Ada banyak manfaat bakal dinikmati oleh Belia dan M40. Menteri Kewangan dedahkan beberapa bantuan serta manfaat lain buat pelbagai golongan yang mungkin ramai tak tahu

berita

Seperti yang semua sedia maklum, Belanjawan 2021 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 6 November yang lepas. Pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentang telah memperlihatkan pelbagai golongan termasuklah golongan pelajar, belia, B40, M40 dan T20 mendapat pelbagai manfaat.

Menurut laporan Bernama, sebanyak RM322.5 bilion yang diperuntukkan untuk Belanjawan 2021 iaitu perbelanjaan terbesar dalam sejarah. Selepas pembentangan tersebut, rata-rata rakyat Malaysia nampaknya menarik nafas lega kerana mendapat pelbagai manfaat seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Pun begitu, antara golongan yang turut mendapat buah tangan daripada Belanjawan 2021 adalah golongan belia dan juga M40. Bagi golongan belia, individu yang berumur antara 15 hingga 30 tahun digolongkan dalam golongan tersebut mengikut pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) tahun lalu.Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, golongan belia sama ada masih bersekolah ataupun yang telah bekerja dapat menikmati pelbagai manfaat. Antaranya adalah seperti yang dibawah.

  1. Bantuan Prihatian Rakyat (BPR). Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini sememangnya telah memberikan manfaat kepada ramai golongan. Pun begitu, pada Belanjawan 2021 yang dibentangkan beberapa hari lalu, kerajaan telah menambah baik bantuan tunai ini secara lebih bersasar.Bagi tahun 2021, kerajaan akan menggantikan Bantuan Sara Hidup atau BSH kepada Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR dengan kadar bantuan dan kategori pendapatan yang lebih baik…

Seperti yang dibentangkan, golongan bujang yang berpendapatan bawah RM2,500 akan menerima bantuan RM350 ringgit. Bukan setakat itu sahaja, had umur kelayakan individu bujang juga turut diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.

Selain itu, individu yang sudah berumah tangga juga turut mendapat faedah ini mengikut tangga pendapatan dan jumlah tanggungan. Antaranya ialah isi rumah berpendapatan bulanan kurang 2,500 ringgit dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,800 ringgit.

Berbeza pula bagi isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak 800 ringgit akan disalurkan,manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak 1,200 ringgit.

2. Pemberian Komputer Riba Kepada 150 Ribu Murid.Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November 2020 telah mengumumkan bahwa GLIC dan GLC akan menyumbang sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK  bagi pemberian komputer riba kepada 150,000 murid.Oleh itu, golongan belia yang masih bersekolah akan menerima manfaat ini iaitu terdiri daripada  500 sekolah.

3. 50,000 Peluang Pekerjaan.Golongan belia yang masih belum mempunyai pekerjaan sudah pasti akan menarik nafas lega ekoran kerajaan mengumumkan terdapat 50,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan secara kontrak di sektor awam dan GLC.Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif MySTEP atau Short-term Employment Programme dengan peruntukan lebih RM700 juta. Inisiatif ini akan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC bermula Januari 2021, menurut Tengku Zafrul ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Melalui inisiatif ini, terdapat 35 ribu peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor awam yang mana akan memberi keutamaan kepada jawatan seperti jururawat, medical attendant, pegawai kebajikan masyarakat serta guru sementara.Selain itu, 15 ribu peluang pekerjaan yang disediakan oleh syarikat GLC akan mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perintisan.Ini merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan di bawah program JanaKerja untuk menjana sejumlah 500 ribu peluang pekerjaan secara keseluruhannya, dengan dana sebanyak RM3.7 bilion

4. Program eBelia.Dalam membudayakan transaksi kewangan tanpa tunai, kerajaan melalui Program eBelia akan mengkreditkan 50 ringgit secara one-off ke dalam akaun e-wallet bagi mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun. Golongan belia merupakan antara pelopor dan pengguna dalam mengadaptasi teknologi terkini. Oleh itu, peruntukan sebanyak 75 juta ringgit, inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan lebih 1.5 juta belia.

5. RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan selenggara kemudahan sukan.Golongan belia juga dilihat antara kumpulan yang paling banyak memanfaatkan kemudahan-kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan.  Oleh itu, sebanyak 103 juta ringgit akan disediakan oleh kerajaan  untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara.Kerajaan akan menyediakan 55 juta ringgit bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi iaitu program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita termasuk 15 juta ringgit kepada pembangunan e-Sport.Golongan M40 Terima ‘Buah Tangan’.Selain daripada golongan belia yang mendapat pelbagai inisiatif, golongan M40 juga tidak terkecuali kerana terdapat beberapa manfaat yang boleh dinikmati.

Bantuan Pembayaran Pinjaman Bank.Golongan M40 juga turut menerima faedah daripada proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang akan dipermudahkan. Pun begitu, peminjam juga perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapat untuk mendapat bantuan bayaran balik. Walau bagaimanapun, fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020.

Pengeluaran Akaun 1 Dan Pengurangan Caruman KWSP.Tambahan lagi, kerajaan juga turut mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar iaitu sebanyak 500 ringgit sebulan. Pun begitu, ianya terhad sehingga 6,000 ringgit untuk tempoh 12 bulan sahaja. Keputusan ini dilakukan adalah untuk membantu ahli-ahli yang kehilangan kerja dan dijangka akan meringankan beban kewangan kepada 600 ribu ahli yang terjejas.

Selain daripada pengeluaran dari Akaun 1, tidak dilupakan juga bahawa Pengeluaran i-Lestari KWSP (Akaun 2) masih berterusan dan permohonan dibuka sehingga 31 Mac 2021. Dalam pembentangan Belanjawan 2021 beberapa hari yang lepas juga, dimaklumkan bahawa terdapat pengurangan kadar caruman minimum KWSP pekerja dari 11 kepada 9% mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan.

Potongan Cukai Pendapatan Dan Pelbagai Pelepasan Cukai.Seperti yang dinyatakan, golongan M40 sememangnya turut mendapat manfaat dalam Belanjawan 2021 seperti pelbagai pelepasan cukai yang boleh dinikmati oleh mereka. Antaranya ialah caruman PRS yang dilanjutkan sehingga tahun 2025. Selain itu, bagi yang mempunyai Skim Simpanan Pendidikan Nasional, mereka juga akan menikmati pelepasan cukai sehingga RM8,000 yang dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

Antara pelepasan cukai yang menjadi perhatian ialah pelepasan cukai kesihatan. Kerajaan juga akan meningkatkan had pelepasan cukai ke atas belanjawan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000. Had pelepasan cukai bagi pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 manakala bagi penjagaan ibu bapa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Terdapat juga potongan cukai pendapatan sebanyak 1% kepada 13% bagi mereka yang mempunyai pendapatan tahunan antara RM50,001 dan RM70,000.Kesemua inisiatif berkaitan cukai ini dijangka membantu golongan M40 dengan menambahkan pendapatan boleh guna atau disposable income, di samping memastikan mereka dapat melanggan barangan dan perkhidmatan yang diperlukan seperti insuran dan peralatan rumah berkualiti pada harga yang berpatutan.

Antara manfaat lain yang dinikmati oleh golongan M40 adalah seperti kemudahan dari segi pengangkutan awam iaitu My30 yang membolehkan pekerja berulang-alik menaiki pengangkutan awam disamping menjimatkan kos. Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM30 juta buat golongan M40 di dalam Program SAVE 2.0: e-Rebate yang melibatkan RM200 peralatan elektrik cekap tenaga tempatan.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lepas sememangnya memberikan pelbagai manfaat meliputi pelbagai golongan. Perbelanjaan sehingga ratusan bilion ini diharapkan dapat memberi kemudahan terutamanya bagi golongan-golongan terjejas, terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini. Walaupun Belanjawan 2021 yang dibentangkan melalui Kementerian Kewangan Malaysia lebih terarah kepada usaha menangani pandemik, namun golongan seperti belia dan M40 juga tidak terkecuali daripada menikmati manfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *