Gadis ini tidak menyangka dengan kejutan yang dibuat oleh ibu bapanya. Abang sanggup berhenti tepi jalan untuk try jubah.

Amalan Kehidupan Keluarga Uncategorized

Ruhana Syakirah (kanan) menerima kejutan daripada ibu bapanya dengan meraikannya tamat pengajian dalam satu majlis di kediamannya di Alor Setar, Kedah. foto ihsan DJ Don  Begitulah suasana kenduri-kendara yang dihadiri ramai tetamu. Siap dengan pentas dan simbolik perasmian hingga ke alunan gamelan berkumandang, majlis yang diadakan di rumah ibarat istiadat konvokesyen di universiti.

Namun, ia adalah kejutan untuk seorang gadis yang menamatkan pengajiannya, dan kemudian memakai jubah konvokesyen seolah-olah berada di majlis sebenar.

Bercakap kepada mStar, bapa kepada gadis itu, Saadon Awang berkata, kejutan tersebut merupakan majlis untuk meraikan anak perempuannya, Ruhana Syakirah, 22, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Malaya (UM), tahun ini.

Syakirah turut dikejutkan dengan kek..

Bapa berusia 54 tahun itu memberitahu, majlis yang diadakan di kediamannya di Alor Setar, Kedah itu susulan penangguhan majlis konvokesyen yang diputuskan oleh pihak universiti berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

“Jadi kami sekeluarga membuat perancangan dua minggu dengan kerjasama rakan-rakan anak bagi memastikan kejutan ini berjaya. Perkara pertama yang kami lakukan adalah menyembunyikan skrol dan transkrip pengajiannya sehingga dia asyik bertanya mana skrol tak sampai-sampai lagi,” katanya kepada mStar sambil menambah pelbagai alasan yang diberikan selain mengalihkan tumpuan anaknya itu.

Abang Syakirah membeli jubah di UM dan mencubanya di tepi jalan.


Lebih dikenali sebagai DJ Don, katanya, mereka turut membeli jubah konvokesyen di UM dengan bantuan seorang anak lelakinya yang bekerja di Kuala Lumpur. “Anak lelaki saya yang berusia 27 tahun iaitu abang Ruhana sanggup berhenti tepi jalan, untuk try pakai jubah sebab nak pastikan semula saiz yang dibeli benar-benar sepadan dengan adiknya,” katanya. Menjelang hari yang dijadualkan untuk majlis kejutan Sabtu minggu lalu, bapa kepada tujuh anak itu mendapatkan bantuan rakan-rakan baik anaknya untuk membawa anaknya itu keluar ke bandar.

Syakirah (kiri) menerima ‘skrol’ daripada majikannya.

Jelasnya, ia bagi membolehkan mereka membuat persiapan dengan pemasangan khemah, meja dan kerusi serta hidangan termasuk ketibaan tetamu jemputan. “Saya suruh kawan-kawan baik dia bawa dia keluar dari pagi sampai ke malam, temankan beli baranglah, jalan-jalanlah. Pukul 8 malam baru hantar dia balik. Setiba di rumah, anak memang tertanya-tanya tiba-tiba rumah meriah siap pasang khemah dan ramai orang. Dia tanya kami majlis apa, kami cakap ada perasmian dan kenduri kesyukuran.

Majlis kejutan ini merupakan penghargaan buat dia di atas penat-lelahnya sepanjang pengajiannya di universiti

“Tapi saja kenakan dia, kami minta dia menyempurnakan upacara perasmian sebagai ‘denda’ sebab dia keluar dari pagi tapi tak tolong untuk buat persiapan majlis,” tambahnya. Menurut DJ Don, anak ketiganya itu hanya menyedari majlis itu untuk meraikannya apabila sepanduk di pentas diturunkan, dan tertera ucapan tahniah.

DJ Don (kiri) meraikan anaknya, Syakirah yang tamat pengajian di UM.

“Muzik gamelan dipasang seperti mana yang sering dimainkan di dalam dewan kebanyakan universiti ketika istiadat konvokesyen. Anak kemudian memakai jubah yang dibeli di UM. Skrol pula disampaikan sendiri oleh majikannya ketika latihan praktikal sehingga diserapkan sebagai pekerja di syarikat yang sama,” katanya sambil menambah majlis turut diserikan dengan doa kesyukuran, acara potong kek dan pemberian hadiah serta jamuan makan.

Beliau yang merupakan pengusaha stesen minyak menyifatkan majlis kejutan itu sebagai tanda penghargaan buat anaknya itu yang selama ini bertungkus-lumus untuk menamatkan pengajian dalam peringkat ijazah sarjana muda.

“Dengan norma baharu ini, majlis kejutan ini merupakan penghargaan buat dia di atas penat-lelahnya sepanjang pengajiannya di universiti. Siang malam dia berada di studio untuk menyiapkan tugasan. Walaupun dia pernah hampir putus asa, tapi dia tetap komited dengan meneruskan pengajian di atas sokongan moral kami sekeluarga. Dia seorang anak yang baik dan wajar dihargai di atas kesungguhannya,” kata DJ Don.

Graduan UiTM Ini Sanggup Lakukan Kerja Ini Untuk Menjadikan Pengalaman. Tapi Tak Sangka Dia Menjadikan Pengalaman Sebagai Modal Sesuatu Kerja Ini.

Shah berkongsi jatuh bangunnya yang melakukan pelbagai pekerjaan sehingga akhirnya bergelar seorang penyedia kandungan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Begitulah kata-kata yang dapat menggambarkan kisah perjalanan jatuh bangun seorang pemuda sebagaimana yang dipaparkan dalam video tular di TikTok.

Menurut pemuda berusia 27 tahun itu, dia yang diberhentikan kerja pada November lalu selepas tiga tahun berkhidmat di sebuah kedai buku enggan berputus asa dan kini bangkit menjadi penyedia kandungan (content creator) di media sosial yang kini menjadi kerjayanya.

Bercerita lanjut kepada mStar, Muhammad Shahrul Samsudin, mengakui sukar untuk mendapat pekerjaan, lebih-lebih lagi apabila dia tinggal di kawasan pendalaman.

“Banyak pengalaman jatuh bangun saya. Saya mungkin belum sampai tahap mengalami kemurungan, tetapi saya pernah duduk dalam bilik seminggu untuk dapatkan semula semangat. Saya sama seperti orang lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan diberhentikan kerja baru-baru ini kerana kedai buku tempat saya bekerja antara cawangan yang terpaksa ditutup. Situasi yang dilalui membuatkan saya terfikir cara untuk memenuhi tanggungjawab menjaga ibu, dalam keadaan sangat sukar untuk saya mencari pekerjaan yang menjamin masa depan,” ujarnya yang berasal dari Kampung Parit Besar, Rengit di Batu Pahat, Johor.

Selama tiga tahun bekerja di sebuah kedai buku, Shah diberhentikan kerja gara-gara pandemik Covid-19.

Lebih mesra disapa Shah, katanya, video TikTok yang tular itu menggambarkan kehidupannya dari awal kerjaya yang diceburinya sehingga hari ini.

“Arwah ayah saya bekerja sebagai seorang cleaner, jadi lepas SPM saya pun macam budak lain nak cari duit sampingan, nak kerja. Memandangkan semua kedai di Pekan Rengit tak ada jawatan kosong, saya pun setuju bekerja dengan ayah sebagai cleaner. Selama enam bulan saya bekerja di situ, tidak dinafikan ada juga perasaan malu tetapi sejujurnya saya bersyukur sebab banyak benda saya dapat belajar.

Shah yang juga graduan bidang Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah menceritakan pengalamannya selepas tamat pengajian dan memulakan perniagaan percetakan bersama rakan baiknya.

Selepas tamat pengajian, Shah bersama rakannya membuka bisnes percetakan.

“Lepas dapat ijazah, saya buka bisnes printing bersama rakan. Bisnes yang hanya berbekalkan semangat ini hanya mampu bertahan selama setahun. Lagipun dari mula lagi keluarga dan rakan terdekat tak memberi sokongan kerana kebanyakkan keluarga saya semua jenis makan gaji, mereka tak nampak masa depan dalam bisnes. Masa tu saya memang kecewa sangat, tetapi saya cari balik semangat dan teruskan hidup,” demikian luahnya.

Banyak pengalaman jatuh bangun saya. Saya mungkin belum sampai tahap mengalami kemurungan, tetapi saya pernah duduk dalam bilik seminggu untuk dapatkan semula semangat.

Menurut anak sulung dua beradik itu, tidak lama kemudian selepas berusaha mencari kerja, bermulalah kerjaya sebagai penolong pengurus di sebuah kedai buku dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pengurus.

“Ketika ke kedai buku itu saya hanya minta jawatan juruwang sahaja,” katanya yang baru setahun mendirikan rumah tangga tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Gara-gara pandemik Covid-19 ini, kedai buku itu juga terkesan dan terpaksa ditutup. Di situ bermulalah dia mempunyai idea ingin menjadi penyedia kandungan.

Kerjaya terbaharu Shah yang kini bergelar seorang penyedia kandungan (content creator).

Usaha gigihnya untuk mencari rezeki tidak terhenti di situ, malahan kongsi Shah dia turut mengambil upah di kebun pada sebelah pagi hari, selain berjinak-jinak menyediakan kandungan menarik menerusi pelbagai platform seperti di Youtube, TikTok dan Instagram.

Walaupun, pada mulanya, video-video yang dimuat naik ada juga mendapat komen negatif, bagaimanapun kata Shah, dia hanya mengambil komen-komen positif untuk terus maju dalam bidang yang diceburinya. Shah yang steruja dan tidak sangka video perjalanan hidupnya itu akan mendapat sambutan, bagaimanapun bersyukur dan berharap selepas ini lebih ramai yang akan menyokongnya.

Dari Seorang Jurutera Minyak & Gas. Kini Pemuda Ini Ceburi Bidang Yang Tidak Pernah Dia Sangkakan.

Penularan wabak COV1D-19 yang mula dikesan sekitar awal tahun 2020 hampir seluruh negara banyak memberi kesan dan impak bukan sahaja kepada kesihatan orang awam malah profesion ataupun pekerjaan seseorang individu itu juga mampu terjejas.

Demi mengecilkan sumber pendapatan, kebanyakan syarikat mengambil keputusan untuk menghentikan operasi malah terdapat individu yang dipotong gaji, dipaksa bercuti tanpa gaji, dipaksa menggunakan cuti tahunan dan lebih teruk lagi terus dibuang kerja.

Namun, lain pula buat seorang bekas jurutera minyak dan gas bernama Fazrul Azreen. Jom ikuti kisahnya:- “Tidak pernah saya sangka kerjaya saya sebagai jurutera minyak & gas yang saya ceburi lebih 10 tahun ini berubah akibat virus Covid-19. Semuanya bermula apabila diberhentikan kerja gara-gara syarikat mempunyai masalah untuk membiayai pekerja akibat virus yang melanda,” ujarnya

Fazrul sebelum ini bekerja sebagai jurutera minyak & gas bersama syarikat minyak nasional selama hampir 9 tahun dan kemudian berpindah ke syarikat minyak dan gas milik Amerika Syarikat yang bertempat di Kuala Lumpur. Ini kerana pada masa Fazrul bekerja bersama syarikat terdahulu beliau ditempatkan di Pengerang, Johor yang jauh dengan keluarga.

Pada ketika itu, isterinya berhadapan dengan masalah kesihatan dan terpaksa meletakkan jawatan untuk lebih dekat bersama keluarga iaitu di Seremban. “Alhamdulillah saya diterima masuk ke syarikat milik Amerika Syarikat itu sekitar akhir tahun 2019. Saya sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari,” Sekitar Jun tahun 2020, Fazrul telah diberhentikan kerja sehingga membuatkannya sangat tertekan kerana masa depan kelihatan gelap.

Namun demi kelangsungan hidup, beliau cuba untuk bangkit dan meneruskan kehidupan dengan menceburi bidang baru iaitu perniagaan. “Secara jujurnya, industri kosmetik ini tidak asing bagi saya kerana sebagai seorang jurutera kimia saya sangat berminat untuk mengetahui isi kandungan yang ada di setiap makeup tersebut tidak kiralah lipmatte, foundation, lipsticks mahupun maskara,”

Menceritakan pengalamannya semasa bekerja bersama syarikat dari Amerika Syarikat, beliau diberi peluang untuk menjelajah beberapa negara, seperti Taiwan, Thailand, Korea, Vietnam dan lain lain lagi. “Peluang ini saya gunakan untuk mendalami dunia kosmetik ini dengan berjumpa pembuat kosmetik dan juga pakar-pakar di sana,”

Apa yang menarik perhatiannya adalah mereka menggunakan bird nest extract formula untuk menghasilkan sesuatu produk kosmetik. Umum mengetahui khasiat bird nest extraction banyak digunakan untuk anti-penuaan, mengelak muka berkedut, muka tampil berseri dan sihat.

Oleh itu, Fazrul telah menggunakan formula tersebut untuk mengetengahkan dalam penghasilan produk keluarannya iaitu Hummingbird Cosmetics kerana belum ada lagi mana-mana produk kosmetik dari Malaysia menggunakan formula berkenaan.

“Alhamdulillah usaha saya ini dibantu oleh isteri yang merupakan doktor pakar di Kementerian Kesihatan Malaysia, beliau banyak menasihati saya berkenaan isi kandungan yang selamat digunakan untuk penggguna.

Syukur ke hadrat Ilahi berkat usaha ini, bukan saja mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari KKM dan JAKIM malah dari Korea Food and Drug Administration (KFDA) selaku pembekal barangan mentah,”  Dalam menghasilkan sesuatu produk kosmetik, modal untuk menghasilkan dan mengembangkannya sangat tinggi.

Fazrul mengakui, walaupun setelah lebih 10 tahun beliau berkhidmat sebagai jurutera oil & gas, duit simpanan pada ketika itu tidak mencukupi untuk projek tersebut “Sejak saya diberhentikan kerja, saya berniaga menjual kopi di jalanan, tidak cukup dengan itu saya bekerja separuh masa juga sebagai pemandu e-hailing,”

“Semua ini saya lakukan agar Hummingbird Cosmetics cukup dana untuk meneruskan cita-cita ini. Alhamdulillah selepas lebih setahun berhempas pulas untuk menjayakan projek ini, akhirnya Hummingbird Cosmetics lahir di dunia nyata pada 1 Disember lalu dengan produk pertama adalah lipmatte.” Menurut Fazrul, sambutan pada hari pertama pelancaran benar-benar di luar jangkaannnya.

Fazrul turut melahirkan penghargaan buat semua yang terus memberi sokongan dan galakan termasuk keluarga, sahabat dan team Hummingbird yang berhempas pulas untuk menjayakan projek ini. Semoga kisah yang dikongsi oleh saudara Fazrul Azreen ini sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana yang terkesan dengan pandemik COV1D-19.

Kepada saudara Fazrul, Hot FM mengucapkan tahniah atas pelancaran perniagaan yang dijalankan dan semoga ia terus berkembang maju dengan jayanya.

Sumber: HOT.FM

Macam Macam Dugaan Dialaminya Untuk Mengejar Satu Cita Citanya Ini. Sanggup Melakukan Apa Saja Untuk Seseorang Ini. Remaja Ini Tak Kisah Untuk Berniaga Tepi Jalan.

Izarul (kiri) yang bercita-cita untuk menjadi juruterbang kini membuka sebuah gerai di tepi jalan. -foto instagram famfries_segamat. Siapa sangka seorang anak muda yang berniaga di sebuah gerai di tepi jalan sebenarnya mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi juruterbang.

Menerusi satu perkongsiannya di laman sosial sehingga menjadi tular, pemuda berkenaan memuat naik foto dirinya pernah bertugas di sebuah syarikat penerbangan dan gambar terkini sedang menanti kedatangan pelanggan di gerainya.

Berkongsi kisah di sebalik satu ciapan di laman Twitter itu, pemuda berkenaan, Ahmad Izarul Naim Mohd Rozahar berkata, dia bertugas sebagai pembantu khidmat pelanggan secara sambilan di sebuah syarikat penerbangan sejak Disember lalu.

Anak muda berusia 19 tahun itu bagaimanapun memberitahu, perkhidmatannya di syarikat tersebut hanya bertahan selama empat bulan sehingga Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Perkongsian Izarul di laman sosial menjadi tular.

“Industri penerbangan terjejas akibat pandemik, termasuk saya yang bekerja secara sambilan dan tiada job ketika itu. Jadi, saya mengambil keputusan untuk berhenti. Tak ada job, tak adalah duit. Jadi, saya perlu cari sumber pendapatan lain buat sementara waktu,” katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Izarul, katanya, cita-citanya untuk menjadi juruterbang sejak kecil membuatkannya berhasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan penerbangan.

Meminati bidang penerbangan sejak kecil.

Namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan berikutan kekangan kewangan keluarga, terutama perlu menanggung kos untuk rawatan adiknya yang baru berusia 15 tahun menderita sakit teruk di tulang.

“Keluarga saya bukan orang senang, masa tu pula kami perlu tanggung kos rawatan adik. Jadi, saya menyambung pengajian dalam peringkat sijil terlebih dahulu.

“Saya mengikuti pengajian dalam jurusan kru kabin dan pembantu khidmat pelanggan penerbangan, kedua-duanya sijil di Edufly College di Kuala Lumpur pada 2019,” katanya sambil menambah adiknya meninggal dunia, Ogos lalu.

(gambar kiri) Izarul (kiri) bersama rakan-rakan setugasnya. (gambar kanan) Izarul ketika menjalani latihan amali.

Walaupun tidak mengikuti pengajian berkaitan juruterbang, anak sulung daripada tiga beradik itu bersyukur kerana berpeluang menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang penerbangan.

“Rezeki itu ada di mana-mana. Buat masa ini, saya cari pengalaman dahulu selagi boleh. Belum ada rezeki dalam bidang penerbangan, saya berniaga secara kecil-kecilan.

Rezeki itu ada di mana-mana. Belum ada rezeki dalam bidang penerbangan, saya berniaga secara kecil-kecilan

“Selepas berhenti dari syarikat penerbangan itu, saya buka bisnes menjual masakan barat sejak Mei lalu. Saya yang masak, saya juga yang buat penghantaran secara COD (pembayaran tunai semasa serahan),” ujar Izarul yang berasal dari Segamat, Johor.

Perjalanannya dalam bisnes juga tidak semudah yang disangkakan berikutan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana peringkat awal hanya terjual lima kotak makanan sehari.

“Lama-kelamaan pelanggan semakin bertambah. Dengan sedikit simpanan hasil berniaga, saya memberanikan diri untuk membuka gerai di Segamat Baru, kira-kira dua minggu lalu. Dari 10 hingga 15 kotak makanan sehari di gerai, jualan kini mampu mencecah sehingga 40 kotak sehari selepas posting saya menjadi viral,” katanya. Bersyukur dengan perkembangan yang memberangsangkan ketika waktu sukar ini, Izarul masih memasang impian untuk bergelar juruterbang.

“Bila keadaan kembali pulih dan industri penerbangan semakin rancak, saya akan berusaha menyambung pengajian untuk jadi pilot. InsyaAllah, suatu hari nanti,” katanya.

Juruterbang tinggalkan kokpit sambung tugas di gerai, tak kisah tebal muka ambil order kru kabin – “Saya dah boleh jangka…”

Kapten Azrin Mohamad Zawawi membuka gerai susulan diberhentikan kerja sebagai juruterbang. -foto ihsan Kapten Azrin Mohamad Zawawi. Segak dan bergaya, seorang lelaki dilihat lengkap berpakaian seragam seperti juruterbang dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Tanpa perlu menerjah ke dalam kokpit pesawat, orang ramai berpeluang untuk melihat lelaki itu dalam persalinan baju kemeja putih, topi, tali leher, seluar dan kasut hitam serta lencana sayap seperti kapten juruterbang.

Mi Kari Ipoh, bihun sup, laksa utara dan rojak buah antara pesanan yang diambilnya daripada para pelanggan di sebuah gerai di USJ 11 di Subang Jaya, Selangor.

Bukan lakonan semata-mata, sebaliknya lelaki berkenaan adalah juruterbang, yang merupakan antara 2,200 pekerja Malindo yang diberhentikan kerja akibat pandemik Covid-19.

Kapten Azrin (kanan) bersama rakan setugas di dalam kokpit.

Bercakap kepada mStar, juruterbang berkenaan, Kapten Azrin Mohamad Zawawi berkata, dia berpengalaman dalam bidang penerbangan selama 20 tahun. Namun, juruterbang berusia 44 tahun itu memberitahu, perkhidmatannya bersama Malindo selama lima tahun dan enam bulan terhenti pada 30 Oktober lalu.

“Ia adalah syarikat penerbangan keempat saya berkhidmat sebagai juruterbang. Saya terima dan reda dengan pemberhentian ini, malah dapat dijangka lebih awal kerana pandemik. Tapi saya sedih kerana terpaksa tinggalkan rakan-rakan seperjuangan, terutama mereka yang turut terkesan dengan pemberhentian ini,” katanya.

Menyedari perkembangan yang tidak begitu baik dalam industri penerbangan, Kapten Azrin nekad untuk membuka sebuah gerai dengan bantuan isteri, ibu mentua dan dua adik iparnya.

“Saya dah boleh jangka perkara ini (pemberhentian). Dah lama rancang untuk buka gerai tapi baru berkesempatan untuk membukanya seminggu sebelum saya diberhentikan kerja.

Kalau di kokpit, ia mengingatkan saya kepada tanggungjawab membawa penumpang dengan selesa dan selamat sepanjang penerbangan, di gerai saya mahu memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan.

“Tapi saya bukanlah tukang masak, hanya tukang potong dan sediakan bahan-bahan. Tukang masak utama adalah ibu mentua dan isteri saya,” ujarnya. Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun tidak menyangka tindakannya memakai pakaian seragam ketika berniaga di gerai menjadi tular.

Berpakaian seragam juruterbang di atas permintaan pelanggan.

Mengulas lanjut, semuanya bermula selepas dia berpakaian seragam pada awal minggu ini untuk mengembalikan pas pekerjanya kepada pihak berkuasa penerbangan.

“Dalam perjalanan pulang saya singgah ke gerai dan terus bekerja. Foto saya berniaga sambil memakai uniform menjadi viral dan ramai pelanggan request untuk saya terus pakai.

“Atas permintaan pelanggan, saya turutkan saja. Jujurnya, pakai baju seragam ini bersama apron sebenarnya menaikkan semangat saya untuk berniaga dalam waktu yang sukar. Kalau di kokpit, ia mengingatkan saya kepada tanggungjawab membawa penumpang dengan selesa dan selamat sepanjang penerbangan, dan di gerai saya mahu memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan,” tambahnya.

Menurut Kapten Azrin, dia tidak kisah untuk ‘tebal’ muka mengambil pesanan pelanggan dalam pakaian seragam kerana dirinya suka berinteraksi dengan orang ramai.

“Bukan sekadar orang awam, bahkan antara pelanggan saya terdiri daripada kru kabin yang selama ini antara tugas mereka menghidangkan makanan dan minuman kepada penumpang. Selama ini hanya di kokpit, sekarang saya dapat menyelami antara tugas kru kabin. Saya okay je, tak kisah ambil order kru kabin, tapi mereka yang segan-segan dengan saya.Apa yang saya lakukan ini adalah satu pengalaman baharu dan saya berharap keadaan kembali pulih kerana saya masih berharap untuk kembali terbang suatu hari nanti,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *