Gadis ini kongsi video sayu bumbung rumahnya habis terbang akibat ribut. Sekali tergamak warganet kata itu semua edit.

Infomaklumat ISU SEMASA Keluarga

Remaja itu turut berkongsi kejadian yang berlaku di aplikasi TikTok sehingga meraih perhatian ramai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan. Begitulah gambaran rasa sayu tatkala menonton rakaman video memaparkan keadaan sebuah rumah yang rosak teruk dalam kejadian ribut kuat di Melaka pada Rabu lalu. Menurut Elysha Nur Safia Abdullah, 17, dia terkejut apabila 70 peratus bumbung kediamannya rosak teruk akibat diterbangkan angin sewaktu kejadian.

“Mula-mula ribut biasa, lepas tu petir mula sambar-menyambar. Pada awalnya elektrik terputus, tiba-tiba bunyi dentuman kuat. Saya ingat buah kelapa jatuh atas atap, rupa-rupanya atap dah terbang. Tercampak ke luar rumah. Rumah kami yang paling teruk, rumah lain bumbung terangkat je. Kejadian pukul 3.30 petang, masa tu saya dengan nenek je ada kat rumah,” ujarnya kepada mStar.

Keadaan kediaman itu dari pandangan luar selepas ribut melanda.

Mesra disapa Elysha, dia yang menetap di Kampung Kandang, Melaka Tengah mengakui masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku. Malah, ia turut menyebabkan beberapa kelengkapan dan perabot dalam kediaman berkenaan rosak dan tidak boleh digunakan. “Barang dalam rumah rosak. Peti ais, mesin basuh… perabot reput. Baru je angkat dah reput.

Saya share je, tak sangka viral. Sangat terharu dengan sokongan yang diberikan.

“Rumah kami ada kandang itik, kandang itik pun hancur separuh, itik pun hilang tak tahu ke mana,” ujarnya lagi. Kata Elysha, dia menetap bertiga di kediaman itu bersama datuknya, Ramli Muhamat, 59, dan neneknya, Surhana Harun, 58. Ibunya bekerja di Singapura manakala dia sudah lama kehilangan bapanya.

Dalam pada itu, kisah kediaman itu turut menjadi perhatian ramai selepas Elysha berkongsi mengenainya di aplikasi TikTok. Kata Elysha, dia juga tak terlepas menerima kritikan segelintir individu dalam aplikasi itu.

Kata remaja itu, dia tidak terlepas menerima kata-kata jahat di Twitter oleh segelintir individu.

“Saya share je, tak sangka viral. Sangat terharu dengan sokongan yang diberikan. Tapi biasalah tak semua orang suka. Ada yang kritik kata benda ni edit. Ada yang cakap saya boleh beli telefon tapi tak boleh baiki bumbung. Benda tu baru berlaku, mana nak cari duit. Atuk saya hanya pemandu lori sampah. Nenek saya pula Orang Kelainan Upaya (OKU). Kaki tak kuat sebab pernah kemalangan. Nenek setakat mampu jaga itik dan jaga rumah je,” kata Elysha.

Malah ujar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, dia terbuka sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu sumbangan disalurkan kepada keluarganya. Elysha boleh dihubungi di talian 011-70797765.

Setahun 8 kali banjir… air melimpah bapa selamba duduk atas kerusi, nak hias rumah pun tawar hati – “Dah habis RM60,000 upgrade”

Bapa Azri selamba duduk atas kerusi tatkala air mula memasuki kediaman mereka sehingga ia mencecah paras pinggang menerusi kejadian pada Selasa. Sepanjang 23 tahun menetap di kediaman keluarganya, kejadian banjir pada Selasa petang disifatkan sebagai yang paling teruk pernah berlaku.

Menurut Ahmad Nur Azri Ahmad Nuri, 23, yang menetap di Lorong Kiri, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kejadian banjir itu juga bagaikan sudah menjadi kelaziman buat dia serta beberapa kediaman sekitar. Malah, video kejadian terbaharu itu turut mengundang simpati ramai setelah ia tular menerusi laman Twitter.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Azri mengakui sedih kerana masalah itu sudah berpanjangan sejak sekian lama. Malah dakwa Azri, masalah itu semakin meruncing selepas anak sungai berdekatan dinaik taraf menjadi longkang monsun sekitar tahun 1990-an.

“Di kawasan rumah saya, biasanya ada lima rumah yang akan kena. Rumah ini merupakan yang paling dekat dengan anak sungai tu. Bulan ini sahaja dah dua kali banjir. Bulan lepas sekali. Saya boleh kata dalam anggaran lima ke lapan kali dalam setahun. Dalam rumah saya, ada datuk dan nenek, ibu bapa saya, saya dan isteri termasuk kakak dan anaknya. Kejadian terbaharu pada Selasa petang, paling teruk saya rasa. Sebelum ni air masuk melalui tingkap. Semalam lebih 2 inci dari paras tingkap,” ujarnya kepada mStar.

Permandangan biasa setiap kali kediaman itu dilanda hujan lebat.
Bukan sahaja kediaman Azri, malah air yang melimpah turut memberi kesan buat beberapa kediaman sekitar.

Menerusi video tular, kelihatan dia sedang memindahkan barangan dalam rumah tatkala air banjir mula memenuhi segenap ruang pada paras pinggangnya. Turut mencuri tumpuan tentunya bapa Azri yang kelihatan selamba duduk atas kerusi, seolah-olah tidak hairan dengan apa yang sedang berlaku.

Saya baru 23 tahun tinggal di sini, bagaimana dengan datuk dan nenek saya yang sudah sekian lama hidup dalam rumah tu?

“Selepas video tu viral, ada orang pertikai struktur rumah kami, kenapa ada tangga tinggi depan rumah? Sebenarnya kami tambah tangga lambatkan air masuk dalam rumah. Jika kami tengok air dah naik ke beberapa anak tangga, kami sempat untuk kemas dan simpan barang sebelum ia melimpah ke dalam rumah. Kami juga bina platform pada setiap pintu bilik untuk lambatkan air masuk. Malah, kami juga ada buat lubang untuk cepatkan air keluar selepas banjir. Secara anggaran kasar dah habis RM60,000 untuk upgrade rumah. Struktur rumah juga senget sebab selalu banjir, dinding dan lantai banyak retak.

Dakwa Azri, kejadian banjir seperti ini berlaku sekitar lima ke lapan kali setahun.

“Kalau tengok video tu, ayah saya selamba je duduk atas kerusi. Kami dah terbiasa sangat. Kalau hujan mesti risau, apatah lagi jika kami tiada di rumah,” ujar Azri yang bekerja sebagai pendandan rambut. Tambah Azri, situasi itu juga menyebabkan dia sekeluarga tawar hati untuk menghias dalam rumah dan membiarkan ia hampir kosong tanpa perabot. Kalau perasan, ada dua kerusi tu je. Dah penat nak hias rumah. Kalau raya sekalipun, kami hias sekejap, esoknya dah kemas. Memang penat nak cuci. Bila air dah masuk, hadap je lah. Biasanya dalam sejam akan surut, tapi bergantung juga dengan keadaan hujan pada waktu itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azri berterima kasih dengan respon positif warganet di Twitter yang meluahkan rasa simpati atas nasib menimpa dia sekeluarga serta jiran tetanga. Malah, dia turut meminta pihak terlibat agar memandang serius kejadian itu dan berharap ia segera berakhir setelah sekian lama berlanjutan.

“Terima kasih kepada warganet yang prihatin. Ada beberapa pihak yang tampil nak membantu selepas ia viral. Saya harap pihak terlibat dapat selami apa yang dilalui masyarakat. Kami tak perlu bantuan makanan, beras dan rempah ratus. Kami mahu masalah ini selesai. Saya baru 23 tahun tinggal di sini, bagaimana dengan datuk dan nenek saya yang sudah sekian lama hidup dalam rumah tu? Kesian,” ujarnya.

Tambah Azri, bukanlah masalah mereka tidak pernah mendapat perhatian pihak berwajib, malah sudah banyak kali aduan mereka didengari. Namun, situasi itu masih lagi belum berakhir dan harapan Azri agar ia dapat diakhiri dengan segera

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *