Dinie Rashid akui selalu diperlekehkan. Selepas menyertai Big Stage 2020 dirinya jadi lebih yakin di khalayak.

artis Dunia Hiburan Uncategorized
Dinie Rashid Mengaku Dulu Selalu Diperlekeh, Tapi Lepas Big Stage 2020 Diri Jadi Lebih Yakin 

Penyanyi Dinie Rashid yang juga bekas peserta Big Stage 2020 (BS2020) akui kekurangan dirinya pernah diperlekeh suatu masa dulu. Namun selepas menyertai BS2020, Dinie kini melangkah lebih yakin dan percaya dirinya mampu memberikan persaingan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam industri.

“Saya pernah dipandang rendah dan diperlekeh hanya kerana saya ini pemegang status Orang Kurang Upaya (OKU) (penglihatan). Tetapi selepas menyertai BS2020, keyakinan diri saya lebih tinggi. Saya dah tahu apa yang mampu saya lakukan. Yang penting kena usaha dan kerja keras kalau mahu impian kita itu tercapai,” katanya kepada Gempak.

Tambah Dinie lagi, dia juga tidak mahu dirinya diterima dalam industri kerana simpati tetapi biarlah disebabkan bakat. “Saya harap mereka lihat bakat yang ada pada diri ini, bukan kerana simpati dengan kekurangan saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan dorongan dan semangat. Saya juga bersyukur kerana mempunyai pengurusan yang yakin dengan diri saya,” katanya positif.

Dalam perkembangan lain, Dinie kini dalam perancangan untuk menghasilkan single terbaharunya tidak lama lagi. Menariknya, single kali ini Dinie akan mempertaruhkan sesuatu yang berbeza dari lagu sebelum ini berjudul ‘Bukan Cinta Aku’ bergenre balada.

“Saya masih ingat pesanan Faizal Tahir ketika di pentas akhir BS2020. Dia bersetuju dan lebih enjoy melihat saya menyanyikan lagu-lagu yang lebih relaks dan santai. Daripada situ, saya mula terfikir apa salahnya jika saya cuba sesuatu yang baru dan buat benda yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Jika pihak pengurusan bersetuju, Alhamdulillah…Saya serahkan kepada mereka kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik buat saya,” katanya.

Pernah Tular Video Nyanyian Dr. Hafiz Bersama Shiha Zikir. Ini Kisah Di Sebalik Kemunculan Semula Dirinya Di Pentas Big Stage Yang Menjadi Bualan Masyarakat

Sedikit masa dahulu, video nyanyiannya bersama penyanyi, Shiha Zikir pernah tular dalam media sosial. Ramai melahirkan kekaguman terhadap kemantapan vokal doktor gigi, Dr Hafiz Zainal tatkala mendendangkan lagu Terlanjur Cinta daripada Rossa dan Pasha.

Video yang dimuat naik ke laman Instagram meraih lebih 100,000 tontonan. Dan kini, Dr Hafiz, 28, bakal menambat hati peminat menerusi program realiti, Big Stage yang akan memulakan siaran hari ini.Anak muda kelahiran Johor Bahru itu bukanlah ‘pendatang’ baharu dalam dunia persada seni suara. Dua tahun lalu, Dr Hafiz pernah menyertai program Bintang RTM dan muncul di tempat ketiga.

Sebelum ini, Dr Hafiz pernah memiliki empat single. Lagu pertama berjudul Cinta Bukan Jalan Kita diterbitkan pada 2015. Bagaimanapun, dia yang kini bernaung di bawah syarikat Rhythm & Rhymes akur nasibnya dalam bidang nyanyian belum menyebelahi menyebabkannya mengambil keputusan menyertai program Big Stage musim ketiga.

Katanya, tiga kali menyertai uji bakat yang dijalankan, namun baru tahun ini rezeki menyebelahi dirinya.”Walaupun dua kali gagal uji bakat, saya tidak putus asa, sebaliknya apabila tahu mengenai sesi uji bakat untuk tahun ini, saya mencuba nasib dan tidak sangka diterima akhirnya.

“Saya akan mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan demi program ini. Saya menyertai program Big Stage bukan mahu mengejar glamor, tetapi menyanyi sudah menjadi darh daging. Saya meminati bidang nyanyian sejak dahulu lagi tetapi single yang dihasilkan tidak mendapat sambutan.

“Mungkin ini masa dan peluang untuk saya memperkenalkan diri. Saya akui, walaupun sudah memiliki beberapa single, tetapi orang tidak begitu menyedari kewujudan saya. Siapa tahu mungkin melalui penyertaan dalam program ini nama saya akan lebih menyerlah,” katanya kepada BH Online

Dr Hafiz berkata, dia tidak akan tinggalkan tugas sebagai doktor gigi di sebuah klinik swasta yang terletak di Putrajaya, seandainya kerjaya seni berjaya berkembang selepas menyertai program Big Stage.Sebaliknya, katanya, dia akan cuba membahagikan masa sebagai seorang doktor dan penyanyi.

“Bidang pergigian memang menjadi minat saya. Justeru, tidak mungkin akan dilepaskan dengan begitu mudah,” katanya.Seperti nyanyian katanya, perjalanannya bergelar doktor gigi bukan diperoleh dengan mudah. Sebaliknya, dua kali membuat permohonan barulah berjaya mendapat mengikuti pengajian dalam bidang pergigian di Mesir.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa pulang ke tanah air dan menyambung pengajian berbaki di Malaysia apabila berlaku pergolakan di Mesir.”Saya pernah menyertai pertandingan Awakening Talent Contest yang dianjurkan syarikat milik penyanyi Maher Zain ketika di Mesir. Tempat pertama dimenangi penyanyi Harris J, manakala saya mendapat tempat kedua.

“Sebelum ini, saya tak boleh aktif dalam nyanyian kerana masih belajar. Keluarga tidak menghalang, cuma ibu ada berpesan supaya tidak mengabaikan dan mahu saya mengutamakan pelajaran. Bagaimanapun, kini saya sudah pun bekerja, jadi lebih mudah mengembangkan sayap dalam bidang nyanyian.

“Saya akan terus bekerja sebagai doktor gigi. Tetapi, saya akan pastikan dapat membahagikan masa dengan sebaiknya. Saya bersyukur kerana majikan memahami minat dan membenarkan saya mengambil cuti tiga bulan tanpa gaji,” katanya yang juga pernah memenangi kategori Nova Media Sosial di Anugerah Planet Muzik (APM) pada 2013.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata, dia bersyukur kesabarannya selama ini berbaloi.Selain itu, katanya, bukan duit yang ingin dikejar, sebaliknya mahu merealisasikan impian dan mengetengahkan potensi yang ada dalam diri.-bh

Sentap dilabel penyanyi kampung?

KUALA LUMPUR: Tiada rupa paras dan dilabel sebagai ‘penyanyi kampung’ tidak sesekali membuatkan Usop, 22, patah semangat.Sebaliknya, naib juara program Mentor Milenia 2017 itu mahu bangkit membuktikan bakat besarnya apabila mencuba pula nasib dalam program realiti, Big Stage 2020.

Usop atau nama sebenarnya, Muhammad Saiful Naim Muhd Noor berkata, tidak adil meletakkan rupa paras sebagai ukuran, sebaliknya nilai bakat lebih penting untuk seseorang penyanyi.”Jangan menilai saya dari segi rupa paras, sebaliknya lihatlah bakat. Ada sesetengah warganet beranggapan saya penyanyi kampung. Kenapa, penyanyi kampung tidak boleh berjaya ke?

“Saya mahu membuktikan saya bukanlah ‘kekampungan’ sangat. Dengan menyertai program Big Stage 2020, saya mahu orang menilai saya bukanlah penyanyi biasa-biasa.”Diakui, rezeki saya kurang menyerlah disebabkan tiada rupa paras, tetapi saya mahu membuktikan semua ini bukan halangan menerusi pentas Big Stage 2020,” katanya kepada BH Online.

Usop yang juga bekas protege Hazama itu berkata, dia berhasrat memberikan terbaik menerusi program realiti kedua yang disertai itu.”Siapa tahu rezeki di pentas ini. Saya tak bergelar juara dalam program Mentor Milenia, tetapi tak salah mencuba nasib dalam program ini. Mana tahu, rezeki memihak pada saya kali ini.

“Bagaimanapun, saya tak menyimpan harapan bergelar juara Big Stage 2020, cuma saya berpegang prinsip buatlah sebaik mungkin. Apatah lagi, ramai yang rindu mahu lihat saya bertanding, jadi inilah masanya.”Saya akui, undangan persembahan tidak banyak disebabkan pandemik COVID-19, jadi mengapa tidak menggunakan peluang ini untuk menyerlah,” katanya.

Penyanyi berasal dari Lunas, Kulim, Kedah itu berkata, dia sudah lama mengimpikan untuk menyertai program Big Stage kerana enggan dikenali sebagai Usop Mentor lagi.”Keinginan menyertai program Big Stage 2020 apabila melihat rakan lain berjaya dalam program ini.

“Saya melihat ada peserta yang menarik diri, tahun lalu. Dalam hati, terdetik juga kenapa bukan saya ditawarkan masuk. Alhamdulillah, rezeki saya, tahun ini.”Saya pernah mengeluarkan single, tetapi belum kuat untuk mengecapi populariti. Jadi, saya mahu mengembangkan bakat, selain lebih dikenali menerusi pentas ini,” katanya yang pernah tampil bersama single, Selamanya dan Aku Yang Bersalah.

Sementara itu, sebelum fokus dengan komitmen sebagai peserta Big Stage 2020, Usop berkata, dia membantu ibunya berniaga nasi kandar di Kedah.”Sebelum menjadi penyanyi, saya sudah membantu mak berniaga nasi kandar secara kecil-kecilan.

“Dahulu, mak saya ada kedai, tetapi disebabkan hasad dengki orang, dia kini hanya berniaga di depan rumah.”Saya berharap dapat membantu mak membuka kedai berniaga nasi kandar, suatu hari nanti. Manalah tahu ada rezeki selepas menyertai program ini,” katanya.-bh

Cuba nasib di Big Stage 2020. Dinie Rashid dedahkan kekurangan satu deria ini dan dia dedahkan sakit yang selama ini dia alami

KUALA LUMPUR: Meskipun dikategorikan insan istimewa, namun penyanyi, Dinie Rashid, 28, enggan peminat bersimpati dengan keadaan dirinya. Dinie atau nama sebenarnya, Muhammad Dinie Abdul Rashid yang juga salah seorang peserta program Big Stage 2020 mahu membuktikan dirinya dipilih menyertai program berkenaan bukan disebabkan statusnya sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU)

Sebaliknya, Dinie mahu membuktikan kemampuan dirinya sebagai penyanyi serba boleh. Dinie yang juga OKU penglihatan mengalami ‘molecular dystrophy’ hingga mengakibatkan saraf pada bahagian mata rosak. Dinie berkata, tujuannya menyertai program Big Stage untuk mengetengahkan namanya yang dirasakan masih asing di kalangan peminat muzik tanah air. “Saya menyertai industri muzik sejak 2012 dan memiliki tiga single. Salah satunya, single Bukan Cinta Aku meraih 2.9 juta tontonan di laman YouTube serta lagu runut bunyi drama yang menggunakan judul sama.

“Bagaimanapun, saya akui walaupun single Bukan Cinta Aku pernah dijadikan runut bunyi drama, tetapi peminat masih tidak mengenali saya. Jadi, saya mencabar diri menyertai program ini, manalah tahu kerjaya nyanyian akan lebih menyerlah selepas ini,” katanya kepada BH Online.Menceritakan bagaimana boleh terjebak dalam bidang nyanyian, Dinie berkata, bakatnya dihidu pelakon, Fizo Omar.

Ketika itu, katanya, dia memenuhi undangan sebagai penceramah motivasi bagi berkongsi pengalaman yang ditarik nikmat penglihatan pada usia sembilan tahun. “Fizo tertarik dengan kebolehan saya memberi ceramah dan menyanyi. Dia menawarkan saya bernaung di bawah syarikatnya, Fizo Omar Channel. Selain menjadi artis naungan, Fizo berhasrat memberikan pendedahan keusahawanan kepada saya.

“Bagaimanapun, selepas merakamkan single Bukan Cinta Aku ciptaan LY dan lirik Baiduri, kerjasama terhenti berikutan Fizo mempunyai komitmen lain. “Perjanjian kami tidak lebih seperti perjanjian antara adik dan abang. Bagaimanapun, saya dilamar menyertai LOL Entertainment bersama rakan duet, Khai yang turut mengalami masalah penglihatan seperti saya,” katanya.

Dinie berkata, dia pernah kecewa kerana beranggapan peminat tidak boleh menerima kehadiran OKU sepertinya dalam bidang nyanyian. “Saya berasakan sukar bersaing dengan penyanyi normal. Namun, saya kembali semula ke dalam industri untuk mendidik dan memberitahu masyarakat orang yang ada masalah penglihatan banyak kategori,” katanya. Dinie berkata, dia mengalami gangguan penglihatan secara tiba-tiba ketika usia sembilan tahun, bagaimanapun masih boleh melihat secara kabur ketika itu.

Namun, katanya, apabila usia mencecah 20 tahun, nikmatnya untuk melihat ditarik sepenuhnya dan kini hanya mampu melihat sebanyak 20 peratus sahaja. Kata Dinie, keluarganya sudah berhabis ratusan ribu untuk merawat sakitnya, tetapi masih gagal. Justeru, dia ingin membalas jasa ibu bapanya dengan menyertai program Big Stage. Siapa tahu, katanya, rezeki bakal berpihak kepadanya.

“Saya tahu pasti akan ada yang membangkitkan isu simpati apabila melihatkan keadaan diri saya. Tetapi, saya harap persepsi itu tidak akan berlaku. Malah, juri tidak tahu keadaan saya ketika menyertai uji bakat. “Bagaimanapun, mereka tertanya-tanya melihat pergerakan saya perlahan tidak seperti insan biasa. Mereka hanya mengetahui keadaan saya selepas itu. Jadi, saya mahu membuktikan kepada semua, pemilihan saya bukan disebabkan saya istimewa, sebaliknya penyanyi serba boleh. “Saya akan cuba menari untuk program ini dan sudah pun mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Shafi,” katanya yang sebelum ini bergerak sebagai penyanyi duo dengan menggunakan nama Dinie dan Khai.-bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *