Tular di twitter seorang peniaga air tebu ini tidak dapat sambutan orang ramai. Menarik sekali usaha anaknya sanggup sebarkan menggunakan satu cara ini dan dapat perhatian orang ramai.

Covid 19 Dunia Kehidupan Keluarga Uncategorized

“Nak dapat seorang pelanggan pun susah” – Jarak pemisah buat anak resah, simpati gerai air tebu bapa sepi… dah la cuaca buruk, PKPB pula!

Perniagaan bapa Wani merosot dek cuaca tak menentu, ditambah pula dengan pelaksanaan PKPB. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan. Begitulah kisah tular di Twitter mengenai seorang gadis yang sedih melihat perniagaan bapanya merosot sejak beberapa hari lalu. Lebih pilu, Shazwani Farzana, 21, kini menetap di Negeri Sembilan sementara bapanya pula, Saharudin Rajab, 52, pula berada di Kedah.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Wani mendedahkan perniagaan minuman seperti air tebu dan cincau kurang mendapat sambutan kerana cuaca tidak menentu sejak beberapa hari lalu. Keadaan juga bertambah sukar memandangkan tidak ramai pelanggan datang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Besryarat (PKPB) yang kini sedang dilaksanakan.

“Lebih kurang tujuh tahun lepas ayah mula berniaga air minuman, sebelum tu ayah kerja kilang. Ayah ada di Kedah, manakala saya menetap dengan mak di Negeri Sembilan sebab mak kerja di sini.

Wani juga akan membantu bapanya sekiranya di pulang ke Kedah.

“Jadi setiap hari ayah biasanya akan update mengenai gerai dalam group WhatsApp. Terbaharu, dia kongsikan mengenai keadaan semasa, cuaca hujan lebat… dengan PKPB lagi. Nak dapat seorang pelanggan pun susah,” kata Wani.

Ujar penuntut bidang Rangakaian dan Keselamatan Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu, jauh di sudut hati dia sedih dengan nasib menimpa bapanya. Malah, dia turut mendapat ilham untuk membuat hebahan di Twitter dan sama sekali tidak menyangka akan menerima sokongan ramai.

Kalau siapa yang rasa air tebu tu, memang pure. Kerja dia memang renyah.

“Sedih tengok. Selalu malam-malam ayah juga akan call mak sembang-sembang pasal perniagaan dia. Saya tak berniat nak viral pun. Sekadar kongsi di Twitter. Rasa kasihan sebab perniagaan ayah merosot. Saya hanya mahu minta doa warga Twitter. Tapi tak sangka ramai yang bagi sokongan sehingga ia viral di Facebook. Ramai yang perihatin dan luah hasrat mahu datang ke gerai ayah. Doa mereka pun dah cukup untuk beri semangat buat ayah. Sekarang ayah cuti tiga hari, dia mahu berehat. InsyaAllah Sabtu ni gerai akan akan dibuka semula,” ujar Wani. Jelasnya lagi, gerai bapanya terletak di Seri Astana, Sungai Petani dan selain minuman dia turut menawarkan aneka kuih muih.

Kedatangan pelangan merosot sejak PKPB dilaksanakan, ditambah dengan keadaan cuaca buruk sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Wani mendedahkan bapanya juga mengalami masalah kesihatan dan sering sakit kaki sehingga dia tidak boleh berdiri dalam tempoh lama. Namun, dia tetap kagum dengan kecekalan bapanya yang disifatkan cukup teliti khususnya dalam penyediaan air tebu.

“Saya pun kalau balik ke sana, akan bantu ayah. Tapi dia memang seorang yang sangat teliti. Untuk jual esok, hari ni ayah akan buat semuanya. Ambil masa sehari. Kikis kulit tebu, cuci sampai bersih. Kalau siapa yang rasa air tebu tu, memang pure. Kerja dia memang renyah. Dari ambil tebu, cari pembekal dan berniaga, semua ayah buat sendiri,” ujarnya lagi.

“Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun berniaga” – Peniaga pasar malam akui terpaksa pelan-pelan kayuh selepas PKP

Benah bersyukur dapat kembali berniaga seperti biasa selepas PKP dilaksana pada Mac lalu. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu ternyata memberi kesan kepada rakyat di negara ini.

Antara yang menerima tempias tentunya peniaga pasar malam yang terpaksa bercuti panjang akibat larangan yang dikeluarkan kerajaan. Kini, mereka boleh menarik nafas lega selepas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran beroperasi bermula Isnin lalu.

Turut menzahirkan rasa syukur atas pengumuman itu tentunya Benah Md Hashim, 54, yang juga peniaga mi kawah pasar malam yang mula berniaga sejak 24 tahun lalu. Mesra disapa Benah, ibu kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan tempoh larangan beroperasi sepanjang PKP sebagai dugaan besar sepanjang bergelar peniaga pasar malam.

“Dugaan paling besar sepanjang 24 tahun. Itulah yang saya dan kawan-kawan peniaga hadapi. Biasa paling lama pun kami tutup lima hari atau seminggu sewaktu musim raya. Yang ni tiga bulan. Memang semua peniaga pasar malam terasa sebab pendapatan kita kat situ. Tapi kita reda dengan apa yang berlaku. Bila dah boleh mula berniaga, Ya Allah syukur Alhamdulillah. Memang bersyukur pada Allah. Untuk permulaan saya rasa memang kurang meriah, tapi kita perlahan-lahan kayuh balik,” ujarnya kepada mStar.

Alhamdulillah, ada yang datang kata rindu… lamanya tak makan mi kawah saya.

Menurut Benah, dia juga gembira apabila pelanggan-pelanggan sebelum ini dapat merasai semula air tangan yang disajikannya. Malah, ada yang meluahkan rasa rindu setelah gerai miliknya mula dibuka pada Selasa.

“Alhamdulillah, ada yang datang kata rindu… lamanya tak makan mi kawah saya. Tapi apa-apapun, kami peniaga dan pelanggan ikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. Tapi memang rasa berbeza berniaga sebelum dan selepas PKP,” ujarnya yang menetap di Batu Caves, Selangor.

Dia sebelum ini turut berniaga di beberapa pasar malam lain termasuklah di Keramat Permai, Ukay Perdana dan Selayang. Sepanjang PKP, Benah turut menjalankan perniagaan lain secara dalam talian dari rumah. Selain menghasilkan roti john pada bulan puasa, dia turut melakukan perniagaan menjual sayur dan ikan. Kisah mengenai Benah mencuri perhatian ramai selepas ia dikongsi anaknya, Mazshaffiqah menerusi laman Twitter. Dalam posting itu, Mazshaffiqah turut berkongsi foto ibunya pada hari pertama pembukaan pasar malam berkenaan.

Murahnya harga sebiji telur! Pasangan peniaga suami isteri ini tak mahu fikir rugi, yang penting 2,000 papan telur licin tak sampai sejam

Azlinda dan suami bersyukur dapat membantu masyarakat dengan membuat jualan pada harga murah pada Isnin petang

SITUASI getir ekonomi negara akibat pandemik Covid-19 tidak menghalang pasangan peniaga ini untuk bersedekah kepada pelanggan mereka. Pada Isnin, tular kisah suami isteri pengusaha kedai runcit dari Kota Bharu, Kelantan yang sanggup menjual telur pada harga 10 sen sebiji. Menurut Nur Azlinda Roslan, 32, idea berniaga sambil beramal itu disuarakan suaminya, Ahmad Najmi Mohd Ashari, 33, sebelum ia direalisasikan pada Isnin petang.

“Kami buat untuk jual sambil beramal. Lagipun kami dikelilingi penduduk kampung dan kawasapn perumahan, cara ini juga dapat tarik pelanggan. Kami sebenarnya baru enam bulan berniaga. Cara ini dapat bantu agar lebih ramai orang kenal kedai kami. Alhamdulillah, kami buat jualan ini dari pukul 3 hingga 6 petang, tapi 2,000 papan telur terjual dalam masa 40 minit sahaja,” ujar Azlinda kepada mStar.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia terkejut dengan sambutan luar biasa orang ramai yang mula berkumpul di kedainya seawal pukul 2 petang. Namun katanya, semua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan Covid-19. Dalam pada itu, Azlina mengakui bersyukur dengan penerimaan orang ramai dan berhasrat melakukan perkara sama pada masa akan datang.

Niat nak tolong, orang tak boleh kata rugi, sebab kami niat nak bantu.

“Ini kali pertama kami buat jualan macam ni. Terharu, rasa syukur sangat. Puas hati boleh berniaga sambil tolong orang. InsyaAllah lain kali kita buat jualan murah benda lain pula,” ujarnya. Dalam pada itu, Azlina menolak tanggapan kononnya jualan pada harga murah itu memberi kerugian kepadanya.

Malah katanya, dia percaya dengan ketetapan rezeki dari Allah dan menganggap ia sebagai satu sedekah buat masyarakat sekitar. “Saya memang dah ambil risiko. Niat nak tolong, orang tak boleh kata rugi, sebab kami niat nak bantu. Saya nak ucap terima kasih kepada semua pelanggan yang sokong kami. Yang penting kena bersyukur, rezeki itu datang dari Allah,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *