dalam jumlah besar mungkin lebih mudah, namun penyelidikan menunjukkan kaedah membeli-belah sebegini menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan.Untuk mengelakkan membeli lebih banyak makanan daripada yang diperlukan, keraplah berkunjung ke kedai runcit setiap beberapa hari. Elakkan juga daripada melakukan pembelian pukal seminggu atau sebulan sekali.Selain itu, pastikan anda menghabiskan kesemua barangan terutamanya bahan mentah terlebih dahulu sebelum melakukan pembelian yang seterusnya.

Di samping itu juga, buat senarai barangan yang perlu dibeli dan ikuti senarai tersebut. Ini akan membantu anda mengurangkan nafsu membeli dan juga mengurangkan pembaziran makanan.

2. Simpan makanan dengan betul

Penyimpanan barangan basah yang tidak betul akan menyebabkan masalah pembaziran makanan.Ramai orang tidak pasti cara menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran yang betul, menyebabkannya mudah rosak dan busuk.

Contohnya, kentang, tomato, bawang putih, timun dan bawang tidak boleh disejukkan. Bahan-bahan ini harus disimpan pada suhu bilik.Mengasingkan makanan yang menghasilkan lebih banyak gas etilena daripada yang bukan merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kerosakan makanan.

Gas ini akan mendorong makanan lebih cepat matang dan boleh menyebabkan kerosakan.Makanan yang menghasilkan gas etilena termasuk: Pisang,Avocado,Tomato,Buah pir,Bawang hijau
Tip untuk menyimpannya, jauhkan makanan ini daripada produk sensitif terhadap gas etilena seperti kentang, epal, sayur-sayuran berdaun, beri dan lada untuk mengelakkan kerosakan awal.

3. Belajar kaedah simpan makanan tahan lama

Walaupun anda mungkin anggap proses penapaian dan pengawetan adalah kaedah baharu, namun teknik pengawetan makanan ini telahpun digunakan selama ribuan tahun.Pickling, sejenis kaedah pengawetan menggunakan air garam atau cuka, telah digunakan sejak tahun 2400 SM.

Pengawetan, pengeringan, penapaian, pembekuan dan banyak lagi adalah kaedah yang boleh anda gunakan untuk menjadikan makanan tahan lebih lama.

4. Kisar makanan anda

Menggabungkan makanan tertentu untuk menghasilkan smoothie yang mengandungi nutrien boleh menjadi kaedah yang baik untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan.Sebagai contoh, jika anda seseorang yang tidak menggemari kulit buah epal, menambahkannya ke dalam smoothie adalah cara terbaik untuk memperoleh faedahnya.Di samping itu, anda juga boleh memasukkan mana-mana lebihan sayuran ke dalamnya dan menambahkan kandungan zat serta nutrisi minuman tersebut.

Dengan cara ini, anda akan dapat guna pakai kesemua bahan-bahan lebihan di dapur anda dan menjadikannya sesuatu yang bermanfaat buat kesihatan selain mengurangkan potensi masalah pembaziran.

Boleh juga jadikan sebagai pengkomposan .Bahagian-bahagian makanan yang tidak dikehendaki seperti batang sayur, kulit buah, hampas serbuk kopi serta teh dan baki makanan yang sudah dimasak boleh ditukar menjadi baja kompos.  Baja kompos daripada bahan-bahan terbuang ini amat kaya dengan nutrien untuk tumbuh-tumbuhan

5.Fahami tarikh luput

‘Baik sebelum’ atau ‘dijual sebelum’ adalah 2 istilah yang mengelirukan pada label makanan. Ia dibuat untuk memaklumkan pengguna tempoh masa sesuatu makanan untuk menjadi buruk.Sebenarnya, makanan yang tidak memerlukan penyejukan untuk tahan lama seperti bijirin, makanan kering dan makanan dalam tin masih boleh dimakan walaupun tarikhnya telah tamat.

Tetapi bagi makanan berasaskan daging, tenusu dan telur, ia sudah tidak selamat.Cara terbaik untuk mengenal pasti sekiranya sesuatu produk makanan itu masih selamat atau tidak adalah dengan menggunakan deria bau dan rasa anda.Pada kebiasaannya, makanan yang telah tamat tempoh akan mengandungi kulat, bakteria dan yis, yang menyebabkannya memberikan isyarat amaran kepada deria bau dan rasa anda.

Makanan yang telah rosak akan mempunyai tekstur, warna, bau dan rasa yang berbeza.Berikut merupakan antara anggaran cadangan tempoh untuk sesuatu makanan selamat dimakan walaupun tarikh yang dinyatakan telah tamat:

Makanan dalam tin: Kebanyakan makanan dalam tin boleh bertahan antara 1 hingga 4 tahun. Sekiranya anda menyimpannya di dalam tempat yang sejuk dan gelap, tempoh luputnya boleh bertambah antara 3 hingga 6 tahun lagi.


Makanan sejuk beku: Tempohnya lebih kurang sama sebagaimana makanan dalam tin kecuali daging.
Telur: Letakkan telur di dalam air. Sekiranya ia terapung, ini bermakna jumlah bakteria adalah tinggi dan tidak selamat dimakan. Bakteria telah menghasilkan gas di dalam telur yang menyebabkan telur tersebut terapung.


Pasta atau mi kering: Makanan kering seperti ini amat sukar untuk rosak kerana tidak terdapat kandungan air. Anda boleh menggunakannya selagi mana ia tidak mempunyai bau yang pelik.
Roti: Anda boleh menyimpannya lebih lama daripada tarikh yang tertera sekiranya disimpan dalam peti sejuk. Selagi mana kulat tidak kelihatan tumbuh, ia masih selamat dimakan.

SUMBER: HELLODOKTOR.

Kesimpulannya pembaziran makanan dapat dielakkan dengan memberi didikan kepada masyarakat Malaysia supaya bijak memilih makanan serta mengawal kuantitinya. Didikan ini perlu dilakukan sejak kecil lagi, bermula dari rumah. Pengetahuan serta amalan pemakanan sihat dan seimbang juga boleh membantu mengurangkan masalah pembaziran makanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *