Bayinya yang hilang 15 tahun lepas masih segar dalam ingatan. Ini ceritanya bagaimana anaknya hilang.

ISU SEMASA Kehidupan Keluarga

Gambar bayi sekadar hiasan.

SUNGAI PETANI – Meskipun 15 tahun sudah berlalu, kejadian culik melibatkan Mohammad Nursyabil Syakirin Mohammad Nordin masih segar dalam ingatan remaja itu. Dalam kejadian pada 19 Jun 2005 itu, Mohammad Nursyabil disedari hilang oleh ibunya, Norhayati Abu Bakar selepas enam jam dilahirkan semasa berada di Hospital Sungai Petani di sini.

Mohammad Nursyabil berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpanya selepas melihat ­album gambar keluarga dan keratan akhbar mengenai kejadian tersebut. Disebabkan itu, Mohammad Nursyabil berhasrat untuk bertemu wanita yang juga bekas jururawat di hospital berkenaan yang menculiknya.

“Apabila meningkat remaja dan mendapat penjelasan daripada ayah dan ibu berkaitan kejadian ini, kemahuan untuk berjumpa dengan bekas jururawat itu semakin menebal. Saya juga ingin tahu mengapa dia memilih saya (untuk diculik), bukan bayi-bayi lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Su­ngai Lalang di sini semalam.

Mohammad Nursyabil di­sedari hilang pada pukul 2.30 petang ketika masih dalam pemerhatian di wad bersalin, Hospital Sungai Petani. Kehilangannya disedari oleh bapanya, Mohammad Nordin Idris selepas pertukaran syif jururawat yang bertugas di wad bersalin berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Mohammad Nursyabil kemudiannya ditemui lima hari kemudian dalam jagaan jururawat, Noraini Mat Zainol selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Teluk Wang Kecil di sini pada pukul 3.45 pagi, 23 Jun 2005. Noraini kemudiannya didakwa di mahkamah dan diperintahkan menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak selama diperkenan Sultan Kedah pada Mei 2011.

Bercerita lanjut, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar itu memberitahu, dia tidak menyimpan dendam sebaliknya mahu me­ngucapkan terima kasih kerana wanita itu menjaganya dengan baik sepanjang lima hari diculik. Sementara itu, Norhayati, 45, berkata, kejadian culik yang membabitkan anaknya itu masih kekal utuh dalam ingatan mereka sekeluarga

“Terlalu perit kehila­ngan anak yang baru enam jam dilahirkan. Saya hampir gila ke­rana sering menangis teri­ngatkan nasibnya (Mohammad Nursyabil). Namun, berkat sabar dan doa, Mohammad Nursyabil ak­hirnya ditemui semula selepas lima hari dia diculik,” katanya. Norhayati bagaimanapun tidak mengetahui keadaan dan tempat tinggal bekas jururawat yang ditahan itu.

Bayi Yang Dilahirkan Sebulan Yang Lepas Ni Sebenarnya Telah Pun Berusia 27 Tahun. Rupanya Ini Cerita Di Sebalik Semua Ini Terjadi

Percaya atau tidak bayi yang dilahirkan sebulan yang lepas ni sebenarnya telah pun berusia ’27 tahun’! Apa yang lebih menakjubkan, usia ‘sebenar’ bayi ini adalah 2 tahun lebih muda dari usia ibunya sendiri!Wah macam mana boleh terjadi tu?

Embrio dibekukan 27 tahun lepas.Bayi perempuan yang berusia sebulan yang diberi nama Molly Everette Gibson dari Tennessee, Amerika Syarikat itu berjaya mencipta rekod dunia selepas selamat dilahirkan dengan menggunakan embrio yang telah dibekukan sejak lebh 27 tahun yang lalu.

Memetik laporan New York Post, Molly dikatakan telah dilahirkan daripada satu embrio yang dibekukan pada Oktober 1992 iaitu 18 bulan selepas kelahiran ibunya pada April 1991.Bayi perempuan itu dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram, hasil daripada embrio yang dibekukan daripada penderma yang kemudiannya dipindahkan ke rahim ibunya pada 10 Februari yang lalu.

Bayi itu kini menjadi anak kepada pasangan suami isteri, Tina, 29 dan juga Benjamin Gibson, 36.Embrio terlama dibekukan .Menurut pakar dari University of Tennessee Preston Medical Library, bayi perempuan itu berjaya melakar sejarah sebagai embrio terlama dibekukan yang berjaya dilahirkan dalam keadaan yang sihat.Kakak pun hasil daripada pembekuan embrio

Apa yang lebih mengejutkan, kakak bayi berkenaan iaitu Emma Wren juga dilahirkan melalui embrio yang turut dibekukan di dalam ais selama 24 tahun. Kakaknya itu berjaya dilahirkan pada November 2017.Embrio mereka berdua yang diperoleh daripada penderma yang sama telah dibekukan secara bersama yang menjadikan kedua-dua mereka sebagai ‘adik-beradik genetik’ sepenuhnya.

Masalah kesuburan disebabkan cystic fibrosis.Terdahulu, Tina dan suaminya telah berkunjung ke Pusat Pendermaan Embrio Negara (NEDC) untuk menjalani proses pemindahan embrio ke dalam rahim selepas gagal untuk mendapatkan anak secara ‘semula jadi’ selama 5 tahun.

Hal ini kerana suaminya itu mempunyai penyakit cystic fibrosis yang menyebabkan masalah ketidaksuburan.Pasangan itu yang kini telah berkahwin selama 10 tahun membuat keputusan untuk membela anak angkat. Namun, keluarga mereka telah mencadangkan mengenai organisasi pendermaan embrio ini menyebabkan mereka bersetuju untuk melakukannya.

Pada awalnya tidak bersetuju, anggap tak masuk akal.Kedengaran seperti tidak masuk akal. Tidak! Kami tak berminat untuk melakukannya.Namun, kami kerap terfikirkan mengenainya sehinggalah bersetuju pada akhirnya. 

Embrio daripada penderma yang sama.Menurut pakar yang bertanggungjawab terhadap proses tersebut, dia berasa gembira apabila pasangan itu kembali lagi ke sana untuk menjalani pemindahan embrio yang kedua daripada penderma sama yang mendermakan si kakak, Emma.

Tambahnya lagi, ini jelas menunjukkan bahawa teknologi yang digunakan selama bertahun-tahun yang lalu dapat memelihara embrio yang diderma di pusat itu untuk tempoh jangka masa yang panjang.Embrio terpisah selama berpuluh tahun, kini dah jadi adik-beradik ‘genetik’ pula. 

Hanya Disebabkan Baby Walker Terbalik Dan Terhantuk Di Tangga . Sehinggakan Doktor Terkedu Dengan Keputusan CT Scan Otak Bayi Ni.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Itulah pepatah sesuai bagi menggambarkan situasi yang dialami oleh pasangan suami isteri ini apabila anak kecil mereka mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala akibat terjatuh daripada baby walker. Insiden tersebut diceritakan semula oleh seorang Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainolmenerusi satu perkongsian di Facebook, sebagai pengajaran kepada ibu bapa yang lain. Menurut Dr Redza, daripada penceritaan kedua ibu bapa tersebut, walker yang dinaiki anak kecil mereka terbalik sebelum terjatuh di tangga.

“Saya tergamam bila lihat keputusan CT scan otak bayi ni. Bayi ni naik baby walker dan entah macam mana walker tu terbalik dan dia jatuh di tangga. Tangga tu tak tinggi pun, tapi CT scan sahkan ada cecair dalam otak siap retak tempurung kepala anak tu. Lidah saya kelu. Saya dan doktor lain cuma mampu merujuk bayi itu ke hospital yang lebih besar untuk dia dapat rawatan lebih baik. Ayahnya tersandar di dinding. Ibunya pula hanya mampu duduk di sebelah anak. Benda dah jadi. Menyesal pun tak guna,” tulis Dr Redza pada perkongsian tersebut.

Perkongsian Dr Redza Zainol mengenai insiden seorang bayi yang terjatuh daripada baby walker.

Mengulas lebih lanjut, doktor ini mendedahkan ini merupakan antara salah satu kes kemalangan melibatkan bayi ketika mereka menggunakan ‘baby walker’. “Sebenarnya selain terjatuh, banyak kes bayi dikejarkan ke hospital sebab tersepit dan melecur kulit ketika menggunakan baby walker. Di Kanada, baby walker dah diharamkan sepenuhnya. Menurut American Academy of Pediatrics, mereka tegas mengatakan baby walker tak boleh diletakkan di rumah atau pusat penjagaan kanak-kanak,” ujarnya.

Ibu bapa disarankan untuk menyediakan ruangan selamat atau ‘playpens’ untuk bayi mereka bagi mengelakkan kemalangan melibatkan baby walker.

Justeru menurut doktor ini, sebagai mengelakkan insiden sama berulang, ibu bapa seharusnya mencipta ruang selamat buat bayi seiring dengan perkembangan mereka yang pandai duduk, menyulur, merangkak dan berdiri. “Salah satu cadangan American Academy of Pediatrics yang saya suka ialah untuk mak ayah gunakan ‘Play yards atau Playpens’. Bila buat macam ni, dia takkan dapat bergerak sampai ke tangga, bawah meja atau dapur tanpa mak ayah sedar.

“Sambil mak ayah buat kerja yang banyak kat rumah tu, bayi kita boleh main dengan permainan yang kita dah letak kat dalam tu. Adik beradik lain yang dah besar pun boleh tumpang main sekali. Walaupun kita tak guna baby walker, tetap kena pantau anak kecil tu supaya sentiasa dalam keadaan selamat,”ujarnya lagi. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 1,200 shares di Facebook selain turut dibanjiri dengan ratusan komen warganet.

Doktor terkejut ketika melutut periksa kaki budak lelaki, ‘sesak nafas’ selepas dengar bisikan ibunya – “Saya belek dari atas sampai ke bawah”

Kisah hiba mengenai selipar lusuh milik seorang kanak-kanak yang dikongsi oleh Dr Redza begitu menyentuh hati warganet. Gambar hiasan

Ketika ini sudah tentu ramai yang terkesan gara-gara kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19. Jika dahulu hidup selesa, cukup makan pakai dan sesekali melancong, namun bagi sebahagian orang keadaan kini berubah sama sekali. Tidak dapat dinafikan ketika dilanda ujian sebegini, pastinya mulut akan sesekali merungut kerana merasakan kehidupan yang dilalui begitu sukar.

Sebenarnya, ramai lagi keluarga yang amat terjejas dengan situasi semasa lantaran mereka sememangnya sudah lama tergolong sebagai insan kurang berkemampuan, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh doktor ini. Menerusi coretan di Facebook, Dr Redza Zainol menulis mengenai kisah seorang kanak-kanak lelaki yang mengunjungi kliniknya baru-baru ini bersama ibunya untuk temujanji susulan selepas dibenarkan keluar wad akibat mengalami muntah dan cirit-birit.

Selepas doktor itu selesai melakukan pemeriksaan, si ibu kemudian memintanya untuk melihat keadaan kaki kanan anaknya yang bengkak selepas dicucuk ketika berada di wad.

“Terus saya melutut dan capai kaki kanan budak tu. Saya belek-belek dari atas sampai ke bawah kaki. Bila saya nak buka seliparnya, timbul rasa pelik. ‘Ketatnya selipar budak ni’. Lepas berjaya cabut keluar selipar dia, memang sah kaki budak tu berbekas dengan tali selipar tu. Bengkak tu dah surut. Kaki pun tak sakit. Masa nak pakaikan selipar, terasa ketat sangat jadi saya lepaskan je selipar tu. Budak tu ambil dan dia cuba pakai sendiri. Siap senyum lagi. Saya duduk dan diam sekejap. Selipar lusuh dan ketat macam ni, saya sendiri pun tak akan bagi anak saya pakai lagi,” tulis doktor tersebut.

Dia lantas bertanya kepada si ibu sama ada anak lelakinya mempunyai selipar lain untuk dipakai kerana selipar yang sedang digunakan itu tidak sesuai kerana ketat malah ia juga kelihatan lusuh.

“Tak ada doktor. Boleh pula dia senyum. Teringat terus pada anak sendiri. Masing-masing ada dua hingga tiga selipar. Satu untuk di rumah, satu di rumah pengasuh, satu pula standby dalam kereta. Doktor, boleh saya minta duit sikit? Anak saya tak makan lagi tengah hari. Saya nak beli roti untuk dia. Dia berbisik perlahan. Segan agaknya kalau-kalau orang lain dengar. Saya jadi sesak nafas. Dalam hati ni menjerit-jerit cukup ke roti tu. Susu anak pun dah habis. Duit tak ada. Boleh ya?” tulis doktor itu mengimbas kembali situasi hiba itu.

Kata-kata si ibu lantas membuatkan doktor ini sebak kerana memikirkan betapa si ibu sanggup melakukan apa saja untuk anak, bukan saja bersusah payah membawanya mendapatkan rawatan namun turut memikirkan perut si anak yang perlu diisi. Tidak berfikir lama, doktor ini menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan wang dari dompet lalu diberikan kepada wanita itu.

Sebahagian perkongsian Dr Redza mengenai kisah selipar lusuh milik seorang pesakit kecilnya.

“Walaupun tak ada duit, diusaha juga supaya mereka anak beranak sampai ke hospital. Untuk anak, manusia sanggup berbuat segalanya. Kita sebenarnya setiap hari berjalan tanpa beban.

“Bersyukurlah nikmat apa yang ada pada kita hari ini sebab ada orang sekeping roti pun tak mampu nak beli dan makan apatah lagi tukar selipar elok untuk anak. Saya duk fikir dia yang tak cukup duit pun boleh tersenyum. Kita yang ada duit, ada kereta, ada pangkat, hari-hari asyik pula mengeluh. Lagi banyak mengeluh dari berzikir sampaikan muka jadi kelam, hati pun makin penuh dengan titik hitam. Kalau kita fikir kita susah, ada lagi yang lebih susah,” ujarnya lagi. Sehingga kini posting tersebut meraih 308 shares di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *