Mohon doa dari orang ramai. Dr Fadzilah Kamsah berkongsi cerita sakit yang dialami sehingga terpaksa melalui operasi mata

artis

Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah menjalani pembedahan mata sebelah kanannya di Hospital Selayang, Selangor pagi ini.Menerusi sekeping gambar di Facebook rasmi miliknya, kapsyen posting berkenaan memohon jasa baik warganet mendoakan beliau agar proses operasi berjalan dengan lancar serta lancar.

“Tok Abah (nama panggilan) nak tidur, selepas diziarahi lima doktor Unit Kecemasan & Travma Hospital Selayang.“InsyaAllah akan melakukan operasi mata kanan esok jam 8.30 pagi. Mohon doa sahabat2 FB yang dikasihi. Moga semuanya selamat. Aamiin,” tulis admin posting berkenaan.Beliau selamat menjalani operasi mata kanannya untuk buang katarakk.

Walau bagaimanapun, penceramah berusia 69 tahun itu tidak berkongsi lebih lanjut mengenai kesihatan mata dan punca yang dialami.Posting tersebut menerima 104,000 tanda suka dan 18,000 komen warganet dimana rata-rata menitipkan doa supaya dipermudahkan segala rawatan dan diberikan kesembuhan oleh Allah SWT.Terdahulu, sebuah lagi posting turut dikongsi pada Februari lalu yang memaparkan beliau sedang berehat di atas katil hospital selepas selesai melakukan operasi mata.

Sumber:Mohd Fadzilah Kamsah

PERHATIAN: Pihak Mstarkini tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Mstarkini juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.

Dr Fadzilah banyak ikut ibu, pendiam

KEBANYAKAN rakyat Malaysia sudah pasti mengenali Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, 64, seorang pakar motivasi terkenal negara. Bagaimanapun, ramai yang mungkin tidak menyangka sisi sebenar anak kelahiran Kampung Sungai Pinang, Klang, Selangor itu adalah seorang yang pendiam.

Anak kedua daripada 12 beradik itu mengakui beliau banyak mengikuti sifat serta peribadi ibunya, Allahyrhm Aishah Abdul Samad, yang pendiam dan bercakap dengan nada lembut. “Wajah saya mirip wajah emak. Kajian saya juga mendapati jika muka seseorang itu banyak mirip emaknya, maka dia akan banyak ikut peribadi dan sifat emak. Oleh itu, saya juga seorang pendiam dan bercakap lembut seperti emak.

“Tetapi kerana hendak menjadi guru, saya berusaha berubah dan belajar bercakap. Walaupun seorang yang pendiam, kita boleh berubah dengan syarat perlu mengenali kelemahan dan potensi diri,” katanya ketika ditemui di atas kapal Costa Victoria pada Pelayaran Islamik 11.0 anjuran IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd, baru-baru ini.

Mohd Fadzilah yang cerdas sehingga mampu melompat darjah dua dan empat berkata, kemampuannya berpidato diasah ketika belajar di darjah lima apabila dipilih mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Belah, Klang, dalam satu pertandingan pidato.

Seorang pemalu, penakut

Gurunya membantu dengan menyediakan skrip untuk dihafal dan dengan hasil latihan yang diberikan, dia berjaya memenangi pertandingan itu walaupun seorang yang pemalu, penakut serta hanya baru berusia sembilan tahun.

Selepas menyambung pelajaran di Sekolah Tinggi Klang, dia mengasah kembali kebolehan berpidato, bersyair dan bersajak sehingga terpilih mewakili Klang dalam pertandingan bahas sempena Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ketika berada di tingkatan tiga.

“Saya cukup bahagia kerana sekolah saya menjadi juara seluruh Selangor selepas menewaskan Sekolah Alam Shah yang turut diwakili Datuk Dr Hassan Ali, ketika itu seorang pelajar tingkatan enam dan pembahas hebat,” katanya yang menyifatkan kemenangan itu menjadi titik tolak dan meningkatkan keyakinan dirinya dalam bidang pengucapan awam.

Tekad belajar bersunguh-sungguh

Menceritakan latar belakang dirinya, bekas pelajar terbaik Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) pada tahun 1975 yang memperoleh Sarjana Muda Sains Pertanian kelas pertama itu berkata, dia sebenarnya tekad belajar bersungguh-sungguh selepas menerima nasihat daripada bapanya, Kamsah Dahlan, 86. Beliau yang ketika itu berusia 10 tahun diminta menggantikan ibunya yang demam untuk menghantar bekalan makanan kepada ayahnya yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah.

“Saya melihat ayah sedang menyab1t rumput di tengah padang. Ayah kemudian berpesan, jika saya hendak menolong keluarga, saya kena pandai belajar dan tidak menjadi buruh bergaji kecil seperti dirinya. Pada masa itu, saya menanam azam akan belajar bersungguh-sungguh untuk menolong ibu bapa dan adik beradik.

“Oleh itu, saya belajar betul-betul dan sering mendapat nombor satu,” katanya yang begitu minat membaca hingga semua 400 buku yang ada di perpustakaan di SK Batu Belah habis dibaca dan diulang dua tiga kali bagi setiap buku.

Mohd Fadzilah berkata, peluang menyambung pelajaran ke Tingkatan Empat hingga Enam di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membolehkan dirinya mengembangkan pelbagai bakat termasuk sebagai pemidato, pembahas, pemimpin dan penyanyi .

Ketika di Tingkatan Enam, beliau yang menyandang tujuh jawatan termasuk pengawas dan ketua rumah berjumpa pengetua, Datuk Abdul Aziz Ismail, untuk menyatakan hasrat meletakkan enam jawatan kecuali pengawas bagi memberi tumpuan terhadap peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (HSC).

Permintaan itu ditolak dan beliau dikatakan tidak layak menjadi pemimpin jika berbuat demikian. Disebabkan rasa tercabar, beliau memikul semua tanggungjawab itu yang akhirnya menyebabkan keputusan HSC tidak hebat.

Apabila dapat melanjutkan pelajaran di UM, beliau dipanggil Dekan Fakulti Sains ketika itu, Prof Mohd Zain Abdul Karim yang memaklumkan dirinya layak memasuki universiti dengan markah terendah sebelum bertanyakan mengenai cita-citanya. Motivasi diri Mohd Fadzilah memberitahu akan membuktikan dirinya muncul sebagai pelajar terbaik, akibatnya, beliau diketawakan dekan.

“Saya bersyukur diketawakan. Saya berasa tercabar dan kemudian berdoa kepada Allah supaya dijadikan pelajar terbaik untuk membuktikan bahawa orang Islam juga boleh berjaya menjadi pelajar terbaik. “Saya belajar betul-betul, siang malam dan memanggil kawan-kawan untuk membuat kumpulan perbincangan. Akhirnya, saya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama sebagai pelajar terbaik pada tahun 1975 ketika berusia 24 tahun,” katanya.

Beliau kemudian menerima tawaran bekerja sebagai pengurus ladang dengan gaji RM2,500, pensyarah Institut Teknologi MARA (ITM) dengan gaji RM1,600, serta tawaran Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sebagai penolong pensyarah dengan gaji RM800 tetapi akan segera dihantar melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Selepas membuat solat sunat istikharah dan berbincang dengan ibu bapa, beliau akhirnya memilih tawaran UPM dan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang komunikasi di Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat pada 1975 hingga 1977 sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD dalam bidang psikologi di universiti sama dari 1981 hingga 1984.

Mula beri motivasi

“Selepas memperoleh PhD pada 1985, saya mula memberi motivasi di bandar-bandar. Pada 1989, saya muncul dalam rancangan televisyen berceramah mengenai kelebihan Ramadan dalam program Syiar Ramadan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). “Pada 1991, saya mula dijemput untuk program terbitan TV3 sebelum menubuhkan syarikat sendiri dan bersara awal sebagai pensyarah pada 1993,” katanya.

Mohd Fadzilah yang turut dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor 2008 mengakui mendapat suntikan semangat mendalami bidang agama dan melakukan kerja dakwah selepas bertemu bekas Pengarah Bahagian Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Allahyarham Dr Wan Hussein Azmi.

Sejak itu, beliau berdoa diberikan kekuatan mendalami ilmu agama Islam supaya dapat bersama-sama melakukan kerja dakwah. Tazkirah seorang ulama yang mengatakan semua masalah dunia hanya boleh diselesaikan daripada sudut agama menambah keyakinannya menggabungkan bidang psikologi dan ilmu agama.

“Ada orang merungut bahawa Fadzilah tak tahu apa, tetapi apa yang sikit saya tahu, saya kena kongsi. Bila kongsi dalam keadaan jahil, orang yang faham akan betulkan. Itu yang terjadi pada saya. Dari semasa ke semasa, ulama akan menegur dan mendokong kita. Islam itu adalah nasihat dan tegur menegur,” katanya.-bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *