Pemuda terpaksa ambil keputusan ini untuk kebaikan 27 ekor kucingnya. Sekali tak sangka ada pula penderma misteri yang tampil dan beri sesuatu ini untuknya.

Amalan Haiwan Kehidupan Keluarga Viral

Fairuz masih buntu untuk melepaskan kesemua kucingnya atau tidak. ‘Ditelan kehilangan emak, diluah kehilangan bapa’ perumpamaan ini tepat menggambarkan situasi seorang pemuda yang berat untuk melepaskan kucingnya tetapi terpaksa. Bagi pencinta kucing, bukan mudah mereka ingin melepaskan haiwan kesayangan begitu sahaja apatah lagi sudah hampir sembilan tahun membelanya. Begitulah kisah seorang pemuda yang tidak mampu menanggung 27 ekor bulus selepas tiada kerja tetap sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

“Bismillahirrahmanirrahim, mungkin ada yang akan terkejut tetapi inilah realiti. Dah lebih setahun saya menggangur. Dah tak mampu biaya mereka, keseluruhannya, 27 ekor di kawasan Kuantan. Dengan berat hati saya nak jual RM200 sahaja seekor. Kalau anda boleh tengok semua kucing saya gebu dan sihat, ” tulisnya di akaun Twitter. Perkongsian tersebut sehingga kini meraih hampir 7,000 likes dan 7,000 retweets.

Posting yang tular di laman Twitter.

 Mohammad Fairuz Junaidi, yang berusia di awal 30an mengakui walaupun selepas memuat naik tweet tersebut dia masih buntu untuk melepaskan kucing-kucingnya atau tidak. Mesra disapa Fairuz, dia berkata sudah hampir setahun bertahan hinggalah tidak lagi mampu mulai bulan ini kerana ada beberapa kucingnya yang melahirkan gara-gara tidak membawanya ke veterinar untuk dimandulkan kerana kekurangan bajet.

“Sehingga kini saya masih buntu untuk buat keputusan, sampai tidur, mandi pun fikir hal kucing. Berat betul hati ini tetapi kos terlampau tinggi dan kalau saya kerja tak apa. Kucing pula bertambah banyak. Sejak PKP asyik beranak sahaja. Saya pula jenis jaga betul-betul. Pemakanan dan pemeriksaan berjadual di veterinar dan sebagainya.

Sejujurnya, situasi seperti ini buat hati saya lagi serba salah dan sayu kerana rasa macam menyusahkan pula.

“Tahu sahajalah perasaan pencinta kucing ni. Emosi terlebih. Setakat ini dah dua ekor kucing saya telah pergi sebab tak dapat nak bawa pergi veterina, ” ujarnya dalam nada sayu.

Sebelum ini, Fairuz yang bekerja sebagai agensi pelancongan di Korea Selatan langsung tidak pernah ada isu memelihara berpuluh ekor kucing sejak hampir sembilan tahun lalu. Bagaimanapun, dalam keadaan buntu itu tiba-tiba anak kelahiran Kuantan, Pahang itu dikejutkan dengan DM daripada akaun yang hanya mempunyai 30 pengikut (followers) apabila ia menawarkan untuk menaja makanan bagi kesemua kucing itu setiap bulan.

Fairuz mempunyai 27 ekor si bulus yang dibela di rumahnya.

“Saya betul-betul terkejut. Tak sangka langsung sebab saya tak kenal dia dan pengikutnya pun tak ramai di media sosial. Saya pun layankan ja. Emosi tak stabil perasaan pun bercelaru tetapi memang betul hari ini dia transfer RM1,000. Sejujurnya, situasi seperti ini buat hati saya lagi serba salah dan sayu kerana rasa macam menyusahkan pula. Dia tak dedahkan identiti dirinya tetapi jika diteliti maklumat akaun bank saya rasa dia ahli perniagaan, ” ujarnya lagi.

Dua ekor kucing Fairuz telah mati gara-gara tidak dapat membawa ke veterinar.

Dalam pada itu, Fairuz berkata dia berharap sangat keadaan ekonomi kembali pulih agar dia boleh bekerja seperti biasa untuk membalas budi baik hamba Allah itu semula.

Sebelum ini Fairuz bekerja sebagai agensi pelancongan di Korea Selatan.

“Saya memang dah pasang niat dan fikirkan jalan terbaik untuk balas kepada orang itu. InsyaAllah.. bila pandemik Covid-19 ini sudah berakhir suatu hari nanti pasti saya akan buat sesuatu untuk dia. Bagaimanapun, saya masa fikir untuk terima wang dari dia lagi atau tidak selepas ini kerana risau bagaimana jika tiba-tiba suatu hari nanti pembiayaan berpuluh kucing ini lebih daripada jumlah yang dia beri dan masa itu saya tak mampu. Lagi serba salah saya nanti, ” jelasnya.

Sempat berkongsi mengenai kucingnya, Fairuz berkata sejak dia memuat naik tweet tersebut kucingnya kelihatan sedih, mungkin juga mereka dapat rasa seperti ada sesuatu yang tak kena. “Beberapa ekor nampak ketara sangat perubahan mereka. Muka sedih dan ada yang datang peluk kaki saya dan sebagainya. Sebak betul rasa, ” katanya.

Isteri Sanggup Bawa Anak Angkat Ziarah Rumah Baru Suami Untuk Lepaskan Rindu. Turut Akui Gelagat Anak Angkatnya Sangat Lain.

Ayang Rafeeca membawa kucing kesayangannya dan suami ke tempat persemadian lelaki itu untuk melepas rindu. Kisah keakraban antara si bulus dengan pemiliknya seringkali dikongsikan di media sosial, sehingga meruntun jiwa warganet. Antara perkongsian paling menyentuh hati yang pernah menjadi tular adalah kisah haiwan berkenaan yang kerap kali menziarahi pusara meskipun pemiliknya sudah pergi beberapa tahun lalu.

Begitulah juga dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar ini di Facebook, yang mana dia membawa si bulus kesayangan menziarahi pusara suaminya yang telah pergi lima hari lalu.

“Kita dah empat hari tak tengok bapak. Kita rindu. Mama bawak kita jumpa bapak tapi bapak tak ada. Mama cakap, ni lah rumah bapak baru… jangan buat sepah,” demikian antara coretan pada posting yang dikongsikan pada 16 Februari. Posting yang dimuat naik oleh pelayar bernama Ayang Rafeeca di grup Facebook Kucing Sepahkan Apa Hari Ini ternyata mengundang rasa sebak warganet, di mana ketika ini ia sudah meraih hampir 1,000 shares dan ratusan komen.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ayang Rafeeca berkata, itulah pertama kali dia membawa kucing kesayangan, Mao Mao menziarahi pusara arwah suaminya, Muhammad Isa Ng yang meninggal dunia pada 13 Februari lalu.

“Genap empat hari suami telah pergi, pagi hari itu saya terlalu sedih dan menangis kerana terlalu rindukan suami. Namun ketika itu masih iddah, lalu saya bertanya pendapat kakak angkat sama ada boleh menziarahi pusara suami. Saya hanya mahu lepaskan rindu dan bawa sekali Mao Mao, kucing kesayangan kami berdua. Itulah kali pertama Mao Mao ziarah pusara ‘bapaknya’. Sebaik saja saya keluarkan daripada beg khas, dia terus bermain-main di pusara… cium haruman daun pandan. Mungkin dia juga rindu pada bapaknya. Saya kongsikan di media sosial namun benar-benar tak sangka ia viral. Niat saya cuma satu, moga yang melihat posting itu turut mendoakan suami saya… tiada langung niat lain. Terima kasih kerana ramai yang doakan dan sampaikan ucapan takziah,” ujarnya yang menetap di Samarahan, Sarawak. Menurut wanita berusia 35 tahun ini, Mao Mao yang dipelihara sejak 2015 terlalu istimewa buat dirinya dan arwah suami.

“Inilah kucing pertama yang kami pelihara untuk ubati kesedihan selepas saya kehilangan bayi semasa dalam kandungan . Kiranya seperti anak angkatlah. Mao Mao adalah kucing baka ‘British Long Hair’. Mao Mao sangat manja dengan kami berdua… tidur pun di tengah-tengah. Tidak lama kemudian, barulah kami beransur-ansur memelihara lima lagi kucing lain sebagai kawan Mao Mao,” ujarnya yang berasal dari Indonesia. Bercerita mengenai pemergian suami, Ayang Rafeeca berkata dia sehingga kini masih terkesan dan bersedih kerana suami pergi secara mengejut.

Selepas suami tiada, saya pulang sebentar ke rumah. Buka saja pintu, nampak Mao Mao duduk saja tak aktif… selalunya kalau saya pulang, dia akan datang meluru.

” suami memang ada masalah jantung. Malam hari kejadian, kami makan-makan dan menonton televisyen… keadaannya sihat sahaja. Setengah jam kemudian, suami mengadu sukar bernafas. Saya tanya, sakit jantung ke? Namun suami kata bukan.

“Lalu saya ajak ke hospital, namun suami menolak dan ajak ke farmasi saja sebab nak beli ubat asma… namun farmasi tutup. Kami pulang ke rumah semula dan keadaannya menjadi teruk selepas itu. Lalu saya berkeras supaya ke hospital… akhirnya suami akur. Namun sebaik tiba di pintu masuk, suami menghembuskan nafas terakhir. Suami sepatutnya jalani pembedahan Oktober nanti, namun ajalnya tiba lebih awal,” ceritanya.

Selain Mao Mao, Ayang Rafeeca turut memelihara lima ekor kucing lain.

Tambah wanita ini lagi, pada malam tersebut juga, Mao Mao juga menunjukkan kelakuan yang sangat aneh seolah-olah turut merasai kesedihan atas pemergian ‘bapak’ kesayangannya.

“Selepas suami tiada, saya pulang sebentar ke rumah. Buka saja pintu, nampak Mao Mao duduk saja tak aktif… selalunya kalau saya pulang, dia akan datang meluru. Saya pergi dan peluknya sambil menangis sambil berkata ‘Mao Mao, bapak dah tak ada. Jangan sedih ya. Sekarang tinggal kita saja’. Memang lain sangat gelagatnya malam itu,” ceritanya dalam nada sebak. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Ayang Rafeeca berkata dia terlalu terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh warganet.

Warganet turut meluahkan rasa sedih dengan kisah yang dikongsikan oleh Ayang Rafeeca.

“Saya bukan saja bersyukur dikurniakan suami dan keluarga mentua yang sangat baik, malah bersyukur apabila ramai warganet turut sama mendoakan suami. Malah, ramai yang hantar Direct Message (DM) sampaikan ucapan takziah, mahu jadi kawan dan ada juga yang nak berikan bekalan makanan kepada Mao Mao. Namun saya menolaknya kerana bukan niat saya mahu raih simpati. Saya berterima kasih kepada seluruh warganet yang tak henti-henti mendoakan suami dan berikan kata-kata semangat buat saya,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *