Sebelum ini ramai selebriti yang terjejas akibat penularan wabak covid 19. Kini Zul Ariffin pula luahkan isi hati dengan keadaannya sepanjang tempoh PKP.

artis selebriti

KUALA LUMPUR: Ramai kehilangan kerja, terputus bekalan makanan, malah lebih teruk, diusir daripada rumah sewa gara-gara tidak mampu membayar tunggakan akibat pandemik COVID-19 yang menular seluruh dunia. Bukan hanya orang biasa, malah golongan selebriti juga terkesan dengan COVID-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa selama tiga bulan.

Berkongsi pengalaman, pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin meluahkan isi hatinya sepanjang menjalani tempoh PKP. Awalnya, diterima dengan hati yang seronok, apatah lagi, jadual lakonannya terlalu padat hingga 2021 menyebabkannya tiada masa berehat. “Saya sangat menjaga privasi. Sejujurnya, saya minta maaf jika mengatakan sangat menantikan momen ini kerana mempunyai masa untuk diri sendiri. Sebelum ini, saya terlalu sibuk berlakon hingga tidak mempunyai masa berehat, apatah lagi jadual penuh hingga tahun depan.

“Awalnya, saya tak terasa bosan biarpun belum pernah tak bekerja hingga tiga bulan. Bagaimanapun, saya terasa seperti nak hilang kewarasan selepas beberapa minggu duduk di rumah tanpa buat apa-apa. “Saya jadi malas dan berat badan mula bertambah selepas lama berehat. Selama ini, saya sibuk bekerja dan bertemu ramai orang. Diakui, saya terlalu letih bekerja dan ada masanya menimbulkan tekanan, tetapi tekanan hilang apabila dapat berehat selama beberapa hari.

“Tetapi, situasi ini pula berbeza, terlalu lama sangat duduk rumah membuatkan fikiran menjadi tepu dan perasaan mahu keluar bekerja semakin membuak-buak,” katanya kepada BH Online. Anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata, dia tak pernah bosan walaupun belum berkahwin kerana tinggal bersama kakak.

“Tiada istilah sunyi, malah saya bersyukur masih belum berkahwin. Lihatlah apa yang berlaku kepada kebanyakan pasangan yang sudah berumah tangga apabila terlalu lama terkurung bersama? “Banyak pula kes perpisahan yang berlaku. Situasi ini membuatkan saya lega sebab tidak berkahwin lagi,” katanya yang turut terbabit dengan penggambaran filem mega berjudul Juang yang mengangkat kisah petugas barisan hadapan.

Zul berkata, dia bersyukur tidak berdepan masalah kewangan biarpun tiga bulan tiada kerja. “Ya betul, dunia lakonan ada turun naik, jadi memang saya sentiasa beringat dan membuat simpanan sejak dahulu. Sebenarnya, tanpa pandemik COVID-19 sekali pun golongan seni sudah merasakan kesusahan seperti apa yang dilalui kebanyakan artis.

“Kerjaya anak seni tidak menentu, ada antara rakan saya sudah tiada ‘job’ sebelum PKP. Nasib tetap sama, jadi mereka sudah lali dan tidak kisah sama ada PKP atau tidak. “Dalam dunia ini sebenarnya tiada apapun yang pasti. Anak seni seperti kami sudah biasa dengan situasi tawaran kerja yang tidak menentu. Tetapi, lihatlah mereka yang memiliki kerjaya hebat seperti juruterbang dan pramugari.

“Siapa sangka kerjaya stabil boleh jadi begini apabila ramai kehilangan pekerjaan. Jadi, tiada apa yang pasti dalam dunia ini. Saya juga bersyukur memiliki perniagaan, jadi sedikit sebanyak perniagaan menyelamatkan saya,” katanya yang memiliki beberapa rangkaian perniagaan termasuk restoran menjual ramen di sebuah pusat membeli-belah.

Sumber: BHONLINE

Baru sahaja dikejutkan dengan keadaan artis lain yang terjejas ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Kalini ini pula yang Siti Saleha dan suaminya hadapi sepanjang tempoh PKP.

Kuala Lumpur: Pelakon, Siti Saleha mengakui, krisis pandemik Covid-19 yang berlaku sedikit sebanyak mencabar mentalnya memandangkan ramai anggota keluarganya menetap di luar negara. Saleha ketika ditemui di majlis penghargaan 7 Hari Mencintaiku 2 berkata, dia dan keluarga bagaimanapun faham dengan situasi semasa yang melanda seluruh dunia.

“Bila pandemik seperti ini berlaku, ramai yang terkesan paling mencabar adalah mental saya kerana ramai anggota keluarga saya berada di luar negara. “Dengan ibu saya pun, rasanya dah dua tahun tak berjumpa. Tambah-tambah, bila pandemik seperti ini berlaku, lagilah mencabar. “Mujurlah ada teknologi dan kami dapat berbual menerusi panggilan telefon dan sebagainya untuk mengubat kerinduan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keluarga dan perkahwinan, Saleha berkata, kehidupannya dan suami, Ahmad Lutfi Azhar dalam keadaan baik. “Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikan kami waktu untuk luangkan masa bersama memandangkan sebelum ini, masing-masing sibuk dengan urusan kerja. “Tempoh itu juga saya gunakan untuk kembangkan hobi saya menjadi bakat contohnya memasak dan melukis,” katanya.

Ditanya mengenai karier dan tanggungjawab sebagai isteri, Saleha sendiri tahu batasannya. “Saya sendiri tahu batasan saya sebagai isteri walaupun suami tak beritahu atau larang.  “Kalau ada watak-watak yang terlalu romantik dan sebagainya, saya tahu batasnya dan saya pun dah tak suka balik kerja lewat malam,” katanya. Untuk rekod, pasangan Saleha dan Lutfi berkahwin pada 28 Julai 2017.- HMETRO

Zul Ariffin tangguh kahwin

KUALA LUMPUR: Susunan angka cantik membuatkan banyak pihak termasuk selebriti memasang impian berkahwin pada 2020. Tidak terkecuali, aktor berbadan sasa, Zul Ariffin, 34. Namun, sehingga hari ini, tiada perkembangan terbaru mengenai berita perkahwinannya. Sebelum ini, bintang filem J Revolusi dan Sangkar itu pernah membuka mulut mahu menamatkan zaman bujangnya sebelum Aidilfitri lalu.

Ini menimbulkan pertanyaan apakah hubungan Zul dan wanita yang dirahsiakan identitinya itu masih berlanjutan atau sudah putus di tengah jalan. Zul berkata, segala perancangan termasuk soal kahwin terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. “Apabila wabak melanda dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, semua perancangan dibuat tidak menjadi termasuk soal perkahwinan.

“Melihat keadaan sekarang, kita nak buat perancangan pun tak berani. Insya-Allah, kalau tahun ini tidak dapat, saya akan bawa hasrat untuk berkahwin tahun depan. “Tetapi, ia bukanlah pada awal tahun kerana ada banyak kerja yang harus diselesaikan. Mungkin pertengahan tahun waktu yang sangat sesuai,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Rindu Awak 200% dan Titian Cinta itu berkata, dia bersyukur bakal isteri memahami situasi dan tidak terlalu memaksa. “Mujur si dia faham dan tiada halangan untuk menangguhkan perkahwinan. Kami tidak bergaduh pun. Bila ditunda, bolehlah saya buat persiapan dengan lebih serius dan rapi. “Tahun lalu saya berangan sahaja. Tiadalah buat persiapan beriya-iya, tetapi bukanlah hendak kata saya tidak serius.

“Saya sudah lama bersedia untuk menjadi suami. Cukup-cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini,” ujarnya berkias. Sehingga ke hari ini, Zul masih berpegang kepada prinsip untuk tidak mendedahkan siapakah wanita bertuah yang berjaya mencuri hatinya. Sebaliknya, menerusi temubual lalu, Zul hanya memberitahu wanita terbabit bukanlah selebriti dan tidak beragama Islam.

Dijolok dengan pertanyaan apakah bakal memperkenalkan bakal isterinya secara rasmi pada sidang media, pelakon kelahiran Taiping, Perak itu menyerahkan kepada wanita berkenaan untuk membuat keputusan. “Tunggulah dahulu, sampai masanya, saya akan memperkenalkan. Kalau nak buat sidang media pun saya tak kisah. Saya sangat terbuka. “Cuma, dalam hal ini, saya serahkan kepada pihak sebelah sana. Apakah dia selesa atau tidak untuk diperkenalkan dengan cara begitu,” katanya.

Sumber: Bh Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *