Lelaki ini dipuji kerana membela nasib kucing jalanan sampai sanggup jadikan rumah sendiri sebagai tempat transit kucing.

Haiwan

TIDAK semua orang mampu menjaga dan melayan kucing terbiar seperti haiwan peliharaan sendiri. Tambahan pula jika kucing berkenaan kotor, sakit ataupun ccat, pasti hati berkira-kira samada mahu atau tidak mengambilnya untuk dijadikan binatang peliharaan kerana memikirkan kos yang akan ditanggung.

Namun tidak bagi pemuda ini yang bukan saja sanggup menjadikan rumahnya sebagai pusat persinggahan kucing-kucing terbiar, malah turut menanggung kos rawatan haiwan manja itu. Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Firdaush ini berkata, segalanya bermula beberapa bulan lalu ketika dia membawa pulang seekor kucing yang ke rumahnya untuk dirawat.

“Memandangkan saya sudah mempunyai dua kucing peliharaan sendiri di dalam rumah, jadi saya tempatkan kucing yang saya jumpa itu di luar bagi mengelakkan mereka brbalah. “Ketika itulah, beberapa orang anak jiran ternampak saya merawat kucing tersebut, mereka datang menghulurkan bantuan secara sukarela. Hari-hari mereka tolong saya, sama ada memberi makan, merawat atau membersihkannya.

“Mereka tahu yang saya memang suka beri makan kucing terbiar di kawasan perumahan kami, sebab itu baru-baru ini mereka hantar seekor kucing terbiar di hadapan pintu rumah saya untuk dijaga, siap ada letak lukisan gambar kucing lagi,” ujarnya ketawa kecil.

Tweet yang dikongsi Firdaush mendapat perhatian warganet.

Terdahulu, perkongsian Firdaush di Twitter yang menceritakan tindakan ‘comel’ anak-anak jirannya mengundang perhatian, sehingga ia meraih lebih 9,000 perkongsian di samping dihujani komen warganet. “Budak-budak ni memang baik.

Mereka sangat ringan tulang. Jadi selain menjaga dan merawat kucing terbiar, saya sebenarnya cuba menerapkan sifat cintakan binatang dalam diri mereka. Maknanya, mereka bukan saja bantu, tetapi saya mahu mereka ‘dapat’ sesuatu daripada perbuatan mereka,” katanya.

Ujar pemuda yang merupakan seorang peguam ini, kebiasaannya, kucing-kucing terbiar yang ditemui dan dibawa pulang ke rumahnya itu akan dijaga sebelum dia akan menghebahkannya di Twitter untuk mencari individu yang sudi menjaga kucing berkenaan.

“Saya tinggal di pangsapuri, jadi ia menyukarkan saya untuk memelihara lebih banyak kucing. Disebabkan itu, saya hebahkan agar kucing-kucing ini di adopt. Saya tidak ada masalah untuk terus bantu dari segi kos untuk penjagaan kucing ini, cuma saya perlukan tempat berteduh untuk kucing-kucing ini.

“Kalau individu itu nak sangat pelihara, tetapi ada masalah kewangan contohnya untuk kos pemandulan atau kos makanan, saya tidak ada masalah untuk bantu. Saya tak berkira kerana Allah kurniakan rezeki lebih, jadi saya bantu mana yang termampu,” ujarnya lagi.

Sungguhpun begitu, pemuda berusia 32 tahun ini berkata, dia tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kucing terbiar yang dijaganya itu kepada orang sembarangan, sebaliknya mereka yang berminat akan melalui proses tapisan terlebih dahulu.

Perkongsian Firdaush di Twitter mengenai kucing jagaannya yang sudah mempunyai penjaga.

“Saya akan tanya di mana dia tinggal, dengan siapa, sudah bekerja atau belajar dan sebagainya sebab saya tak mahu orang itu sekadar mahu pelihara suka-suka. Bagi saya, apabila dia ambil keputusan untuk pelihara, dia kena ada komitmen ke atas kucing itu.

“Tak mahulah mula-mula saja suka, lama-lama dah bosan kemudian tak mahu pelihara. Sebab itu sebelum saya serahkan kucing kepada tuan yang baharu, saya beritahu awal-awal, kalau tak mahu bela, maklumkan kepada saya kerana saya tak mahu kucing itu terbuang lagi sekali,” ujar Firdaush.

Selain itu ujar pemuda ini, dia turut membantu mana-mana individu yang mahu mencari ‘keluarga angkat’ baharu untuk kucing peliharaan mereka menggunakan platform laman media sosialnya. “Biasanya apabila saya kongsi info ini di Twitter, maklum balas yang saya dapat sungguh pantas. Baru saja saya kongsi gambar dan info kucing pada waktu pagi, menjelang petang pasti dah ada yang mahu adopt,” akhirinya.   

Ini Respon Individu Yang Cuba Menakutkan Kucing Dengan Botol Air Sirap.

Pecinta kucing pastinya tahu pelbagai petua mengenai haiwan kesayangannya itu. Namun, bagi yang tidak gemarkan haiwan ini, pelbagai petua dibuat untuk memastikan si kucing tidak menjengah atau lepak di kawasan kediaman mereka.

Lebih geram lagi, jika kedatangan kucing-kucing luar ini memberi pengalaman kurang baik kepada mereka apabila si bulus-bulus ini meninggalkan ‘hadiah’ yang kurang menyenangkan. Ironinya, semakin dihalau semakin kerap pula si kucing ini datang melepak. Dan dari situ timbullah idea untuk menakutkan kucing-kucing ini dengan meletakkan botol air di sekitar halaman rumah.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan kucing ini menjengah ke tempat menjadi kegemarannya. Botol air sirap. Lain orang, lain petuanya. Malah pelbagai cara untuk menakutkan haiwan comel ini yang antara yang sering menjadi pilihan adalah mengisi air sirap ke dalam botol dan susun di kawasan pilihan.

Ada juga juga yang mengisi air putih ke dalam botol dan meletakkan di kawasan tertentu bagi menakutkan kucing. Namun persoalannya adakah idea ini benar-benar menjadi? Atau adakah geng si bulus ini tidak lagi ke tempat larangan itu? Berkongsi pengalaman ini, salah seorang pencinta kucing, Ayu Sofea Shaari memberitahu, dia ada mendengar mengenai petua botol air sirap ini dan telah cuba mempraktiknya di rumah.

“Saya ada tiga ekor kucing yang memang tinggal dalam rumah sahaja dan tak pernah keluar rumah. Salah seekornya memang suka buat perangai kencing di depan pintu bilik saya. “Setiap kali saya tak ada di rumah, memang port dia kat situ. Jadi apabila dengar pasal petua botol sirap ni, saya pun cubalah.

“Malangnya ia tidak menjadi, sebaliknya ketiga-tiga ekor kucing itu jadikan botol sirap sebagai barang mainan. Langsung tidak takut,” jelasnya ringkas kepada mStar. Pengalaman tersebut membuktikan setiap petua yang dicadangkan tidak semua menjadi. Jadi apa pula pandangan anda? Benarkah kucing takut dengan botol air sirap… atau mungkin ada petua yang lebih sesuai bagi menakutkan si bulus ini.

Sumber : mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *