Pemuda ini transformasikan tempat persemadian menjadi rumah idamannya dengan nilai kos sebanyak ini.

Amalan ISU SEMASA Kehidupan Keluarga Uncategorized

Kediaman indah yang ditransformasi daripada sebuah tanah perkuburan terbiar dengan kos RM24.62 juta. Foto: Channel4/Grand Design. Seorang lelaki mengejutkan ramai apabila berjaya mengubah sebuah kawasan tanah perkuburan terbiar menjadi rumah idamannya. Justin Maxwell-Stuart, 50, dari London, membeli hartanah tersebut pada 2016 dan untuk merealisasikan kediaman idaman itu, dia membelanjakan kos £4.5 juta (RM24.62 juta).

Dia mendapat inspirasi daripada rumah agam keluarganya, Traquair House, iaitu rumah kediaman tertua di Scotland. Menerusi salah satu episod rancangan Grand Designs, Justin mendedahkan pada asalnya dia menyasarkan untuk mentransformasikan tanah terbengkalai itu dalam tempoh 12 bulan dan dengan anggaran kos £1.6 juta (RM8.75 juta).

Bagaimanapun disebabkan pelbagai kekangan, ia tidak dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang disasarkan sebaliknya mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan. Kerja-kerja mengubah suai juga terpaksa dihentikan sepenuhnya selama tiga bulan akibat wabak pandemik Covid-19. Selepas melalui pelbagai cabaran, proses transformasi kediaman berkenaan berjaya disiapkan pada November 2020. Ia merupakan kediaman dengan empat tempat tidur lengkap dengan suite besar, ruang makan dan dapur, ruang membaca, ruang tamu yang besar, ruang bawah tanah, ruang TV dengan bar dan kolam renang. – Mirror

14 Pelajar Universiti Terpedaya Dengan Seorang Ejen Rumah Sewa. Sudah Diberi Deposit Sebanyak Ini Sekali Kunci Tak Diserahkan.

Rumah sewa yang dijanjikan. Kemudahan lampu dan kipas masih tidak dipasang selepas bayaran deposit dibuat. Sekumpulan pelajar universiti tidak menyangka hasrat untuk menyewa sebuah rumah buat pertama kali berakhir dengan nasib buruk seperti ini.

Rumah sewa yang dijanjikan bukan sahaja masih belum dilengkapi katil untuk penyewa, malah tiada kemudahan elektrik dan air. Lebih menyedihkan apabila kunci rumah sewa tidak diberikan meskipun mereka telah membayar deposit berjumlah hampir RM4,000. Salah seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Nurin berkata, dia bersama 13 rakan menyewa sebuah rumah berkonsepkan town house dua tingkat dengan empat bilik di Nilai, Negeri Sembilan.

Iklan rumah sewa yang menarik perhatian sekumpulan pelajar.

Pelajar berusia 20 tahun itu memberitahu, mereka baru pertama kali mahu menyewa di luar kampus kerana sebelum ini diberikan kemudahan asrama oleh pihak universiti bagi tahun pertama pengajian.

“Kami jumpa seorang lelaki yang jadi ejen untuk rumah sewa tu. Masa datang mula-mula tu lampu, kipas dan meter air pun tak ada sebab kawasan perumahan baharu. Tapi katanya pemasangan segala kemudahan termasuk pengubahsuaian akan dibuat sepanjang tempoh cuti semester kami,” katanya kepada mStar sambil menambah bahawa bayaran deposit telah dibuat pada September lalu.

Nurin berkata, pengajian untuk sesi baharu sepatutnya dibuka pada November lalu bagaimanapun diteruskan secara dalam talian berikutan arahan yang dikeluarkan oleh pihak universiti kerana peningkatan kes Covid-19.

Individu yang didakwa berurusan dengan mereka untuk rumah sewa

“Tapi pada pertengahan November, kami dapat notis untuk kembali mengikuti pengajian di universiti pada Disember. Kami call dia (ejen) untuk minta kunci rumah, tapi dia tak muncul seperti yang dijanjikan dengan pelbagai alasan. Tiga hari berturut-turut dia bagi alasan dan dia masih tak bagi kunci rumah sewa. Bayangkan sebahagian daripada kami datang dari kampung nak masuk rumah, tapi tak dapat. Antara kami menangis fikir mana nak tidur malam pertama sampai di Nilai hari tu. Mujur ada kawan-kawan lain yang menyewa berdekatan sudi menumpangkan kami sementara mendapat kunci rumah sewa,” katanya dengan nada kesal.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah milik siapakah rumah yang kononnya nak disewakan tu. Sebab dia tak nak bagi kunci rumah tapi pintu rumah tak berkunci.

Selepas mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan lain yang merupakan bakal penyewa, Nurin yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor memberitahu, mereka memutuskan untuk tidak mahu menyewa di rumah tersebut dan menuntut bayaran balik deposit.

“Ada antara kami datang semula ke rumah sewa tu pada Disember lalu untuk ambil barang-barang yang kami tinggalkan pada Ogos sebelum bercuti. Tapi rumah tak berkunci. Tapi apa yang paling mengejutkan adalah kipas dan lampu masih belum dipasang selepas tiga bulan. Katil lagilah tak ada. Kami rasa dah tertipu dengan lelaki ini,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu.

Tiada pengubahsuaian atau pemasangan kemudahan dibuat selepas lebih tiga bulan.

Susulan perkongsian kisah rumah sewa dikongsikan mereka di laman sosial menjadi tular, jelasnya, beberapa individu turut mendakwa ditipu dengan lelaki yang sama seperti tidak membayar hutang seperti yang dijanjikan, malah tidak membayar sewa rumahnya sendiri.

Menurut Nurin, dia bersama rakan-rakan merancang untuk membuat laporan polis sekiranya lelaki berkenaan masih berdolak-dalik untuk memulangkan semula bayaran deposit.

“Kami sebelum ini tiada pengalaman menyewa rumah, dan perkara yang berlaku dijadikan sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati. Kerana terlalu percayakan orang sampai tak ambil kunci rumah walaupun bayaran deposit telah dijelaskan. Namun, apa yang menjadi tanda tanya adalah milik siapakah rumah yang kononnya nak disewakan tu. Sebab dia tak nak bagi kunci rumah, tapi pintu rumah tak berkunci. Adakah dia ejen atau ia sebenarnya rumah kosong?” katanya sambil menambah sebahagian mereka terpaksa menyewa di rumah sewa yang baharu susulan kejadian itu.

Gadis Ini Mengadu Telefon Rosak Di Group Whatsapp Dan Meminta Beritahu Kelas Online Sehari Lebih Awal. Sekali Ini Tindakan Mengejut Dari Rakan Sekelasnya.

Tangkapan skrin video TikTok menunjukkan seorang gadis yang mengalami kerosakan telefon dibantu oleh rakan-rakan sekelas. Luahan seorang gadis mengenai telefon bimbitnya mengalami kerosakan menerusi group WhatsApp, nampaknya mendapat perhatian rakan-rakan sekelas.

Dalam diam-diam dua daripada pelajar sekelas membuat gurauan atau prank dengan membawanya ke sebuah kedai gajet sebelum mempengaruhinya untuk membaiki telefon yang rosak itu. Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, dua rakannya kemudian mendedahkan bahawa kos membaik pulih telefon dibayar menggunakan hasil sumbangan rakan-rakan sekelas.

Salah seorang pelajar berkenaan, Muhammad Faris Mohd Jailani berkata, rakan mereka yang diberi kejutan itu, Suriani Arjunaidi mengalami masalah telefon sejak sebulan lalu.

Luahan seorang rakan di grup WhatsApp kelas.

Remaja berusia 19 tahun itu memberitahu, masalah yang dihadapi rakannya itu bertambah buruk sehingga terpaksa menggunakan komputer riba untuk aplikasi WhatsApp.

“Telefon dia ada masalah skrin dan butang ‘home’ selepas beberapa kali jatuh. Sampai satu tahap, hanya panggilan telefon saja. Dua minggu lepas dia beritahu kami mengenai masalah telefonnya dan minta bantuan untuk maklumkan tentang kelas online (dalam talian) sehari lebih awal kerana WhatsApp dia hanya bergantung pada laptop buat sementara waktu,” katanya kepada mStar.

Faris (kiri) dan Adam (kanan) membawa Suriani ke kedai gajet untuk membaiki telefon.

Lebih mesra disapa Faris, dia bersama seorang lagi rakan sekelasnya, Muhammad Adam Bukhari Mohd Nazri, 19, mengambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan rakan-rakan lain.

“Kami hantar mesej kepada seorang demi seorang dan bertanyakan kepada mereka sama ada sudi untuk membantu Suriani untuk berkongsi membiayai kos membaiki telefonnya yang rosak. Sebagai pelajar, kos membaiki tu berharga hampir RM300 itu bukannya murah bagi kami. Tambahan pula, dia bukannya orang senang. Jadi, kami cuba membantu apa yang boleh,” ujar pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Tinggi Klang di Klang, Selangor itu. Menurut pelajar aliran sains sosial itu, rakan-rakan boleh menyalurkan sumbangan ikhlas mengikut kesediaan dan kemampuan mereka walaupun RM1.

Suriani bersama telefonnya yang telah dibaiki.

“Alhamdulillah, jumlah kutipan melebihi sasaran daripada kos repair telefon tu. Tak sangka rakan-rakan sekelas bermurah hati nak bantu Suriani. Seperti yang dirancang, kami berdua pun ajak dia teman untuk baiki telefon kami di Shah Alam, petang Jumaat lalu. Kami ‘pancing’ dia kononnya boleh hutang untuk baiki telefon. Dia pun percaya. Duit deposit tu kami dahulukan, tapi sebenarnya kami bayar sepenuhnya guna sumbangan rakan-rakan,” tambahnya.

Mungkin bantuan itu nampak kecil bagi kita tapi amat besar dan bermakna bagi penerima bantuan tu.

Faris berkata, mereka mendedahkan perkara sebenar pada petang yang sama dan tunjuk senarai nama rakan-rakan yang membuat sumbangan sebagai bukti.

“Dia macam tak percaya kerana tak sangka rakan-rakan sekelas begitu mengambil berat sampai dia nak menangis. Sekarang telefon dia dah okay. Kalau dulu bila saya WhatsApp petang, pukul 1 pagi baru balas guna laptop tapi sekarang balas on time,” katanya sambil menambah rakannya yang dibantu itu kemudian membuat video penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada rakan-rakan sekelas.

Faris (hadapan, kiri) bersama guru dan rakan-rakan sekelas.

Jelas Faris, perkongsiannya di TikTok bertujuan untuk memberi mesej kepada masyarakat terutama anak-anak muda supaya bersikap prihatin terhadap orang lain dalam kesusahan.

“Saya berharap video TikTok tu dapat membuka mata masyarakat di luar sana terutama dalam membantu orang yang lebih susah daripada kita. Tak kisahlah kita membuat kutipan seorang RM5 ke, RM1 pun tak apa. Mungkin bantuan itu nampak kecil bagi kita tapi amat besar dan bermakna bagi penerima bantuan tu. InsyaAllah, suatu hari Tuhan akan balas kebaikan yang kita buat,” katanya.

Sifat Kawannya Ini Dipuji Oleh Warganet. Dia Sering Memasak Makanan Istimewa Untuk Kawan Kawannya Di Rumah Sewa Mereka Sehinggakan Masaklah Makanan Apa Pun Dia Boleh Buat.

Syahmie menyifatkan Farizuan sebagai rakan serumah yang cukup baik. Dikurniakan rakan serumah yang baik juga boleh dianggap sebagai satu rezeki. Di Twitter misalnya,warganet kagum melihat perkongsian seorang jejaka mengenai rakan serumahnya yang rajin memasak.

Menurut Mohammad Syafi Syahmie Abdul Samat, 25, dia bersyukur apabila rakan serumah yang dikenali sejak tujuh tahun lalu itu tidak lokek berkongsi rezeki sepanjang menyewa bersama di Gombak, Selangor. Ujarnya, dia dan Mohd Farizuan Abdullah yang digelar ‘housemate kiriman Tuhan’ mula menyewa bersama dengan dua lagi rakan yang lain selepas mereka menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun lalu.

“Kami dah kenal dari tahun 2013. Baru habis belajar tahun lepas, kami ambil keputusan untuk menyewa bersama. Selain saya dan Farizuan, ada dua lagi rakan kami dalam rumah tu. Walaupun berbeza jurusan, kami berempat sekarang bekerja sebagai pegawai bank di bank yang berbeza. Sekarang Farizuan banyak kerja dari rumah. Jadi dia selalu masak sendirian. Habis masak dia akan post dalam grup untuk ingatkan kami supaya jangan lupa makan. Sebelum ni pun kami selalu masak sama-sama kalau berkelapangan. Kami juga akan bantu mengemas,” katanya kepada mStar.

Antara masakan yang dihasilkan pemuda dari Kelantan itu.

Mesra disapa Syahmie, dia mendedahkan rakannya yang sebaya itu sememangnya berkebolehan dalam bidang masakan sejak dulu lagi. Malah, Farizuan bukan sahaja berkebolehan membuat juadah tempatan, sebaliknya turut menguasai resepi masakan barat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *