Kita sentiasa memandikan kucing untuk menghilangkan kotoran padanya. Pakar haiwan tampil menjelaskan sebab kenapa pemilik tidak sepatutnya mandikan kucing.

Info Infomaklumat Keluarga

Gambar sekadar hiasan

Bagi pemilik kucing, aktiviti memandikan si bulus boleh menjadi satu perkara yang cukup sukar kerana umum mengetahui haiwan itu bencikan air. Tapi adakah kucing perlu dimandikan? Jawapan ringkasnya, tidak.

“Seekor kucing yang sihat menghabiskan sehingga 40 peratus waktunya untuk membersihkan diri sendiri,” kata pakar haiwan, Dawn LaFontaine. Dawn berkata, kucing memberikan perhatian berterusan untuk membersihkan diri, justeru pemilik tidak perlu memandikannya.

Kucing dikatakan takut kepada air. Bagaimanapun masih ada beberapa perkara khusus yang mana kucing perlu dibantu untuk membersihkan diri. Misalnya si bulus dengan masalah arthritis, sakit, berat badan berlebihan dan mengalami kemurungan.

Kucing dengan bulu yang panjang juga mungkin memerlukan pertolongan tambahan bagi membersihkan dirinya atau si comel yang akibat terkena kotoran seperti lumpur. Pertolongan itu diperlukan bagi memastikan kucing anda tidak menjliat kekotoran yang boleh menyebabkan masalah lain.

Kucing secara semulajadinya adalah haiwan yang pembersih dan akan menggunakan lidah untuk membersihkan dirinya. “Lidah mereka mempunyai bulu yang mampu memindahkan air liur mereka secara efektif ke bahagian bulu dan kulit untuk membersihkannya. Kucing juga dapat menggunakan kukunya yang dibasahi air liur untuk membersihkan bahagian lain seperti wajah, leher dan telinga. Katanya.

Kucing yang terlalu bersih akan kembali bermain di tanah untuk mengotorkan badannya. Sementara itu, Dawn memberitahu tidak salah memandikan kucing tetapi sebaik-baiknya ia tidak dilakukan selalu apatah lagi menggunakan syampu dan sabun.

Ini kerana kucing yang kerap dimandikan boleh menyebabkan lapisan bakteria pada kulit mereka hilang sedangkan si bulus memerlukannya bagi menjaga kesihatan usus mereka. Ini termasuklah melindungi diri daripada penyakit, meningkatkan sistem imunisasi dan membantu penghadaman.

“Kucing yang terlalu bersih akan kembali bermain-main di tanah hanya untuk ‘mengisi’ kembali bakteria pada bulunya,” jelasnya. Bagaimanapun kucing sangat suka bulunya disikat. Jadi jika anda ingin memanjakannya, anda boleh membantu menyikat bulunya.

Siap Letak Bedak Sebelum Dipakaikan Pampers. Ternyata Ini Kisah Di Sebalik Perkongsian Video Puan Hidayah Memakaikan Lampin Pakai Buang Untuk Oyen Yang Meraih Perhatian Ramai

Untuk makluman, artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal. Menjaga haiwan yang sakit memerlukan perhatian yang penuh agar keselamatan dan kesihatannya terjamin, apatah lagi jika mengalami masalah lmpuh.Seperti kucing misalnya, ada saja tuan yang sanggup menghabiskan wang berpuluh ringgit semata-mata untuk kos perubatan agar kucingnya sihat seperti sediakala.

Baru-baru ini, Siti Nur Hidayah ada berkongsi satu rakaman video dia memakaikan lampin pakai buang untuk kucingnya yang bernama Oyen.Jika dilihati betul-betul video ini, boleh dikatakan mata si Oyen sentiasa memandang tepat ke arah Puan Hidayah sepanjang dia dikemaskan.Seolah-olah tersimpan 1001 luahan yang terbungkam dalam hati dan tidak mampu dilafaz – betapa terima kasihnya dia pada tuannya itu atas kasih sayang yang diberikan sepenuh hati.

Detik pertemuan dengan Oyen

Jelas Puan Hidayah, dia ditakdirkan bertemu dengan Oyen ketika awal bulan lalu di sebuah kedai makan dalam keadaan yang menyedihkan.“Saya dengar suara kucing terjerit-jerit. Saya pun cari-cari rupanya di bawah sinki tempat cuci tangan. Lepas tu saya tanya dengan akak gerai tu, ‘kenapa dengan kucing ni?’

“Akak tu kata, tak tahu dari semalam dia kat situ tak boleh jalan. Saya pun call suami kata saya jumpa kucing lumpuh kat gerai bawah rumah ni, boleh ke saya ambil bawa balik. Mujur suami saya izinkan,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli, baru-baru ini.

Pada waktu, Puan Hidayah meluahkan pada suaminya bahawa dia betul-betul berasa kasihan dengan kucing itu.Mana tidaknya, penat sudah Si Oyen tu menjerit-jerit bersendirian, dalam masa sama tiada seorang pun yang sudi menjenguknya, apatah lagi bertindak.

“Kalau nak diikutkan suami saya tak bagi kutip kucing masa tu, sebab saya tengah dalam rawatan chemotherapy.“Tapi saya kesian tengok mata Oyen tu sebab dia berharap sangat ada orang tolong,” luahnya, bernada emosi.Difahamkan pada waktu itu, Oyen berada dalam keadaan yang sangat tidak stabil kesihatannya.Selain lumph di kedua-dua kaki belakangnya, punggungnya juga didakwa kotor dan dijangkiti kuman.

Kencing berdarh, luka dalam badan

Oyen dibawa ke sebuah klinik veterinar di Batu Caves bagi mendapatkan rawatan lanjut.Menurutnya doktor, Oyen mengalami luka di dalam badan kerana pada waktu itu, air kncingnya bercampur darh pekat.“Doktor kata dia patah (tulang) dari paras pinggang ke bawah. Saraf dia pun tak berfungsi. Jadi kalau buat operasi pun tak guna,” jelasnya.

Pada waktu itu, Puan Hidayah diberi dua pilihan untuk nasib si Oyen tersebut.Agak menyentuh hati, kedua-dua pilihan itu akan memberi gambaran masa depan yang belum tentu untuk Oyen, melainkan jika dihadapi dengan hati yang penuh tekad.“Jadi doktor bagi saya pilihan; kalau boleh jaga dia sebab kucing lmpuh ni kencing berak dia kita kena tekan, kalau tak boleh jaga boleh tamatkankan nyawa dia (suntik /pts).

“Takpa doktor, saya boleh jaga. Lagipun saya suri rumah je. Bolehlah saya jaga dia,” jawabnya penuh tekad di hati.Maka doktor pun bersetuju untuk ‘memulangkan’ semula Oyen ke pangkuan Puan Hidayah.Maka bermula pada itu, kehidupan Oyen yang dulunya sakit kini sedikit-sedikit sudah bertukar ceria.

Keadaan kesihatannya juga agak bertambah baik walaupun terpaksa menerima hakikat bahawa dia lumph untuk selama-lamanya.“Itu yang saya jaga Oyen sampai sekarang. Alhamdulillah..banyak kemajuan.“Daripada tak boleh duduk tak boleh kencing berak sendiri, sekarang semua dia boleh (sendiri) dah,” jelasnya lagi.

Kelihatan dalam gambar di atas, keluarga besar Si Bulus yang dibela dalam jagaan Puan Hidayah di rumahnya.Boleh nampak Oyen turut makan bersama-sama dengan ahli keluargnya yang lain.Mesti dalam hati Oyen, dia nak saja ucap terima kasih dan syukur banyak-banyak sebab kerana kesudian Puan Hidayah, dia kini menjalani kehidupan yang lebih baik.

Lihatlah saja matanya ketika dia dimandikan, dikemaskan dan dipakaikan lampin dalam video tadi, kita boleh tahu itu pandangan yang penuh rasa terharu kepada tuannya.Terima kasih Puan Hidayah kerana menyelamatkan nyawa Oyen. Semoga dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik daripada-Nya. Ameen.Sumber: Siti Nur Hidayah

Rupa-rupanya ada cara ‘berbual’ dengan kucing… sangat mudah, jom cuba!

SAINTIS mendapati bahawa mengecilkan mata anda adalah cara terbaik untuk membina hubungan dengan kucing. Dalam satu kajian oleh universiti-universiti di Portsmouth dan Sussex, United Kingdom, penyelidik mendapati bahawa teknik itu sebenarnya meniru senyuman yang diberikan oleh kucing.

Ia sekali gus akan menjadikan manusia nampak lebih menarik bagi si bulus. Profesor Karen McComb, dari Sekolah Psikologi di University of Sussex yang menyelia penyelidikan itu berkata: “Sebagai seorang yang telah mempelajari tingkah laku haiwan dan merupakan pemilik kucing, gembira apabila dapat tunjukkan bahawa kucing dan manusia dapat berkomunikasi dengan cara ini.

“Ini adalah sesuatu yang telah disyaki oleh banyak pemilik kucing, apabila dapat membuktikannya ia sangat menggembirakan. Pertama sekali, kajian ini untuk mengkaji secara eksperimen peranan ‘kerdipan mata perlahan’ dalam komunikasi antara kucing-manusia.

“Anda boleh cuba sendiri dengan kucing anda di rumah, atau dengan kucing yang anda temui di jalanan. Ini adalah kaedah terbaik untuk mewujudkan ikatan dengan kucing. Cuba kecilkan mata ke arah mereka seperti sedang senyum santai, kemudian pejamkan mata selama beberapa saat. Anda akan dapati mereka bertindak balas dengan cara sama dan anda boleh memulakan satu perbualan,” katanya.

Mengecilkan mata anda seperti mana yang sering dilakukan oleh kucing dapat mewujudkan komunikasi dua hala. -foto Getty

Pasukan penyelidik itu yang diketuai oleh Dr Tasmin Humphrey dan Profesor Karen McComb, saintis tingkah laku haiwan di University of Sussex, melakukan dua eksperimen untuk kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Scientific Reports.

Eksperimen pertama mendedahkan bahawa kucing lebih cenderung melakukan kerdipan mata secara perlahan kepada pemiliknya setelah pemiliknya melakukannya terlebih dahulu, berbanding ketika mereka tidak berinteraksi.

Eksperimen kedua pula, yang mana kali ini seorang penyelidik dari pasukan psikologi mendapati bahawa kucing lebih cenderung mendekati tangan orang yang melakukan eksperimen selepas mereka mengenyit mata kepada si bulus itu, berbanding ketika mereka menggunakan ekspresi neutral.

Dr Humphrey berkata: “Memahami secara positif bagaimana kucing dan manusia berinteraksi dapat meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap haiwan itu, meningkatkan kebajikan dan dapat memberitahu kita mengenai kemampuan sosio-kognitif spesies yang kurang dikaji ini. Penemuan ini berpotensi digunakan untuk menilai kesejahteraan kucing dalam pelbagai keadaan, termasuk praktis veterinar dan tempat perlindungan,” katanya. –MetroUK

Kajian: Kucing sebenarnya tahu namanya, cuma kadang-kadang pilih buat ‘dek’ apabila dipanggil

MEREKA yang hobinya memelihara kucing pasti mempunyai nama panggilan untuk haiwan itu. Tapi, tahukah anda walaupun kucing sering bersikap tidak acuh atau buat ‘dek’ terhadap nama panggilannya, haiwan ini sebenarnya cukup pintar untuk mengenali nama yang diberikan untuknya.

Perkara ini dinyatakan oleh Atsuko Saito dan pasukannya dari Sophia University, Tokyo. Saito dan pasukannya telah membuat kajian untuk menguji kemampuan sejumlah kucing dalam memahami nama yang manusia gunakan untuk memanggil mereka.

Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports. Dalam kajian tersebut, Saito dan pasukannya mengkaji reaksi setiap kucing ketika mendengar nama panggilannya. Mereka kemudian membandingkan reaksi kucing ketika dipanggil dengan perkataan yang memiliki panjang suku kata yang sama.

Selain itu pasukan peneliti itu juga meneliti reaksi kucing ketika dipanggil dengan nama panggilan kucing lain. Mereka mendapati bahawa sebahagian besar kucing menunjukkan kepintaran untuk memahami nama panggilannya.

Mereka akan menggerakkan telinga dan kepala dengan lebih kuat ketika nama mereka disebut. Pasukan pengkaji berkata, kucing-kucing ini mungkin dilihat tidak menggerakkan ekor atau mengeluarkan respons suara ketika nama mereka dipanggil.

Tetapi mereka sebenarnya mendengar panggilan tersebut kerana ia dapat dilihat dari respons di telinga dan kepala mereka. Menurut pengkaji, memetik IFLScience, kajian ini mengungkap hal baharu mengenai komunikasi manusia dengan haiwan ini yang menjadi teman kepada ramai manusia.

Namun masih banyak yang belum diketahui tentang komunikasi antara kucing dan manusia. Kajian ini juga menyatakan bahawa kucing cukup sensitif dengan emosi pemiliknya. Selain itu, kucing mempunyai kemampuan membezakan suara orang yang memeliharanya dengan orang asing.

Kesimpulan utama dari kajian ini adalah, kucing-kucing peliharaan sebenarnya mendengar dan faham ketika kita memanggil nama mereka. Mungkin ada masanya, mereka memilih untuk buat ‘dek’ sahaja. ‘They are hearing, but not listening.’ –MetroUK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *