Buat pertama kalinya Sambutan Maulidur Rasul disambut dalam suasana norma baharu dengan SOP yang telah ditetapkan. Ini keadaan sambutan maulidur rasul di beberapa tepat.

berita Covid 19 ISU SEMASA

KUALA LUMPUR – Walaupun diuji dengan pandemik Covid-19, kemeriahan Maulidur Rasul tetap dirasai sungguhpun disambut secara sederhana dan mematuhi prosedur operasi standard dalam suasana norma baharu. Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud merasmikan Taman Islam Darul Hana di Jalan Tun Salahuddin di sini malam ini sempena majlis sambutan peringkat negeri untuk memperingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu.

Majlis perasmian itu turut dihadiri isteri Abdul Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kenamaan negeri. Sebelum itu Abdul Taib bersama-sama kenamaan lain menghadiri majlis kesyukuran sempena sambutan itu di Masjid Darul Hana yang menjadi sebahagian daripada Taman Islam berkenaan yang siap dibina baru-baru ini dengan kos RM8.6 juta.

Di Perak, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh dihadiri kira-kira 450 orang termasuk Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Majlis sambutan anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran diikuti pelancaran Buku Modul Remaja Al-Ridzuan yang menyasarkan penyemaian dan pembinaan generasi muda hari ini mendekatkan diri dengan masjid.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) bergambar bersama penerima cenderahati yang merupakan wakil barisan hadapan pada sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah malam ini. Ahmad Faizal turut menyampaikan cenderahati kepada petugas barisan hadapan yang berjuang dengan penularan Covid-19 sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah dan berselawat beramai-ramai ke atas Nabi Muhammad SAW.

Ceramah Maulidur Rasul disampaikan Timbalan Mufti Negeri Perak Datuk Zamri Hashim sebelum solat Isyak berjemaah dan diikuti majlis jamuan makan. Sementara di Pulau Pinang, seorang pesara guru Datuk Abdul Rahman Yob dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1442 Hijrah peringkat negeri.

Anugerah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang juga merasmikan peringkat negeri itu di Masjid Negeri Pulau Pinang dekat George Town, di sini. Abdul Rahman yang juga merupakan bekas pesakit knser usus menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain. Kira-kira 200 orang jemaah masjid turut serta dalam majlis itu yang disambut secara sederhana sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik Covid-19. – Bernama

Sambut Maulidur Rasul tanpa perarakan

ALOR GAJAH: Umat Islam di negeri ini meraikan sambutan Maulidur Rasul tanpa perarakan berikutan langkah kerajaan negeri menangguhkan program berskala besar akibat pandemik COVID-19. Bagaimanapun, program ceramah agama berkaitan kelahiran Nabi Muhammad SAW di masjid dan surau tetap diadakan kerana ia tidak membabitkan perhimpunan anggota komuniti pada skala besar.

Di Masjid al-Ehsan Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini, program ceramah agama sempena Maulidur Rasul selepas solat Subuh diadakan dengan ceramah disampaikan bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Khairuddin Abu Khair.

Sementara itu, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul, berkata umat Islam perlu terus berdoa memohon Allah SWT menamatkan pandemik COVID-19. “Sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Ummah Rabbani Negara Aman, marilah kita berdoa supaya Allah menganugerahkan kita kestabilan ekonomi, sosial, siasah dan politik di negara kita.

“Kita berdoa supaya negara kita di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberikan keamanan dan keberkatan,” katanya. Selain itu, katanya umat Islam juga harus terus berdoa memohon Allah memberikan kesabaran dan ketabahan untuk terus menghadapi cabaran hebat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia sejagat dan Baginda harus menjadi ikutan serta amalan umat Islam. Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dilaporkan berkata, semua majlis dan acara rasmi kerajaan negeri ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa serta merta.- BHONLINE

Terkini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan mengajak orang ramai untuk mengimarahkan masjid surau dan tempat masing masing bersempena program anjuran pihak ini dalam menangani wabak Covid 19.

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menganjurkan program Wilayah Persekutuan Berselawat dan Bermunajat pada Rabu ini selepas solat Maghrib secara serentak di masjid, surau Jumaat dan surau serta kediaman masing-masing di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Jawi dalam kenyataannya memaklumkan antara pengisian lain termasuklah solat hajat dan doa selamat yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Jawi,

This image has an empty alt attribute; its file name is 51603674828_TBWPBERSELAWATBERM-300x203.jpg

Masjid Wilayah Persekutuan dan masjid-masjid lain sekitar Wilayah Persekutuan. “Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT agar penularan wabak COVID-19 segera dibendung serta Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT.” Selain itu, anjuran program itu juga bagi menzahirkan kecintaan kepada baginda Nabi Muhammad SAW melalui galakan berselawat sempena Maulidur Rasul SAW 1442H,” menurut kenyataan itu pada Isnin. Susulan itu juga, pengumuman Tokoh Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun ini yang bertemakan “Ummah Rabbani Negara Harmoni” akan dibuat melalui platform Facebook rasmi Jawi pada Khamis jam 10 pagi. -AWANI

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Selawat dan zikir keduanya merupakan tuntutan di dalam syarak kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa melaziminya. Sebelum kami menjawa berkaitan isu ini, suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu maksud selawat dan zikir agar kita dapat memahaminya dengan baik.

Selawat adalah perkataan jama’ bagi solat (الصلاة‎) yang bermaksud doa atau pujian. Tambahan pula, makna selawat Allah SWT, selawat para malaikat dan juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain. Selawat Allah ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat pula ialah doa tambahan gandaan pahala dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW. Zikir dari sudut bahasa bermaksud mengingati. Manakala dari sudut istilah pula, zikir merupakan sesuatu perkara yang dilakukan dengan tujuan mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan, perbuatan atau dengan hati.- MuftiWP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *