DJ radio menerima kritikan oleh warganet atas satu perkongsian yang dibuat olehnya. Rupanya ini yang dia lakukan.

Info Semasa Viral

Disebabkan penutupan sekolah kerana penyebaran wabak Covid 19 di negara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat satu inisiatif baru dengan melancarkan Didik TV yang sudah mula ditayangkan pada Rabu lepas. Menerusi beberapa slot rancangan, ada satu rancangan yang memaparkan seorang guru mengajar mata pelajaran Sains Tahun 2 dalam Bahasa Inggeris.

Meskipun rancangan tersebut mendapat teguran warganet oleh kerana gaya bahasa guru terbabit, namun tindakan seorang DJ radio di TikTok ini dianggap sangat biadap hingga mendapat kritikan hebat warganet. DJ ini telah membuat sebuah video reaksi terhadap pengajaran cikgu tersebut dengan menghamburkan ketawa sepanjang video itu ditayangkan. Admin tak faham kat mana yang lawaknya?

Walau bagaimanapun, video ini telah dipadam daripada platform media sosial DJ berkenaan setelah mendapat terlalu banyak kritikan. “Terpaling power cakap omputih, bro jemput datang studio Didik TV” .

Rata-rata warganet yang telah melihat video tersebut berasa kesal dengan tindakan DJ terbabit dan menganggap ia suatu penghinaan kepada guru itu. Ramai telah tinggalkan komen di Instagram peribadi DJ itu meminta supaya majikannya menegur tindakan pekerja yang tidak beretika ini.

Diharapkan perkara sebegini tidak berulang lagi. Bukan mudah menjadi pendidik di zaman pandemlk ini ya.  Sumber LM.

Sewaktu Pandemik Guru Ini Ambil Inisiatif Baru Untuk Menyampaikan Ilmu. Kini Guru Ini Sudah Digelar Youtubers.

Cikgu Rodzi mahu membantu pelajar memahami matematik dengan lebih mudah menggunakan teknik pengajaran secara virtual. Sebelum ini seorang guru Matematik, Mohd Rodzi Mat Ghani pernah tular di Facebook selepas berkongsi formula dan kaedah penyelesaian subjek itu menggunakan formula mudah difahami pelajar. Perkongsian yang dibuat Mohd Rodzi, 43, menarik perhatian memandangkan ketika itu ramai pelajar belajar dari rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Sejak itu, guru SK Pauh Jaya, Permatang Pauh Pulau Pinang itu giat berkongsi pelbagai soalan dan penyelesaian Matematik di Facebook miliknya dalam usaha membantu pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran ekoran pandemik yang sedang melanda ketika ini. Melihat kepada sambutan menggalakkan diterimanya, Mohd Rodzi beralih ke YouTube dengan menubuhkan saluran Cikgu Rodzi dengan harapan dapat mencapai dan membantu lebih banyak pelajar.

Cikgu Rodzi sentiasa mahu membantu pelajar-pelajar memahami Matematik dengan lebih mudah.

“Pada awalnya saya tubuhkan saluran itu untuk menyediakan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk pelajar saya yang mungkin tidak berkesempatan mengikuti kelas secara Zoom. Tapi apabila saya lihat jumlah tontonan beberapa video yang dihasilkan ia amat memberangsangkan malah ramai mula meninggalkan komen untuk saya hasil video dengan tajuk-tajuk lain pula,” katanya.

Hanya berbekalkan telefon!

Berkongsi mengenai ideanya untuk menggunakan YouTube, Mohd Rodzi memberitahu dia pada awalnya sekadar ingin mencuba malah mengakui tidak mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan media sosial.

Bagaimanapun ceritanya, dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan sebaliknya menggunakan gajet sedia ada untuk menghasilkan bahan pengajaran untuk murid-muridnya.

“Hanya berbekalkan telefon, saya rakam topik yang ingin diajar menggunakan aplikasi yang menyediakan papan putih virtual sebelum saya rakam suara dan muat naik di YouTube.

Paling saya seronok dan bersemangat apabila mendapat komen daripada pelajar dan ibu bapa yang mengatakan video yang dihasilkan seperti berada dalam kelas.

“Apabila saya tengok ada sambutan, saya rasa seronok dan bersemangat nak hasilkan lebih baik. Alhamdulillah ramai beri komen tentang kualiti video dan apa yang perlu saya perbaiki. Saya juga banyak bertanya kepada rakan-rakan yang lebih arif tentang penggunaan aplikasi dan fungsi YouTube bagi memantapkan lagi video dihasilkan,” ujarnya.

Tidak hanya di YouTube, Mohd Rodzi berkata, percubaan itu turut menarik minat pelajar-pelajarnya setiap kali mengadakan kelas secara Zoom dengan kehadiran meningkat lebih 60 peratus.

“Pandemik ketika ini memang sukar buat semua orang dan sebagai seorang guru saya tidak mahu berpeluk tubuh dan ingin membantu murid-murid mendapat ilmu seperti mana di dalam kelas. Alhamdulillah, percubaan saya mendatangkan hasil dan kehadiran lebih 60 peratus menunjukkan pelajar berminat cuma sebagai guru saya perlu cari alternatif dan kaedah lain untuk menarik perhatian mereka,” katanya.

Komen positif daripada pelajar dan ibu bapa membuatkan Cikgu Rodzi terus bersemangat.

Dijemput JPN Pulau Pinang kongsi dengan guru-guru lain

Dalam pada itu, Mohd Rodzi berkata, melihat kepada sambutan itu, dia menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak video tentang pembelajaran matematik di salurannya itu. Mohd Rodzi berkata, video yang dihasilkan sedikit sebanyak dapat meringankan dan membantu ibu bapa yang tidak tahu mengajar anak di rumah dan menjadikan videonya sebagai rujukan.

“Paling saya seronok dan bersemangat apabila mendapat komen daripada pelajar dan ibu bapa yang mengatakan video yang dihasilkan seperti berada dalam kelas. Alhamdulillah, penerangan diberikan juga ramai beritahu mudah difahami dan ibu bapa juga sudah boleh mengajar anak-anak di rumah dengan berpandukan video saya hasilkan,” ujarnya.

Tidak terhenti di situ kata Mohd Rodzi, ada guru-guru lain yang turut menonton video yang saya hasilkan dan menjadikannya sebagai panduan kepada murid-murid mereka. Berkat usahanya itu juga, Mohd Rodzi berkata, dia turut dijemput oleh Jabatan Pendidikan (JPN) Pulau Pinang untuk memberi taklimat dan berkongsi mengenai saluran YouTube dan kaedah pengajarannya kepada guru-guru lain.

Mohd Rodzi bersama pelajarnya sebelum pandemik.

Saluran YouTube mula jana pendapatan

Ketika ini kata Mohd Rodzi, saluran YouTube miliknya sudah pun mencecah 3,000 pengikut selain mendapat purata tontonan sebanyak 400,000. Malah pada akhir Januari lalu, Mohd Rodzi memberitahu salurannya itu telah berdaftar sebagai ahli YouTube Partnership Program yang membolehkan ia menjana pendapatan.

“Terkejut juga… kiranya sekarang saya seorang YouTubers! Tetapi, Alhamdulillah usaha saya sedikit sebanyak mendapat pengiktirafan dan dapat menjana pendapatan sampingan. Pada saya bukan mudah untuk sebuah saluran yang mengangkat tema pendidikan untuk mendapat perhatian berbanding saluran berbentuk hiburan. Insya-Allah dengan pendapatan diterima daripada YouTube dapat saya gunakan untuk menambah baik penerbitan video pada masa akan datang seperti membeli telefon lebih canggih serta peralatan sokongan,” katanya yang tidak melihat bayaran sebagai tujuan utama sebaliknya ia bersifat motivasi kepada diri sendiri.

Pengalaman berjinak-jinak sebagai YouTubers juga kata Mohd Rodzi banyak mengajarnya agar tidak membataskan diri dalam mencapai sesuatu perkara. Malah katanya, peralatan yang canggih bukanlah perkara utama sebaliknya cara menggunakan dan kreativiti adalah paling penting dalam melakukan sesuatu.

“Buat sahaja selagi kita rasa ia betul dan boleh memberikan manfaat kepada orang lain serta tidak melanggar hukum hakam agama. Komen negatif saya selalu ambil untuk memperbaiki diri dan paling penting jangan malu untuk tonjolkan diri dalam menyebarkan ilmu kepada orang lain,” ujarnya yang turut berkongsi videonya di Facebook dan Telegram.

Tular Di Laman Sosial Guru Ini Alami Gangguan Sewaktu Sedang Buat Sesi PDPR. Sekali Ini Respons Guru Tersebut.

Video Cikgu Sohailawati yang mempunyai gangguan ketika sedang melakukan PDPR bersama anak muridnya menjadi tular di media sosial baru-baru ini. Dikala situasi pandemik kini yang belum dapat bayangannya untuk pulih telah mengubah cara sesi pengajaran dan pembelajaran yang terpaksa dilakukan dalam norma baharu. Pada waktu kini pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah dilakukan mengikut kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah masing-masing.

Norma baharu ketika ini pastinya memberikan pelbagai dugaan malah bukan sahaja pada pelajar dan ibu bapa tetapi turut terkesan oleh guru-guru yang berusaha sehabis baik untuk memastikan ilmu dapat disampaikan walau apa jua keadaan. Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan seorang guru wanita berdepan ‘gangguan’ ketika sedang membuat rakaman pengajaran di rumahnya.

Menerusi video tersebut, kedengaran bunyi kokokan ayam yang nyaring sewaktu guru berkenaan sedang membuat rakaman, sehingga dia akhirnya tidak dapat menahan ketawa lantas secara spontan mengeluarkan perkataan lucu dalam dialek Kelantan. Sohailawati Ibrahim berkata, kejadian lucu itu berlaku pada hari pertama sesi PdPR iaitu pada 20 Januari.

“Ketika itu waktu pagi kira-kira pukul 9… sedang saya buat rakaman untuk sesi orientasi murid prasekolah, tiba-tiba terdengar bunyi kokokan nyaring. Entah dari mana datangnya ayam-ayam ni… sebelum itu saya dah dua kali ‘take’, tak ada pula bunyi ayam. Tiba-tiba masa tekan butang ‘on record’ kali ketiga, ayam pun berkokok. Masa itulah mereka buat hal… Itu yang terkeluar secara spontan perkataan ‘nate aye’ (binatang ayam) tu. Bunyi itu nyaring sebab ‘meja kerja’ saya tempatkan di ruang tamu,” katanya sambil ketawa kecil. Menurut guru berusia 41 tahun ini, rakaman berjalan lancar selepas dia menghalau ayam-ayam berkenaan.

“Ayam-ayam tu ayam hutan peliharaan kami. Memang nyaring sikit bunyinya. Lepas dah halau tu baru saya rakam semula. Sebenarnya saya tak tahu ia boleh jadi viral sebab saya tak muat naik di media sosial. Selepas buat rakaman, kami para guru prasekolah berkongsi video masing-masing di Group WhatsApp untuk kongsi pandangan dan sebagainya. Masa itu saya berseloroh jangan share di mana-mana, nanti viral. Pada mulanya dikongsi di group sekolah dan keluarga saja… entah macam mana viral baru-baru ini. Masa dapat tahu viral, terkejut campur takut… bimbang juga sebab saya cikgu, takut bagi kesan kepada imej sekolah dan pendidik. Tapi pihak sekolah okay saja. Malah dapat kata-kata positif yang hargai usaha para guru untuk sampaikan ilmu walaupun berdepan cabaran,” ujarnya yang menetap di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ayam-ayam tu ayam hutan peliharaan kami. Memang nyaring sikit bunyinya. Lepas dah halau tu baru saya rakam semula.

Bercerita lebih lanjut, Sohailawati yang merupakan guru di Prasekolah Pelangi, SK Pulau Kundor, Kota Bharu, berkata antara cabaran lain sesi PdPR adalah masalah liputan internet.

Untuk mengatasi masalah liputan internet, Sohailawati dan guru yang lain akan mengaturkan perjumpaan mingguan dengan ibu bapa bagi mengagihkan bahan pembelajaran kepada anak murid.

“Liputan internet di rumah saya okay tapi cabarannya adalah anak-anak murid saya sebab sekolah kami walaupun di Kota Bharu, lokasinya sedikit pedalaman. Jadi ada masalah dari segi liputan internet. Dalam pada itu, tak semua anak murid saya ada akses internet kerana sebahagian besarnya bukan orang senang… ibu bapa mereka adalah golongan nelayan dan pencanting batik. Jadi untuk atasi masalah ini, kami akan adakan perjumpaan mingguan dengan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil bahan pembelajaran murid. Ia dilakukan mengikut masa yang ditetapkan guru untuk elakkan perkumpulan.Itulah inisiatif yang kami lakukan untuk pastikan ilmu sampai kepada murid. Yang penting, kami cuba lakukan sehabis baik untuk murid-murid,” ujarnya.

Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor, tempat Cikgu Sohailawati mengajar murid prasekolah.

Tidak menyangka sama sekali videonya tular, Sohailawati bagaimanapun gembira kerana ramai yang terhibur malah turut menzahirkan pujian kerana kagum dengan kesungguhan golongan pendidik.

“Itulah…. kerana ayam, tak sangka pula tuannya viral. Saya okay saja jika ia menghiburkan ramai orang. Dalam pada itu, saya nak ucapkan tahniah kepada semua guru yang gigih untuk memastikan PdPR berjalan seperti biasa walaupun kini dalam norma baharu,” ujar anak jati Kelantan ini lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *