Gadis pink walker ini bersyukur setelah menerima sesuatu ini pula daripada pihak tersebut. Kini dia tampil ceritakan kisahnya selama ini.

Amalan Semasa Viral

Lin bersama dua insan yang banyak membantunya sehingga kisahnya viral di media sosial. “Saya terlalu bersyukur dan terharu… asbab daripada kebaikan insan yang viralkan kisah saya, banyak yang tolong dan beri sumbangan.”

Itulah yang dikatakan oleh Lin atau nama sebenarnya Norsazlin Safika, gadis yang tular di media sosial kerana gigih mencari rezeki sebagai seorang penghantar makanan pejalan kaki Foodpanda atau dipanggil Pink Walker. Tidak sangka, tidak lama selepas itu kisahnya menjadi tular dan mendapat perhatian ramai sebaik sahaja memuat naik di media sosial.

Sebenarnya, kisahnya ini ditularkan hasil daripada sekumpulan rider Foodpanda di kawasan Kulim, Kedah untuk meraih dana untuk menghadiahkannya sebuah basikal bagi memudahkan pergerakannya untuk membuat kerja ini. Malah siapa sangka, rezekinya mencurah-curah apabila dia turut menerima sumbangan berupakan sebuah motosikal dan tajaan untuk membuat lesen daripada pihak perseorangan.

Kisah Lin turut mendapat perhatian individu mulia yang menghadiahkannya sebuah motosikal.

“Sebetulnya saya memang tidak jangka langsung… saya nak ucapkan terima kasih kepada insan yang mula-mula viralkan kisah saya iaitu Kak Bella serta suami dan Kak Solihah. Terima kasih kepada rider-rider Foodpanda yang usahakan kumpul dana beli basikal. Terima kasih juga kepada Encik Sanggaran Muniandy yang hadiahkan motosikal dan Jimat Canggih Kulim yang sponsor lesen motosikal. Juga terima kasih kepada semua yang prihatin, curi-curi tangkap gambar saya… semuanya asbab daripada usaha mereka semata-mata nak tolong saya,” ujar gadis berusia 22 tahun ini.

Menyingkap serba sedikit mengenai dirinya, Lin berkata dia berhijrah seorang diri ke Kulim kerana nekad mahu mencari rezeki demi meraih pendapatan semata-mata mahu membantu ibunya yang kini terkandas di Bukit Tinggi, Indonesia sejak setahun lalu gara-gara pandemik Covid-19.

Kisah Lin sebagai Pink Walker pernah viral minggu lalu selepas gambarnya berjalan kaki menghantar makanan, tular di media sosial.

“Sebelum ini saya dan abang jual minuman buah-buahan di Negeri Sembilan. Tapi perniagaan sudah tak mendapat sambutan kerana pandemik Covid-19. Jadi saya perlu cari kerja lain untuk raih pendapatan. Saya terlihat mengenai pekerjaan Pink Walker di internet dan berhasrat nak cuba nasib. Kebetulan kakak saudara ada dekat Pulau Pinang, jadi saya fikir nak berhjrah ke sana. Masa mendaftar, saya tak sengaja pilih Pink Walker bahagian Kulim sebab ingatkan dekat dengan kakak saudara. Akhirnya saya reda cari rezeki dekat sini. Mungkin inilah hikmahnya. Saya nekad berhijrah sebab nak bantu kirim wang untuk ibu… dah setahun kami tak berjumpa selepas ibu terkandas di kampung. Di sana, keadaan ibu pun susah. Sebab itu saya nak bantunya. Tak tahu bila boleh berjumpa… kami hanya video call untuk lepas rindu,” katanya. Tambah Lin, dia menyewa sebuah bilik di Kulim dan baru sahaja memulakan kerja sebagai Pink Walker pada 25 Januari lalu.

Saya nekad berhijrah sebab nak bantu kirim wang untuk ibu… dah setahun kami tak berjumpa selepas ibu terkandas di kampung.

Namun, dia akui memang pelbagai cabaran yang perlu dia hadapi sepanjang memulakan kerja. Walau bagaimanapun, lin tetap bersyukur kerana sering berjumpa dengan insan-insan yang baik hati.

“Nak kata penat jalan kaki, memang penat tapi bagi saya, apa jenis pekerjaan pun penat. Pernah juga terserempak dan dikejar anjing. Perasaan takut tu ada lebih-lebih lagi bab keselamatan ketika berjalan seorang diri. Tapi saya sentiasa baca doa dan mohon perlindungan Allah sepanjang keluar bekerja. Alhamdulillah, selalu jumpa orang baik-baik. Ada yang pernah tumpangkan kereta, ada yang selalu beri wang lebih, belanja minuman. Terima kasih sangat-sangat.

Lin bersama rider Foodpanda Kulim yang membantunya mengumpul dana untuk membeli sebuah basikal, sebelum ini.

“Pokok pangkalnya, kena ikhlas dan tetapkan niat untuk apa kita cari rezeki. Itulah yang menguatkan semangat saya untuk terus bekerja,” ujarnya. Dalam pada itu, Lin mengakui banyak mendapat tawaran kerja selepas kisahnya viral. Bagaimanapun ujarnya, dia lebih selesa untuk bekerja sebagai Pink Walker buat masa ini kerana seronok dengan pengalaman yang ditimba.

“Ya, ramai yang tawarkan kerja… saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua, tapi saya mohon maaf sangat-sangat kerana terpaksa tolak secara baik. Saya seronok dengan pekerjaan saya sekarang dan buat masa ini, saya fikir nak bekerja sebagai Pink Walker terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Gadis Lin Ini Kekal Tabah Mencari Wang Hasil Titik Peluhnya Sebagai Pink Walker. Sekali Tindakan Gadis Ini Dapat Memudahkan Sedikit Kerjanya.

Tular cerita gadis bernama Lin yang berusaha mencari rezeki sebagai Pink Walker sehingga ramai sudi memberi sumbangan pada dirinya. Memang tidak pelik, sejak pandemik Covid-19 ini menular, kebanyakan rakyat begitu terkesan dengan keadaan dunia sekarang sehingga ada yang kehilangan pekerjaan. Ketika ini tiada lagi istilah memilih pekerjaan, asalkan ia mampu memberikan pendapatan untuk meneruskan kehidupan dengan pekerjaan yang halal.

Beginilah juga kisah gadis bernama Lin ini yang sanggup memilih pekerjaan sebagai foodpanda pejalan kaki atau dikenali sebagai Pink Walker demi untuk mencari hasil titik peluh sendiri. Kisah Lin ini mula menarik perhatian sejak dimuat naik di instagram oleh seorang wanita ini. lalu turut tular selepas dikongsikan oleh pelayar lain di Facebook. Menurut gadis bernama Bella Audri ini, niatnya hanya mahu berkongsi di Instagram Story unutk meminta sesiapa yang sudi memberi sumbangan daipada kenalannya di Instagram bertujuan untuk membeli sebuah basikal untuk memudahkan pergerakan Lin.

Bella berkongsi kisah Lin yang bekerja sebagai Pink Walker di Instagram Story, sebelum ia tular di Facebook.

“Suami saya, Yeop Huzaifah kebetulannya merupakan seorang rider Foodpanda di sini (Kulim). Baru-baru ni dia dan rakan-rakan nampak adik Lin ni berjalan kaki hantar pesanan. Sebelum ni tak pernah nampak. Jadi dia dan rakan-rakan pun approach dan bertanya adik ni serba sedikit. Rupa-rupanya adik ni baru je datang ke Kulim seorang diri, nak cari rezeki sebagai Foodpanda Walker sebab tak semua tempat ada ‘walker’. Menurut cerita adik ni, ibunya di Indonesia, ayah sudah meninggal. Adik beradik lain di Melaka. Dia berusia 22 tahun dan kini menyewa sebuah bilik di pekan ni. Suami dan rakan-rakan rider Foodpanda pun pakat-pakat nak kutip sumbangan untuk beli basikal sebab nak mudahkan pergerakannya mencari rezeki… untuk keselamatannya juga sebab dia perempuan,” cerita wanita berusia 28 tahun ini.

Hasil sumbangan yang dikutip akhirnya hajat untuk membelikan Lin sebuah basikal tercapai.

Tambah Bella, dia sama sekali tidak menyangka kisah Lin meraih perhatian ramai sehinggakan sumbangan yang diterima lebih daripada mencukupi walaupun pada asalnya dana yang dikutip hanyalah untuk membelikan sebuah basikal.

“Selepas rakan saya share di Facebooknya, bertalu-talu orang hantar mesej di Direct Message (DM), WhatsApp dan sebagainya… malah sumbangan yang diterima lebih daripada cukup. Timbul pula isu kenapa saya sertakan nombor akaun bank saya dan suami, bukan adik Lin. Ada juga persoalkan kenapa tak letak nombor telefon Lin. Saya nak jelaskan, sebelum ini kami hanya nak kutip dana beli basikal saja dan hanya hebah kepada rakan-rakan.

“Dalam masa yang sama, Lin pun enggan nombor telefonnya didedahkan. Tapi viral selepas rakan saya share di Facebook… tak sangka begitu banyak sumbangan yang diterima. Alhamdulillah, niat untuk beli basikal untuk Lin dah ditunaikan selepas dua hari hebahan dilakukan. Manakala lebihan sumbangan, kami dah berbincang dengan Lin sendiri dan merancang untuk menggunakannya mendapatkan lesen motosikal, serta buat bayaran muka untuk membeli motosikal kelak,” katanya.

Alhamdulillah, tak sangka sumbangan datang dari pelbagai ceruk… malah ada yang bukan Islam pun sama-sama menyumbang.

Dedah Bella lagi, jika diikutkan, wang yang berjaya dikumpul itu masih mempunyai lebihan baki namun menurutnya, Lin sendiri menolak kerana merasakan apa yang diterimanya lebih daripada mencukupi.

“Lin mahu wang tersebut disedekahkan kepada orang lain yang memerlukan. Dia kata kalau beli motosikal, dia sendiri nak bayar ansuran bulanan dengan wang hasil titik peluhnya sendiri. Lihatlah betapa bagus akhlaknya. InsyaAllah, selepas ini kami akan menggunakan wang lebihan itu untuk membantu orang lain pula,” ujarnya.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Bella bagaimanapun bersyukur dan terharu kerana pertolongan kecilnya itu mendapat perhatian ramai sekali gus menjadi platform untuk sama-sama mengumpul pahala.

Rider Food Panda sewaktu sesi penyerahan basikal kepada Lin pada Khamis.

“Selain sumbangan wang, ada yang nak tawarkan Lin pekerjaan namun dia mahu berbincang dengan keluarga dahulu katanya. Alhamdulillah, tak sangka sumbangan datang dari pelbagai ceruk… malah ada yang bukan Islam pun sama-sama menyumbang. Nilai kecil atau besar bukan ukuran, tetapi niat untuk sama-sama berkongsi rezeki sebab masing-masing faham betapa struggle sekarang nak cari rezeki. Rider-rider kawan suami pun seronok dapat sama-sama buat kerja kebajikan selepas kisah Lin ni tular. InsyaAllah dana yang ada akan digunakan untuk bantu orang lain pula. Moga kita sama-sama dapat kumpul bekalan untuk ‘di sana’ (akhirat) kelak,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *