Tiga kes dikesan di sebuah hospital. KKM dedahkan punca satu hospital di Melaka ini dikesan mempunyai kes individu positif covid19

berita

Tiga daripada lima kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka.PUTRAJAYA – Tiga daripada lima kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kes itu dikesan pada pra operasi dan satu kes saringan bergejala.”KKM sedang menyiasat jangkitan tersebut dan ia masih belum diisytihar sebagai kluster,” katanya.

Menurutnya, dua kes lagi dikesan mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Filipina dan Mesir.”Kes import ini dilaporkan di Selangor,” katanya.Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 9,296 kes.

“Jumlah kes aktif telah menurun kepada 177 kes,” katanya.Dr Noor Hisham berkata, seramai lapan pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).”Daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Menurutnya, tiada pertambahan kes pemergian berkaitan Covid-19 dilaporkan.”Jumlah kumulatif kes pemergian kekal berkaitan 125 kes,” katanya.Sementara itu, 16 kes telah pulih dan dibenarkan discaj.”Sebanyak 8,994 kes telah pulih dilaporkan setakat ini iaitu bersamaan 96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.-sinarharian

Covid-19: Sah mutasi D614G dalam Kluster Tawar

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan virus Covid-19 yang sampelnya diambil daripada Kluster Tawar didapati mempunyai mutasi D614G.Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM telah menjalankan kajian virologi terhadap kluster itu dengan mengambil 14 sampel bagi tujuan penjujukan genom penuh.

“Empat daripadanya berjaya mendapat virus untuk kajian sequencing tersebut,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini kes Covid-19 di kementeriannya hari ini.Beliau berkata, empat sampel virus Kluster Tawar itu telah dibandingkan dengan tiga sampel virus Kluster PUI Sivagangga.

Hasil kajian mendapati ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada kumpulan yang sama.”Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga adalah kemungkinan besar daripada sumber yang sama,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pesakit Kluster Tawar yang terdedah dengan PUI Sivagangga.”Kita sedang mengenalpasti pesakit manakah yang berkaitan dengan Kluster PUI Sivagangga,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Kluster Tawar merupakan kluster aktif yang terbesar dilaporkan dengan 4,521 orang telah disaring.Katanya, kes pertama bagi Kluster Tawar dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan pada 12 Ogos lalu.

“Dalam tempoh 14 hari, sebanyak 72 kes positif telah dikesan dengan kadar positiviti adalah 1.61 peratus sehingga melibatkan tiga generasi.”Seramai 21 kanak-kanak disahkan positif Covid-19 dalam kluster tersebut,” katanya.Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan hanya dua negara di Asia yang mengesan strain mutasi D614G iaitu Malaysia dan Filipina.

Strain mutasi ini dipercayai berasal dari Eropah dan merebak sehingga menjadi super spreader di Pakistan dan India.Kekuatan strain dikatakan sama seperti strain biasa tetapi ia cepat merebak dan tinggi viraal load.Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan (R0) atau lebih dikenali sebagai R-naught telah meningkat kepada 0.74 sehingga semalam.

“Ia susulan daripada kewujudan kluster-kluster baharu dilaporkan termasuk Kluster Tawar sejak 4 Ogos lalu.”Nilai R0 terendah direkodkan pada 4 Ogos lepas dengan kadar 0.58,” katanya.Beliau berkata, KKM sentiasa berusaha untuk mengurangkan R0 kepada kurang daripada satu secara berterusan.”Ia membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19 di dalam negara,” katanya.-sinarharian

Pandemik Covid-19 serlah kebaikan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah menyerlahkan kebaikan sesama rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang yang pelbagai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.Beliau berkata perkara itu berikutan hubungan simbiosis antara petugas barisan hadapan dan rakyat yang jelas ditunjukkan sepanjang negara dilanda wabak itu selain menyifatkan ia adalah contoh semangat patriotisme kebiasaan baharu.

“Covid-19 menyerlahkan kebaikan, masyarakat saling membantu tanpa mengira kaum dan agama serta ramai yang berbuat kebaikan lebih daripada kebiasaan.“Sebagai contoh, pereka fesyen bila dengar Hospital Kuala Lumpur tidak cukup PPE (peralatan perlindungan diri) pada peringkat awal (gelombang wabak)…secara sukarela menjahit PPE untuk hospital.

“Itulah antara patriotisme norma baharu membabitkan semua pihak, rakyat, kerajaan, termasuk korporat bekerjasama dan saling bantu-membantu,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk ‘Selamat Hari Kebangsaan Malaysia Prihatin’ hari ini.

Jelasnya lagi, semangat patriotisme itu kekal dengan maksudnya iaitu cinta dan kasih pada negara, namun fokus yang sedikit berbeza mengikut peralihan zaman.“Bagi mereka (rakyat) yang melalui zaman penjajahan, fokus patriotisme adalah membebaskan (tanah air), ketika sudah tubuh Malaysia ada konfrontasi, jadi fokus patriotisme masa itu untuk menyelamatkan negara yang baru sahaja ditubuhkan.

“Dulu kita pernah ada kegawaatan ekonomi, jadi fokusnya adalah menghidupkan semula ekonomi, selepas peristiwa 13 Mei, fokus kepada perpaduan, dan ketika Covid-19 fokusnya pada keselamatan, kesejahteraan, kesihatan dan untuk memulihkan semula ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata walaupun tahun ini negara tidak dapat menyambut Hari Kebangsaan secara besar-besaran seperti tahun sebelumnya, tetapi sambutan cara lain tetap akan dibuat bagi memastikan semangat patriotisme terus diraikan.-sh

Isu rekod data peribadi ketika Covid-19

NORMAL kehidupan seharian kita mula berubah sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada awal tahun 2020 dan turut terkesan kepada seluruh rakyat Malaysia.Jika sebelum ini kita bebas ke sana ke mari tanpa perlu risau tentang keselamatan dan kesihatan, kini tidak lagi.

Sekarang, setiap kali ingin melangkah masuk ke sebarang premis makanan, pakaian, pusat kecantikan kita ataupun pejabat, kita perlu memberikan bacaan suhu badan serta rekod peribadi seperti nama dan nombor telefon.Mungkin ramai tidak tahu rekod suhu badan ketika pemeriksaan di mana-mana premis perniagaan tidak sepatutnya dicatatkan dalam buku atau disimpan secara rekod digital sehinggalah media melaporkan perkara itu.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, ketika menjelaskan perkara itu berkata, penyimpanan rekod suhu badan pengunjung adalah bercanggah dengan kerangka tatacara pengendalian dan penyimpanan data peribadi yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, berdasarkan garis panduan itu, hanya nama, nombor telefon, tarikh dan masa kehadiran pengunjung di premis perniagaan perlu direkodkan sama ada pada buku atau secara simpanan digital. Data peribadi hanya digunakan untuk pengesanan kontak manakala tempoh simpanan data pengunjung adalah sehingga enam bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mesti dimusnahkan secara kekal selepas sembilan bulan.

Sebenarnya, sedar atau tidak, penggunaan aplikasi MySejahtera terbukti membantu kerajaan untuk mengesan pesakit Covid-19 dan kontak rapat bagi menghalang penularan wabak itu daripada menjadi lebih serius.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sehingga 16 Ogos lalu, seramai 15.1 juta pengguna sudah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan 322 pesakit dikesan melaluinya.

Pencarian menerusi aplikasi MySejahtera mempercepatkan usaha mengesan kontak rapat pesakit dan kerajaan berharap penggunaannya akan diperluaskan pada masa akan datang.Setiap pemilik premis dan orang ramai perlu memberi kerjasama penuh kepada kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.Cabaran menghadapi Covid-19 ini bukan hanya perjuangan frontliners tetapi perjuangan kita semua.-sh


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *