Apa yang perlu anda lakukan kepada si bulus kesayangan anda jika anda dijangkiti covid 19. Kini ada penjelasannya.

Amalan Dunia Haiwan

Kucing peliharaan perlu dimandikan sekurang-kurang dua minggu sekali. Sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, pelbagai kebimbangan timbul bagi pencinta haiwan peliharaan.

Pakar veterinar, Dr Ahmad Razeen Zulkifti berkongsi tip kepada golongan itu terutama yang memelihara kucing dan anjing. Beliau yang menguruskan sebuah klinik veterinary di Jalan Gombak, Setapak ini, ramai yang tidak mengambil perhatian terhadap penjagaan kebersihan.

Elakkan menjemur kucing di bawah matahari selepas mandi kerana boleh merosakkan bulu.

“Kebersihan bukan sahaja kepada diri pemilik, sebaliknya perlu mengambil peduli mengenai haiwan peliharaan sendiri.“Musim wabak Covid-19 mungkin menambahkan lagi kebimbangan ramai orang dan sebab itu anda perlu sentiasa memberi perhatian terhadap aspek kebersihan,” kongsinya kepada mStar.

Tambah Razeen, kucing tidak dijangkiti Covid-19 kecuali berjangkit daripada pemiliknya.”Ada kucing yang mempunyai penyakit koronavirus yang dikenali Alpha Coronavirus dan ia tidak berjangkit kepada manusia. Jadi Covid-19 dan Alpha Coronavirus adalah penyakit berbeza. Dalam situasi ini, jika anda dijangkiti Covid-19, jangan panik. Paling penting jangan hantar kucing itu ke veterinar kerana ia boleh menyebarkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Dr Razeen berkongsi pengalaman menjaga kucing positif corona virus enam tahun lalu.

Apa yang penting pakar veterinar ini berkongsi tip penting untuk pencinta haiwan mengelak daripada sebarang penyakit.

1. Kebersihan

Diri Pemilik – Pemilik kucing sendiri perlu menjaga kebersihan diri, sentiasa membasuh tangan setiap kali bermain dengan haiwan peliharaan. Haiwan peliharaan – Sentiasa menjaga kebersihan haiwan peliharaan seperti mandi, bersihkan kaki/tangan kucing, bersihkan tandas, tempat tidur, bersihkan hidung, mulut dan sebagainya.

2. Alpha Coronavirus

Penyakit ini tidak berjangkit kepada manusia.Jika anda disahkan positif Covid-19, kurung kucing-kucing anda berasingan dan dapatkan nasihat veterinar.

3. Jangan serbu klinik veterinar

Jangan ke klinik veterinar sekiranya pemilik kucing dijangkiti Covid-19 kerana pihak veterinar sendiri tidak ada test-kit yang boleh mengesan virus Covid-19 terhadap haiwan peliharaan.

4. Kurung haiwan

Jika pemilik dijangkiti Covid-19, kurung haiwan peliharaan, monitor di rumah. Jangan sebarkan virus (Covid-19) dengan membawa kucing atau anjing ke klinik veterinar.

5. Sentiasa berhubung dengan veterinar

Pastikan anda berhubung dengan doktor veterinar masing-masing jika kucing anda tidak sihat.

Koronavirus pada binatang 99.98 peratus bukan Covid-19 – Veterinar

Sejak pandemik, timbul isu haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing boleh dijangkiti pandemik Covid-19 yang kini menyerang manusia seluruh dunia. Ia berikutan laporan seekor harimau di New York yang dikatakan menunjukkan simptom akibat jangkitan Covid-19. Laporan tersebut seterusnya menimbulkan panik kepada pencinta haiwan termasuk di Malaysia yang rata-ratanya membuat pelbagai persepsi, malahan ada yang salah anggap berkaitan wabak ini.

Pakar veterinar, Dr Ahmad Razeen Zulkifti,34, meluahkan rasa bimbang terhadap isu ini yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan penduduk negara. Menurut beliau, haiwan peliharaan seperti kucing memang mempunyai risiko koronavirus dan ianya bukan penyakit baharu.

Dr Razeen berkongsi mengenai Coronavirus yang dihidapi kucing.

“Koronavirus pada kucing sudah lama wujud yang dikenali sebagai Alpha Coronavirus dan ianya tidak berjangkit kepada manusia, malah ia tidak pernah berjangkit kepada manusia. Untuk haiwan, kajian telah dijalankan beberapa tahun lalu dan ianya adalah Alpha Coronavirus. Keputusannya 99.98 peratus bukan Covid-19 kerana virus untuk manusia dikenali sebagai Beta Coronavirus. Sebenarnya Covid-19 ini melumpuhkan sistem pernafasan manusia dan ia lebih kurang sama sahaja dengan wabak SARS yang berlaku di Hong Kong sebelum ini,” ujarnya kepada mStar.

Kajian

Menurut Dr Razeen, makmal kajian Idexx (pusat kajian veterinar) dunia telah melakukan ribuan kajian terhadap haiwan, namun tidak ada keputusan yang menjurus kepada jangkitan Covid-19.

Jangan jadikan maklumat tidak sahih untuk abaikan haiwan peliharaan. Alpha Coronavirus pada kucing tidak berjangkit kepada manusia.

“Haiwan boleh dijangkiti Covid-19 daripada manusia. Punca virus corona adalah hasil mutasi virus corona yang mungkin berasal dari haiwan liar yang dijadikan makanan. Dan kalau ada anjing atau kucing yang dijangkiti wabak ini ia adalah berpunca daripada manusia sahaja,” jelasnya. Beliau yang menguruskan sebuah klinik veterinar di Jalan Gombak, Setapak berkata, orang ramai jangan panik dan mengabaikan haiwan peliharaan mereka.

“Selama 20 hari kucing atau anjing menjadi peneman setia di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Jangan kerana maklumat tidak tepat, ada pihak yang abaikan haiwan peliharaan mereka. Tentu sekali haiwan peliharaan akan menjadi mangsa kerana mereka tidak boleh bersuara. Kami di peringkat pengamal veterinar sendiri terus membuat perbincangan mengenai virus ini kepada anjing dan kucing. Setakat ini memang tidak ada kes Covid-19 yang dijangkiti kucing atau anjing,” ujarnya. Dr Razeen juga turut memberi peringatan kepada pemilik haiwan supaya bertenang dan jangan mudah tertipu dengan maklumat yang tidak sahih.

“Jangan bawa haiwan peliharaan ke klinik veterinar kerana sehingga kini masih belum ada test kit untuk haiwan. Saya sudah cuba bertanyakan kepada semua pengedar dari Korea Selatan, Amerika Syarikat…malangnya belum ada lagi untuk menguji Covid-19 terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini. Pemilik boleh menghubungi doktor-doktor vet sendiri untuk mengetahui cara penjagaan dan pencegahan terbaik,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *