Terkini Saintis bongkarkan risiko tinggi kepada kucing untuk terkena Covid 19 yang juga memberi kesan buruk kepada haiwan yang lain. Ini perkara yang dilakukan sekiranya perkara itu berlaku terutamanya bagi pemilik kucing.

Dunia Haiwan ISU SEMASA Semasa

SAINTIS sebelum ini mengatakan bahawa kucing mampu menjadi pembawa dan menyebarkan Covid-19. Terbaharu, para saintis di Amerika Syarikat (AS) kini secara terbuka menyatakan bahawa si bulus juga harus menjalani kuarantin sekiranya tinggal dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

Para penyelidik dari Colorado State University di AS mengatakan bahawa sekiranya pemilik kucing terpaksa dimasukkan ke hospital, maka individu yang ditugaskan menjaga haiwan berkenaan harus mengamalkan penjarakkan sosial. “Kucing peliharaan yang dijangkiti tidak boleh dibiarkan berkeliaran di luar rumah secara bebas untuk mencegah risiko kemungkinan ia menyebarkan jangkitan ke kucing atau haiwan liar lain,” kata para saintis.

“Oleh itu, jika manusia yang mengalami gejala mengikuti prosedur kuarantin dan tinggal di rumah bersama haiwan peliharaannya, maka risiko ia menjangkiti manusia lain adalah rendah,” demikian kata para saintis berkenaan. Sebelum ini pasukan penyelidik di Institut Penyelidikan Veterinar Harbin di China mengatakan kucing ‘sangat mudah terdedah’ kepada Covid-19 di mana virus itu dapat disebarkan dengan mudah di antara kucing. – Metro.co.uk

Sumber: Mstar

COVID-19: Haiwan peliharaan individu positif perlu dikuarantin

KUALA LUMPUR: Haiwan peliharaan milik individu yang disahkan positif COVID-19 perlu diasingkan dan dikuarantin selama 14 hari, bagi tujuan pemantauan kesihatan. Pensyarah Kanan (Imunologi Veterinar), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia, Dr Farina Mustaffa Kamal, berkata sekiranya haiwan itu menunjukkan sebarang masalah kesihatan dalam tempoh berkenaan, penjaga perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah, untuk tindakan susulan.

Katanya, biarpun tiada bukti haiwan peliharaan boleh menyebarkan jangkitan COVID-19, namun ia boleh dijangkiti penyakit itu, seperti dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE). “Dua kes jangkitan COVID-19 membabitkan haiwan peliharaan, iaitu kucing dan anjing sudah dilaporkan di Belgium dan Hong Kong yang berpunca daripada pemiliknya positif wabak itu.

“Jadi, haiwan peliharaan ini disyaki terjangkit daripada kontak rapat individu positif COVID-19, melalui ciuman, pelukan atau pengendalian haiwan, tanpa membasuh tangan,” katanya ketika dihubungi Bernama. Bagaimanapun Dr Farina berkata, setakat ini kes jangkitan ke atas haiwan peliharaan adalah amat terpencil dan tiada maklumat jelas mengenai simptom haiwan dijangkiti COVID-19, malah kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang tanda.

“Hanya kes seekor kucing di Belgium yang menunjukkan simptom masalah pernafasan, cirit-birit dan muntah. Namun perlu diingatkan, terdapat agen virus atau bakteria lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama pada haiwan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan lebih baik jika langkah kuarantin dan pengasingan diri daripada haiwan peliharaan dilakukan lebih awal, sebaik pemilik menyedari diri mereka mempunyai simptom dijangkiti COVID-19. “Jika waktu itu tiada orang lain yang boleh mengendalikan haiwan milik anda, pakailah penutup muka serta sarung tangan ketika memberi makan dan minum, membersihkan sangkar dan najis haiwan peliharaan itu,” katanya.

Tambah Dr Farina, tiada bukti jelas ada spesis haiwan tertentu yang lebih mudah dijangkiti secara semula jadi, namun beliau menegaskan dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19 ini, pemilik amat digalakkan mengurung haiwan peliharaan di dalam rumah.

“Setakat ini, kajian menunjukkan virus ini (COVID-19) boleh menjangkiti kucing, feret dan monyet. “Namun begitu, feret dan monyet merupakan haiwan makmal yang digunakan dalam kajian berkaitan coronavirus,” jelasnya.

Mengulas mengenai nasib haiwan jalanan pula, Dr Farina berkata kebanyakan kucing jalanan selalunya lebih sukar didekati, kerana ia tidak biasa berinteraksi dengan manusia. “Jadi secara logiknya, kurang kontak rapat seperti ciuman, pelukan antara manusia dan kucing jalanan, namun saranan daripada OIE dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) perlu diguna pakai, jika mengendalikan haiwan peliharaan, mahupun jalanan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai coronavirus, jangkitan kuman dan virus terhadap haiwan, Dr Farina berkata secara amnya, coronavirus adalah kumpulan keluarga virus yang besar dan menjangkiti spesis haiwan yang berlainan. Katanya, kebanyakan virus terbabit bukan zoonotik, atau bermaksud jangkitan itu terhad di dalam haiwan sahaja.

“Contoh virus yang boleh menjangkiti haiwan domestik ialah seperti anjing (canine coronavirus), kucing (feline coronavirus), ayam (infectious bronchitis virus), babi (porcine epidemic diarrhea virus dan transmissible gastroenteritis virus).

“Hanya SARS-CoV, MERS-CoV yang dikenal pasti berpunca daripada haiwan, iaitu kelawar dan boleh menjangkiti manusia,” katanya. Sementara itu, katanya bagi SARS-CoV2 iaitu virus penyebab COVID-19, analisa jujukan virus mendapati terdapat 96 peratus persamaan dengan virus yang dijumpai di dalam kelawar, namun kajian lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar. – BERNAMA

Kucing peliharaan dijangkiti COVID-19

LONDON: Seekor kucing peliharaan didiagnos menghidap COVID-19, sekali gus menjadi kes pertama membabitkan haiwan di United Kingdom (UK) dan ia disahkan kerajaan. Kucing itu dipercayai dijangkiti virus daripada pemiliknya, yang semuanya sudah sembuh sepenuhnya.

Haiwan itu hanya menunjukkan gejala ringan, sekali gus dipercayai tidak menjadi punca menyebarkan penyakit berkenaan kepada pemiliknya atau manusia dan binatang lain. Ketua Pegawai Veterinar UK, Prof Christine Middlemiss, berkata masih tiada bukti haiwan peliharaan dapat menyebarkan virus itu kepada manusia.

Jangkitan itu disahkan hasil keputusan ujian di Makmal Badan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan (APHA) di Weybridge pada Rabu lalu. Katanya, kejadian itu sangat jarang berlaku berikutan haiwan dijangkiti sehingga kini hanya menunjukkan gejala klinikal ringan dan sembuh dalam beberapa hari.

“Tiada bukti menunjukkan haiwan peliharaan secara langsung menyebarkan virus kepada manusia. Kami akan memantau situasi ini dengan teliti dan akan mengemas kini panduan kepada pemiliknya sekiranya keadaan berubah,” katanya. Pengarah perubatan di Public Health England, Yvonne Doyle, berkata orang ramai diingatkan supaya sentiasa mencuci tangan selepas bersentuhan dengan binatang peliharaan.

“Ini adalah kes pertama kucing domestik yang positif COVID-19 di UK, tetapi tidak seharusnya diambil ringan. “Penyelidikan terhadap kes ini menunjukkan jangkitan disebarkan daripada manusia ke haiwan dan bukan sebaliknya.

“Pada masa ini, tiada bukti haiwan peliharaan menyebarkan penyakit berkenaan kepada manusia,” katanya. Kucing peliharaan yang pada mulanya didiagnosis doktor haiwan swasta dengan virus herpes kucing, iaitu jangkitan pernafasan kucing yang biasa, tetapi selepas sampel ia diuji untuk COVID-19 sebagai sebahagian daripada program penyelidikan.

Sampel susulan yang diuji di makmal APHA di Weybridge mengesahkan kucing itu juga dijangkiti COVID-19. Sehingga kini, terdapat sebilangan kecil kes haiwan yang dijangkiti COVID-19 yang dilaporkan di seluruh dunia, termasuk beberapa ekor harimau dan singa di Zoo Bronx di New York. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *