Tak sangka rupanya ini hukum jual beli kucing yang ramai tak tahu.

Haiwan

PUTRAJAYA – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU) Ustaz Fathul Bari semalam berkata, aktiviti menjual binatang peliharaan, kucing, adalah dilarang dalam Islam mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. 

“Ini contoh yang mungkin mengejutkan kita, tetapi memang betul pun dalam hadis, nabi melarang jual beli kucing. Jadi kita perlu mengelak berurus niaga dalam hal ini. Orang Islam hanya dibolehkan untuk membela haiwan tersebut, cuma larangan hanya ke atas urusan jual beli sahaja.

Soal kita hendak bela, jaga atau ambil tepi jalan, ambillah.
“Kenapa dilarang? Apa masalahnya? Ini bukan soal kita suka atau tidak, tetapi ia soal larangan daripada Allah,” katanya dalam video Fokus Kitab Ahli Sunnah (FOKAS). 

Bagaimanapun, pandangan Ustaz Azhar Idrus pula berbeza di mana, urusan jual beli kucing adalah tidak diharamkan jika ia bertujuan untuk dibela sahaja. “Ada orang kata jual kucing, duit tak boleh di makan. Tiada ulama berfatwa begitu.

Menjual binatang yang tak boleh dimakan, ada dua hukum. Yang pertama, harus, yang kedua haram. “Bila harusnya? Contoh, binatang kucing. Kucing ini boleh dimakan? Tak boleh, tetapi kita jual bukan untuk dimakan, kerana ada orang suka kucing.

Orang ini suka parsi, orang ini suka kucing iran, kucing turki, kucing mongolia. Banyak jenis kucing yang ada.  “Jadi, kucing dibeli untuk peliharaan, hukumnya harus dan difatwakan oleh ulama-ulama mutaqaddimin dan ulama-ulama mutaakhirin, hukumnya harus. Kerana apa? Tujuan. 

“Yang kedua, haram. Dijualnya kucing kepada orang yang makan kucing. Memang family itu makan kucing. Singang, celup tepung bagi, tak boleh. Kalau binatang haram, orang kfir sahaja yang boleh makan dan kita tidak boleh jual kepada dia.

Biarlah mereka sendiri yang mencari dan makan, kenapa pula kita yang menjadi tukang jual? Apa yang haram dimakan, adalah haram kita jualbeli.
“Tetapi dalam bab kucing, binatang peliharaan, boleh kita jual kerana bukan untuk dimakan,” katanya dalam Kuliah Menjawab Kemusykilan Agama yang dimuat naik dalam laman YouTube pada 2012. – PIXEL MEDIA

Berkongsi Makanan Bersama Kucing Buat Rezeki Mereka Akan Melimpah Ruah Dan Tidak Putus Putus.

Berhampiran butik jubah lelaki aku di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, ada sebuah warung yang menyediakan juadah sarapan pagi. Kalau dilihat dari mata kasar, warung itu ala kadar saja tetapi setiap hari pasti penuh dengan orang yang mahu bersarapan hingga kadang­kala terpaksa beratur menanti giliran.

Hidangan yang disediakan pula menu dari pantai timur yang pastinya menggamit sesuatu di luar kebiasaan bagi penduduk Lembah Klang. Suatu hari, aku tiba sedikit awal di situ. Kebetulan lauk-pauk dan makanan tiba agak lewat pada pagi berkenaan. Maka, aku pun duduklah dulu di kerusi sementara menanti juadah sampai.

Dalam ramai pelanggan yang menanti, aku perasan warung itu turut ‘bising’ dengan bunyi kucing yang seakan kelaparan. Tak silap aku ada enam atau tujuh ekor kucing pada waktu itu yang turut menanti makanan. Selepas menunggu kira-kira 20 minit, van membawa makanan pun tiba. Pilihan menu sarapan aku pagi itu ialah nasi kerabu dan daging goreng. Ketika mengambil lauk, aku terlihat seorang pakcik berdiri di hujung warung berhampiran tempat menggoreng ayam.

Aku lihat di kakinya kucing mengiau-ngiau seperti meminta makanan daripadanya. Telahan aku, mungkin ini tuan kedai. Mungkin dia yang sering memberi makanan kerana kucing sangat mengenali tuannya. Ya, telahan aku tepat. Tak lama selepas itu aku lihat pakcik tadi mengambil ayam goreng yang masih panas, memotongnya dengan pisau dan diberikan kepada kucing-kucing itu. Tiada lagi kedengaran suara kucing. Mungkin sudah kenyang agaknya.

Aku tersenyum sendirian dan yakin ini antara rahsia mengapa warung buruk ini berjaya menarik begitu ramai pelanggan. Sifat pemurah pakcik ini terhadap kucing jalanan sebenarnya menjadi magnet untuk menarik rezeki yang lebih besar padanya. Aku terpanggil untuk berkongsi pandangan terhadap persepsi sesetengah anggota masyarakat yang mempunyai tanggapan takut rugi atau membazir yang seolah-olah tidak percaya pada kuasa pemberi rezeki.

Sebenarnya masih ramai peniaga sangat berkira untuk berkongsi perniagaannya bersama orang lain atau makhluk Allah lain. Contohnya, apabila ada kucing datang meminta makanan, dihalau terus haiwan itu. Malah, ada yang keterlaluan hingga sanggup menyimbah kucing dengan air atau minyak panas hingga melecur hanya disebabkan haiwan itu masuk dan mengintai makanan.

Begitu juga dengan tanggapan sesetengah masyarakat kononnya kucing hanya layak menerima sisa makanan atau makanan basi. Ia kerana mereka rasa rugi besar untuk memberi makanan elok kepada haiwan ini. Aku juga tersentuh untuk berkongsi sikap segelintir peniaga yang terlalu berkira dengan pelanggan. Pada zaman bujang dulu, aku pernah singgah ke pasar malam untuk membeli makanan.

Aku pergi ke sebuah gerai untuk membeli nasi campur dan meminta peniaga itu membungkuskan ikan bilis sambal pada harga RM2. Ketika itu aku masih bujang dan lauk yang dibeli hanya untuk aku makan seorang. Kalau beli banyak dan tak habis, membazir pula nanti. Namun peniaga itu menjawab: “Minta maaf, kalau nak beli paling sikit RM4.”

Aku menjelaskan bahawa lauk itu untuk aku seorang saja makan tetapi dia bertegas tidak mahu melayan aku lagi. Aku hairan mengapa perlu terlalu berkira. Bukannya aku minta percuma, cuma mahu membeli dalam kuantiti yang sedikit. Pada aku, jika pelanggan minta sedikit, letak saja sedikit. Bukankah menyampaikan hajat orang itu sangat besar ganjarannya.

Sebenarnya inilah masalah yang dalam kebanyakan kita pada hari ini. Selalu menginginkan rezeki yang banyak dan terbaik tapi tidak sedia untuk memberi yang terbaik daripada kita. Kita kadangkala tidak percaya kepada ‘The Power of Giving’.

Pepatah ada mengatakan, ‘The more you give, the more you will get back.’ (Lebih banyak yang kita beri, lebih banyak yang kita dapat balik). Inilah rahsia sahabat Nabi SAW seperti Abu Bakar As-Siddiq dan Abdul Rahman Auf, jutawan yang sering memberikan hartanya yang terbaik pada perjuangan Islam.

Natijahnya, sahabat berkenaan dijanjikan Rasulullah SAW sebagai ahli syurga sewaktu hayat mereka lagi. Tanyalah juga kepada jutawan di Malaysia, pasti ada cerita dan rahsia di sebalik rezeki mereka yang melimpah-ruah dan tidak putus-putus itu.

Sumber : myMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *