Belum tamat lagi isu gangguan bekalan air. Kali ini kawasan ini pula yang alami gangguan bekalan air dan harap semua maklum dengan isu ini

Info Semasa

KUALA SELANGOR: Tujuh kawasan di wilayah Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual membabitkan pengguna di Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang dan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, pada 26 Oktober ini. Menerusi aplikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), gangguan bekalan air itu membabitkan empat kawasan di Kuala Selangor dan tiga di Sabak Bernam susulan kerja-kerja pencucian paip agihan.

“Empat kawasan terbabit di wilayah Kuala Selangor iaitu Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/2, Jalan Sungai Gulang-Gulang 6/3, Jalan Sungai Gulang-Gulang 7/1 dan Jalan Sungai Gulang-Gulang 7/2. “Penutupan sementara bekalan air ini dijangka berlaku 10 pagi dan dijangka pulih 8 malam, hari sama (26 Oktober),” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan air turut berlaku di tiga kawasan di Sabak Bernam iaitu Jalan Mohd Yasin, Jalan Tebuk Mufrad dan Jalan Belia. “Penutupan sementara bekalan air di tiga kawasan ini bermula dari 9.30 pagi dan pulih pada 5.30 petang, hari sama,” katanya. Justeru, Air Selangor mengingatkan para pengguna menyimpan bekalan secukupnya sepanjang tempoh gangguan bekalan air. “Segala tindakan akan diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pencucian paip agihan dan pemulihan bekalan kepada pelanggan yang terjejas,” katanya.- BHONLINE

Pencemaran Sungai Selangor: polis buka kertas siasatan

Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran bau di Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 1.2 juta akaun atau hampir lima juta pengguna di Lembah Klang, semalam. Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan oleh pihak polis sedang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, siasatan masih di peringkat awal dan sampel air perlu diambil untuk dianalisis bagi mengetahui punca atau lokasi sebenar pencemaran itu berlaku. “Proses ini memakan masa dan memerlukan bantuan pakar dan forensik. Kami sedang menyiasat dengan bantuan LUAS dan JAS untuk mengenal pasti mereka yang terbabit.

“Tindakan tegas dari sudut undang-undang akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu,” katanya ketika dihubungi Bernama. Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sumber air mentah pada 2 pagi semalam. Menurutnya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati bahan pelarut (solvent) adalah bahan punca kepada pencemaran bau awal pagi tadi yang sama dengan kejadian pada awal September lalu, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan.

Jelasnya, beberapa kawasan kilang dikenal pasti menjadi punca pencemaran berkenaan dan tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor. Awal pagi semalam, sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat LRA Sungai Selangor itu dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah. -HMETRO

Isu air di Selangor, bila nak selesai ?

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air mentah tidak berjadual di Lembah Klang sejak semalam, bukanlah pertama kali berlaku dan kejadian kali ini, pastinya mengundang marah masyarakat kerana terpaksa berdepan masalah serupa beberapa kali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjelaskan bahawa pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kali ini menjejaskan 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan sekitar Lembah Klang iaitu di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. Air Selangor juga memberitahu pencemaran sumber air mentah yang dikesan pada jam 2 pagi, 19 Oktober menyebabkan henti tugas operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.

Mengulas masalah yang seolah-olah tidak berpenghujung ini, Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak mencadangkan supaya keupayaan dan kepakaran agensi berkaitan pencemaran sumber air dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan teknologi semasa

“Kes pencemaran mengambil masa yang terlampau lama untuk dibawa ke mahkamah dan begitu juga perbicaraan sebelum sebarang keputusan dapat dicapai. “Selain faktor bahan cemar yang semakin banyak dan terbaharu, teknologi serta sains bidang forensik alam sekitar di Malaysia juga jauh ketinggalan berbanding teknologi lain,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata pihak berkuasa harus memikirkan inisiatif untuk mewujudkan rizab air mentah hingga 20 peratus, membina simpanan air mentah luar sungai dan mewartakan rizab sungai bagi mengelak perkara sama berulang pada masa hadapan. “Bidang forensik alam sekitar perlu diperkasakan semula. Ia perlu dikemas kini dengan kemudahan makmal dan peralatan terkini dalam mengesan unsur bahan cemar, memandangkan kehadiran pelbagai jenis bahan kimia generasi baharu serta faktor iklim di negara ini yang mendatangkan cabaran kepada agensi.

“Kerjasama serta perkongsian alatan serta kaedah pengenalpastian bahan hasil kajian pakar di universiti boleh membantu pihak agensi,” katanya. Bagi Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piarapakaran, pada 7 September lalu pihaknya sudah mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dengan menambah seksyen baharu untuk membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas.

“Seksyen ini akan membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kehilangan pendapatan dan kos tambahan yang ditanggung pihak yang terbabit semasa kejadian pencemaran. Dengan cadangan pindaan itu, pesalah perlu membayar denda, kos pembersihan dan tuntutan dari pihak yang terjejas,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye, berkata gangguan air terbaharu itu sukar dipercayai dan tidak dapat diterima kerana ia berlaku selepas laporan pemulihan bekalan air di 686 kawasan akibat gangguan air, sebelum ini.

“Gangguan bekalan air semalam disebabkan oleh pencemaran bau di Sungai Selangor. Secara kebetulan, ini adalah sungai sama yang tercemar dan menjejaskan bekalan air mentah kepada jutaan pengguna, kurang tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan. Menurut Lam Thye, gangguan bekalan air kali ini, sukar dipercayai. tidak dapat diterima dan mencetuskan skandal.

“Nampaknya semua nasihat dan rayuan yang dibuat selama ini tidak diendahkan dan ia umpama mencurah air ke atas daun keladi,” katanya. Beliau berkata, gangguan bekalan air itu memburukkan lagi keadaan, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berdepan dengan ancaman jangkitan COVID-19 yang menular dengan cepat kini.

“Antara prosedur operasi standard (SOP) semasa penularan wabak ini ialah kita perlu menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan. Tetapi bagaimana seseorang hendak melakukannya tanpa air? “Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita juga tidak boleh pergi ke rumah rakan-rakan untuk menumpang mandi,” katanya. – BERNAMA

Baru sahaja dikejutkan dengan isu gangguan air di Selangor kembali lagi. Kini sebanyak 13 peratus kawasan terima bekalan air. Ini kenyataan baru yang dikeluarkan untuk penduduk Selangor.

Shah Alam: Sebanyak 13 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual semalam sudah menerima bekalan air sepenuhnya pada 9 pagi hari ini. Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), jumlah itu membabitkan 162 kawasan terjejas ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran, semalam.

“Sehingga kini, 1,130 kawasan di wilayah terjejas masih lagi dalam proses pemulihan. “Pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar bagi kawasan belum menerima bekalan dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Air Selangor terus menggerakkan 121 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan terjejas. “Pengguna boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

“Pengguna boleh merujuk senarai pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com.,” katanya. Pihaknya menasihatkan pengguna agar mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, PKS dan pili awam.

Katanya, Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Intagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.-HMETRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *