Bapa 8 anak ini beralih kerjaya sejak PKPB bersama rakan suraunya dengan menjual nanas. Ini nasihatnya buat semua yang hilang sumber pendapatan.

Amalan Kehidupan Keluarga Uncategorized

Sallehuddin bersama Carl yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu mengusahakan perniagaan gerai berasaskan nanas. Dalam menghadapi era pandemik serba sukar ini, kita seharusnya bijak mencari peluang demi meneruskan kelangsungan hidup. Jika diamati sepanjang tahun 2020, ramai yang kehilangan kerja serta sumber pendapatan gara-gara Covid-19 yang melanda. Malah, impaknya juga tidak mengenal latar belakang bangsa, kerjaya mahupun usia.

Di Saujana Impian, Kajang, Selangor, seorang lelaki berusia 59 tahun turut berjinak-jinak dengan perniagaan nanas madu sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula di beberapa negeri, baru-baru ini. Menurut Sallehuddin Shuib, dia mencuba peluang baharu itu setelah 13 tahun berkecimpung dalam perniagaan berkaitan suplemen kesihatan.

Sallehuddin berniaga menggunakan keretanya sahaja.

“Umur dah dekat 60, tak tahu nak buat apa. Jadi saya cari pembekal nanas dan cuba terokai peluang perniagaan ini. Ia bermula dengan jual dalam boot kereta sahaja. Saya buka boot, letak kerusi. Kemudian buka meja sebelum seterusnya jual di gerai pula. Dah dua bulan lebih saya berniaga nanas. Sebelum ini dah 13 tahun jual suplemen, sebagai perunding kesihatan,” ujarnya kepada mStar. Menurut Sallehuddin, perniagaan gerai nenas itu diusahakan bersama rakannya yang dikenali sebagai Carl, 48 tahun yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

Tak perlu susah hati, Allah akan tabur rezeki. Cuma kita kena berusaha.

Ujarnya, Carl merupakan rakan jemaah di Surau Ar Raudhah, Saujana Impian dan persahabatan itu kini bercambah menjadi rakan perniagaan pula. Biarpun tidak mempunyai pengalaman, Sallehuddin menyifatkan rakannya itu sebagai seorang individu yang cukup jujur dan amanah. Sementara itu, Sallehuddin yang juga bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, konsep perniagaan nanas juga sama sahaja seperti apa yang diusahakannya sebelum ini.

Dua sahabat ini merupakan rakan jemaah di sebuah surau di Kajang.

Namun katanya, setiap peniaga harus berusaha dan tiada kejayaan datang dengan mudah khususnya dalam zaman seperti ini. “Konsep berniaga yang sebelum ini dengan yang sekarang sama sahaja. Cuma kena sabar dan tabah. Mula-mula berniaga nanas pun sambutannya agak perlahan. Hanya orang berniaga yang akan faham. Tak ada benda datang bergolek. Kalau tak pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya? Jadi kena selalu konsisten dan semak misi kita,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Sallehuddin mengakui dia juga peka dengan apa yang dilalui ramai individu di luar sana sejak Covid-19 melanda. Namun katanya, dia percaya setiap individu perlu mencari kekuatan diri dan harus percaya kepada konsep rezeki.

“Kena bangun dan lihat peluang yang ada. Tak boleh duduk bersedih semata-mata. Kena ada inovasi. Tak perlu susah hati, Allah akan tabur rezeki. Cuma kita kena berusaha,” ujarnya lagi. Tambahnya lagi, dia turut berterima kasih kepada pelanggan yang memberikan sokongan terhadap perniagaan berkenaan dan berharap mereka berpuas hati dengan hasil yang dibeli.

Pelanggan Ini Merungut Apabila Kuih Dijual Dengan Harga 50 Sen Sebiji. Tapi Bila Peniaga Ini Beri Jawapan Yang Makan Dalam Sebegini Terus Terkedu Pelanggan Tersebut.

Seorang pelayar berkongsi kisah pelanggan yang merungut kerana mendakwa harga kuih yang dibelinya di gerai agak mahal. Kuih tradisional Melayu pasti memikat selera sesiapa sahaja. Bukan hanya disajikan sebagai pemanis mulut ketika sarapan atau minum petang bersama, namun ia juga sering menjadi pilihan untuk dihidangkan ketika majlis keraian.

Kuih-muih seperti koci, lepat, ketayap, seri muka, kuih lapis, keria, bingka, kuih cara dan sebagainya adalah antara kuih yang sering dicari ketika berkunjung ke gerai. Di sebalik rasanya yang lazat, proses penyediaannya juga begitu renyah kerana memerlukan bahan-bahan khusus, cara penyediaan yang berbeza serta memakan masa yang agak lama.

Justeru tidak hairanlah harga kuih tradisional pada masa kini mencecah di antara RM0.50 sehingga RM0.80 sebiji, tambahan pula harga barang keperluan di pasaran sentiasa meningkat. Namun begitu, ada pula segelintir individu yang sewenang-wenangnya meminta diskaun kepada penjaja kuih kerana merasakan ia terlalu ‘mahal’ dan tidak sepadan dengan standard harga jualan di gerai, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar di Facebook.

Kuih tradisional memerlukan kemahiran dan memakan masa yang agak lama untuk dibuat.

“Perbualan penjual kuih dengan seorang perempuan muda Melayu bekerjaya, saya cuma pasang telinga saja. ’50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?’ tanya Nora (bukan nama sebenar) secara berseloroh. 50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik. Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana,” tulis pelayar berkenaan mengimbas kembali perbualan di antara peniaga dan pembeli.

Dalam masa yang sama, peniaga itu turut mengambil kesempatan menceritakan kisahnya yang membuat kuih berseorangan tanpa dibantu sesiapa, selain terpaksa bersedia beberapa jam lebih awal. Menurut peniaga itu lagi, bukan sahaja keuntungan yang diperoleh terlalu sedikit, malah kadang kala penatnya seakan-akan tidak berbaloi apabila pelanggan yang datang membeli boleh dikira dengan jari.

Terkenang dulu buat kuih kadang tak jadi, kena buang. Lepastu yang jadi pula orang cakap mahal bila dijual.

Bagaimanapun ujarnya, hanya ada satu perkara yang membuatkannya terus bertahan untuk berniaga kuih muih. “Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah. Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik RM2, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua.

“Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik? Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora. Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan,” tulis pelayar itu lagi sebagaimana luahan peniaga berkenaan.

Komen warganet yang turut sependapat dengan perkongsian pelayar berkenaan.

Tambah pelayar itu lagi, tindakan peniaga tersebut jelas memeranjatkan pelanggan wanita berkenaan, namun jawapan yang diberikan lebih membuatkan mereka terpana. “Kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu, tak ada orang lain lagi yang akan tolong orang kita. RM0.50 sebiji adik kata mahal, tak mampulah tu,” tulis pelayar itu lagi sambil menambah, peniaga berkenaan kelihatan benar-benar ikhlas bersedekah.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 393 shares. Rata-rata warganet turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang mempertikaikan harga kuih-muih tradisional. “Terkenang dulu buat kuih kadang tak jadi, kena buang. Lepastu yang jadi pula orang cakap mahal bila dijual,” komen seorang warganet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *