Hanya disebabkan baby walker terbalik dan terhantuk di tangga . Sehinggakan doktor terkedu dengan keputusan CT Scan otak bayi ni.

Amalan Infomaklumat ISU SEMASA Uncategorized

Gambar Sekadar Hiasan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Itulah pepatah sesuai bagi menggambarkan situasi yang dialami oleh pasangan suami isteri ini apabila anak kecil mereka mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala akibat terjatuh daripada baby walker. Insiden tersebut diceritakan semula oleh seorang Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol menerusi satu perkongsian di Facebook, sebagai pengajaran kepada ibu bapa yang lain. Menurut Dr Redza, daripada penceritaan kedua ibu bapa tersebut, walker yang dinaiki anak kecil mereka terbalik sebelum terjatuh di tangga.

“Saya tergamam bila lihat keputusan CT scan otak bayi ni. Bayi ni naik baby walker dan entah macam mana walker tu terbalik dan dia jatuh di tangga. Tangga tu tak tinggi pun, tapi CT scan sahkan ada cecair dalam otak siap retak tempurung kepala anak tu. Lidah saya kelu. Saya dan doktor lain cuma mampu merujuk bayi itu ke hospital yang lebih besar untuk dia dapat rawatan lebih baik. Ayahnya tersandar di dinding. Ibunya pula hanya mampu duduk di sebelah anak. Benda dah jadi. Menyesal pun tak guna,” tulis Dr Redza pada perkongsian tersebut.

Perkongsian Dr Redza Zainol mengenai insiden seorang bayi yang terjatuh daripada baby walker.

Mengulas lebih lanjut, doktor ini mendedahkan ini merupakan antara salah satu kes kemalangan melibatkan bayi ketika mereka menggunakan ‘baby walker’. “Sebenarnya selain terjatuh, banyak kes bayi dikejarkan ke hospital sebab tersepit dan melecur kulit ketika menggunakan baby walker. Di Kanada, baby walker dah diharamkan sepenuhnya. Menurut American Academy of Pediatrics, mereka tegas mengatakan baby walker tak boleh diletakkan di rumah atau pusat penjagaan kanak-kanak,” ujarnya.

Ibu bapa disarankan untuk menyediakan ruangan selamat atau ‘playpens’ untuk bayi mereka bagi mengelakkan kemalangan melibatkan baby walker.

Justeru menurut doktor ini, sebagai mengelakkan insiden sama berulang, ibu bapa seharusnya mencipta ruang selamat buat bayi seiring dengan perkembangan mereka yang pandai duduk, menyulur, merangkak dan berdiri. “Salah satu cadangan American Academy of Pediatrics yang saya suka ialah untuk mak ayah gunakan ‘Play yards atau Playpens’. Bila buat macam ni, dia takkan dapat bergerak sampai ke tangga, bawah meja atau dapur tanpa mak ayah sedar.

“Sambil mak ayah buat kerja yang banyak kat rumah tu, bayi kita boleh main dengan permainan yang kita dah letak kat dalam tu. Adik beradik lain yang dah besar pun boleh tumpang main sekali. Walaupun kita tak guna baby walker, tetap kena pantau anak kecil tu supaya sentiasa dalam keadaan selamat,”ujarnya lagi. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 1,200 shares di Facebook selain turut dibanjiri dengan ratusan komen warganet.

Doktor terkejut ketika melutut periksa kaki budak lelaki, ‘sesak nafas’ selepas dengar bisikan ibunya – “Saya belek dari atas sampai ke bawah”

Kisah hiba mengenai selipar lusuh milik seorang kanak-kanak yang dikongsi oleh Dr Redza begitu menyentuh hati warganet. Gambar hiasan

Ketika ini sudah tentu ramai yang terkesan gara-gara kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19. Jika dahulu hidup selesa, cukup makan pakai dan sesekali melancong, namun bagi sebahagian orang keadaan kini berubah sama sekali. Tidak dapat dinafikan ketika dilanda ujian sebegini, pastinya mulut akan sesekali merungut kerana merasakan kehidupan yang dilalui begitu sukar.

Sebenarnya, ramai lagi keluarga yang amat terjejas dengan situasi semasa lantaran mereka sememangnya sudah lama tergolong sebagai insan kurang berkemampuan, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh doktor ini. Menerusi coretan di Facebook, Dr Redza Zainol menulis mengenai kisah seorang kanak-kanak lelaki yang mengunjungi kliniknya baru-baru ini bersama ibunya untuk temujanji susulan selepas dibenarkan keluar wad akibat mengalami muntah dan cirit-birit.

Selepas doktor itu selesai melakukan pemeriksaan, si ibu kemudian memintanya untuk melihat keadaan kaki kanan anaknya yang bengkak selepas dicucuk ketika berada di wad.

“Terus saya melutut dan capai kaki kanan budak tu. Saya belek-belek dari atas sampai ke bawah kaki. Bila saya nak buka seliparnya, timbul rasa pelik. ‘Ketatnya selipar budak ni’. Lepas berjaya cabut keluar selipar dia, memang sah kaki budak tu berbekas dengan tali selipar tu. Bengkak tu dah surut. Kaki pun tak sakit. Masa nak pakaikan selipar, terasa ketat sangat jadi saya lepaskan je selipar tu. Budak tu ambil dan dia cuba pakai sendiri. Siap senyum lagi. Saya duduk dan diam sekejap. Selipar lusuh dan ketat macam ni, saya sendiri pun tak akan bagi anak saya pakai lagi,” tulis doktor tersebut.

Dia lantas bertanya kepada si ibu sama ada anak lelakinya mempunyai selipar lain untuk dipakai kerana selipar yang sedang digunakan itu tidak sesuai kerana ketat malah ia juga kelihatan lusuh.

“Tak ada doktor. Boleh pula dia senyum. Teringat terus pada anak sendiri. Masing-masing ada dua hingga tiga selipar. Satu untuk di rumah, satu di rumah pengasuh, satu pula standby dalam kereta. Doktor, boleh saya minta duit sikit? Anak saya tak makan lagi tengah hari. Saya nak beli roti untuk dia. Dia berbisik perlahan. Segan agaknya kalau-kalau orang lain dengar. Saya jadi sesak nafas. Dalam hati ni menjerit-jerit cukup ke roti tu. Susu anak pun dah habis. Duit tak ada. Boleh ya?” tulis doktor itu mengimbas kembali situasi hiba itu.

Kata-kata si ibu lantas membuatkan doktor ini sebak kerana memikirkan betapa si ibu sanggup melakukan apa saja untuk anak, bukan saja bersusah payah membawanya mendapatkan rawatan namun turut memikirkan perut si anak yang perlu diisi. Tidak berfikir lama, doktor ini menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan wang dari dompet lalu diberikan kepada wanita itu.

Sebahagian perkongsian Dr Redza mengenai kisah selipar lusuh milik seorang pesakit kecilnya.

“Walaupun tak ada duit, diusaha juga supaya mereka anak beranak sampai ke hospital. Untuk anak, manusia sanggup berbuat segalanya. Kita sebenarnya setiap hari berjalan tanpa beban.

“Bersyukurlah nikmat apa yang ada pada kita hari ini sebab ada orang sekeping roti pun tak mampu nak beli dan makan apatah lagi tukar selipar elok untuk anak. Saya duk fikir dia yang tak cukup duit pun boleh tersenyum. Kita yang ada duit, ada kereta, ada pangkat, hari-hari asyik pula mengeluh. Lagi banyak mengeluh dari berzikir sampaikan muka jadi kelam, hati pun makin penuh dengan titik hitam. Kalau kita fikir kita susah, ada lagi yang lebih susah,” ujarnya lagi. Sehingga kini posting tersebut meraih 308 shares di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *