Gadis yang bakal mempunyai segulung ijazah ini digelar sebagai Queen of Part Timer. Tak sangka dia pernah bekerja sambilan sehingga sebanyak ini.

Info Kehidupan Viral

Video TikTok yang dikongsikan Nurin menunjukkan dia mengenakan pakaian seragam ketika bekerja sambilan di lokasi berlainan. Tak kaya duit tak apa, asalkan kaya pengalaman. Bekerja secara sambilan ketika musim cuti semester untuk mencari seberapa banyak pengalaman bukanlah sesuatu yang baru bagi penuntut universiti. Selain ingin mencari duit poket, siswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam yang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Insurans ini berkata dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak duduk di rumah sahaja setiap kali cuti semester.

Menariknya, Nurin Alina Abdul Halim, 22, pernah bekerja sambilan di enam tempat berlainan setiap kali cuti semester bagi mendapatkan pengalaman berbeza. “Queen of part timer,” tulisnya di kapsyen Video TikTok yang tular. Pelajar yang menetap di Kota Damansara, Selangor itu berkata dia langsung tidak menyangka videonya akan tular kerana ia dihasilkan selepas mendapat insipirasi menerusi satu video menarik yang memaparkan fesyen baju yang bertukar-tukar.

Nurin (dua, kanan) bersama rakan sekerja di restoran Nandos.

Ketika sedang mengemas biliknya, dia terjumpa kesemua baju yang pernah dipakai untuk bekerja dan secara tiba-tiba timbul rasa rindu terhadap tempat kerja lama. Oleh itu, tercetuslah idea video bertukar-tukar baju seragam kerja sambilannya. Sehingga kini video tersebut mendapat 33,000 tanda suka dan 900 komen dalam kalangan pengguna aplikasi TikTok.

“Saya betul-betul tak sangka video itu boleh viral. Saya rasa banyak lagi video yang menarik dan style. Idea nak rakam video itu tercetus apabila saya mendapat inspirasi daripada Chemell yang popular di TikTok. Saya tak pandai berfesyen, cuma banyak baju kerja sahaja,” ujarnya.

Lebih mesra disapa Nurin, katanya dia mula bekerja sambilan sejak usianya 18 tahun lagi. Tambahnya lagi, setiap kali cuti semester dia pasti bekerja sambilan untuk mencari pengalaman baharu kerana baginya ia sangat berguna di masa akan datang.

Gadis yang gemar menimba pengalaman kerja ini juga mempunyai hobi bermain alat muzik.

Nurin pernah bekerja dengan beberapa syarikat seperti di Jakel di Kuala Terengganu, Texas Chicken dan Nandos di One Utama, McDonald’s Bandar Utama, KyoChon, Setia City Mall dan Ikea di Damansara.

“Baru empat tahun saya mula bekerja sambilan ini. Kerja sambilan bukan bermaksud Sabtu dan Ahad sahaja. Selalunya saya bekerja dua tiga bulan terus masa cuti semester. Jarang saya bekerja semasa tempoh kuliah sebab takut ganggu pelajaran. Tetapi jika ada yang panggil saya untuk tolong mereka sehari dua saya akan pertimbangkan. Pengalaman inilah banyak mengajar saya dan jadikan saya seseorang yang berkeyakinan tinggi,” ujarnya lagi.

Kenapa saya tak putus kerja sambilan ini sebab saya nak kaya dengan pengalaman. Bukan duit saya pentingkan tetapi saya hargai pengalaman

Dalam pada itu, ramai pula di ruangan komen hairan bagaimana gadis ini mempunyai kesemua baju tersebut.

“Saya faham ramai yang tertanya-tanya macam mana saya boleh ada semua baju tu. Saya tak pasti mereka yang komen ada pengalaman kerja sambilan atau tidak. Kebanyakan kerja sambilan, mula nak masuk kerja baju kena beli dengan duit sendiri. Jadi bila dah habis kerja tak perlu pulangkan pada mereka. Ada juga syarikat yang mereka bagi percuma kepada pekerja. Sebab itulah saya ada semua baju. Cuma macam KyoChon, mereka tak bagi tetapi saya ramai kawan masa kerja kat sana dulu. Kawan yang bagi masa saya kerja untuk ganti baju kalau tak sempat basuh,” jelasnya.

Nurin mengakui pengalaman bekerja di pelbagai syarikat banyak membentuk dirinya.

Anak ketiga daripada enam beradik ini sempat berkongsi pandangannya mengenai kerja sambilan.

“Kenapa saya tak putus kerja sambilan ini sebab saya nak kaya dengan pengalaman. Bukan duit saya pentingkan tetapi saya hargai pengalaman. Pengalaman ini bukan sahaja mematangkan saya tetapi banyak mengubah saya dari segi cara berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan banyak lagi. Sebab itu tak terkejut kalau ada budak master atau PhD yang bekerja di restoran dan sebagainya. Mereka ini lebih utamakan pengalaman daripada duit,” katanya.

Pemuda Ini Akui Pernah Lakukan 2 Kerja Sambil Belajar. Sekali Tak Sangka Dengan Usahanya Pemuda Ini Raih Jualan Ribuan Ringgit Dan Ini Rupanya Rahsianya.

Aidil bermula semuanya dari bawah. Pemuda ini bekerja dari tukang isi minyak, berniaga sehinggalah peroleh nilai jualan sebanyak puluhan ribuan ringgit dalam sebulan. Ianya sangat memberansangkan buat umurnya. Daripada pekerja juruwang di sebuah pusat beli belah ini kini bergelar usahawan.

Perubahan dirinya ini mendapat perhatian warganet setelah Aidil berkongsia sebuah video di laman Tiktok. Aidil Idzham Riza akui dulu, dia hanyalah bekerja sebagai juruwang sebaik sahaja tamapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama satu tahun sebelum menyambung pengajiannya dalam jurusan Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM). Dia juga tuut berpengalaman berkhidmat dalam khidmat pelanggan di Pusat Beli Belah Terkemuka di kawasan Kuala Lumpur ini dengan secara sambilan.

(kiri) Aidil ketika bekerja sambilan sebagai juruwang di pusat beli-belah dan (kanan) sebagai jurujual di butik pakaian.

“Sebagai pelajar, saya menumpukan pengajian di kelas sebelah pagi dan bekerja sambilan sebagai tukang isi minyak di sebuah stesen minyak di sebelah petang. Malam pula saya ajar kelas tuisyen bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sejarah untuk murid sekolah rendah, pelajar Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima,” katanya.

Lebih mesra disapa Aidil, katanya, ramai mempersoalkan bagaimana dia membahagikan masa sedangkan melakukan tiga ‘kerja’ dalam sehari. “Cara saya adalah memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Bila saya fokus di kelas, jadi tak perlu menghabiskan banyak masa dengan mengulangkaji pelajaran. Saya tetap study, tapi paling lama pun kira-kira 45 minit selepas saya pulang mengajar pada waktu malam sebab penat bekerja. Sebab itulah saya lebih pentingkan fokus di kelas,” ujarnya yang berasal dari Balakong, Selangor.

Berpengalaman sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Menamatkan pengajian dalam TESL pada 2018, anak kedua daripada lima beradik itu bagaimanapun tidak menghadiri majlis konvokesyen gara-gara kecewa apabila tidak memperoleh keputusan dengan pencapaian anugerah dekan untuk keseluruhan enam semester.

“Saya hanya memperoleh pencapaian dekan iaitu dengan pointer 3.6 ke atas untuk lima semester, manakala satu semester lagi hampir cukup pointer untuk dapat anugerah dekan tu. Itu yang membuatkan saya frust sangat sehingga ambil keputusan untuk tak datang ke majlis konvo. Walaupun kecewa, itu tidak bermakna saya sudah berputus asa,” katanya sambil menambah turut berpengalaman menjadi guru Bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Buktinya, Aidil yang juga berpengalaman menjadi jurujual di sebuah butik pakaian kemudian menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor pada 2019.

Aidil ketika membuat penghantaran bagi produk yang dijualnya.

Walaupun berpengalaman melakukan pelbagai kerja sepenuh masa dan sambilan sebelum ini, namun pandemik Covid-19 ternyata memberi impak yang cukup besar dalam dirinya. “Saya cari macam-macam kerja walaupun part time untuk cari duit poket, tapi susah nak dapat sebab pandemik selain PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada tahun lepas.

Apa pun yang kita buat, pendidikan tetap penting. Kita mungkin pernah frust dalam kehidupan, tapi jangan sesekali berputus asa.

“Jadi, saya mulakan bisnes kecil-kecilan dengan menjual air minuman berkarbonat sepanjang bulan puasa sebelum menjual cookies (biskut) bersalut coklat selepas Hari Raya. Alhamdulillah, bermula dengan hanya pendapatan RM1,500 sebulan, saya kini boleh meraih jualan bulanan mencecah RM40,000,” katanya sambil menambah dia turut membuka peluang perniagaan kepada 96 ejen di bawahnya.

Semasa berniaga cookies bersalut coklat.

Sehubungan itu, Aidil berkata, tiada masalah sekiranya anak muda mahu bekerja sambil belajar sepertinya tetapi perlu mengutamakan pendidikan.

“Apa pun yang kita buat, pendidikan tetap penting. Kita mungkin pernah frust dalam kehidupan, tapi jangan sesekali berputus asa. Di atas kekecewaan dulu, saya kini meneruskan misi untuk memperoleh Dekan bagi keseluruhan semester dan Alhamdulillah saya kini telah mencapai Dekan bagi empat semester berturut-turut,” katanya.

Kawood Merupakan Bukti Kebangkitan 3 Sahabat Ini Setelah Hilang Pekerjaan. Namun Tak Sangka Ini Yang Terjadi Dalam Perniagaannya.

Tiga sahabat Nooradzrene Mohd Noor, Mohd Hafiz Johari dan Abdul Razak Latif mula perniagaan Kawood setelah mereka telah dibuang kerja pada Oktober 2019. Tiga sahabat baik ini menubuhkan Kawood iaitu salah sebuah perniagaan pembuatan perabot sejak Jun tahun lalu sewaktu penularan pandemik melanda negara. Bengkel yang terletak di Kampung Dato Tatah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu disifatkan sebagai penyelamat dan lembaran baharu dalam hidup mereka selepas kehilangan kerja lapan bulan sebelumnya. Ketiga-tiga mereka sebelum ini bergelar jurugambar di salah sebuah akhbar terkenal – ia juga pekerjaan pertama mereka selepas menamatkan pengajian di universiti.

Hafiz dan Bob sedang menyiapkan tempahan pelanggan di bengkel mereka yang terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

“Bergelar seorang jurugambar memang memberi pengalaman berharga dan menyeronokkan. Kami dapat bertemu pelbagai orang – daripada perdana menteri, selebriti, atlet dan masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai cerita menarik di sebaliknya. Tugas ini juga membawa kami ke pelbagai tempat sehinggalah Oktober 2019, apabila kami tiba di pejabat, pihak pengurusan mengumumkan syarikat akan ditutup… dalam tempoh dua hari! Memang kami terkejut. Tiada pampasan diberikan. Malah, gaji kami tidak dibayar selama dua bulan sebelum itu,” cerita Abdul Razak, 35.

Tambahnya, setiap hari apabila bangun dan sebelum tidur, fikirannya tidak terhenti memikirkan bagaimana hendak menyara keluarganya. “Saya mempunyai tiga orang anak dan paling bongsu baru berumur empat tahun. Alhamdulillah, isteri masih ada pekerjaan. Saya buat pelbagai kerja namun hasilnya masih tidak mencukupi,” tambahnya.

Mohd Hafiz dan Nooradzrene juga dalam situasi sama; mereka membuat pelbagai kerja termasuk sebagai penghantar makanan dan pemandu e-hailing bagi mendapatkan wang.

“Apabila kehilangan kerja, kita kena buang ego. Saya bertanya kepada isteri sama ada dia OK jika saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dia tidak kisah. Ketika itulah saya dapat panggilan daripada dua sahabat saya ini yang mengutarakan idea untuk memulakan perniagaan,” kata Nooradzrene yang lebih mesra disapa Bob.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *