Tular apabila seorang remaja kayuh basikal semata mata untuk meniaga teh di tepi jalan. Kini dia jelaskan kenapa dia memilih kerja ini.

berita Dunia Kehidupan Keluarga Uncategorized

” Sudah menjadi cita-cita saya sejak kecil mempunyai perniagaan sendiri. Berniaga dengan konsep seperti ini membuka mata saya mengenai dunia sebenar.” Itu kata-kata seorang pemuda yang berniaga dengan mengayuh basikal sambil membawa tong air panas berisi minuman teh Masala seberat 20 liter di sekitar Brickfields setiap hari.

Meskipun tidak mudah, namun, S Kavievanan, 23, cekal mencari rezeki dengan konsep perniagaan sebegitu walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal. Bagi Kavievanan, ia satu cabaran dalam mencari rezeki selain menimba pengalaman sementara menunggu peluang pekerjaan dalam bidangnya.

” Konsep dan idea perniagaan ini muncul selepas saya tamat pengajian Februari lalu di Universiti Tenaga Nasional (Uniten). Saya bermula pada awal Mei lalu dengan menjual minuman teh Masala dengan harga RM1 secawan bermula jam 3 hingga 5 petang. Pada awalnya saya hanya dapat menjual 30 cawan sehari dan selepas dua bulan hasil jualan semakin meningkat kepada 100 cawan sehari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak pernah berasa malu dengan pekerjaan yang dilakukannya dan menganggap bapanya yang berniaga kacang putih di Masjid India, di sini, sebagai inspirasi.

” Saya ada merancang untuk mengajak lebih ramai rakan melakukan konsep perniagaan ini supaya sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang tiada pekerjaan. Sekarang, konsep perniagaan seperti saya ini sudah diusahakan oleh rakan seusia, Arvind Ratnakumar di sekitar Masjid India,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai proses pembuatan teh Masala, Kavievanan berkata, resepi minuman itu dibuatnya sendiri. ” Teh Masala mengandungi serbuk teh dari India dan rempah ratus iaitu buah pelaga, kayu manis, halia, lada hitam, bunga cengkih dan dididihkan selama dua jam.

” Selepas siap, saya akan menuangnya ke dalam tong air panas dan membawanya menaiki motosikal manakala basikal pula saya letak dan kunci di belakang kedai di sini. Perlu berhati-hati ketika membawa tong itu disebabkan ianya pernah terjatuh sebelum saya sempat memulakan jualan,” katanya. Kavievanan berkata, kos ubahsuai basikal supaya sesuai digunakan untuk perniagaan memakan hampir RM500 dan tong pula dibeli dengan harga RM150.

” Walaupun begitu, saya tetap bersyukur dengan hasil jualan apatah lagi sudah ada pelanggan tetap,” katanya. Menurutnya, selain pengusaha restoran, kakitangan pejabat dan pekerja kedai adalah pelanggan tetapnya.

Katanya, dia juga tidak menyangka perniagaan kecil-kecilannya itu tular di media sosial dan akan meneruskan perniagaannya itu memandangkan permohonan kerjanya dalam bidang kejuruteraan belum mendapat respon positif.

” Buat masa ini, saya merancang untuk meneruskan dan mengembangkan lagi perniagaan menjual teh Masala ini. Lebih enam bulan berniaga di sini banyak yang saya pelajari mengenai erti kehidupan terutamanya apabila mendengar perkongsian mereka yang lebih tua,” katanya.

Dahulu gaji lima angka, kini jual sushi di tepi jalan

Hidup ini tidak selalunya indah kerana ada masa kita dimandikan kemewahan dan ada kalanya kita susah dan hidup dalam serba kekurangan. Jika itu yang harus dihadapi bagi mereka yang tidak kuat iman, macam-macam boleh terjadi. Bukan sahaja ada yang kemurungan kerana hilang pekerjaan. Malah ada juga yang cuba mengakhiri hidup ini.

Namun dalam apa jua keadaan, redha menerima takdir yang ditentukan dan tabah akan menjadikan kita seorang insan yang kuat dalam menghadapi apa juga dugaan.

Zaffiey Zain di depan gerei Sushi Bar. Walau hujan atau panas, Zaffiey akan tetap berdiri teguh dalam gerai ini.

Begitulah hakikatnya yang harus dihadapi oleh Zaffiey Zain, bekas Pengurus Jualan Serantau bagi Asia Tenggara dengan salah satu organisasi perlancongan global dimana skop perniagaan adalah teknologi dan e-dagang. Beliau yang berpengalaman dalam mengendalikan dan menyalurkan produk-produk perlancongan dengan beberapa syarikat penerbangan terkenal bagi setiap destinasi untuk kemudahan penumpang bagi setiap aspek dan kelas.

SUSHI Valley yang di letak di 15 stesyen minyak terkenal di Lembah Kelang, Sri Hartamas, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Bukan itu sahaja, malah tugas Zaffiey juga merangkumi perkhidmatan dan servis untuk kerabat diraja, hartawan dan mereka yang memerlukan percutian yang mewah. Bersandarkan tugas itu, Zaffiey yang pernah menerima gaji dan pendapatan yang lumayan setiap bulan terpaksa hidup dalam ‘kemurungan’ apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menyekat penularan pandemik Covid-19 bermula 18 Mac lalu. Empat bulan tidak bekerja dan hidup terkurung di rumah, Zaffiey Zain bukan sahaja hampir habis wang simpanan malah kemurungan membuatkan beliau hampir putus asa untuk meneruskan kehidupan.

“Bayangkan duit simpanan saya hampir habis dan saya begitu tertekan malah kemurungan kerana memikirkan semua yang terjadi. Namun saya bersyukur dalam saat saya terkapai-kapai untuk mencari kekuatan diri, saya berbalik kepada-Nya. Tetapi itu bukan bermakna selama ini saya leka dengan dunia sehingga tidak menjalankan tanggungjawab saya kerana Mama memberi didikan agama yang cukup kepada saya.

“Tetapi sebagai manusia kadangkala kita lalai. Menyedari itu, saya bangkit semula dan berusaha kerana bagi saya hidup ini harus diteruskan tanpa melupakan landasan dan pegangan dalam sebuah kehidupan,” cerita Zaffiey dalam satu pertemuan pada Jumaat lalu di sebuah hotel di pinggir kota. Betapa tidak sebelum PKP, Zaffiey menerima gaji dan pendapatan sampingan sebanyak lima angka sebulan melalui bisnesnya tetapi kini harus menerima kenyataan semua itu hilang dalam sekelip mata. Sebelum PKP, selain bekerja saya punya syarikat sendiri yang dikenali Bloom Valley yang membekalkan hiasan bunga untuk 50 bilik suite mewah hotel dan lobi di Kuala Lumpur serta pejabat setiap hari.

“Bukan itu sahaja, Bloom Valley juga mengendalikan majlis eksklusif dan menyiapkan hamper menarik pada majlis-majlis berkenaan,” kata Zaffiey yang juga Pengasas Bloom Valley. Perniagaan yang dijalankan sejak 2017 bersama rakan kongsinya, Ezzu Maaruf membuatkan beliau mampu menyewa ofis yang mementingkan ‘kelas tersendiri’ dengan empat orang pekerja yang setia. Bagaimanapun apabila PKP, saya terpaksa berhentikan pekerja, jual kereta mewah dan bangkit semula demi kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah…hari ini saya mampu memandu kereta nasional untuk bangun kembali dengan mengusahakan perniagaan Sushi Bloom Valley dan Sushi Bar. Disamping itu saya masih mengambil tempahan menghias jambangan bunga dan hamper yang ditempah walaupun dalam bilangan yang kecil. Jika dahulu saya berjumpa dengan pelbagai manusia berjawatan tinggi sehingga terbang ke Dubai, Hong Kong kini saya tidak kisah berniaga sushi di tepi jalan. Bagi saya yang penting mencari rezeki yang halal,” cerita Zaffiey.

Menurut Zaffiey, beliau memilih sushi kerana tahu ramai masyarakat kita yang suka makanan ini tetapi harganya agak mahal untuk mereka yang berpendapatan rendah.

“Dengan kepakaran yang ada bersama para pekerja, kami menghasilkan sushi yang berkualiti dengan pelbagai citarasa dan harga yang mampu beli. Sushi yang dijual di gerai dikenali Sushi Bar dengan harga RM1.50 sebiji. Sementara yang dihantar ke 15 stesyen minyak yang terpilih antaranya Lembah Kelang, Sri Hartamas, Petaling Jaya dan Subang Jaya dijual pada harga RM7.90 untuk 3 ketul dan RM10.90 untuk 5 ketul,” jelas Zaffiey.

Menjelaskan berniaga sushi di gerai di tepi jalan, pemilik Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pelancongan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) ini memberitahu;

“Saya tidak malu berniaga di tepi jalan kerana yang penting saya tidak meminta-minta untuk hidup. Buat masa ini, gerai Sushi Bar kami adalah di Subang Perdana dan Ara Damansara. Gerai Sushi Bar kami dibuka mulai 12.30 tengah hari sehingga 5 petang setiap hari kecuali hari Jumaat. Apa yang membuat saya dan rakan kongsi teruja, Sushi Bar ini boleh dijual Isnin hingga Khamis sebanyak 300 hingga 500 biji sehari. Sementara hari Sabtu dan Ahad jualannya mencecah antara 700 hingga 1,000 biji sehari.”

Mulai September, gerai Sushi Bar akan membuka dua lagi cawangan iaitu di SS 15, Subang Jaya dan di Bangi. Ditanya pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Zaffiey yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan melalui instagram: sushivalley.official dan hiasan bunga bloomvalley.empire berkata, saya tidak pernah menduga dan bersyukur Sushi Bar ini mendapat sambutan. Bagaimanapun pada waktu yang sama, di masa susah dan ketika saya berniaga di gerai tepi jalan baru saya tahu kawan sebenar.

“Benarlah kata pepatah kawan ketawa senang di cari, kawan menangis sukar didapat. Apabila saya susah dan bermesej pada kawan-kawan yang sering bersama di zaman saya mewah, mereka baca mesej tetapi tidak respon apa-apa! Saya bersyukur hari ini (Jumaat 21 Ogos) ketika dalam perjalanan ke sini untuk ditemuramah, saya mendapat panggilan bahawa stesyen minyak berkenaan menawarkan saya membekalkan Sushi Valley ke 30 cawangan lagi.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *