Tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Black dedahkan bahawa sesuatu ini telah membuka matanya dengan keadaan masyarakat sekarang.

artis Hiburan

Selepas melancarkan single terbaharunya, Sabar, penyanyi Black Hanifah bersyukur video muzik (MV) lagu tersebut akhirnya bertemu para peminatnya. Black berkata, mesej yang ingin disampaikan menerusi MV berkenaan ialah mengenai tidak mudah mencari kebahagiaan.
Tambahan lagi melayari bahtera alam rumahtangga menuntut pengvrbanan sekali gus menguji sejauh mana tahap sabar dan setia.
”Jika rintangan awal berjaya diharungi, bermakna perjalanan seterusnya lebih mudah untuk ditempuhi. Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi segala macam cabaran.

”Itu mesej yang ingin disampaikan dalam MV Sabar,” katanya kepada Gempak.  Menurut Black, MV yang menjalani penggambaran selama dua hari itu memaparkan kehidupan sebenar segelintir masyarakat terutama lelaki berstatus duda dan mempunyai anak yang ingin berkahwin semula.

“MV ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Nasib tak baik, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tapi tidak anaknya. “Di depan lelaki itu, wanita itu berpura-pura menyukai anaknya, tapi di belakang bersikap sebaliknya. Sehingga akhirnya, lelaki itu dikecewakan tapi diubati dengan sokongan kasih sayang daripada anaknya.


“Kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat kita. Jadi, saya ingin paparkan yang mana tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi. Tapi, tidak semua melalui pengalaman indah,” katanya. Dalam pada itu Black turut berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran MV Sabar.

“Sejujurnya, tidak ada masalah untuk buat MV ini. Pelakon wanita dan kanak-kanak membawa watak masing-masing dengan baik. “Walaupun saya tak pernah buat babak sebegini dalam MV sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah. ”Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan ‘mood’ sedih itu yang mengambil sedikit masa.

“Bagi saya, keunikan MV ini adalah dari segi nyanyian lagu ini. Apa saya rasa, dilontarkan sepenuhnya dalam lagu ini. “Jadi, dalam MV ini pun ia meluahkan isi hati yang dirasai. Bagi mereka yang jenis ‘family man’, pasti lebih merasai MV ini,” katanya. Sementara itu, pengarah MV, Azuad Abdullah, 29, berkata, pihaknya memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan Black memilih idea kedua iaitu seperti apa yang dipaparkan dalam MV Sabar.

“Kami mengemukakan dua jalan cerita. Selepas perbincangan bersama Black, dia suka idea nombor dua. Jadi, kami menerangkan kepadanya jalan cerita penuh MV ini. “Alhamdulillah, penggambaran yang dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berjalan lancar. Satu hari membabitkan lakonan dan sehari lagi untuk rakaman nyanyian lagu saja,” katanya. Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer, pada 24 Julai lalu. Video muzik rasmi Sabar boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.- GEMPAK

“Saya bukan tak pandai sangat… dah tunjuk mewah lepas tu nak minta bantuan” – Black Hanifah berang ditvduh suka meminta

PENYANYI Black Hanifah berkata cadangannya supaya kerajaan tidak meminggirkan kumpulan penggiat seni dengan memberi bantuan khusus disalah anggap oleh warganet. Menurut Black, apa yang disuarakan itu bukan untuk diri sendiri, sebaliknya bagi pihak anak-anak seni ketika berdepan kesempitan hidup akibat ketiadaan kerja kerana wabak Covid-19.

“Saya nak terangkan apa yang dikatakan dalam akhbar semalam bukan untuk saya! Saya hanya suarakan bagi pihak artis yang memerlukan. “Susah kalau warganet tak baca artikel penuh dan terus mengkritik… saya sendiri akui banyak persembahan dibatalkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi buat masa ini kewangan saya masih kukuh dan mencukupi. “Saya masih ada simpanan untuk digunakan dan hanya suarakan kesusahan selebriti lain yang berdepan kesempitan hidup,” katanya kepada mStar. Sebelum ini, Black menerusi satu laporan akhbar meminta kerajaan membantu penggiat seni yang terjejas akibat lanjutan PKP sehingga 14 April depan.

Kenyataan Black disalah anggap oleh warganet. Bagaimanapun, kenyataan Black itu mengundang rasa kurang senang segelintir warganet kerana beranggapan kerajaan harus mengutamakan rakyat yang lebih susah dan memerlukan berbanding selebriti. Sementara itu, penyanyi lagu Takkan Terpisah ini mengakui selepas tular artikel tersebut dia menerima kritikan hebat di laman sosial.

Saya harap apa yang saya suarakan itu dapat difahami oleh semua pihak, jangan ingat semua artis senang kerana masing-masing ada ujian hidup sendiri!

“Ramai yang kritik saya di Instagram… ada yang kata sebelum ini saya tunjuk kemewahan, sekarang nak minta bantuan pula! “Saya pun bukan bodh sangat… dah tunjuk mewah, jalan sana sini di Instagram lepas itu takkan nak minta bantuan. Dalam isu ini saya hanya bawa suara mereka iaitu penggiat seni yang kesempitan hidup kerana tiada job. “Bukan semua artis itu kaya, ada juga yang sedang berdepan kesulitan hidup dan mereka juga layak dibantu sama seperti rakyat Malaysia yang lain,” ujarnya. Dalam pada itu, Black turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mewujudkan beberapa inisiatif untuk rakyat ketika berdepan saat getir ini. Black hanya menyuarakan pandangan untuk anak seni lain.

Malah, dia juga memuji persatuan seni kerana turun padang membantu selebriti yang memerlukan. “Semalam kerajaan umumkan penangguhan bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan, itu juga satu bentuk bantuan yang kita harapkan. Alhamdulillah, itu pun dapat membantu golongan selebriti yang tiada pendapatan tetap ini.

“Persatuan seperti Seniman turut membantu menghulurkan sumbangan kepada selebriti yang memerlukan tapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada persatuan semata-mata kerana mereka pun tiada dana yang banyak. “Saya harap apa yang disuarakan itu dapat difahami oleh semua pihak, jangan ingat semua artis senang kerana masing-masing ada ujian hidup sendiri,” ujarnya. MSTAR

Curahan hati Black

Penyanyi popular, Black Hanifah menjadi antara penyanyi lelaki yang memiliki keunikan dan kualiti vokal tersendiri. Kejayaan yang dikecapi Black selepas menjuarai pertandingan Mentor musim ketiga termasuk dalam beberapa siri Anugerah Juara Lagu meletakkan dia dalam kelas tersendiri.

Berilah apa saja lagu, Black tidak pernah gagal meraih perhatian peminat muzik. Malah, pujian wajar diberikan atas setiap usaha dan peningkatan ditunjukkan dalam kerjaya nyanyian beliau. Selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu ‘makanan’ seperti kebanyakan single terdahulu ketika di awal kemunculan, terbaharu Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah bakal melancarkan lagu berjudul Sabar.

Lagu berentak balada Melayu ini yang juga ciptaannya mengembalikan Black kepada identiti muzik asal. Apa yang menarik, lagu itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu dan baru kali ini Black mempunyai keyakinan untuk melancarkannya sekali gus mengembalikan identiti muzik dan kegemilangan kerjaya nyanyiannya.

“Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri muzik, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun. “Ketika itu saya tidak yakin untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Kebanyakannya bertanya kenapa saya tidak rakamkan lagu ini?

“Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri muzik pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini,” katanya. Black yang pernah menjadi penyanyi kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009 mengakui Sabar adalah lagu yang cukup kena dengan jiwanya.

“Apa yang boleh saya katakan lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang ‘feel’ sepenuhnya. “Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman awal saya dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik,” katanya.

Berkongsi lanjut, Black berkata, lagu itu dirakam dan disiapkan sepenuhnya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. “Empat tahun lalu lagu ini sangat ‘raw’. Apabila ada keyakinan, saya terus siapkan. Malah, gubahan lagu ini juga sama seperti apa yang saya bayangkan masa di awal dulu,” katanya. Menurut Black, Sabar mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui sama ada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya. “Sewaktu menulis lagu ini diakui saya dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri. Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar.

“Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan. Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya. “Sabar ini juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, siapa yang mendengar lagu ini boleh dikaitkan dengan diri masing-masing,” katanya. Sabar terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer. Serentak dengan itu, video muzik lirik Sabar juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.- HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *