Pelajar ini tidak merungut walaupun terpaksa menyiapkan tugasan di wad Covid 19. Walaupun sudah mendapat pelepasan dari pensyarah.

Amalan Kehidupan Keluarga Uncategorized

Adiib dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19. Tangkapan skrin video tugasan yang dilakukan Adiib dari dalam wad. Pandemik Covid-19 menyaksikan pelajar berdepan dengan cabaran menyiapkan tugasan dari rumah terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak terkecuali, segelintir mereka mengeluh dengan norma baharu itu. Namun seorang pelajar universiti menjadi perhatian apabila menyiapkan tugasan dari wad Covid-19. “Semalam punya cerita, pelajar Covid-19, kuarantin di hospital hantar video tugasan dan buat presentation tanpa complaint (keluhan). Siap pakai baju hospital lagi. Mencari ilmu itu jihad. Fikir positif dan kekal selamat. Well done (Bagus).” tulis seorang pensyarah di laman Instagram miliknya, Sabtu.

Pelajar berkenaan, Muhammad Adiib Abdul Razak berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada 27 Disember lalu selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Video yang dibentangkan dalam pembentangan tugasan berkumpulan.

Pemuda berusia 20 tahun itu berkata, dia kini mengikuti pengajian tahun dua Diploma Sains Sukan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur. “Sebelum disahkan positif Covid-19, saya terlebih dahulu menerima tugasan berkumpulan bagi subjek Infrastruktur Gimnasium di mana tarikh akhir serahan pada 5 Januari 2021. Saya telah memaklumkan kepada pensyarah mengenai keadaan saya dan diberikan pelepasan untuk menghantar tugasan sebaik sembuh dan discaj,” kata kepada mStar.

Adiib dimasukkan ke Hospital Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Tumpat.

Walaupun tugasan berkumpulan, dia yang lebih mesra disapa Adiib berkata, setiap ahli kumpulan perlu membuat video secara individu dan dihimpunkan sebagai video komplikasi. Pemuda yang berasal dari Kok Lanas di Ketereh, Kelantan bersyukur apabila enam ahli kumpulannya yang lain memahami keadaan kesihatannya, malah sedia menawarkan bantuan. “Ada antara rakan-rakan dalam kumpulan saya mahu membantu menyiapkan tugasan dengan membuat video bagi pihak saya dan saya hanya perlu melakukan presentation,” ujarnya yang dimasukkan ke Hospital Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Tumpat di Kelantan.

Adiib (belakang, tiga dari kanan) bersama pasukan bola sepaknya.

Bagaimanapun, anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, dia lebih selesa untuk melakukannya sendiri kerana tugasan berkumpulan memerlukan komitmen semua pihak. “Kalau saya tunggu discaj dan pulang ke rumah, nanti kerja rakan-rakan tertangguh kerana ia tugasan berkumpulan. Jadi, saya ada rasa tanggungjawab untuk melakukannya di hospital dan syukur keadaan saya stabil untuk membuat tugasan itu, iaitu membuat video berdurasi 30 saat mengenai latihan senaman yang melibatkan kekuatan otot,” katanya sambil menambah senaman itu amat bersesuaian untuk dilakukan di rumah terutama ketika PKP.

Aktiviti keagamaan dan kerohanian yang dilakukan Adiib semasa menjalani rawatan di hospital.

Dari bilik yang dihuni empat pesakit Covid-19 pada 4 Januari lalu, Adiib yang aktif bermain bola sepak itu membuat rakaman mengenai dirinya melakukan latihan squat untuk ketahanan otot, mengekalkan postur dan keseimbangan badan. Penyokong kelab Manchester United itu berkata, tempoh rawatan dan kuarantin di hospital turut diisi amalan gaya hidup sihat dan aktiviti kerohaniaan serta keagamaan bersama pesakit-pesakit lain.

Syukur alhamdulillah saya bukan sahaja dapat menyempurnakan tugasan, malah berpeluang untuk melakukan presentation bersama ahli kumpulan

“Saya sudah terbiasa ke gim untuk bersenam kerana perlu mengekalkan stamina dan kecergasan untuk bermain bola sepak di padang. Jadi, setiap pagi di hospital saya akan mengambil peluang untuk bersenam seperti lari setempat dan melakukan push up (tekan tubi) serta lompat bintang. Di mana saja di wad termasuk melakukannya di bilik mandi,” katanya.

Adiib yang aktif bermain bola sepak bercita-cita untuk menjadi guru sukan.

Dalam pada itu, Adibb berharap agar semua pelajar yang mengikuti pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh (ODL) bersemangat dan sentiasa berfikiran positif untuk menyiapkan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Bagi pensyarah pula, Adibb meminta mereka memahami situasi pelajar ketika pandemik ini, di mana saling memahami antara satu sama lain dapat mewujudkan situasi pembelajaran yang sempurna. Bercita-cita untuk menjadi guru sukan mengikut jejak langkah bapanya, pemuda ini telah sembuh dan discaj dari hospital pada minggu lalu.

“Syukur Alhamdulillah saya bukan sahaja dapat menyempurnakan tugasan, malah berpeluang untuk melakukan presentation bersama ahli kumpulan pada Jumaat (15 Januari). Segalanya berlancar dengan lancar, saya lega dan berpuas hati dengan tugasan ini kerana masih dapat melakukannya sendiri dari dalam wad,” katanya sambil menambah akan menghadapi peperiksaan akhir semenster minggu depan.

Guru Ini Berkongsi Rasa Sebak Apabila Berjumpa Seorang Pelajar SPM Di Bengkel Motor. Sekali Pelajar Ini Minta Guru Ini Mendoakannya Dan Dia Juga Beritahu Apa Yang Dia Nak Buat Dengan Gaji Pertamanya.

Seorang guru berkongsi kisah pertemuannya dengan seorang remaja yang menghantar motosikal ibunya untuk dibaiki. Sejakkebelakangan ini, banyak kisah mengenai pelajar gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disajikan kepada masyarakat. Walaupun berdepan kegagalan, ia bukan bermaksud gelap masa depan, tetapi adalah lebih baik mempromosikan budaya cemerlang dalam pelajaran. Ketika ada yang menganggap SPM bukan perkara penting, seorang guru berkongsi pengalaman bertemu seorang pemuda di sebuah bengkel motosikal.

“Hari tu saya pergi ke sebuah bengkel nak perbaiki motor. Tak lama lepas saya datang, ada seorang budak baru sampai nak servis motor juga. Motor lama, Yamaha Sport. Sambil duduk kat bangku saja, saya sembang dengan dia. Budak tu kata dia nak ambil SPM tahun depan,” tulis guru berkenaan di laman Facebook bernama Muhammad Yusof.

Sementara menunggu musim persekolahan baharu yang bakal dibuka awal tahun ini, kata Muhammad Yusof, anak muda itu bekerja secara sambilan di sebuah pasar raya. Di bengkel itu, pemuda berkenaan berkongsi berita gembira mengenai dia baru menerima gaji pertama pada hari tersebut.

“Dia kata; Dapat gaji pertama ni bang benda pertama saya nak buat, saya nak pergi servis motor mak saya. Dengan motor inilah mak saya guna hantar saya dan adik-adik pergi sekolah. Harap SPM saya dapat baik bang, doakan saya ye bang. Saya nak balas jasa mak saya, ayah saya. Saya nak balas jasa cikgu-cikgu yang banyak tolong saya sekeluarga.

Perkongsian Muhammad Yusof di Facebook.

“Bila dia cerita macam tu, ya Allah, punyalah sebak saya masa tu. Air mata saya nak tumpah dah masa tu tapi saya kawal (tahan),” ujarnya. Susulan pertemuan tersebut, Muhammad Yusof dapat membuat kesimpulan mengenai kesediaan seorang remaja meskipun bukan dilahirkan dalam keluarga yang berada.

Moga dengan asbab dia berjaya dalam SPM nanti, bakal mengubah landskap keluarganya ke arah yang lebih baik.

“Pada saya, inilah contoh kemenjadian murid terbaik yang saya pernah jumpa depan mata saya. Alangkah baiknya kalau semua anak-anak murid saya dan semua murid kat Malaysia dapat mencontohi budak ni. Dia mungkin tak kaya harta tapi saya nak ucapkan jutaan tahniah pada si ibu dan cikgu-cikgunya kerana dapat membentuk peribadi budak ni, jadi sebaik ini,” tambahnya.

Keperibadian seorang remaja menarik perhatian Muhammad Yusof.

Bukan sekadar mahu membaiki motosikal ibu menggunakan gaji pertama, malah pemuda itu mahu menghargai keluarganya dengan belanja makan. “Lepas ni nak pergi mana? Saja saya tanya. Dia kata dia nak pergi beli KFC nak jamu mak dan adik-adik makan sedap sikit hari ni, lama tak makan sedap-sedap dia kata. Dalam hati, saya berdoa semoga dia akan dapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan jadi anak yang baik buat keluarganya. Moga dengan asbab dia berjaya dalam SPM nanti, bakal mengubah landskap keluarganya ke arah yang lebih baik. Naluri saya percaya budak ni akan jadi someone special satu hari nanti, InsyaAllah. Amin,” ujar Muhammad Yusof.

Disebabkan Kertas Catatannya Pernah Basah Akibat Hujan Dulu. Kini Dia Lebih Kreatif Dengan Create Nota Di Iphone 7 Miliknya.

Setiap pelajar ada cara tersendiri setiap kali mahu mengulang kaji pelajaran. Ada yang gemar membaca buku tebal, ada pula yang kreatif mencipta nota-nota ringkas tersendiri. Begitu juga dengan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini yang tular dek nota-nota kreatif hasil ciptaannya sendiri. Menurut Danish Haiqal Shajehan, 17, nota yang tular di Twitter itu dihasilkan menggunakan telefon pintar iPhone 7 miliknya.

“Dulu selalu buat nota atas kertas, tapi pernah basah banyak kali akibat terkena hujan. Jadi saya buat secara maya, lebih ramai dapat manfaat. Dulu saya buat guna iPad rakan di sekolah.

Kata Danish, nota itu cukup memudahkan urusan pengajiannya di sekolah.

“Sekarang duduk rumah, saya guna telefon sahaja,” ujarnya yang mesra disapa Danish. Menurut penuntut Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu, ia juga agak mencabar memandangkan skrin telefon itu bersaiz kecil. Namun katanya, hasil akhir membolehkan dia mengulang kaji pelajaran dengan lebih efisyen dan menyeronokkan. Kalau nak exam, jimat masa tak perlu buka buku tebal.

Antara nota yang dihasilkan Danish menggunakan pen khas dan telefon iPhone 7 miliknya.

“Agak mencabar sebab skrin kecil. Saya juga gunakan sejenis pen khas untuk melukis di skrin telefon. Biasanya satu nota ambil masa dua jam lebih. Susah sebab tangan saya berpeluh,” ujarnya lagi. Menurut Danish, penghasilan nota secara digital itu juga ternyata menjimatkan kos dan mesra alam.

“Sebelum ni bila buat nota atas kertas, saya banyak menggunakan pen berwarna-warni. Sekarang tak perlu pakai pen, unlimited boleh buat. Jimat kos. Saya dulu pernah sertai pertandingan syarahan. Banyak skrip kena hafal, jadi saya buat nota kecil begini.. Senang. Kalau nak exam, jimat masa tak perlu buka buku tebal, tengok nota sahaja,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, nota-nota yang dihasilkan Danish turut menerima pujian ramai di Twitter. Sehingga kini, posting yang dibuat menerusi Twitter abangnya dikenali sebagai @Kedbil_ menerima lebih 10,000 ulang kicau (Retweet).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *