Usahawan ini berniat untuk membantu mereka yang kesusahan sewaktu pandemik ini. Sekali tak sangka dia jual sesuatu ini secara sebiji sebiji.

Amalan Kehidupan Semasa Uncategorized Viral

Buah petai merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai bau yang kuat namun sangat menyelerakan apabila dimasak sekali dengan sambal atau dimakan begitu sahaja sebagai ulam-ulaman. Buah yang umumnya dijamu oleh masyarakat dari Asia Tenggara ini bukan sahaja enak, malah ianya juga padat dengan khasiat sehinggakan buah ini turut dimakan oleh orang putih.

Secara umumnya, buah yang boleh didapati di pasar tani atau pasaraya ini dijual mengikut ikat. Namun, berbeza pula dengan usahawan ini yang memilih untuk menjual petai-petainya secara borong, runcit dan yang terbaharu, secara biji. Melihat kepada perkongsian yang dibuat oleh usahawan ini pastinya menimbulkan persoalan. Betulkah petai-petai ini dijual secara sebiji-sebiji atau gimik semata-mata?

Untuk makluman, petai yang dijual oleh usahawan ini memang boleh didapati secara sebiji-sebiji untuk mereka yang kurang berkemampuan namun masih mahu menjamah petai. Abdul Haq Bin Abdul Razak merupakan seorang usahawan sayuran dan buah-buahan dan jualanya terdiri dari petai, durian, strawberi dan juga sayuran lain yang dikumpul beliau dari Cameron Highland dan dijual di Sedim, Kulim, Kedah. Menurut Haq, terdapat peningkatan permintaan untuk petai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan. Ekoran permintaan yang tinggi dan harga petai Cameron yang mahal, maka tercetuslah idea untuk menjual petai secara biji.

“Untuk mereka yang tiada pendapatan atau kurang berkemampuan dan masih mahu makan petai tapi tak mampu sebab harga petai Cameron yang mahal, bolehlah beli petai secara sebiji-sebiji dari saya. Nak sepuluh biji pun boleh, nak lima biji pun boleh,” ujar Haq kepasa team The Vocket.

Menurut usahawan itu lagi, harga petai yang dijual oleh beliau secara umumnya memang agak mahal dari penjual yang lain jika dibeli secara borong. Hal ini kerana petai yang dijual beliau adalah dari Cameron dan memang terkenal dengan kualitinya yang tersendiri.

“Ramai yang complain kepada saya dan kata bahawa petai Cameron ini dijual dengan harga Yahudi, tapi untuk mereka yang pernah rasa sendiri petai ini pasti tahu tentang kualiti dan rasanya yang lemak manis. Kerana itulah petai ini dikatakan petai yang terbaik dari petai yang lain seperti petai Siam, contohnya,” jelas Haq.

Terima sambutan yang memberangsangkan

Petai yang dijual secara sebiji-sebiji ini memang kedengaran agak aneh akan tetapi jualan ini mendapat sambutan yang baik dari pembeli. Menurut Haq, permintaan untuk jualan petai secara sebiji-sebiji memang agak memberansangkan. Difahamkan, ramai yang ingin membeli petai secara sebiji-sebiji sehinggakan ada yang meminta beliau untuk mengepos petai-petai tersebut. Tambah Haq lagi, musim PKP dan kesukaran untuk keluar dari rumah juga telah mendorong kepada peningkatan permintaan tersebut.

“Bagaimanapun, saya tak galakkan pembeli meminta petai ini untuk dipos kerana saya bimbang jika kualiti terjejas dan saya juga tak mahu pelanggan saya untuk menunggu lama-lama. Saya lebih galakkan kalau mereka ambil sendiri atau saya sendiri yang hantarkan ke rumah,” Jelas Haq kepada team The Vocket. Pelanggan selalunya akan beli dalam sepuluh ke tiga puluh biji. Untuk pelanggan yang nak masak untuk keluarga pula selalunya akan beli secara pack terus dengan harga RM10 untuk 100 gram,” tambah Haq lagi. Meskipun usahawan ini berpangkalan di Kulim, Kedah, petai-petainya masih boleh dinikmati oleh mereka dari negeri-negeri yang lain kerana beliau turut juga mempunyai agen untuk setiap negeri.

Graduan Ini Pilih Untuk Menjadi Usahawan Di Kampungnya. Tak Sangka Perniagaannya Mendapat Sambutan Dan Berharap Akan Lebih Berkembang Pada Tahun Baru Ini.

Persekitaran kampung di tempat tinggalnya cukup sesuai untuk menjalankan perniagaan dan perusahaan ikan air tawar. Lepasan universiti pada era pandemik pastinya berdepan detik sukar untuk melangkah masuk ke alam pekerjaan.

Dengan ekonomi yang tidak menentu, banyak syarikat tidak membuka peluang kerjaya, sekali gus memberi kebimbangan kepada para graduan. Namun, lain pula kisah graduan Sains Marin dari Univerisi Malaysia Sabah (UMS) ini yang memilih untuk menjadi usahawan akuakultur.

Menurut Noel Juvinol Joimil Regencia, 24, dari Penampang, Sabah, minat sejak sekian lama terhadap bidang itu baru dapat direalisasikannya sebulan yang lalu.

Noel merupakan graduan UMS dalam bidang Sains Marin.

“Ia bermula dari hobi sewaktu saya masih belasan tahun lagi. Saya gemar ikan air tawar. Dari situ saya timba pengalaman untuk penjagaan ikan. Bidang akuakultur ni memang impian saya sebelum masuk UMS lagi. Memang minat nak buka bisnes. Di UMS, makin banyak ilmu yang saya pelajari. Bermula dengan penjagaan akuarium kecil, kini saya menggunakan kolam kanvas besar,” ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Noel, perniagaan melibatkan ikan gapi dan talapia itu diusahakan di belakang kediamannya yang mana dia turut mendapat sokongan keluarga, rakan-rakan serta mentor. Jelasnya, persekitaran kampung di kawasan itu juga cukup sesuai untuk dia menjalankan perniagaan berkenaan yang diharap mampu berkembang luas suatu masa nanti.

Bagi saya, saya lebih suka masa sendiri. Risau terikat dengan masa pejabat sehingga impian saya akan hilang.

“Saya tinggal di kawasan kampung. Kolam kanvas juga belum siap sepenuhnya, ada yang masih dalam pembinaan. Kita buat berperingkat mengikut fasa. Kolam kanvas ni dibuat di atas darat. Modal dalam RM15,000, tapi nanti perlu tambah lagi. Selain sokongan dan bantuan keluarga, rakan-rakan serta mentor dalam bidang ini juga banyak membantu saya,” ujarnya lagi.

Perniagaan itu baru sahaja bermula sekitar Disember lalu.

Tambahnya lagi, dia turut bersyukur apabila rakan-rakan di media sosial turut membantu dan membuat hebahan mengenai perniagaan yang diusahakannya. Dalam pada itu, Noel berkata dia selesa memilih pekerjaan sebagai penjual ikan dan tidak mengimpikan untuk berpakaian segak ke pejabat seperti kebanyakan graduan lain. Malah, dia bersyukur apabila perniagaan yang baru bertapak ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

Noel mahu perniagaannya itu berkembang sehingga ke luar Sabah suatu masa nanti.

“Bagi saya, saya lebih suka masa sendiri. Risau terikat dengan masa pejabat sehingga impian saya akan hilang. Sambutan sangat menggalakkan dari hari ke hari. Cuma kadang-kadang risau dengan cuaca. Nak jaga ikan hidup, kena monitor 24 jam. Perubahan suhu mendadak juga boleh sebabkan ikan mati. Bisnes saya baru satu langkah, perjalanan masih jauh lagi. Saya harap 2021 jadi year for growth. Saya juga impikan agar dapat supply ikan sehingga ke luar negara suatu hari nanti,” katanya lagi.

Bekas Pelajar Pintar Ini Dedah Kisah Kesusahan Yang Dia Alami Pada Zaman Sekolah Dulu. Kini Tak Sangka Dia Dikenali Sebagai Usahawan Terkenal.

Dahulu dan kini… Ahmad Shahir melalui pelbagai dugaan sebelum bergelar usahawan berjaya. Segelintir budak-budak sekarang relaks saja apabila mendapat keputusan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan kisah Instafamous yang gagal dalam akademik.

Selain kisah yang tular itu juga, terdapat usahawan dan personaliti media sosial yang memperoleh keputusan gagal SPM, mahu menunjukkan bahawa sesiapapun masih boleh berjaya dalam hidup meskipun gagal dalam akademik. Enggan mempromosikan budaya gagal dalam pelajaran, seorang pemuda sebaliknya mempunyai pendirian yang berbeza dengan mempamerkan keputusan cemerlang dalam SPM.

Kecoh mengenai perkongsian foto salinan sijil SPM miliknya dengan keputusan 10A yang menjadi tular di media sosial, baru-baru ini. Pendek kata semua keputusan peperiksaan pemuda ini dengan ‘straight A’, termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Sijil SPM milik Ahmad Shahir dengan keputusan ‘straight A’.

Bukan orang kaya

Bukan mahu berlagak, namun anak kelahiran Marang, Terengganu ini mempunyai alasan tersendiri untuk berkongsi kisah kejayaannya kepada masyarakat. “Ala, bolehlah kau budak pandai. Keluarga kayalah tu. Ni sure lahir-lahir pandai. Kau dari dulu hebat, bolehlah,” demikian antara kata-kata yang diterimanya.

Siapa sangka, di kala kita enak menikmati ayam goreng makanan segera sehingga menjilat jari, usahawan ini sebenarnya pernah struggle untuk merasai keseronokan itu ketika zaman kanak-kanaknya. “Saya lahir daripada keluarga yang kalau nak makan ayam KFC tu, saya kena dapat markah tinggi, kena dapat nombor satu baru boleh dapat makan ayam goreng tu.

“Itu pun mungkin setahun sekali. Dulu keadaan keluarga saya, ayam goreng tu memang susah gila nak dapat,” ujar pengasas bersama Biscochiz, Ahmad Shahir Ismail sambil menjelaskan beliau bukan dilahirkan dalam keluarga berada. Bagaimanapun, anak kepada seorang guru wanita dan penjawat awam ini menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dalam keluarga.

Pendek kata kalau tak score, habislah! Tidak minat belajar itu bukan perkara biasa, tetapi dididik sampai ada minat dan kesungguhan, itu yang luar biasa. “Kalau tak belajar, mak dan arwah ayah siap pegang rotan. Saya bukannya suka sangat belajar, tetapi ada benda memang kena paksa. Kalau boleh, saya nak main guli petang-petang, main (kereta) Tamiya dengan rakan-rakan,” ujar pemuda berusia 36 tahun itu.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, keinginannya untuk bermain permainan video seperti rakan-rakan lain, Playstation turut diduga sebaik melangkah ke sekolah menengah.

Member saya masa kecil dulu tu ramai ada Playstation 1, tapi saya tak ada. Setiap kali balik dari rumah member, mesti saya tanya dekat mak, kenapa Shahir tak boleh ada Playstation? Kenapa kawan Shahir, mak bapa dia belikan? Sampaikan mak saya pun naik angin, dia kata ‘stop pergi rumah kawan tu’. Dulu, saya ingat mak ayah jenis tak sayang saya, tak boleh nak bagi apa yang saya nak,” kata beliau.

Kenangan… Ahmad Shahir (bulatan merah) bersama guru dan rakan-rakan.

Kerja keras

Namun realitinya, Ahmad Shahir berkata, dibesarkan dalam keluarga sebegitu membuatkan segala-galanya perlu dibuktikan dengan usaha, kesungguhan dan kejayaan.

“Nak ayam goreng, nak mainan, kena belajar rajin-rajin. Saya kena usaha keras daripada kecil lagi untuk mendapatkan sesuatu. Nasihat itu tanda sayang mak dan arwah ayah. Saya tahu mak dan arwah saya bekerja keras nak sara saya dan adik-beradik. Saya pernah tengok mereka balik kerja penat, ada banyak kali stay up malam-malam nak dapatkan duit lebih. Daripada situlah saya nampak kena kerja keras. Mak dan ayah pernah pesan, Kalau nak berjaya, respek cikgu, dengar cakap cikgu, jangan nak melawan. Jadi, itu yang saya amalkan sejak kecil. Selalu duduk depan. Cikgu suruh buat homework, saya buat. Kena marah dengan cikgu? Saya diam je, sebab itu memang salah saya sebab tak ikut cakap cikgu. Saya bangga mak ayah didik saya macam tu,” kata beliau sambil menambah ibunya yang kini berusia 60 tahun.

Dek kerana didikan ibu bapa yang mementingkan pendidikan dan respek pada guru-guru yang mendidik sehingga mendapat ‘straight A’, Ahmad Shahir bersyukur dapat menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan di Universiti Vanderbilt di Tennessee, Amerika Syarikat (AS) dengan biasiswa penuh selama empat tahun sehingga 2006.

“Saya dulu bukan reti speaking, tapi saya berusaha untuk belajar. Saya tak nak mak ayah kecewa. Saya tahu mak dan arwah ayah tak mampu nak sponsor saya belajar di luar negara macam keluarga lain. Itu sebab saya berusaha bersungguh-sungguh. Dan bila saya dah tamat pengajian di Universiti Vanderbilt, saya terharu sampai menangis bila mak dan ayah sanggup datang ke AS untuk meriahkan majlis konvokesyen saya. Mereka sanggup menyimpan selama berbulan-bulan untuk tanggung perbelanjaan terbang ke AS. Bukan sahaja mendidik, mereka juga berusaha untuk capai apa yang dihajati dan ia dibuktikan dengan bersama saya di bumi Amerika!” kata beliau dengan nada teruja.

Isteri Ahmad Shahir, Wan Nurasyikin bersama produk keluaran Biscochiz.

Berpengalaman menjadi jurutera selama dua tahun. Ahmad Shahir nekad untuk mencuba nasib dalam pelbagai bidang jualan dan pemasaran sejak 2008. Pernah merasai kesusahan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu sejak kecil lagi, ternyata banyak mengajar beliau mengenai erti kehidupan yang sebenar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *