Disebabkan anaknya tidu masa kelas online. Bapanya buat sesuatu ini sehingga tular dan mendapat perhatian warganet.

Kehidupan Keluarga Uncategorized

Zaim menjadi bahan usikan keluarga selepas bapanya menghantar gambarnya yang tertidur ketika kelas online di dalam Whatsapp Group. Sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia bermula penghujung tahun lalu, pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian turut berubah 360 darjah.

Contohnya dalam bidang pendidikan, di mana pada ketika ini sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian (online). Pastinya kaedah ini sedikit sebanyak mempunyai cabaran tersendiri baik daripada pihak tenaga pengajar mahupun pelajar sendiri.

Bagi pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Zaim, dia mengakui antara cabaran terbesar yang dihadapinya adalah ‘diri sendiri’. Terdahulu, Zaim berkongsi sekeping gambar memaparkan perbualan WhatsApp Group keluarganya di Twitter, di mana dia menjadi bahan usikan gara-gara bapanya menghantar gambar dirinya tertidur ketika sedang mengikuti kelas online.

Bapa Zaim bergurau dengan menangkap gambarnya tertidur ketika sedang mengikuti kelas online dan menghantarnya ke dalam Whatsapp Group keluarga. Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 11,500 retweet dan 30,900 likes.

Menurut Zaim yang merupakan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor, ketika itu dia sedang mengikuti kelas online untuk mata pelajaran Biologi.

“Sebenarnya, malam sebelum itu saya tidur agak lewat… selalu kalau dekat asrama, pukul 12 malam dah tidur. Kebetulan keesokannya kelas Biologi yang bermula pukul 8.30 pagi. Saya masuk kelas tapi sekejap saja dah ke ‘alam lain’. Sedar-sedar, dah masuk kepada kelas seterusnya iaitu Matematik Tambahan pada pukul 9.30 pagi. Bila duduk di rumah, suasana lain sikit. Ada hari terasa segar, tapi hari itu rasa susah sangat nak buka mata. Tak sangka pula ayah saya ambil gambar dan post dekat WhatsApp Group famili, siap buat lawak lagi nak perli,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, tindakannya memuat naik posting berkenaan hanya bertujuan untuk berkongsi kisah lucu dengan rakan-rakan serta pengikutnya.

Ayah tahu kami belajar, hanya ada ketikanya saja terlalu mengantuk. Itu pun ayah bergurau, selepas itu dia kejutkan saya.

“Tak sangka pula viral… ayah pun cakap, ini silap hari bulan ada yang nak interview (wawancara). Ramai yang bagi komen lucu-lucu. Tapi ada yang salah faham perbualan ibu saya dekat WhatsApp Group tu, mereka sangka panggilan ‘Baby’ untuk saya, padahal ibu tujukan kepada adik saya. Saya dah jelaskan di Twitter tapi ada yang usik lagi. Ada juga yang kata, kalau ayah dia, dah lama kena rotan sebab tidur masa belajar. Bagi saya, setiap bapa ada cara masing-masing. Bapa saya seorang yang sangat cool, memahami anak-anak, sporting dan suka bergurau. Ayah tahu kami belajar, hanya ada ketikanya saja terlalu mengantuk. Itu pun ayah bergurau, selepas itu dia kejutkan saya,” ujarnya yang merupakan pelajar jurusan Sains Tulen.

Tangkap layar perbualan Whatsapp keluarga Zaim (kiri), dan tangkap layar perbualan Zaim yang meminta maaf daripada gurunya (kanan).

Tambah Zaim, dia juga mengambil pendekatan memohon maaf kepada gurunya kerana tidak sengaja tertidur ketika kelas berlangsung.

“Dah setengah tahun belajar online, dugaan duduk rumah memang banyak, ada saja benda yang mengganggu tumpuan. Suasana pun lain… bila tak ‘face to face’, senang saja ‘lepaskan diri’ sebab guru tak nampak. Pendek kata, atas diri kita sendiri… kena bersemangat. Kalau tak, memang tertidurlah jawabnya. Tapi kalau tertidur, pandai-pandai la ‘catch-up’ semula dengan bertanya kawan-kawan. Lagi satu, minta maaf kepada guru, jangan buat tak tahu saja,” katanya lagi.

Tugasan kelas online je tapi siswi UiTM cabar diri edit video ala-ala filem Enola Holmes, hasilnya memang wow! – “Keseronokan belajar dah tak ada, degree life juga…”

Video pengenalan oleh Nora diinspirasikan daripada filem misteri, Enola Holmes. Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ternyata memberi impak terhadap kita semua. Antara yang turut terkesan tentulah golongan pelajar yang kini terpaksa mengikuti pengajian secara dalam talian. Dalam keterbatasan dan norma baharu itu, ia tidak menghalang seorang pelajar ini untuk tampil kreatif.

Tular di TikTok, video pengenalan bagi satu subjek pengajian yang dihasilkan seorang gadis sehingga menerima hampir 50,000 tontonan.”Pensyarah saya kata kena buat video pengenalan. Jadi saya buat dengan gaya Enola Holmes, ” tulis Siti Nur Rashiqah Ramizul menerusi kapsyen.

Sebahagian paparan dalam video yang dihasilkan Nora.

Mesra disapa Nora, gadis berusia 21 tahun itu mendedahkan video pengenalan untuk subjek Business Analytics itu diinspirasikan daripada filem misteri, Enola Holmes yang ditontonnya baru-baru ini.

“Saya baru sahaja masuk semester tiga. Sekarang semua belajar online. Ada pensyarah yang minta perkenalkan diri melalui WhatsApp, ada juga yang kena buat video. Untuk subjek ini, pensyarah saya minta buat video. Boleh je setakat perkenalkan diri seperti biasa, tapi saya suka ekstra… over the top dan bagi 100 peratus.

Keseronokan dalam belajar tu macam dah tak ada. Degree life juga tak ada, semuanya online.

“Saya ada banyak idea, nak buat seperti Harry Potter dan sebagainya. Kebetulan baru tengok cerita Enola Holmes. Jadi video pengenalan saya dibuat seperti sedutan filemnya,” ujar penuntut bidang Pemasaran Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Bercerita lanjut kepada mStar, Nora mengakui sesi rakaman yang dibantu adiknya mengambil masa sehari sahaja. Malah, dia sendiri turut membuat suntingan pada hari berikutnya dan sama sekali tidak menyangka ia akan tular di aplikasi TikTok. Nora merupakan penuntut bidang Pemasaran Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Video pun dah dihantar. Alhamdulillah pensyarah kata dia suka video ni. Dia pun mention pasal filem Enola Holmes, maksudnya dia pun tahu. Video ni tak ada gred pun, sekadar suka-suka je. Tapi saya memang minat edit video, mula belajar masa sekolah dulu. Saya juga baru je aktif di TikTok,” ujarnya. Dalam pada itu, Nora mengakui pembelajaran secara dalam talian memberi cabaran buat dirinya.

Nora akui pembelajaran dalam talian sewaktu era pandemik Covid-19 banyak memberi cabaran buat golongan pelajar. Menetap di Sungai Buloh, Selangor, dia juga berharap nasib golongan memerlukan di negara ini akan terus terbela tatkala Covid-19 sedang melanda.

“Lagi mencabar berbanding pengajian biasa secara bersemuka. Cabaran dari segi mental, sebab kita memerlukan interkasi. Kini semuanya guna telefon dan laptop. Keseronokan dalam belajar tu macam dah tak ada. Degree life juga tak ada, semuanya online. Mungkin agak sukar, cabaran internet slow kadang-kadang. Saya harap pemimpin negara kita fokus untuk bantu rakyat khususnya dari golongan B40 dan juga rakyat di Sabah. Ramai yang terjejas,” ujarnya mengakhiri bicara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *