Kini ramai anak jadi kurang ajar dan tak dengar cakap. Ini Dato Dr Fadzilah Kamsah tampil tegur 5 kesalahan ibu bapa didik anak.

Amalan Kehidupan Keluarga Uncategorized

Aku ada seorang kenalan ni, anaknya sangat dengar kata, tak melawan cakap. Sejuk saja hati tengok. Aku pelik, nak kata kawan aku ni garang, tak juga. Tak pernah aku tengok dia jerit pada anak dia. Aku pun cuba korek rahsia dia. Sebab aku tengok anak-anak orang lain, menjerit menangis melawan tu perkara biasa. Tapi anak dia tak. Mula-mula dia buat lawak, dia kata sebab baka dia. Aku gelak saja masa tu. Tapi lepas tu dia mula kongsikan sesuatu yang aku tak pernah terfikir pun selama ni.

“Orang kita ni kerap sangat ugut anak perkara yang dia takkan buat pun. Aku pun dengar saja apa dia cuba katakan. Dia sambung. “Ko selalu dengar tak, mak ayah yang ugut anak dia nak letak dalam hutan lah, nak buang semua mainan dia lah, nak bagi tinggal dengan orang gila lah?” Aku anggukkan saja. Sebab memang aku kerap dengar ungkapan macam tu. Tapi pernah ko tengok mak ayah tu betul-betul buang semua mainan, letak anak dia dalam hutan?”

“Aku gelengkan kepala. Sebab pada aku, tiada ibu bapa yang sanggup buat macam tu. Kawan aku sambung lagi. Ko rasa apa yang anak ko akan rasa, bila ko kerap ugut perkara yang ko takkan buat pun? Mak ayah selalu rasa anak ni terlalu kecil untuk faham. Ini silap besar kita. Anak-anak kecil kita sangat bijak sebenarnya. Bila kita kerap ugut macam tu tapi tak buat pun, dari hari ke hari, anak-anak akan anggap kita ni cakap tak serupa bikin. Setiap kali mak ayah buat macam tu, sikit demi sikit anak akan hilang rasa hormat dan kurang takut pada apa kita cakap. Dalam fikiran depa, buat apa takut, mak ayah dia bukan akan buat pun. Gertak je lebih, tapi habuk pun tarak!”

“Ugut anak kata, pergi kemas mainan, kalau tak, mama tak bawa pergi McD. Tup tup, anak dia tak kemas, tapi petang tu mama dia bawa juga pergi McD tu. Anak-anak akan fikir yang buat apa depa nak ikut cakap, sebab kalau tak ikut pun, dapat juga apa dia nak!”

Aku mula nampak sesuatu yang selama ni aku tak terfikir. Patut ramai anak-anak kurang hormat apa yang ibu bapa suruh buat. Kawan aku sambung lagi.

“Kita duk sibuk kata menteri tu cakap tak serupa bikin, lepas tu kita pun jadi hilang hormat pada pak menteri. Macam tu juga anak-anak. Kita cakap tak serupa bikin, anak-anak pun mula hilang rasa hormat pada percakapan kita” Panjang lagi kawan aku tu kongsi cerita dia. Tapi aku dah ingat-ingat lupa. Ayat-ayat atas ni pun aku taip lebih kurang ikut apa aku ingat saja. Tapi bawah ni aku ringkaskan apa nasihat dia pada ibu bapa yang nak anak-anak yang dengar cakap.

Tak perlu jadi pemarah, cukup jadi tegas. Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai suka marah tapi tak tegas. Bab jerit no 1, tapi cakap selalu tak serupa bikin. Selain itu, Jangan suka ugut anak dengan perkara yang kita tahu kita takkan buat pun. Kalau nak ajar anak pasal consequences pun, pastikan cakap apa yang kita akan buat saja.

Contoh, ‘Pergi mandi sayang, kalau tak nanti mama tak bawa pergi taman petang ni’. Kalau dia tak buat, tak perlu marah, tak perlu jerit. Tapi bila sampai petang, jangan bawa pergi taman. Walaupun dia menangis jerit masa tu. Biar anak kita tahu, kita bukan pemarah tapi kita tegas. Setiap apa kita cakap, kita buat. Dia akan mula hormat dengan apa yang kita cakapkan. Walaupun tanpa menjerit.

Ketiga, katakan anak kita cuba merayu minta maaf kata dia tak buat lagi. Dia janji. Lepas tu dia minta bawa pergi taman hari yang sama dia buat salah tu juga, jangan bawa. Walaupun dia dah minta maaf. Kata pada dia, “hari ni sayang dah buat salah, mama tak bawa pergi taman. Kita tengok esok, kalau sayang dengar kata, kita pergi esok.” Esoknya bila kita suruh mandi, dia akan mula teringat, semalam mama papa dia betul-betul tak bawa pergi taman. Hari ni kena dengar cakap.

Keempat, bila anak dengar kata, berikan reward. Jangan hanya tahu nak ugut bila dia tak dengar kata tapi tak berikan reward bila dia dengar kata. Kelima, jangan lupa berdoa pada Allah swt. Usaha kita ni asbab saja, yang bagi rezeki anak dengar kata tu, Allah swt. Bukan kita sendiri.

Aku kongsikan ni sebab aku masih nampak ramai ibu bapa yang masih buat kesilapan ni, tanpa kita sedar pun. Terima kasih sahabat. Pada ibu bapa di luar sana, jom share post ini supaya lebih ramai dari kita dapat perbaiki diri kita.

Cahaya Biru Gajet Sangat Membahayakan Mata Kanak Kanak. Ini Antara Perkara Yang Ibu Bapa Perlu Ambil Tahu.

Mata adalah organ anugerah Pencipta yang sangat berharga. Justeru, kesihatan mata perlu diambil serius dan itu semua bagi memastikan kita dapat menikmati penglihatan yang baik dan berpanjangan. Tidak kiralah berapa usia kita, penjagaan rapi perlu dititik beratkan. Apatah lagi warga emas, bayi dan kanak-kanak. Golongan inilah yang sangat sensitif. Bercerita tentang mata, seorang pegawai perubatan, Dr Redza Zainol melalui bebenang Twitternya melontarkan pesanan berharga kepada ibu bapa di luar sana.

Mak ayah tolong jangan leka bab jaga mata anak.

Menurut kajian, saraf mata anak berisiko untuk rosak akibat terdedah pada Blue Light yang terhasil dari skrin gajet jika diguna lebih dari 1 jam sehari.

“Mak ayah tolong jangan leka bab jaga mata anak. Ini kerana merujuk kajian, saraf mata anak berisiko untuk rosak akibat terdedah pada cahaya biru (blue light) yang terhasil daripada skrin gajet jika digunakan lebih dari sejam sehari,” tulisnya.

Untuk pengetahuan pembaca, sinaran ultraviolet daripada matahari boleh ditapis oleh kornea dan kanta kristalin. Namun, cahaya biru tadi pula boleh menembus sehingga ke bahagian saraf mata. Memang menakutkan!

Pegawai perubatan dalam bidang pediatrik itu kemudian berkongsi catatan American Academy of Pediatrics tentang limitasi penggunaan skrin gajet:

Penggunaan skrin gajet untuk bayi di bawah umur 2 tahun tidak dibenarkan kecuali sesi pendek semasa membuat panggilan video bersama keluarga. Justeru itu, bagi kanak-kanak yang berumur 2 hingga 5 tahun pula, disarankan cuma sejam sahaja.

“Namun, tak semua mak ayah ikut pun nasihat ini. Ingat, apabila kita biar anak guna gajet tanpa kawalan, penglihatan anak boleh jadi kabur, sakit kepala, mata jadi kering dan boleh jadi rabun jauh,” beritahu Dr Redza. Menerusi bebenang itu, pegawai perubatan itu turut mengemukakan amalan senaman mata bagi mengelak masalah penglihatan. Antaranya adalah:

i) Peraturan 20-20-20.

Caranya, untuk setiap 20 minit berhenti dan berehat melihat skrin tersebut. Kemudian minta anak kecil memandang tempat lain sejauh 6.1 meter (m) selama 20 saat. Mudahkan? Walaupun mudah, ia dapat memberi manfaat besar untuk mata yang sihat kerana peraturan itu dapat membantu merehatkan mata dan mengelak daripada mata terlalu penat.

ii) Fokus jauh dan dekat.

Caranya, letakkan ibu jari pada jarak 20 sentimeter (sm) dari mata dan pandang ibu jari selama 20 saat. Selepas itu, pandang tempat yang 6.09m jauhnya selama 20 saat. Ulangi langkah tersebut beberapa kali. Sehubungan itu, jika anda, ahli keluarga lain lebih-lebih lagi si cilik yang mempunyai simptom masalah mata, segeralah dapatkan nasihat pakar agar ia tidak melarat.

Awasi juga perilaku anak-anak kita. Jangan biarkan mereka berterusan melekat dengan telefon pintar mahupun komputer. Tempoh masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini merupakan satu situasi yang agak sukar sebenarnya untuk mama dan papa mengawal anak-anak yang barangkali kebosanan. Namun, demi kebaikan, anda kena bertegas ya!

Kredit: SinarPlus,

Rakyat Korea Selatan Diberi Insentif Hingga RM300 Ribu Untuk Tambah Zuriat. Difahamkan Tiada Faedah Pinjaman Dikenakan Kepada Yang Melahirkan Seorang Anak

Kalau korang suka tengok K-drama, mesti perasan kan banyak watak keluarga dalam cerita Korea hanya ada seorang anak sahaja kan. Rupa-rupanya, di dunia nyata pun, rata-rata rakyat Korea Selatan sememangnya hanya mempunyai maksimum dua orang cahaya mata. Kos sara hidup yang tinggi terutamanya di Seoul membuatkan mereka menolak jumlah anak yang ramai. 

Disebabkan itu, populasi rakyat Korea Selatan juga semakin menurun sejak kebelakangan ini. Jadi, dalam usaha untuk meningkatkan lagi populasi penduduk, kerajaan negara itu telah mengeluarkan insentif terbaharu di mana bantuan kewangan akan diberikan kepada pasangan yang berkahwin, lapor UPI.Com.

Kerajaan Korea Selatan akan memberikan insentif sehingga RM369,279 iaitu 100 juta Won kepada pasangan suami isteri yang tinggal di bandar Changwon, Gyeongsang Selatan.Difahamkan, mana-mana pasangan yang tinggal di bandar tersebut berpeluang untuk menerima insentif kewangan tersebut dan tiada faedah pinjaman akan dikenakan kepada mereka jika mereka melahirkan seorang anak.

Manakala, pinjaman tersebut tidak perlu dibayar semula jika mereka berjaya mempunyai tiga orang anak sebab wang tersebut akan dianggap sebagai hadiah kepada keluarga berkenaan. Jadinya, kalau taknak bayar pinjaman, dorang kena ada tiga orang anak lah kan. Namun, jika mereka mempunyai dua orang zuriat, hanya 30 peratus daripada pinjaman tersebut sahaja yang tidak perlu dibayar.

Menurut Kim Jong Pil yang merupakan wakil Jabatan Perancangan bandar Changwon, polisi tersebut dibuat untuk menggalakkan pasangan untuk berkahwin dan memperolehi zuriat.Tahun lalu, Korea Selatan telah merekodkan lebih banyak kadar pemergian berbanding kadar kelahiran, lapor Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan negara itu.Apa pendapat korang kalau Malaysia pun tawarkan polisi yang sama? 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *