Ibu nak hantar anak mengaji tapi dikatakan yuran RM30 itu mahal. Lebih mengejutkan respon dari ibu ini pada ustazah berkenaan.

Amalan Dunia Kehidupan Uncategorized

Kisah seorang ibu bertanyakan tentang yuran kelas mengaji al-Quran tular di media sosial. Selain memberi tumpuan kepada mata pelajaran akademik, pengajian al-Quran turut dititikberatkan oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka. Maka mereka berusaha mencari tempat mahupun pengajar yang dapat membimbing anak-anak dengan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Menerusi satu tangkapan skrin mesej yang tular di media sosial, seorang ibu yang bertanyakan tentang bayaran kelas mengaji al-Quran untuk anaknya.

“Boleh saya tahu yuran berapa sebulan? Sebab nak hantar anak ke sana. Setiap hari apa dan jam berapa kelas mula,” ujarnya dipercayai menghantar mesej itu kepada seorang guru agama.

Pertanyaan itu segera dibalas dengan memaklumkan bahawa kelas mengaji al-Quran itu diadakan setiap Isnin sehingga Rabu, bermula pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam. “Kalau sempat, jemaah Isyak sama-sama. Yuran dia RM30 sahaja puan,” katanya.

Jumlah bayaran yuran itu bagaimanapun mengejutkan si ibu sehingga mempersoalkan kewajaran kadar tersebut ditetapkan sedemikian. “RM30… kenapa mahal?” soal wanita itu.

Namun, apa lebih mengejutkan warganet adalah maklum balas ibu berkenaan berhubung yuran kelas mengaji al-Quran berjumlah RM30 itu. “Bukan bayar seikhlas hati ke ustazah? Kalau kelas tuisyen tak apalah nak bayar. Benda akademik penting untuk cari kerja. Lepas tu susah ajar akademik ni. Tapi ni kelas mengaji, ajar macam tu je. Tak susahkan? Kecewa saya,” ujar si ibu.

Tangkapan skrin mesej yang tular. sumber Twitter Mar_excel

Komen wanita berkenaan membangkitkan kemarahan warganet sehingga menimbulkan pelbagai reaksi. “Kalau RM30 dia kata mahal, habis tu kalau bayaran seikhlas hati dia nak bayar berapa pula? RM5?” komen seorang warganet.

Tiada beza ilmu dunia dan ilmu agama, dua-dua sama tak boleh berkira. Kebanyakan pusat mengaji yang ‘bayaran seikhlas hati’ kebanyakannya ada sponsor (penaja)

“Minta maaf cakap, kenapa bab akademik sanggup bayar ratus-ratus. Tapi bab mengaji bekal akhirat sambil lewa. Kecewa la dapat mentaliti sampah macam ni,” ujar yang lain dengan nada kesal. “Kalau senang nak ajar, kenapa dia tak ajar sendiri? Kenapa nak sub pada ustazah pula,” komen lain yang turut mempersoalkan kewajaran respons wanita berkenaan.

Antara komen warganet.

Mesej yang tular itu turut meraih perhatian seorang guru persendirian yang turut membuka kelas dan mengenakan sejumlah bayaran di atas perkhidmatannya. “Tiada beza ilmu dunia dan ilmu agama, dua-dua sama tak boleh berkira. Kebanyakan pusat mengaji yang ‘bayaran seikhlas hati’ kebanyakannya ada sponsor (penaja). Saya seorang guru persendirian, jadi saya tahu tentang ini,” katanya. “Saya guru persendirian yang buka kelas sendiri, saya ambil bayaran sebab saya nak buat benda ni jangka panjang. Ambil bayaran bukan nak untung, tapi nak mengajar betul-betul, nak seronok, bila ibu bapa bagi feedback bagus, kita pun dengar gembira,” tambahnya.

Pelanggan Ini Merungut Apabila Kuih Dijual Dengan Harga 50 Sen Sebiji. Tapi Bila Peniaga Ini Beri Jawapan Yang Makan Dalam Sebegini Terus Terkedu Pelanggan Tersebut.

Seorang pelayar berkongsi kisah pelanggan yang merungut kerana mendakwa harga kuih yang dibelinya di gerai agak mahal. Kuih tradisional Melayu pasti memikat selera sesiapa sahaja. Bukan hanya disajikan sebagai pemanis mulut ketika sarapan atau minum petang bersama, namun ia juga sering menjadi pilihan untuk dihidangkan ketika majlis keraian.

Kuih-muih seperti koci, lepat, ketayap, seri muka, kuih lapis, keria, bingka, kuih cara dan sebagainya adalah antara kuih yang sering dicari ketika berkunjung ke gerai. Di sebalik rasanya yang lazat, proses penyediaannya juga begitu renyah kerana memerlukan bahan-bahan khusus, cara penyediaan yang berbeza serta memakan masa yang agak lama.

Justeru tidak hairanlah harga kuih tradisional pada masa kini mencecah di antara RM0.50 sehingga RM0.80 sebiji, tambahan pula harga barang keperluan di pasaran sentiasa meningkat. Namun begitu, ada pula segelintir individu yang sewenang-wenangnya meminta diskaun kepada penjaja kuih kerana merasakan ia terlalu ‘mahal’ dan tidak sepadan dengan standard harga jualan di gerai, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar di Facebook.

Kuih tradisional memerlukan kemahiran dan memakan masa yang agak lama untuk dibuat.

“Perbualan penjual kuih dengan seorang perempuan muda Melayu bekerjaya, saya cuma pasang telinga saja. ’50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?’ tanya Nora (bukan nama sebenar) secara berseloroh. 50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik. Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana,” tulis pelayar berkenaan mengimbas kembali perbualan di antara peniaga dan pembeli.

Dalam masa yang sama, peniaga itu turut mengambil kesempatan menceritakan kisahnya yang membuat kuih berseorangan tanpa dibantu sesiapa, selain terpaksa bersedia beberapa jam lebih awal. Menurut peniaga itu lagi, bukan sahaja keuntungan yang diperoleh terlalu sedikit, malah kadang kala penatnya seakan-akan tidak berbaloi apabila pelanggan yang datang membeli boleh dikira dengan jari.

Terkenang dulu buat kuih kadang tak jadi, kena buang. Lepastu yang jadi pula orang cakap mahal bila dijual.

Bagaimanapun ujarnya, hanya ada satu perkara yang membuatkannya terus bertahan untuk berniaga kuih muih. “Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah. Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik RM2, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua.

“Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik? Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora. Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan,” tulis pelayar itu lagi sebagaimana luahan peniaga berkenaan.

Komen warganet yang turut sependapat dengan perkongsian pelayar berkenaan.

Tambah pelayar itu lagi, tindakan peniaga tersebut jelas memeranjatkan pelanggan wanita berkenaan, namun jawapan yang diberikan lebih membuatkan mereka terpana. “Kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu, tak ada orang lain lagi yang akan tolong orang kita. RM0.50 sebiji adik kata mahal, tak mampulah tu,” tulis pelayar itu lagi sambil menambah, peniaga berkenaan kelihatan benar-benar ikhlas bersedekah.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 393 shares. Rata-rata warganet turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang mempertikaikan harga kuih-muih tradisional. “Terkenang dulu buat kuih kadang tak jadi, kena buang. Lepastu yang jadi pula orang cakap mahal bila dijual,” komen seorang warganet.

Tular Apabila Seorang Remaja Kayuh Basikal Semata Mata Untuk Meniaga Teh Di Tepi Jalan. Kini Dia Jelaskan Kenapa Dia Memilih Kerja Ini.

” Sudah menjadi cita-cita saya sejak kecil mempunyai perniagaan sendiri. Berniaga dengan konsep seperti ini membuka mata saya mengenai dunia sebenar.” Itu kata-kata seorang pemuda yang berniaga dengan mengayuh basikal sambil membawa tong air panas berisi minuman teh Masala seberat 20 liter di sekitar Brickfields setiap hari.

Meskipun tidak mudah, namun, S Kavievanan, 23, cekal mencari rezeki dengan konsep perniagaan sebegitu walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Bagi Kavievanan, ia satu cabaran dalam mencari rezeki selain menimba pengalaman sementara menunggu peluang pekerjaan dalam bidangnya.

” Konsep dan idea perniagaan ini muncul selepas saya tamat pengajian Februari lalu di Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Saya bermula pada awal Mei lalu dengan menjual minuman teh Masala dengan harga RM1 secawan bermula jam 3 hingga 5 petang. Pada awalnya saya hanya dapat menjual 30 cawan sehari dan selepas dua bulan hasil jualan semakin meningkat kepada 100 cawan sehari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak pernah berasa malu dengan pekerjaan yang dilakukannya dan menganggap bapanya yang berniaga kacang putih di Masjid India, di sini, sebagai inspirasi.

” Saya ada merancang untuk mengajak lebih ramai rakan melakukan konsep perniagaan ini supaya sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang tiada pekerjaan. Sekarang, konsep perniagaan seperti saya ini sudah diusahakan oleh rakan seusia, Arvind Ratnakumar di sekitar Masjid India,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai proses pembuatan teh Masala, Kavievanan berkata, resepi minuman itu dibuatnya sendiri. ” Teh Masala mengandungi serbuk teh dari India dan rempah ratus iaitu buah pelaga, kayu manis, halia, lada hitam, bunga cengkih dan dididihkan selama dua jam.

” Selepas siap, saya akan menuangnya ke dalam tong air panas dan membawanya menaiki motosikal manakala basikal pula saya letak dan kunci di belakang kedai di sini. Perlu berhati-hati ketika membawa tong itu disebabkan ianya pernah terjatuh sebelum saya sempat memulakan jualan,” katanya. Kavievanan berkata, kos ubahsuai basikal supaya sesuai digunakan untuk perniagaan memakan hampir RM500 dan tong pula dibeli dengan harga RM150.

” Walaupun begitu, saya tetap bersyukur dengan hasil jualan apatah lagi sudah ada pelanggan tetap,” katanya. Menurutnya, selain pengusaha restoran, kakitangan pejabat dan pekerja kedai adalah pelanggan tetapnya.

Katanya, dia juga tidak menyangka perniagaan kecil-kecilannya itu tular di media sosial dan akan meneruskan perniagaannya itu memandangkan permohonan kerjanya dalam bidang kejuruteraan belum mendapat respon positif.

” Buat masa ini, saya merancang untuk meneruskan dan mengembangkan lagi perniagaan menjual teh Masala ini. Lebih enam bulan berniaga di sini banyak yang saya pelajari mengenai erti kehidupan terutamanya apabila mendengar perkongsian mereka yang lebih tua,” katanya.

Dahulu gaji lima angka, kini jual sushi di tepi jalan

Hidup ini tidak selalunya indah kerana ada masa kita dimandikan kemewahan dan ada kalanya kita susah dan hidup dalam serba kekurangan. Jika itu yang harus dihadapi bagi mereka yang tidak kuat iman, macam-macam boleh terjadi. Bukan sahaja ada yang kemurungan kerana hilang pekerjaan. Malah ada juga yang cuba mengakhiri hidup ini.

Namun dalam apa jua keadaan, redha menerima takdir yang ditentukan dan tabah akan menjadikan kita seorang insan yang kuat dalam menghadapi apa juga dugaan.

Zaffiey Zain di depan gerei Sushi Bar. Walau hujan atau panas, Zaffiey akan tetap berdiri teguh dalam gerai ini.

Begitulah hakikatnya yang harus dihadapi oleh Zaffiey Zain, bekas Pengurus Jualan Serantau bagi Asia Tenggara dengan salah satu organisasi perlancongan global dimana skop perniagaan adalah teknologi dan e-dagang. Beliau yang berpengalaman dalam mengendalikan dan menyalurkan produk-produk perlancongan dengan beberapa syarikat penerbangan terkenal bagi setiap destinasi untuk kemudahan penumpang bagi setiap aspek dan kelas.

SUSHI Valley yang di letak di 15 stesyen minyak terkenal di Lembah Kelang, Sri Hartamas, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Bukan itu sahaja, malah tugas Zaffiey juga merangkumi perkhidmatan dan servis untuk kerabat diraja, hartawan dan mereka yang memerlukan percutian yang mewah. Bersandarkan tugas itu, Zaffiey yang pernah menerima gaji dan pendapatan yang lumayan setiap bulan terpaksa hidup dalam ‘kemurungan’ apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menyekat penularan pandemik Covid-19 bermula 18 Mac lalu. Empat bulan tidak bekerja dan hidup terkurung di rumah, Zaffiey Zain bukan sahaja hampir habis wang simpanan malah kemurungan membuatkan beliau hampir putus asa untuk meneruskan kehidupan.

“Bayangkan duit simpanan saya hampir habis dan saya begitu tertekan malah kemurungan kerana memikirkan semua yang terjadi. Namun saya bersyukur dalam saat saya terkapai-kapai untuk mencari kekuatan diri, saya berbalik kepada-Nya. Tetapi itu bukan bermakna selama ini saya leka dengan dunia sehingga tidak menjalankan tanggungjawab saya kerana Mama memberi didikan agama yang cukup kepada saya.

“Tetapi sebagai manusia kadangkala kita lalai. Menyedari itu, saya bangkit semula dan berusaha kerana bagi saya hidup ini harus diteruskan tanpa melupakan landasan dan pegangan dalam sebuah kehidupan,” cerita Zaffiey dalam satu pertemuan pada Jumaat lalu di sebuah hotel di pinggir kota. Betapa tidak sebelum PKP, Zaffiey menerima gaji dan pendapatan sampingan sebanyak lima angka sebulan melalui bisnesnya tetapi kini harus menerima kenyataan semua itu hilang dalam sekelip mata. Sebelum PKP, selain bekerja saya punya syarikat sendiri yang dikenali Bloom Valley yang membekalkan hiasan bunga untuk 50 bilik suite mewah hotel dan lobi di Kuala Lumpur serta pejabat setiap hari.

“Bukan itu sahaja, Bloom Valley juga mengendalikan majlis eksklusif dan menyiapkan hamper menarik pada majlis-majlis berkenaan,” kata Zaffiey yang juga Pengasas Bloom Valley. Perniagaan yang dijalankan sejak 2017 bersama rakan kongsinya, Ezzu Maaruf membuatkan beliau mampu menyewa ofis yang mementingkan ‘kelas tersendiri’ dengan empat orang pekerja yang setia. Bagaimanapun apabila PKP, saya terpaksa berhentikan pekerja, jual kereta mewah dan bangkit semula demi kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah…hari ini saya mampu memandu kereta nasional untuk bangun kembali dengan mengusahakan perniagaan Sushi Bloom Valley dan Sushi Bar. Disamping itu saya masih mengambil tempahan menghias jambangan bunga dan hamper yang ditempah walaupun dalam bilangan yang kecil. Jika dahulu saya berjumpa dengan pelbagai manusia berjawatan tinggi sehingga terbang ke Dubai, Hong Kong kini saya tidak kisah berniaga sushi di tepi jalan. Bagi saya yang penting mencari rezeki yang halal,” cerita Zaffiey.

Menurut Zaffiey, beliau memilih sushi kerana tahu ramai masyarakat kita yang suka makanan ini tetapi harganya agak mahal untuk mereka yang berpendapatan rendah.

“Dengan kepakaran yang ada bersama para pekerja, kami menghasilkan sushi yang berkualiti dengan pelbagai citarasa dan harga yang mampu beli. Sushi yang dijual di gerai dikenali Sushi Bar dengan harga RM1.50 sebiji. Sementara yang dihantar ke 15 stesyen minyak yang terpilih antaranya Lembah Kelang, Sri Hartamas, Petaling Jaya dan Subang Jaya dijual pada harga RM7.90 untuk 3 ketul dan RM10.90 untuk 5 ketul,” jelas Zaffiey.

Menjelaskan berniaga sushi di gerai di tepi jalan, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pelancongan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) ini memberitahu;

“Saya tidak malu berniaga di tepi jalan kerana yang penting saya tidak meminta-minta untuk hidup. Buat masa ini, gerai Sushi Bar kami adalah di Subang Perdana dan Ara Damansara. Gerai Sushi Bar kami dibuka mulai 12.30 tengah hari sehingga 5 petang setiap hari kecuali hari Jumaat. Apa yang membuat saya dan rakan kongsi teruja, Sushi Bar ini boleh dijual Isnin hingga Khamis sebanyak 300 hingga 500 biji sehari. Sementara hari Sabtu dan Ahad jualannya mencecah antara 700 hingga 1,000 biji sehari.”

Mulai September, gerai Sushi Bar akan membuka dua lagi cawangan iaitu di SS 15, Subang Jaya dan di Bangi. Ditanya pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Zaffiey yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan melalui instagram: sushivalley.official dan hiasan bunga bloomvalley.empire berkata, saya tidak pernah menduga dan bersyukur Sushi Bar ini mendapat sambutan. Bagaimanapun pada waktu yang sama, di masa susah dan ketika saya berniaga di gerai tepi jalan baru saya tahu kawan sebenar.

“Benarlah kata pepatah kawan ketawa senang di cari, kawan menangis sukar didapat. Apabila saya susah dan bermesej pada kawan-kawan yang sering bersama di zaman saya mewah, mereka baca mesej tetapi tidak respon apa-apa! Saya bersyukur hari ini (Jumaat 21 Ogos) ketika dalam perjalanan ke sini untuk ditemuramah, saya mendapat panggilan bahawa stesyen minyak berkenaan menawarkan saya membekalkan Sushi Valley ke 30 cawangan lagi.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *