Amelya dan Farouk ketengahkan sisi berbeza daripada Wany. Kejutan khas buat peminat di luar sana. Ini apa yang dikongsi oleh mereka .

artis Hiburan

KUALA LUMPUR: Tak pernah terdetik bekerjasama dengan penyanyi Wany Hasrita, komposer, Amylea Azizan teruja diberikan peluang menghasilkan single terbaharu Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu. Kerjasama diatur oleh syarikat rakaman, FMC Music itu membuahkan suatu hasil yang boleh dibanggakan. Single ciptaan Farouk Roman dan lirik Amylea itu dirakamkan sebelum Aidilfitri, bagaimanapun belum ditetapkan judulnya.

“Saya tak pernah terfikir boleh bekerja dengan Wany kerana genre muzik tidak sama dengan saya dan pencipta lagu, Farouk. Bagaimanapun, FMC Music menghubungi Farouk mahu bekerjasama, jadi kami tidak menolaknya. “Mungkin FMC Music mahu membuat perubahan dan mendengar muzik yang berbeza, jadi memilih komposer yang tidak pernah bekerjasama dengan mereka. “Sebenarnya, mereka menghubungi Farouk, tahun lalu. Farouk sudah menggubah lagu sejak Januari lagi tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakaman ditangguhkan,” katanya kepada BH Online.

Untuk single baharu ciptaan Farouk, Amylea berkata, ia akan mengetengahkan sisi berbeza daripada Wany. “Ia masih genre balada, tetapi single ini berbeza daripada segi penyampaian dan gaya nyanyian. Ini adalah satu sisi yang baharu buat Wany. Lagu sebelum ini sedap dan lagu baharu ini pun sedap. “Apa yang boleh harapkan adalah emosinya berbeza dan lebih besar daripada lagu lain, tetapi konsep tetap balada,” katanya.

Berkongsi pengalaman merakam lagu bersama Wany, Amylea memuji sikap penyanyi Menahan Rindu itu yang terbuka untuk belajar benda baharu. “Wany ada berkongsi, ia adalah kali pertama dia hadir ke sesi rakaman sebanyak tiga kali demi mencantikkan lagu. “Dia, seorang penyanyi yang baik dan tiada masalah ‘pitching’ yang banyak, tetapi kami susah berpuas hati, apatah lagi mahu mencari sisi berbeza daripada penyampaian dan gaya nyanyian untuk lagu ini.

“Bukan sebab Wany tak bagus, tetapi kami mahukan suatu yang lebih baik. Alhamdulillah, saya gembira kerana Wany mudah memberikan kerjasama. “Dia tidak merungut, kami dapat rasa Wany berusaha menyampaikan yang terbaik. Kekurangan yang ada kami cuba memperbaiki. Saya bangga Wany dapat melaksanakan dengan baik dalam masa singkat,” katanya.

Amylea kagum dengan sikap merendah diri Wany dan berharap ramai penyanyi muda mencontohi sikap Wany. “Walaupun Wany popular dan mempunyai ramai peminat, dia tidak sombong. Dia mudah bekerjasama, merendah diri dan terbuka memberi idea. Dia mudah tahu dan tetap memberikan terbaik biarpun tak pernah mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Amylea berharap, lagu baharu Wany akan mendapat sambutan seperti lagu yang lain. “Saya berharap pendengar terbuka mendengar sisi berbeza daripada Wany. Dia terbuka untuk tampil dengan lagu ini. Saya percaya peminatnya akan suka,” katanya. Bagaimanapun, katanya, single itu masih belum mempunyai judul dan mereka masih menunggu pemuzik untuk kembali ke ibu kota bagi menyiapkan rakaman sepenuhnya

Sumber: Berita Harian

‘Berkawan dengan seseorang’

AZAM tahun lalu tercapai tahun ini. SEJAK di awal kemunculan sehingga usia mencecah 28 tahun, penyanyi popular Wany Hasrita tidak pernah lekang daripada terus diajukan soalan mengenai kekasih hati. Walaupun sebelum ini Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah pernah dikaitkan dengan beberapa artis lelaki, Wany bijak menyangkal gosip itu.

Namun, tahun 2020 ini menyaksikan Wany yang popular menerusi lagu Belenggu Rindu duet bersama Datuk Jamal Abdillah terbuka berbicara soal jodoh dan pasangan hidup. Walaupun tidak berkongsi lanjut mengenai perkara itu, perkongsian Wany sedikit sebanyak menggembirakan peminat. “Bercinta sudah lama. Apa boleh dikatakan, saya memang sedang berkawan dengan seseorang,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai perancangan untuk berkahwin, Wany menyasarkan awal tahun depan. “Soal kahwin, ini semua jodoh ditentukan Allah SWT. Saya hanya doa yang terbaik. Kalau ikut perancangan mungkin awal tahun 2021. Insya-Allah,” katanya. Dalam pada itu, berkongsi mengenai kerjaya dan pencapaian sepanjang tahun lalu, Wany berkata, impian untuk membawa ibu menunaikan umrah dan membeli rumah belum tercapai.

“Matlamat dan azam saya tahun lalu adalah untuk membawa ibu pergi umrah dan membeli rumah. Tapi, kedua-dua itu tak kesampaian lagi. “Alhamdulillah, kedua-duanya saya bawa ke tahun ini. Sekarang saya dalam proses urusan pinjaman rumah. Ketika ini juga saya, ibu dan keluarga sudah berada di Makkah,” katanya yang berangkat mengerjakan umrah, Isnin lalu.

“Dari segi kerjaya pula, saya sangat berpuas hati. Dalam masa sama, lagu Terlalu Memuja dapat mengembalikan aura Menahan Rindu. Walaupun Menahan Rindu orang masih ingat, tapi semuanya okay. “Saya juga berpeluang dapat bekerjasama dengan Datuk Jamal yang juga penyanyi kegemaran dan idola. Jadi, sangat bersyukur dan banyak dapat ilmu daripadanya,” katanya.

Mengenai kerjaya tahun ini, Wany berkongsi bakal muncul dengan single baru hasil ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini. Menurut Wany, lagu itu jauh berbeza dengan semua lagu sebelumnya sekali gus membuktikan dirinya berani keluar dari zon selesa. “Saya ada lagu baru ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini. Lagu ini memang keluar sikit dari kepompong muzik balada. Ia ‘catchy’ dan rancak.

“Saya sudah pun ambil langkah berani dan lagu terbaru ini memang lain. Saya juga merancang untuk merakamkan muzik video yang lebih eksotik dan ‘daring’ sikit dari biasa,” katanya. Selain itu, Wany berkongsi rasa teruja apabila buat pertama kali terbabit dalam program Misi Kemanusiaan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO), Syria Care.

“Saya tidak menjangka dapat bekerjasama dengan mereka. Memang sudah lama saya nak buat. Cuma terlambat mengenali mereka dan terlambat untuk menyertai misi kemanusiaan ini. “Jadi, saya harap dapat buat terbaik dan banyak lagi ilmu perlu ditimba. Apatah lagi ini kali pertama bekerja dengan NGO. Harap semuanya mencukupi. Insya-Allah, bulan April ini kami akan ke kem pelarian Syria untuk memberikan sumbangan. Ini juga pertama kali buat saya. Harap semuanya dipermudahkan,” katanya.

Sumber:hmetro

Harapan besar Amylea

SUKAR untuk menidakkan kehebatan kolaborasi penyanyi dan penulis lirik terkenal, Amylea Azizan serta komposer berbakat, Farouk Roman di persada muzik tanah air ketika ini. Ia terbukti apabila tiga lagu ciptaan mereka layak berentap ke Pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34) Tiga lagu itu ialah Tiada Dirimu dendangan Shila Amzah, Bimbang (Marsha Milan) dan Tetap Kamu (Amylea X Megat).

Satu lagi lagu iaitu Pudar dendangan Indah Ruhaila pula ciptaan Amylea sepenuhnya. Ketika ditemui, Amylea yang juga bekas peserta Akademi Fantasia menzahirkan rasa syukur kerana empat lagunya termasuk kolaborasi bersama Farouk layak bertanding di SFMM34. “Alhamdulillah, empat daripada enam lagu ciptaan saya dan Farouk layak ke pentas separuh akhir Muzik Muzik 34. Saya menaruh harapan empat lagu terbabit mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu nanti.

“Saya juga berharap barisan juri dapat mempertimbangkan empat lagu terbabit kerana setiap lagu berbeza, berkualiti dan memiliki kekuatan tersediri,” katanya. Amylea ditemui pada sidang media SFMM34 di Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ditanya gandingan duet barunya bersama Megat pula, Amylea berkata, dia percaya dengan bakat yang dimiliki penyanyi yang juga protege Aizat Amdan dalam program Mentor 7 itu.

“Saya percaya sudah rezeki Megat untuk berganding dengan saya menerusi lagu Tetap Kamu sekali gus beraksi di pentas SFMM34 nanti. “Pasti ada yang membandingkan cara penyampaian Megat dan rakan duet saya sebelum ini, Kaer Azami. Namun, saya percaya Megat juga mempunyai kelebihan vokal tersendiri,” katanya. Terdahulu, kolaborasi Amylea dan Kaer menerusi lagu Tak Pernah Hilang juga ciptaan Farouk Roman melakar kejayaan apabila mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-32.

Serasi kolaborasi dengan Farouk. Mengulas kerjasama dengan Farouk pula, Amylea mengakui mereka serasi kerana komposer itu sangat teliti dan menjaga kualiti lagu yang dihasilkan. Menurutnya, dia dan Farouk menganggap setiap lagu dihasilkan umpama anak mereka sendiri. “Kalau kita sudah beri anak kepada orang, kita tidak boleh mengambilnya semula. Begitu juga jika kami sudah beri lagu kepada seseorang penyanyi itu, kami harap dia menjaga lagu itu dengan betul.

“Kami bukan komposer dan penulis lirik yang lepas tangan selepas menghasilkan lagu. Banyak kali kami berbalah untuk menghasilkan lagu berkualiti dan terbaik,” katanya. Ditanya kriteria penyanyi pula, kata Amylea, mereka menitikberatkan pemilihan penyanyi dan cara penyampaiannya. “Apabila Farouk sudah mencipta lagu dan dia beri saya melodi kami akan ke studio rakaman untuk saya menyanyikan demo lagu itu terlebih dahulu.

“Selepas itu, baru kami berdua akan putuskan cara penyampaian lagu itu. Kami tidak akan bertolak ansur dengan penyanyi terbabit dalam soal penyampaian lagu yang diberi,” katanya. Bukan saja pemilihan penyanyi, kata Amylea, ia juga membabitkan aspek promosi lagu di radio dan cara pemasaran serta sebagainya. “Kami juga mengelak untuk bekerjasama dengan penyanyi bermasalah dan setakat ini tiada penyanyi popular serta baharu yang menimbulkan masalah,” katanya.

Sumber:hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *