Kesemua burger yang dimasak itu bagaimanapun tidak dijual. Gelagat 4 gadis siap set up gerai burger dalam rumah raih perhatian ramai.

Kehidupan

Macam yang kita sedia maklum, ramai orang terkesan dengan pandemik Covid19 sampai ada juga yang dibuang kerja. Sehinggakan ada yang sanggup membuat bisnes secara kecil kecilan demi kelangsungan hidup.Namun, sebuah video yang dikongsikan di laman Tiktok menjadi perhatian apabila rakaman menunjukkan sebuah gerai burger ‘beroperasi’ di dalam rumah.

Ternyata aksi beberapa wanita sedang memasak beberapa daging burger di gerai yang siap dipasang itu ternyata mencuit hati warganet .Individu yang merakamkan video itu, Siti Nuraza Dalila Omar Afsaidi berkata, kejadian berlaku turut membabitkan tiga rakan serumahnya di rumah sewa mereka di Ipoh, Perak.

Jelas gadis berusia 21 tahun itu, gerai yang dipasang bukanlah lakonan semata-mata demi sebuah ‘content’ untuk menarik perhatian warganet.”Memang itu gerai burger yang lengkap kami pasang. Memang kami betul-betul masak burger sebab ada yang tunggu tempahan.

“Bezanya gerai tu kami pasang di bahagian dapur rumah, bukan di luar rumah atau kat tepi jalan macam orang selalu buat,” katanya .Lebih mesra disapa Aza, katanya, kesemua burger yang dimasak itu bagaimanapun tidak dijual, sebaliknya dijadikan sebagai percubaan sebelum memulakan bisnes tersebut.

“Kami masak burger tu sebagai ‘tester’ untuk bagi pada rakan-rakan terdekat supaya mereka boleh rasa dahulu dan berikan pandangan.”Ketika ini kami dalam peringkat akhir sebelum berniaga burger, yang dirancang bakal bermula kira-kira dua minggu lagi,” ujarnya yang juga berasal dari Ipoh.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, tempoh persediaan mengambil masa berikutan dirinya bersama tiga lagi rakan serumah mempunyai komitmen dengan kerja masing-masing dalam bidang perhotelan di bandar itu.”Kami semua tinggal sekampung di Kampung Melayu Batu 8 di Ipoh, dan salah seorang daripada mereka adalah kakak saya berusia 24 tahun.

“Kami juga bekerja di hotel yang sama. Kerja kami ada syif, jadi ada yang kerja pagi dan ada yang kerja sampai malam. Jadi, bukan mudah untuk mengumpulkan kami semua kecuali hari cuti,” katanya yang bertugas sebagai penyambut tetamu.

Dia bersyukur mempunyai pekerjaan tetap, Aza berkata, keempat-empat mereka mahu berniaga burger bagi mendapatkan pendapatan sampingan ketika waktu yang sukar ini.Jelasnya, gerai burger yang diusahakan mereka berempat itu bakal beroperasi di hadapan rumah mereka, dan bukannya di dapur.

“Memandangkan kami semua bekerja mengikut syif, jadi kami akan bergilir-gilir mengusahakan gerai burger di luar rumah.”Bagi yang kerja pagi atau cuti pada hari berkenaan, mereka akan sama-sama menjual burger sebab gerai akan dibuka paling awal pun lewat petang atau malam.”Sekarang ni masih dalam peringkat percubaan, sebab itulah kami pasang gerai burger kat dapur dulu. Tapi bila dah masak burger betul-betul tu, berasap jugalah… habis bau satu rumah,” ujarnya secara berseloroh.

Duduk Di Asrama Tapi Mampu Raih RM19000 Di Asrama. Anak Muda Ini Cerita Pengalaman Mereka Buat Bisnes

Bak kata orang di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Demikianlah yang dapat dilihat pada semangat dua sahabat ini. Difahamkan mereka berdua kekal berada di asrama ketika berlangsungnya PKP<siapa sangka mereka berdua mampu menjana pendapatan ribuan ringgit.

Pemuda berusia 19 tahun itu berkata, ia dilakukan di asrama ketika cuti pendek selama lima hari selepas tidak pulang ke rumah berikutan sekatan merentas negeri ketika PKP.”Kami pilih bisnes ni untuk kolej sebab para pelajar sukakan baju mengikut trend, dan pakai secara berkumpulan. Jadi, kami mudahkan mereka dengan membuat tempahan baju.

“Dalam masa lima hari tu, kami buat secara habis-habisan dari promosi hingga buka tempahan baju menerusi grup WhatsApp dan Facebook,” katanya. Lebih gemar disapa Amzar, katanya, pada hari kelima, dia bersama Aiman bergiat lebih aktif dengan pergi dari pintu ke pintu bilik salah satu blok asrama lelaki sebelum menutup tempahan.

“Lima hari kami buat all out, kami dapat 500 tempahan baju membabitkan pelajar kolej lelaki dan perempuan. Keseluruhan jualan kami peroleh sebanyak RM19,000.”Pada asalnya kami sasarkan hanya 300 tempahan. Tapi risau ada pelajar-pelajar yang terlepas pandang tentang baju ni, jadi kami gerak dari pintu ke pintu pula… tak sangka masuk hari kelima dapat cecah kira-kira 500 tempahan,” kata anak kelahiran Bachok, Kelantan itu.

Sejujurnya mereka baru mengenali sejak semester lalu bagi mengikuti jurusan yang sama iaitu perakaunan, kedua-dua anak muda ini sebenarnya mempunyai minat dalam perniagaan.Amzar berkata, dia sebelum ini mengusahakan bisnes minuman yogurt, manakala Aiman yang berasal dari Bangi, Selangor terlibat dalam perusahaan kek.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, mereka turut menerima tempahan daripada beberapa kolej matrikulasi seperti Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.”Syukur, Alhamdulillah. Berkat usaha kami bertungkus-lumus untuk buka tempahan baju selama lima hari sampai tak cukup tidur kira order.

“Lepas Subuh baru nak tidur setakat tiga hingga empat jam sehari,” katanya sambil menambah mereka berurusan dengan sebuah kilang baju di Selangor.Dalam pada itu, Amzar turut berkongsi pengalaman mereka yang berdepan cabaran berniaga terutama pada hari terakhir tempahan baju dibuka kepada pelajar-pelajar kolej.

“Malam terakhir tu, kami tebalkan muka pergi ketuk pintu ke pintu bilik di satu blok asrama. Kami semua ada di asrama sebab cuti pendek dan PKP, jadi mereka ada kat bilik je.”Bila ketuk pintu beberapa bilik, ada yang tak sahut sedangkan banyak selipar kat luar pintu. Ada juga yang sekadar gelak-gelak dari dalam bilik tanpa buka pintu… tak apalah, lepas beri salam tiga kali, kami bergerak ke bilik lain pula.

“Ada antara mereka yang beria-ia nak beli, siap kasi nombor telefon. Bila kami hubungi untuk sahkan tempahan, terus block (sekat) nombor kami. Memang sakit hati kena tipu.”Dalam bisnes ada yang suka dan tak suka. Ada ramai-ramai gelak, block nombor telefon tu perkara biasa yang kami anggap sebagai dugaan berniaga,” katanya.

3 Beradik Ini Sanggup Berpanas Tepi Jalan Hanya Untuk Lakukan Bisnes Hariannya Sambil Tiktok. Rupanya Dia Juga Lakukan Kerja Ini Sebagai Sambilan.

Tiga beradik ini memulakan perniagaan sejak PKP pada Mac tahun lalu. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu, ramai yang mengambil peluang untuk membuka perniagaan berasaskan makanan. Begitu juga dengan tiga beradik ini apabila mereka memperkenalkan popia bergedil, ‘lari’ daripada kebiasaan ramai yang sering tampil dengan menu tauhu bergedil.

Menurut Afiera Riana Agoes Riauwaldy, 29, dia secara spontan tampil dengan idea itu sebelum dua adiknya, Afiefi Riani, 26, dan Ahmad Amin, 21, turut bersetuju untuk menjadi rakan perniagaan.

“Kami tiga beradik mula berniaga masa awal PKP. Bermula secara online, bila dah stabil kami buka pula gerai pada hujung tahun 2020. Masa tu saya terfikir, nak buat apa masa PKP? Biasa orang buat tauhu bergedil, tapi saya kata why not buat popia bergedil? Idea sendiri, tak sangka pula dapat sambutan. Gerai pertama kami di Prima Saujana, Kajang. Alhamdulillah sekarang kami buka gerai kedua di Ampang,” ujarnya yang mesra disapa Afiera.

Afiera tidak kisah jika ada yang pandang rendah terhadap dirinya.

Dia yang juga seorang pelakon secara sambilan mengakui tidak kisah jika ada yang memandang rendah apa yang sedang diusahakannya pada masa ini. Malah, dia percaya pada konsep rezeki dan tidak pernah berasa malu untuk bekerja dalam suasana panas di gerai tepi jalan.

Kami tak kisah menari kat gerai, orang tepi jalan pandang, tak peduli.

“Saya minat berlakon, tapi saya tak jadikan ia sebagai kerjaya utama. Secara sambilan je. Last drama pun tahun lepas. Saya tak kisah orang pandang rendah kami berniaga tepi jalan. Nampak senang tapi susah sebenarnya. Kalau tauhu boleh sumbat, popia nak kena gulung. Tapi kadang-kadang orang pandang rendah, berniaga tepi jalan tak ada kelas… kami pun bukannya ada kedai, setakat gerai je. Saya teruskan atas sokongan mak ayah. Saya juga pernah nak putus asa sebab terlalu ramai yang jual makanan. Tapi Alhamdulillah, sekarang bisnes makin OK,” ujarnya lagi.

Popia bergedil yang menjadi sumber rezeki tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Afiera mengakui majoriti pelanggannya merupakan pengikut di TikTok yang sering menonton video dia dan adik beradiknya.

“Saya rajin buat video kat gerai, ada yang komen negatif termasuk pertikai mengenai aurat. Saya tak kisah menari kat gerai, orang tepi jalan pandang, tak peduli, yang penting kami gembira buat kerja dan tak kacau orang.

Mereka kini memiliki dua gerai di Kajang dan Ampang.

“Biarlah apa orang nak cakap. Penangan TikTok memang power. Rezeki kami kebanyakannya dari TikTok. Bila datang gerai, mereka kata kenal dari TikTok. Sanggup datang jauh-jauh. Terima kasih kepada semua yang berikan sokongan,” ujarnya lagi. Kata Afiera, dia juga ada perancangan untuk kembangkan perniagaan itu sehingga ke Brunei dan Singapura selepas PKP berakhir kelak.

Satu Keluarga Menjual Nasi Kukus Perniagaan Turun Temurun Dari Bapanya. Sekali Tak Sangka Pula Dulu Bapa Pergi Sebab Ini Tapi Kali Ini Ibu Pula.

Bapa Bella yang pergi pada tahun 2015 bersama ibunya yang kini terlantar sakit, dipercayai akibat terkena buatan orang. “Jangan malu nak mengaku kita susah.”

Itulah kata-kata yang menjadi pegangan Nur Salshabila Muhammad Rufdi, 21, sejak kematian bapanya pada tahun 2015. Terbaharu, kisah gadis itu serta perniagaan nasi kukus keluarganya yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas menjadi tular di laman Twitter.

Menurut gadis yang mesra disapa Bella itu, kedai nasi kukus mereka di Uptown Shah Alam, Selangor terpaksa dihentikan operasi dan ‘direhatkan’ sepanjang tahun lalu. Baru-baru ini, dia serta adik-beradik yang lain tampil dengan alternatif baharu dengan membuka gerai nasi kukus di Bandar Putera 2, Jalan Kebun Nenas, Shah Alam. Kata Bella yang juga anak kelima daripada enam beradik, dugaan itu cukup berat memandangkan dia dan adik beradiknya yang lain sama-sama mencari rezeki dengan perniagaan itu sejak sekian lama.

Bella bersyukur menerima sokongan ramai di Twitter.

“Kami berniaga di Uptown sejak tahun 2005. Jadi sekarang terpaksa cari alternatif lain, kami buka gerai. Kami bahagikan tugas, ada abang dan kakak uruskan gerai, saya dan kakak yang lain uruskan proses penyediaan di rumah. Masa awal PKP tahun lepas kami tak boleh berniaga langsung. Mama pun korek duit simpanan yang ada. Tahun lepas sangat sukar untuk kami. Tahun ni baru je bisnes nak elok, PKP lagi sekali,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Papa kata jangan malu nak mengaku susah, malulah mengaku senang tapi sebenarnya kita susah.

Menurut Bella, ibunya kini hanya berehat di rumah kerana uzur sejak beberapa tahun lalu. Dakwa Bella, ibunya terkena buatan orang yang dipercayai iri hati dengan perniagan mereka.

“Masakan nasi kukus tu memang resepi turun-temurun ibu. Tapi sekarang kakak saya yang masak. Mak sakit, berniaga ada orang dengki. Boleh cakap macam terkena buatan oranglah. Papa pun kena macam tu, tapi telah pergi kena sakit jantung.

Sebahagian ahli keluarga Bella.

“Mak sakit sejak 2016. Tak boleh nak jalan sangat, mak banyak berehat je,” ujarnya yang juga penuntut bidang Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan. Dalam pada itu, Bella turut berkongsi kata-kata bapanya yang masih menjadi pegangan sehingga ke hari ini. Papa kata jangan malu nak mengaku susah, malulah mengaku senang tapi sebenarnya kita susah. Sebab kami memang susah dari dulu. Sebelum buka kedai nasi kukus, ibu bapa saya bangun pukul 3 pagi buat kuih, hantar ke kilang.

Hidangan nasi kukus ini menjadi punca pendapatan mereka sekeluarga sejak sekian lama.

“Itulah satu kata-kata semangat dari papa sebelum dia tinggalkan kami,” ujar Bella yang juga seorang model sambilan. Dalam pada itu, posting Bella mengenai gerai nasi kukus keluarganya menerima lebih 6,000 ulang kicau (Retweet) di Twitter. Ujarnya, dia bersyukur menerima sokongan ramai, sekali gus membuka pintu rezeki buat mereka sekeluarga. “Sangat terharu sebab ramai bagi sokongan, ramai yang cakap nak datang,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *